Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (Surah al Hujuraat:1)
Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap Dengan setengahnya Yang lain. (larangan Yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya. (Surah al Hujuraat:2)
Sesungguhnya orang-orang Yang merendahkan suaranya semasa mereka berada di sisi Rasulullah (s.a.w), - merekalah orang-orang Yang telah dibersihkan Allah hati mereka untuk bertaqwa; mereka beroleh keampunan dan pahala Yang besar. (Surah al Hujuraat:3)
Sesungguhnya orang-orang Yang memanggilmu dari luar bilik-bilik (tempat ahlimu, Wahai Muhammad), kebanyakan mereka tidak mengerti (adab dan tata tertib). (Surah al Hujuraat:4)
dan kalaulah mereka bersabar menunggu sehingga Engkau keluar menemui mereka, tentulah cara Yang demikian lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al Hujuraat:5)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa kafilah Bani Tamim telah datang kepada Rasulullah. Pada waktu itu Abu Bakar berbeza pendapat dengan Umar tentarig siapa yang seharusnya menguruskan kafilah itu. Abu Bakar menghendaki agar al Qa'qa bin Makbad yang mengurus mereka, tetapi Umar menghendaki al Aqra bin Habis. Kemudian Abu Bakar menegur Umar: "Engkau hanya ingin berbeza pendapat denganku," dan Umar membantahnya. Perbezaan pendapat ini berlangsung sehingga kedengaran suara yang kuat di antara mereka.
Maka turunlah ayat ini (Surah al Hujuraat: 49:1 -5) sebagai petunjuk untuk meminta ketetapan dari Allah dan RasulNya serta jangan cuba melampaui ketetapanNya. (Diriwayatkan oleh al Bukhari dan yang lainnya dari Ibnu Juraij dari Ibnu Abi Mulaikah dari Abdullah bin Zubair)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa terdapat orang-orang yang menyembelih korban sebelum tiba waktu yang ditetapkan oleh Rasulullah. Oleh sebab itu, Rasulullah memerintahkan agar mereka menyembelih korban sekali lagi. Maka penurunan ayat ini (Surah al Hujuraat: 49: 1) adalah sebagai larangan kepada kaum Mukminin untuk mendahului ketetapan Allah dan RasulNya. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Munzirdari al Hasan)
KETERANGAN
Menurut riwayat Ibnu Abid Dunya di dalam Kitabul Adlahi, lafaz riwayat ini adalah seperti berikut: "Seorang lelaki menyembelihnya sebelum sembahyang Aidul Adha."
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa terdapat orang-orang yang mendahului puasa sebelum masuk bulan Ramadan yang ditetapkan oleh Nabi. Maka ayat ini (Surah al Hujuraat: 49:1) turun sebagai teguran kepada mereka. (Diriwayatkan oleh at Thabarani di dalam kitab al Ausath dari Aisyah)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa orang-orang pada ketika itu menghendaki turunnya ayat tentang sesuatu. Maka turunlah ayat ini (Surah al Hujuraat: 49: 1) yang melarang mendahului ketetapan Allah dan RasulNya. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Qatadah)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa pada ketika itu terdapat orang-orang yang bercakap kuat dan nyaring apabila berbicara dengan Nabi. Maka turunlah ayat ini (Surah al Hujuraat: 49: 2) sebagai larangan akan perbuatan seperti itu. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Qatadah)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika turun ayat "la tarfau ashwatakum fauqa shautin nabi" dari ayat ini (Surah al Hujuraat: 49:2) tercampaklah Thabit bin Qais di atas jalan sambil menangis. Ketika itu Ashim bin al Ajlan lalu di situ dan bertanya: "Mengapa engkau menangis?" Dia menjawab: "Aku takut ayat ini turun berkenaan dengan diriku, kerana aku ini adalah seorang yang bersuara nyaring.
Kemudian Ashim mengadu perkara ini kepada Rasulullah dan Thabit pun dipanggil. Rasul bersabda: "Apakah engkau tidak redha jika hidup engkau terpuji, mati syahid dan masuk syurga." Dia menjawab: "Aku redha dan aku tidak akan menyaringkan suaraku buat selama-lamanya di hadapan Rasulullah." Maka turunlah ayat yang berikutnya (Surah al Hujuraat: 49: 3) yang menceritakan janji Allah kepada orang-orang yang taat akan ketetapanNya. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari muhammad bin Thabit bin Qais bin Syamas)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa apabiia orang-orang berkunjung ke rumah Rasulullah, mereka akan menjerit memanggil nama Rasulullah dari luar dengan ucapan-ucapan: "Hai Muhammadl Hai Muhammad!"
Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Hujuraat: 49:4-5) sebagai gambaran bahawa perbuatan seperti itu adalah salah dan tidak menurut akhlak Islam. (Diriwayatkan oleh at Thabarani dan Abu Ya'la dengan sanad yang hasan dari Zaid bin Arqam)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi sambil menjerit memanggil namanya dari luar: "Hai Muhammad! Pujianku sangat baik tetapi cacianku juga sangat tajam." Rasulullah bersabda: "Celakalah engkau, [At Thabari, juz XXVI, hal 122] sesungguhnya yang bersifat demikian itu adalah Allah." Maka ayat ini (Surah al Hujuraat: 49:4) turun sebagai larangan kepada orang-orang yang suka menjerit-jerit dari luar rumah. (K. Diriwayatkan oleh Abdul Razak dati Ma'mar dari Qatadah) (Riwayat ini mursal tetapi mempunyai saksi-saksi yang marfukdari Hadis al Barra bin Azib dan perawi lain yang ada dalam kitab Sunan Tirmizi tetapi tidak menyebut nuzulul ayat) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Jarir dari Hasan)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Al Aqra bin Habis memanggil-manggil Rasulullah dari luar rumah, akan tetapi Rasulullah tidak menjawabnya. Kemudian dia pun berteriak: "Hai Muhammad! Sesungguhnya pujianku baik dan cacianku sangat tajam." Bersabdalah Rasulullah: "Sesungguhnya, yang bersifat demikian itu adalah Allah." Maka ayat ini (Surah al Hujuraat: 49:4-5) turun berkenaan dengan peristiwa di atas. (K. Diriwayatkan oleh Ahmad dengan sanad yang sahih dari al Aqra bin Habis)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa al Aqra datang kepada Nabi dan menjerit-jerit memanggil nama baginda dari luar rumah: "Hai Muhammad! Keluarlah." Maka ayat ini (Surah al Hujuraat: 49: 4-5) turun sebagai teguran di atas perbuatan yang kurang sopan dl dalam melakukan kunjungan ke rumah orang lain. (Diriwayatkan oteh Ibnu Jarir dan perawi lain dari al Aqra)
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) -sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. " (Surah al Hujuraat: 49: 6)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa al Harts datang mengadap kepada Nabi. Kemudian Nabi mengajaknya masuk Islam. Maka dia pun berikrar menyatakan masuk Islam. Lalu baginda menyerunya untuk mengeluarkan zakat dan dia menyanggupi kewajipan itu dan berkata: "Ya Rasulullah, aku akan pulang kepada kaumku untuk mengajak mereka masuk Islam dan menunaikan zakat. Barang siapa yang mengikut ajakanku, akan aku kumpulkan zakatnya. Oleh itu, apabila telah sampai waktunya, kirimlah utusan untuk mengambil zakat yang telah kukumpulkan itu. "
Ketika al Harts telah selesai mengumpulkan zakat, dan waktu yang ditetapkan telah tiba, tetapi tidak ada seorang utusan pun yang datang kepadanya. Maka dia merasa sesuatu telah terjadi yang menyebabkan Rasulullah marah kepadanya. Kemudian dia memanggil para hartawan kaumnya dan berkata: "Sesungguhnya Rasulullah telah menetapkan waktu dan akan mengutus seseorang untuk mengambil zakat yang telah ada padaku, dan Rasulullah tidak pernah menyalahi janjinya. Akan tetapi saya tidak tahu mengapa baginda menangguhkan utusannya itu. Mungkinkah baginda marah. Oleh itu mari kita berangkat untuk mengadap baginda."
Adapun Rasulullah, sesuai dengan waktu yang telah ditetapkan mengutus al Walid bin Uqbah untuk mengutip dan menerima zakat yang ada pada al Harts. Ketika dalam perjalanan hati al Walid merasa gentar, lalu dia pulang sebelum sempat sampai ke tempat yang hendak dituju. Kemudian dia membuat laporan palsu kepada Rasulullah dengan mengatakan bahawa al Harts tidak menyerahkan zakat kepadanya bahkan dirinya akan dibunuh.
