"Apabila orang
munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: "Kami mengakui
bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah". Dan Allah
sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa
sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta." (Surah al Munaafiquun: 63:1)
Dalam suatu riwayat
ada dikemukakan bahawa Zaid bin Arqam mendengar Abdullah bin Ubay berkata
kepada teman-temannya: "Kalian semua jangan memberi nafkah kepada
orang-orang yang hampir dengan Rasulullah sebelum mereka meninggalkan agama
mereka. Apabila kita pulang ke Madinah kelak, pasti orang yang mulia akan mengusir
orang yang hina dari kota itu."
Kemudian,
kejadian ini diterangkan kepada bapa saudaranya dan bapa saudaranya memberitahu
akan perkara ini kepada Rasulullah. Rasulullah memanggil Zaid bin Arqam untuk
menerangkan kejadian itu kepadanya. Kemudian Rasulullah memanggil Abdullah bin
Ubay bersama kawan-kawannya. Akan tetapi mereka bersumpah di hadapan Rasulullah
bahawa mereka tidak berkata demikian. Sesungguhnya, Rasulullah tidak percaya
kepada Zaid bin Arqam, malahan baginda lebih percaya kepada Abdullah bin Ubay.
Oleh kerana itu, Zaid merasa terlalu sedih kerana dia belum pernah mendapat
musibah seperti itu. Maka dia berdiam diri di rumah dan tidak mahu keluar. Bapa
saudaranya berkata: "Aku tidak bermaksud untuk membuat Rasulullah membenci
dan tidak mempercayaimu.
Maka Allah menurunkan
ayat ini (Surah al Munaafiquun: 63: 1) sebagai pemjelasan bahawa kaum munafik
selalu berdusta dan membenarkan ucapan Zaid bin Arqam.
Kemudian Rasulullah
mengutus seorang utusan kepada Zaid bin Arqam untuk membacakan ayat-ayat itu
dengan penjelasan bahawa: "Sesungguhnya Allah telah membenarkan ucapannya.
" (Diriwayatkan oleh al Bukhari dan perawi lain dari Zaid bin Arqam)
KETERANGAN
Riwayat tentang Zaid ini mempunyai beberapa sumber
yang antara lainnya menyatakan bahawa kejadian ini berlaku ketika perang Tabuk
dan ayat ini turun pada malam harinya.
"Dan apabila
dikatakan kepada mereka: "Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta
ampun (kepada Allah) untuk kamu, "mereka (enggan sambil)
menggeleng-gelengkan kepalanya; dan engkau melihat mereka berpaling (dari
bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh. " (Surah al Munaafiquun:
63: 5)
Dalam suatu riwayat
ada dikemukakan bahawa ada seseorang telah datang kepada Abdullah bin Ubay dan
mengusulkan kepadanya agar datang mengadap Rasulullah. Perkara
ini dilakukan agar Rasulullah dapat meminta ampun kepada Allah bagi pihak
dirinya. Akan tetapi dia menolak bahkan berpaling.
Maka turunlah ayat ini (Surah al Munaafiquun: 63: 5)
disebabkan peristiwa tersebut. Di dalam ayat ini Allah menceritakan sifat-sifat
kaum munafik iaitu keras kepala. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Qatadah) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu
Munzirdari Ikrimah)
"(Tidak ada faedahnya) kepada mereka, sama ada
engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun, Allah tidak
sekali-kali akan mengampunkan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat
petunjuk kepada kaum yang fasik." (Surah al Munaafiquun: 63: 6)
Dalam suatu riwayat
ada dikemukakan bahawa ketika turun ayat ini "istaghfirlahum aula
tastaghfirlahum intas taghfirlahum sab'ina marratan falan yaghfirullahum" (Surah
at Taubah: 9: 80) yang menjelaskan bahawa Allah tidak akan memberi ampun kepada
orang munafik walaupun diminta oleh Rasulullah sebanyak 70 kali, lalu Nabi
bersabda: "Aku akan minta ampun lebih dari 70 kali."
Maka Allah menurunkan
ayat ini (Surah al Munaafiquun: 63: 6) sebagai penjelasan bahawa bagi mereka
sama sahaja, apakah Nabi meminta ampun atau tidak, Allah tetap tidak memberi
keampunan kepada mereka. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Jarirdari Urwah) (K.
Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Mujahid dan Qatadah)
Dalam riwayat lain
ada dikemukakan bahawa ketika turun ayat ini (Surah at Taubah: 9: 80)
bersabdalah Nabi yang kemudiannya didengari oleh Ibnu Abbas: "Sesungguhnya
aku telah diberi kelonggaran tentang mereka ini (kaum Munafik). Oleh itu,
aku akan meminta ampun bagi mereka lebih dari 70 kali, mudah-mudahan Allah
memberi ampun kepada mereka."
Maka turunlah ayat ini (Surah al Munaafiquun: 63: 6)
sebagai penjelasan bahawa Allah tidak akan memberi ampun kepada orang-orang
seperti itu. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari al Ufi dari Ibnu Abbas)
No comments:
Post a Comment