Wahai Nabi!
apabila kamu - (engkau dan umatmu) - hendak menceraikan isteri-isteri (kamu),
maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya, dan hitunglah
masa idah itu (dengan betul), serta bertaqwalah kepada Allah, Tuhan kamu.
janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga
selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ),
kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji Yang nyata. dan itulah
aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa Yang
melanggar aturan-aturan hukum Allah maka Sesungguhnya ia telah berlaku zalim
kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) Engkau tidak mengetahui
boleh jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang lain). (Surah
al Talaaq:1)
Dalam suatu riwayat
ada dikemukakan bahawa Abdu Yazid (Abu Rukanah) telah menceraikan isterinya
(Ummu Rukanah), kemudian dia telah menikah lagi dengan seorang wanita dari
Madinah. Isterinya mengadu kepada Rasulullah s.a.w. dengan berkata: "Ya
Rasulullah, tidak akan terjadi perkara seperti ini jika tidak kerana si rambut
perang."
Ayat ini (Surah at Thalaaq: 65:1) turun berkenaan
dengan peristiwa itu yang menjelaskan tentang kewajipan seorang suami terhadap
isteri yang telah diceraikan. Kewajipan ini perlu ditunaikan sehingga habis
waktu iddah, tetapi dilarang tidur bersama. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim
dari Saad bin Jubair)
KETERANGAN
Menurut az Zahabi isnad hadis ini lemah dan khabarnya
salah kerana peristiwa Abdu Yazid terjadi sebelum dia memeluk Islam.
Dalam riwayat lain pula dikemukakan bahawa Rasulullah
s.a.w. menceraikan isterinya yang bernama Hafsah. Maka, dia pun kembali kepada
keluarganya.
Ayat ini (Surah at Thalaaq: 65:1) turun berkenaan
dengan peristiwa itu yang memerintahkan kepada Rasulullah s.a.w. agar memberi
nafkah kepada bekas isterinya sehingga habis iddahnya. Kemudian, Jibril
menyampaikan perintah agar Rasulullah s.a.w. merujuk kembali dengan Siti Hafsah
kerana beliau termasuk dalam golongan wanita yang rajin puasa dan bangun malam
(sembahyang tahajjud). (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Qatadah dari Anas) (Diriwayatkan oleh
Ibnu Jarirdari Qatadah dan Ibnu Munzirdari Ibnu Sirin tetapi merupakan Hadis Mursaf)
Dalam riwayat lain dikemukakan bahawa ayat ini (Surah
at Jhalaaq: 65: 1) diturunkan tentang Abdullah bin Amr bin Ash, Thufail bin al
Harts dan Amr bin Said bin Ash yang menceraikan isteri masing-masing yang
sedang haid. Dengan demikian, ayat ini merupakan suatu amaran yang melarang
perbuatan ini. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Muqatil)
"Kemudian,
apabila mereka (hampir) habis tempoh iddahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka
(rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik; dan
adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau
melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan
persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum yang tersebut
diberi pengingatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan
hari akhirat; dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan
suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya
jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya)." (SurahatThalaaq:65:2)
"Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak
terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada
Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).
Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah
telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." (Surah at Thalaaq: 65: 3)
Terdapat suatu
riwayat yang mengemukakan bahawa ayat ini (Surah ath Thalaaq: 65:3) diturunkan
berkenaan dengan seseorang dari suku Asyja' yang fakir dan ramai anak. Dia
menghadap Rasulullah s.a.w. dan meminta bantuan dari baginda s.a.w. (tentang
anak yang ditawan musuh dan tentang penderitaan hidupnya). Maka, Rasulullah
s.a.w. bersabda: Bertakwalah kepada Allah dan perbanyakkan sabar." Tidak
lama kemudian, datanglah anaknya yang ditawan itu membawa seekor kambing (hasil
rampasan dari musuh sewaktu melarikan diri). Perkara ini segera dilaporkan
kepada Rasulullah lalu baginda bersabda: "Makanlah (kambing itu)."