Kemudian Rasulullah mengirim utusan yang berikutnya kepada al Harts. Dalam perjalanan al Harts dan para sahabatnya bertemu dengan utusan tersebut dan bertanya: "Kepada siapa engkau diutuskan?" Utusan itu menjawab: "Kami diutuskan kepadamu." Dia bertanya lagi: "Mengapa?" Mereka menjawab: "Sesungguhnya Rasulullah telah mengutus al Walid bin Uqbah. Dia mengatakan bahawa engkau tidak mahu menyerahkan zakat, bahkan berniat untuk membunuhnya." Harts menjawab: "Demi Allah, yang telah mengutus Muhammad dengan sebenar-benarnya, aku tidak melihatnya dan tidak ada yang datang kepadaku."
Ketika mereka sampai di hadapan Rasulullah, baginda bertanya kepada mereka: "Mengapa engkau menahan zakat dan hendak membunuh utusanku?" Dia menjawab: "Demi Allah yang telah mengutus engkau dengan sebenar-benarnya, aku tidak berbuat demikian." Maka turunlah ayat ini (Surah al Hujuraat: 49:6) sebagai peringatan kepada kaum mukminin supaya tidak menerima keterangan dari sebelah pihak sahaja. (Diriwayatkan oleh Ahmad dan perawi lain dengan sanad yang baik dari al Harts bin Dhirar al Khuzai. Sanad perawi hadis ini adalah sangat dipercayai) (Diriwayatkan oleh at Thabarani dari Jabir bin Abdillah, Alqamah bin Najiah dan Ummu Salamah) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Jarir dari al Ufi dari Ibnu Abbas) (Di samping itu, Ibnu Jarir meriwayatkan dari sumber lain yang mursal)
dan jika dua puak dari orang-orang Yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap Yang lain, maka lawanlah puak Yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya Dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam Segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil. (Surah al Hujuraat: 49: 9)
Terdapat satu riwayat yang mengemukakan bahawa Nabi pergi ke rumah Abdullah bin Ubay iaitu seorang munafik dengan menaiki keldai. Kemudian Abdullah bin Ubay berkata: "Pergilah engkau dari sini, demi Allah aku telah terganggu kerana bau busuk keldaimu ini." Berkatalah seorang dari kaum Ansar: "Demi Allah, keldainya lebih harum baunya daripada engkau." Oleh itu perkara ini menyebabkan kemarahan kepada anak buah Abdullah bin Ubay. Akhirnya timbullah kemarahan di antara kedua belah pihak dan terjadilah pergaduhan dengan menggunakan pelepah kurma, tangan dan sandal.
Maka turunlah ayat ini (Surah al Hujuraat: 49: 9) berkisar tentang peristiwa tersebut. Di dalam ayat ini Allah memerintahkan agar menghentikan peperangan dan mencipta kedamaian. (Diriwayatkan oleh as Syaikhani dari Anas)
Riwayat lain pula ada mengemukakan bahawa terdapat dua orang dari kaum Muslimin bertengkar di antara satu sama lain. Kemudian marahlah para pengikut kedua kaum itu dan akhirnya mereka bergaduh dengan menggunakan tangan dan sandal. Maka penurunan ayat ini (Surah al Hujuraat: 49:9) adalah sebagai perintah untuk menghentikan pergaduhan dan mencipta kedamaian. (Diriwayatkan oleh Said bin Mansur dan Ibnu Jarir dari Abi Malik)
Dalam riwayat lain, ada juga dikemukakan bahawa terdapat seorang lelaki Ansar yang bernama 'Imran beristerikan Ummu Zaid. Isterinya berniat untuk menziarahi keluarganya, akan tetapi dilarang oleh suaminya bahkan dikurung oleh suaminya di atas loteng.
Oleh kerana itu, si isteri mengirim utusan kepada keluarganya. Maka datanglah kaumnya lalu menurunkannya dari loteng tersebut untuk dibawa ke rumah keluarganya. Sementara itu si suami meminta tolong kepada ahlinya. Dengan itu, datanglah anak-anak bapa saudaranya mengambil kembali wanita tersebut dari keluarganya. Oleh yang demikian terjadilah pergaduhan pukul-memukul dengan menggunakan sandal untuk merebut wanita tersebut. Maka turunlah ayat ini (Surah al Hujuurat: 49:9) berkisar tentang peristiwa tersebut.
