"Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya ada di
antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu, oleh
itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu
memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka
Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana Sesungguhnya Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani. " (Surah atTaghaabun: 64: 14)
Terdapat satu riwayat yang mengemukakan bahawa ayat "inna
min azwajikum wa auladikum 'aduwwan lakum fahzaruhum." (Surah atTaghaabun:
64: 14) diturunkan berkisar tentang suatu kaum dari ahli Mekah yang memeluk
Islam, akan tetapi isteri dan anak-anak mereka menolak seruan hijrah atau
dengan kata lain tidak menyertai rombongan yang berhijrah ke Madinah. Setibanya
di Madinah, mereka dapati ramai di antara sahabat-sahabat mereka yang telah
mendapat didikan dan tunjuk ajar dari Nabi s.a.w. Oleh kerana itu, mereka
berniat untuk menyeksa isteri dan anak-anak mereka yang menjadi penghalang
untuk mereka berhijrah.
Dengan itu, turunlah ayat seterusnya "wain ta'fu
watash fahu wa taghfiru fainnallaha ghafururrahim." (Surah at Taghaabun:
64: 14) yang menjelaskan bahawa Allah Maha Pengampun lagi Penyayang. (Diriwayatkan
oleh at Tirmizi dan al Hakim yang menganggap bahawa Hadis ini sahih dari Ibnu
Abbas)
Riwayat lain pula
mengemukakan bahawa keseluruhan surah at Taghaabun ini diturunkan di Mekah,
kecuali ayat: "Ya ayyuhal lazina amanu inna min azwajikum wa auladikum
'aduwwal lakum fahzaruhum."(Surah atTaghaabun: 64:14).
Sesungguhnya ayat ini
menceritakan tentang Auf bin Malik al Asyja'i yang mempunyai anak dan isteri
yang sering menangisi pemergiannya untuk berperang, bahkan cuba untuk
menghalangnya dengan berkata: "Kepada siapakah kami ini akan engkau
titipkan?" Oleh kerana merasa kasihan mendengarkan kata-kata itu,
akhirnya dia tidak jadi untuk pergi berperang.
Adapun, ayat yang seterusnya hingga akhir surah
diturunkan di Madinah. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Atha' bin Yasar)
"Oleh itu
bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu; dan dengarlah (akan
pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya); dan
belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan
(ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi
oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya." (Surah
atTaghaabun: 64: 16)
Dalam riwayat lain
dikemukakan bahawa ketika turun ayat "ittaqullaha haqqa tuqatih", (Surah
AN 'Imran: 3:102) kaum Muslimin telah melakukan pelbagai amal ibadat sehingga
kaki mereka bengkak dan dahi luka-luka.
Maka, Allah pun menurunkan ayat di atas iaitu ayat 16
dari surah atTaghaabun yang memberi keringanan kepada kaum Muslimin. (Diriwayatkan
oleh Ibnu Abi Hatim dari Saad bin Jubair)
No comments:
Post a Comment