"Dan demi sesungguhnya Kami telah hubungkan turunnya firman-firman Kami (al Quran) dengan berturut-turut kepada mereka, supaya mereka beroleh peringatan (lalu beriman). " (Surah al Qasas:28:51)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ayat di atas turun berkenaan dengan sepuluh orang Yahudi yang memeluk Islam. Akan tetapi mereka telah diseksa oleh Yahudi lain dan salah seorang daripadanya ialah Rifaah al Quradhi. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dan at Thabarani dari Rifaah al Quradhi)
"Orang-orang yang Kami beri Kitab sebelum turunnya al Quran, mereka beriman kepadanya. " (Surah al Qasas: 28: 52)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa sepuluh ahli kitab Yahudi di antaranya ialah Rifaah datang mengadap Nabi. Kemudian mereka beriman, akan tetapi mereka dianiayai oleh kaum Yahudi. Maka turunlah ayat ini (Surah al Qasas: 28: 52) sebagai penjelasan akan kedudukan mereka yang beriman kepada Taurat dan kemudian beriman kepada al Quran. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dan at Thabarani dari Ali bin Rifaah)
Dalam riwayat lain puia ada dikemukakan bahawa penurunan ayat ini (Surah al Qasas: 28: 52) adalah berhubung dengan peristiwa orang-orang Yahudi beriman kepada Nabi Muhammad yang mana sebelum ini mereka beriman dengan Taurat dengan sebenar-benarnya. Di antara mereka itu ialah Uthman dan Abdullah bin Salam. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Qatadah)
KETERANGAN
Asbab Nuzul ayat ini akan diterangkan semula di dalam surah al Hadid iaitu surah yang ke-57.
"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayat petunjuk (kepada memeluk Islam). " (Surah al Qasas: 28: 56)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda kepada bapa saudaranya: "Ucaplah "La ilaha illallah"dan aku akan menjadi saksi di hari kiamat kelak bahawa engkau telah beriman." Kemudian Abu Talib berkata: "Sekiranya aku tidak takut wanita-wanita Quraisy akan mencelaku dengan menyatakan bahawa aku beriman kerana terpaksa, tentu aku akan mengucapkannya dengan kesaksianmu." Maka turunlah ayat ini (Surah al Qasas: 28: 56) sebagai penjelasan bahawa hanya Allah yang dapat memberikan hidayat. (Diriwayatkan oleh Muslim dan yang lainnya dari Abi Hurairah)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Abi Said bin Rafi' bertanya kepada Ibnu Umar tentang ayat ini: "Innaka la tahdi man ahbabta" (Surah al Qasas: 28: 5Q). "Apakah turunnya berkenaan dengan Abu Jahal dan Abu Talib?" Lalu dia membenarkannya. (Diriwayatkan oleh an Nasa'i dan Ibnu Asakir di dalam kitab Tarikh Damasyqus dengan sanad yang baik (jayyid) dari Abi Said bin Rafi')
"Dan mereka (yang kafir) berkata: "Kalau kami menyertaimu menurut petunjuk yang engkau bawa itu, nescaya kami dengan serta merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (oleh golongan yang menentang). " Mengapa mereka (berkata demikian)? Bukankah kami telah melindungi mereka dan menjadikan (negeri Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang dibawa kepadanya hasil tanaman dari segala jenis, sebagai rezeki pemberian dari sisi Kami? (Benar, Kami telah menjadikan semuanya itu), tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur). " (Surah al Qasas: 28: 57)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa orang-orang Quraisy berkata kepada Nabi s.a.w.: "Sekiranya kami mengikut petunjukmu dengan beriman, kami akan diculik." Maka ayat ini (Surah al Qasas: 28: 57) turun berhubung dengan peristiwa di atas. Di dalam ayat ini Allah menjelaskan bahawa Dia telah menyediakan tempat yang aman dan rezeki yang banyak kepada mereka. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarirdari al Ufi dari Ibnu Abbas) (Menurut an Nasa'i dari Ibnu Abbas bahawa orang yang berkata demikian itu ialah al Harts bin Amir bin Naufal)
(jika sudah diketahui Yang demikian) maka Adakah orang Yang Kami janjikan kepadanya janji Yang baik (balasan syurga) lalu ia mendapatnya, sama seperti orang Yang Kami kurniakan menikmati kesenangan hidup di dunia kemudian ia pada hari kiamat termasuk Dalam golongan Yang dibawa (untuk menerima azab neraka)? (Surah al Qasas: 28: 61)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ayat "afaman wa adhanu wa'dan hasanan" (Surah al Qasas: 28: 61) turun sebagai penjelasan perbezaan di antara Nabi dan Abu Jahal bin Hisyam. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Mujahid)
Menurut riwayat lain ayat ini (Surah al Qasas: 28:61) turun adalah sebagai penjelasan perbezaan di antara Hamzah bapa saudara Nabi dan Abu Jahal.
"Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu (beramal dan menyampaikan) al Quran (wahai Muhammad) sudah tentu akan menyampaikan engkau lagi kepada apa yang engkau ingini dan cintai. Katakanlah (kepada kaum yang menentangmu): "Tuhanku amat mengetahui akan sesiapa yang membawa hidayat petunjuk dan sesiapa pula yang berada dalam kesesatan yang nyata." (Surah al Qasas: 28: 85)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika dalam perjalanan berhijrah dari Mekah ke Madinah Nabi s.a.w. telah sampai di Juhfah. Pada ketika itu Nabi sangat mengharapkan supaya dapat kembali semula ke Mekah. Maka penurunan ayat ini (Surah al Qasas: 28: 85) adalah sebagai janji Allah kepadanya untuk mengembalikan baginda semula ke Mekah. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari ad Dlahhak)
No comments:
Post a Comment