Kemudian Rasulullah mengirim utusan kepada mereka untuk mendamaikan perselisihan dan tunduklah mereka kepada perintah Allah Subha nahu wa Taala. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim dari as Suddi)
Di samping itu terdapat riwayat lain yang mengemukakan bahawa pergaduhan yang disebutkan di dalam riwayat di atas terjadi di antara dua suku. Kemudian mereka di panggil ke muka pengadilan, akan tetapi mereka membangkang.
Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Hujuurat: 49:9) sebagai peringatan kepada orang-orang yang bertengkar supaya segera mencipta perdamaian. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari al Hasan)
Dalam riwayat lain pula ada mengemukakan bahawa ayat ini (Surah al Hujuurat: 49: 9) turun berkisar tentang dua orang Ansar yang tawar-menawar di antara satu sama lain untuk memperolehi haknya. Kemudian salah seorang di antara mereka berkata: "Aku akan mengambilnya dengan kekerasan, kerana aku mempunyai ramai kawan. "Sementara itu, seorang lagi mengajak untuk menyerahkan keputusan kepada Rasulullah. Akan tetapi orang itu menolaknya sehingga terjadi pukul-memukul dengan menggunakan sandal dan tangan di antara mereka tetapi tidak berlaku pertumpahan darah.
Oleh itu, penurunan ayat ini adalah sebagai perintah untuk melawan orang yang menolak perdamaian. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Qatadah)
"Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lalaku) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah dari kamu menyatakan keaipan setengahnya yang lain; dan jangan pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim." (Surah al Hujuraat: 49: 11)
Terdapat suatu riwayat yang mengemukakan bahawa seorang lelaki itu akan mempunyai dua atau tiga nama dan dipanggil dengan menggunakan nama tertentu agar orang itu merasa tidak senang dengan panggilan tersebut.
Oleh itu, ayat ini (Surah al Hujuraat: 49:11) turun sebagai larangan untuk memberi gelaran kepada orang dengan nama-nama yang tidak menyenangkan. (Diriwayatkan di dalam kitab Sunan yang empat dari Abi Jubair Ibnu Dlahhak) (Menurut at Tirmizi hadis ini hasan)
Riwayat lain pula ada mengemukakan bahawa pada zaman jahiliyah nama-nama gelaran adalah sangat banyak. Ketika Nabi memanggil seseorang dengan nama gelarannya, ada orang yang memberitahu kepadanya bahawa gelaran itu tidak disukai olehnya. Maka turunlah ayat ini (surah al Hujuraat: 49:11) yang melarang memanggil nama orang dengan gelaran yang tidak disukainya. (Diriwayatkan oleh al Hakim dan perawi lain dari Abi Jubair Ibnu Dlahhak)
Dalam riwayat lain juga ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah al Hujuraat: 49:11) turun berkenaan dengan Bani Salamah. Ketika Nabi tiba di Madinah, baginda mendapati orang-orang di situ mempunyai dua atau tiga nama. Akan tetapi apabila Rasulullah memanggil seseorang dengan salah satu daripada namanya ada orang berkata: "Ya Rasulullah! Sesungguhnya dia marah dengan panggilan itu."Ayat "wala tana bazu bit alqab" (Surah al Hujuraat: 49:11) turun sebagai larangan dari memanggil nama orang dengan sebutan yang tidak disukai olehnya. (Diriwayatkan oleh Ahmad dari Abi Jubair Ibnu Dlahhak)
"Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaipan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. " (Surah al Hujuraat: 49: 12)
Terdapat riwayat yang mengemukakan bahawa ayat di atas turun berkisar tentang Salman al Farisi. Apabila telah selesai makan dia akan terus tidur lalu berdengkur. Pada waktu itu ada orang yang membawa cerita tentang perbuatannya itu. Maka turunlah ayat ini (Surah al Hujuraat: 49: 12) yang melarang seseorang itu mengumpat dengan menceritakan keaiban orang lain. (Diriwayatkan oleh Ibnu Munzirdari Ibnu Juraij)
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah al Hujuraat: 49:13)
Terdapat suatu riwayat yang mengemukakan bahawa ketika fathu Mekah Bilal naik ke atas Kaabah untuk menunaikan azan. Kemudian beberapa orang berkata: "Apakah patut seorang budak hitam azan diatas Kaabah?" Maka yang lainnya pula berkata: "Sekiranya Allah membenci orang ini, pasti Allah akan menggantikannya." Ayat ini (Surah al Hujuraat: 49:13) turun sebagai penjelasan bahawa tidak ada diskriminasi di dalam Islam dan orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Abi Mulaikah)
Riwayat lain pula ada mengemukakan bahawa ayat ini (Surah al Hujuraat: 49:13) turun berkisar tentang kisah Abi Hindin yang akan dikahwinkan oleh Rasulullah dengan seorang wanita Bani Bayadhah. Kemudian Bani Bayadhah berkata: "Wahai Rasulullah patutkah kalau kami mengahwinkan puteri-puteri kami dengan hamba-hamba kami?"
