Tuesday, July 23, 2013

Surah Qaaf

"Dan demi sesungguhnya! Kami telah menciptakan langit dan bumi serta yang ada di  antara keduanya dalam enam masa, dan Kami tidak mengalami sebarang susah payah. " (Surah Qaaf: 50: 38)

"Oleh itu bersabarlah (wahai Muhammad) akan apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu itu), dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu (terutama) sebelum terbit matahari dan sebelum matahari terbenam. " (Surah Qaaf: 50: 39)

Terdapat suatu riwayat yang mengemukakan bahawa orang-orang Yahudi datang mengadap kepada Nabi dan bertanya tentang penciptaan langit dan bumi. Rasulullah menjawab: "Allah mencipta bumi pada hari Ahad dan Isnin dan mencipta gunung-ganang serta segala yang memberi manfaat pada hari selasa. Pada hari Rabu Allah mencipta pokok-pokok, air, kota-kota, keramaian dan keruntuhannya. Pada hari Khamis pula Allah mencipta bintang-bintang, matahari, bulan dan mencipta Malaikat pada hariJumaat. Maka bakinya hanya tinggal tiga jam yang mana pada jam pertama Allah mencipta ajal bagi yang mati, pada jam yang kedua Allah memberi penyakit yang pada hakikatnya memberi kebaikan kepada manusia dan pada jam yang ketiga Allah mencipta Adam sarta ditempatkannya di dalam syurga dan memerintahkan kepada Iblis supaya sujud kepadanya. Akan tetapi Allah mengeluarkan Adam dari syurga pada akhir jam yang ketiga itu."

Kemudian para Yahudi itu berkata: "Teruskan, apa lagi ya Muhammad?" Rasulullah menjawab: "Allah bersemayam di atas arsy." Kaum Yahudi berkata lagi: "Betul Muhammad, sekiranya engkau teruskan cerita ini pasti engkau akan berkata: "Bahawa Allah terus beristirahat."

Maka Nabi sangat marah di atas percakapan mereka dan turunlah ayat ini (Surah Qaaf: 50:38-39) sebagai bantahan di atas anggapan kaum Yahudi bahawa Allah perlu beristirahat dan menasihati Nabi supaya bersabar. (Diriwayatkan oleh al Hakim dari Ibnu Abbas) (Al Hakim menganggap bahawa hadis ini sahih) 

"Kami lebih mengetahui apa yang mereka katakan (dari berbagai tuduhan terhadapmu wahai Muhammad), dan engkau bukanlah seorang yang berkuasa memaksa mereka (supaya masing-masing beriman). Oleh itu, berilah peringatan dengan al Quran ini kepada orang yang takutkan janji azabKu." (Surah Qaaf: 50:45)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa para sahabat berkata kepada Rasulullah: "Ya Rasulullah! Berilah peringatan kepada kami."

Maka turunlah ayat ini (Surah Qaaf: 50:45) sebagai perintah kepada Rasulullah untuk mengingatkan mereka kepada al Quran. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Amr bin Qais al Malai dari Ibnu Abbas) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Jarir dari Amr tetapi mursal) 



No comments:

Post a Comment