Ayat ini (Surah at Thalaaq: 65: 2-3) menerangkan
bahawa Allah memberi rezeki kepada umatnya tanpa disangka-sangka dan memberi
jalan keluar kepada orang yang bertakwa. (Diriwayatkan oleh al Hakim dari
Jabir) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Jarirdari Salim bin Abi Ja'd)
KETERANGAN
Sesungguhnya az
Zahabi berkata: "Riwayat ini mungkar tetapi mempunyai beberapa syahid
(saksi). Menurut al Hakim pula dari Ibnu Mas'ud dan as Suddi nama orang yang
disebutkan itu ialah Auf al Asyja'i."
Dalam riwayat lain
dikemukakan bahawa Auf bin Malik al Asyja'i berjumpa Rasulullah s.a.w. dan
berkata: "Anakku ditawan musuh, dan ibunya sangat gelisah. Apakah
perintah tuan ke atasku?" Rasulullah s.a.w. bersabda: "Aku
perintahkan agar engkau dan isterimu memperbanyakkan mengucap: "La haula
wala quwwata ilia billah." Lalu isterinya berkata: "Alangkah eloknya
apa yang diperintahkan oleh Rasulullah kepadamu” Maka, kedua pasangan suami
isteri itu pun memperbanyakkan bacaan tersebut.
Adapun, ketika musuh sedang lalai, anaknya yang
ditawan itu membawa pulang kambing dari pihak musuh ke rumah bapanya.
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa ayat ini (Surah
ath Thalaaq: 65:3) diturunkan adalah berkenaan dengan peristiwa tersebut yang
menerangkan tentang jalan keluar bagi orang yang bertakwa. (Diriwayatkan oleh Ibnu Marduwaih
dari al Kalbi dari Abi Salleh dari Ibnu Abbas) (Diriwayatkan
pula oleh al Khatib dari Juwaibir dari ad Dlahhak dari Ibnu Abbas) (Diriwayatkan
pula oleh ath Tha'labi dari sumber lain tetapi daif) (K. Diriwayatkan oleh Ibnu
Abi Hatim dari sumber lain tetapi mursal)
"Dan perempuan-perempuan
dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak
(terhadap tempoh iddah mereka) maka iddahnya ialah tiga bulan; dan (demikian
juga iddah perempuan-perempuan yang tidak berhaid. Dan
perempuan-perempuan mengandung, tempoh iddahnya ialah hingga mereka melahirkan
anak yang dikandungnya. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertakwa kepada Allah,
nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya. " (Surah at Thalaaq:
65: 4)
Terdapat riwayat lain
yang mengemukakan bahawa ketika ayat tentang iddah wanita diturunkan dalam
surah al Baqarah (Surah al Baqarah: 2: 226-237), para sahabat berkata:
"Masih ada masalah iddah wanita yang belum disebutkan di dalam al Quran
iaitu iddah wanita muda (yang belum haid), yang sudah tua (tiada haid lagi) dan
yang hamil. "
Maka, turunlah ayat
ini (Surah ath Thalaaq: 65: 4) yang menjelaskan bahawa waktu iddah bagi mereka
ialah tiga bulan dan bagi yang hamil sehingga telah melahirkan anak. (Diriwayatkan
oleh Ibnu Jarir dan Ishaq bin Rahawaih dan al Hakim dan yang lainnya dari Ubay
bin Kaab. Isnadnya sahih)
Dalam riwayat lain
dikemukakan bahawa Khallad bin Amr bin al Jamuh bertanya kepada Nabi s.a.w.
tentang iddah wanita yang sudah tiada haid lagi. Maka,
turunlah ayat ini (Surah ath Thalaaq: 65:4) sebagai jawapan kepada pertanyaan
itu. (Diriwayatkan oleh Muqatil di dalam tafsirnya)
No comments:
Post a Comment