Ayat ini (Surah al Hujuraat: 49:13) turun sebagai penjelasan bahawa dalam Islam tidak ada perbezaan di antara bekas hamba dengan orang yang merdeka. (Diriwayatkan oleh Ibnu Asakir di dalam kitab Mubhamat (yang ditulis tangan oleh Ibnu Basykual) dari Abu Bakar bin Abi Daud di dalam tafsirnya)
"Mereka mengira dirinya berbudi kepadamu (wahai Muhammad) dengan sebab mereka telah Islam (tidak melawan dan tidak menentang). Katakanlah (kepada mereka): "Janganlah kamu mengira keislaman kamu itu sebagai budi kepadaku, bahkan (kalaulah sah dakwaan kamu itu sekalipun maka) Allah jualah yang berhak membangkitkan budiNya kepada kamu, kerana Dialah yang memimpin kamu, kepada iman (yang kamu dakwakan itu), kalau betul kamu orang yang benar (pengakuan imannya)." (Surah al Hujuraat: 49:17)
Terdapat suatu riwayat yang mengemukakan bahawa sebahagian dari bangsa Arab berkata: "Wahai Rasulullah! Kami beriman dan tidak memerangi tuan akan tetapi suku yang lain telah memerangi tuan" Ayat ini (Surah al Hujuraat: 49:17) turun untuk menjelaskan sifat-sifat orang yang merasakan dirinya sudah berjasa kerana memeluk Islam. (Diriwayatkan oleh at Thabarani dengan sanad yang hasan dari Abdullah bin Abi Aufa) (Diriwayatkan pula oleh al Bazzar dari Said bin Jubairdari Ibnu Abbas) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Abi Hatim dari al Hasan, dan kejadian tersebut berlaku pada fathu Mekah)
Riwayat lain pula ada mengemukakan bahawa pada tahun kesembilan hijrah, sepuluh orang dari Bani Asad datang mengadap Rasulullah. Di antara mereka itu ialah Tulaihah bin Khuwailid. Pada ketika itu Rasulullah sedang berada di masjld bersama para sahabatnya.
Kemudian jurucakap mereka berkata: "Ya Rasulullah, kami percaya sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Allah, Maha Tunggal tidak ada sekutu bagiNya. Dan sesungguhnya tuan adalah hamba dan utusanNya. Kami datang mengadap tuan walaupun tuan belum pernah mengirim utusan kepada kami dan kami bertanggungjawab kepada orang-orang yang berada di belakang kami."
Maka ayat ini (Surah al Hujuraat: 49:17) turun berhubung dengan peristiwa tersebut. Di dalam ayat ini Allah menjelaskan bahawa orang-orang yang merasa dirinya berjasa berhak untuk meminta agar jasanya dibalas. (Diriwayatkan oleh Ibnu Said dari Muhammad bin Kaab al Qurazi)
Dalam riwayat lain juga ada dikemukakan bahawa segolongan orang-orang Arab dari Bani Asad datang mengadap Rasulullah sambil berkata: "Kami datang kepada tuan untuk masuk Islam dan tidak pernah memerangi tuan." Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Hujuraat: 49: 17) adalah untuk menceritakan keadaan orang-orang yang merasa dirinya berjasa kerana telah memeluk Islam dan menuntut balasan di atas jasa mereka. (Diriwayatkan oleh Said bin Mansur di dalam kitab sunannya dari Said bin Jubair)
No comments:
Post a Comment