Saturday, July 20, 2013

Surah asy Syu'araa'

"Bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad)? Jika Kami berikan mereka menikmati kesenangan bertahun-tahun. " (Surah asy Syu'araa': 26: 205)

"Kemudian mereka didatangi azab seksa yang dijanjikan kepada mereka. " (Surah asy Syu'araa': 26: 206)

"(Tentulah) kesenangan yang mereka nikmati bertahun-tahun itu tidak dapat memberikan mereka sebarang pertolongan. " (Surah asy Syu'araa': 26: 207)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa pada suatu hari Nabi tampak gelisah sehingga para sahabat bertanya kepadanya. Baginda menjawab: "Mengapa tidak! Aku nampak bahawa musuhku adalah terdiri dari umatku sendiri sesudah aku wafat."

Oleh itu, berhubung dengan peristiwa tersebut turunlah ayat ini (Surah asy Syu'araa': 26: 205-207) sebagai penjelasan bahawa mereka itu (musuh-musuh Islam) walaupun diberi kenikmatan hidup selama bertahun-tahun, tetapi kenikmatan itu tidak akan berguna bagi mereka.

Maka dengan penurunan ayat ini terubatlah hati baginda. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Abi Jahdham)

"Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat. " (Surah asy Syu'araa1: 26: 214) 

"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman. " (Surah asy Syu'araa': 26: 215) 

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika turun ayat ini (Surah asy Syu'araa': 26: 214) Rasulullah mulai berdakwah kepada keluarga satu rumahnya, kemudian kepada keluarga yang terdekat. Perkara ini menyinggung perasaan kaum Muslimin yang lain kerana merasa diri mereka diabaikan. Kemudian Allah menurunkan ayat yang berikutnya (Surah asy Syu'araa': 26: 215) sebagai perintah kepada baginda untuk memperhatikan kaum Mukminin yang lainnya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarirdari Ibnu Juraij) 

"Dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat tidak berketentuan hala." (Surah asy Syu'araa': 26: 224) 

"Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)?" (Surah asy Syu'araa': 26: 225) 

"Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya?" (Surah asy Syu'araa': 26: 226) 

"Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya. Dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempatmana, mereka akan kembali." (Surah asy Syu'araa': 26: 227)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa pada zaman Rasulullah terdapat dua orang ahli syair lelaki terdiri dari golongan Ansar dan golongan lain. Mereka saling mengejek di antara satu sama lain dengan syair masing-masing dan mereka juga mempunyai pengikut yang terdiri dari orang-orang sesat dan bodoh. Maka penurunan ayat-ayat ini (Surah asy Syu'araa': 26:224-226) adalah berhubung dengan peristiwa di atas. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim dari al Ufi dari Ibnu Abbas) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Abi Hatim dari Ikrimah) 

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ketika turun ayat ini (Surah asy Syu'araa': 26:224-226) Abdullah bin Rawahah berkata: "Allah telah mengetahui bahawa salah seorang dari mereka itu adalah aku. "Maka Allah menurunkan ayat yang berikutnya (Surah asy Syu'araa': 26:227) sebagai pengecualian kepada ahli syair yang beriman kepadaNya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Urwah) 

Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa ketika turun ayat ini (Surah asy Syu'araa': 26:224-226) Abdullah bin Rawahah, Kaab bin Malik dan Hassan bin Thabit datang mengadap Rasulullah dan berkata: "Wahai Rasulullah! Demi Allah, Allah telah menurunkan ayat ini, dan Allah mengetahui bahawa kamilah ahli syair dan pasti kami celaka." Maka turunlah ayat yang seterusnya (Surah asy Syu'araa': 26: 227) sehingga Rasulullah memanggil mereka kembali dan membacakan ayat tersebut yang mengecualikan mereka dari orang-orang yang celaka. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dan al Hakim dari Hasan al Barrad)

1 comment:

  1. syukron atas perkongsian..izinkan saya salin untuk ilmu tambahan...

    ReplyDelete