"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?"
(Surah al 'Ankabuut: 29:2)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa orang-orang Islam yang berada di kota Mekah telah menerima surat dari sahabat-sahabat Rasulullah yang berada di Madinah dengan mengatakan bahawa kelslaman mereka tidak diterima kecuali jika mereka berhijrah. Kemudian mereka berhijrah ke Madinah. Akan tetapi disusuli oleh kaum musyrikin dan kemudian mereka dikembalikan semula ke Mekah.
Selepas penurunan ayat ini (Surah al 'Ankabuut: 29: 1-2) orang Madinah mengirim semula surat kepada mereka dan menjelaskan bahawa Allah telah menurunkan ayat berkenaan dengan keadaan mereka. Di dalam ayat ini ada dikemukakan bahawa berhijrah dan segala halangan yang ditempuhi adalah merupakan ujian terhadap keimanan mereka. Mereka pun berangkat kembali berhijrah dan bertekad untuk memerangi orang yang menghalang mereka.
Pada waktu itu kaum musyrikin mengikutinya dan kaum Muslimin memerangi mereka. Oleh itu, terdapat sebahagian kaum Muslimin yang terbunuh dan sebahagian lagi dapat menyelamatkan diri. Maka turunlah ayat ini (Surah an Nahl: 16: 110) (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari as Syu'bi)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah al 'Ankabuut: 29: 1-2) turun berkenaan dengan orang-orang Mekah yang berhijrah ke Madinah. Mereka semua menyusul Nabi yang kemudian dihalang dan dikembalikan semula oleh kaum musyrikin ke Mekah. Kaum Muslimin yang ada di Madinah mengirim surat kepada mereka untuk memberitahu isi kandungan ayat di atas.
Setelah menerima surat tersebut, mereka pun berhijrah semula ke Madinah sehingga di antara mereka ada yang gugur dan ada yang selamat. Maka turunlah ayat yang berikutnya (Surah al 'Ankabuut: 29: 69) sebagai jaminan dari Allah bahawa mereka akan dilindungi olehNya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Qatadah)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah al 'Ankabuut: 29: 2) turun berkenaan dengan Ammar bin Yasir yang diseksa oleh kaum musyrikin kerana mengikut agama Allah. (Diriwayatkan oleh Ibnu Sad dari Abdullah bin Ubaid bin Umair)
"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Daku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan." (Surah al 'Ankabuut: 29: 8)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Ummu Saad berkata kepada anaknya: "Bukankah Allah menyuruh agar engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapamu? Demi Allah aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati atau engkau kufur kepada Muhammad." Maka turunlah ayat ini (Surah al 'Ankabuut: 29: 8) sebagai perintah untuk taat kepada kedua ibu bapa kecuali jika ibu bapa itu memerintahkan agar melanggar peraturan Allah. (Diriwayatkan oleh Muslim dan at Tirmizi dan perawi lain dari Saad bin Abi Waqas)
dan ada sebahagian dari manusia Yang berkata: "Kami beriman kepada Allah"; kemudian apabila ia diganggu dan disakiti pada jalan Allah, ia jadikan gangguan manusia itu seperti azab seksa Allah (lalu ia taatkan manusia). dan jika datang pertolongan dari Tuhanmu memberi kemenangan kepadaMu, mereka sudah tentu akan berkata: "Kami adalah sentiasa bersama-sama kamu". (Mengapa mereka berdusta?) Bukankah Allah lebih mengetahui akan apa Yang terpendam Dalam hati sekalian makhluk? (Surah al'Ankabuut: 29: 10)
Lihat Asbab Nuzul pada surah an Nisaa': 4: 97 dan surah an Nahl1 16:110.
(Patutkah mereka meminta mukjizat-mukjizat Yang lain?) tidakkah cukup bagi mereka Bahawa Kami telah menurunkan kepadamu Al-Quran Yang dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya Al-Quran Yang diturunkan itu mengandungi rahmat dan peringatan bagi orang-orang Yang beriman. (Surah al'Ankabuut: 29: 51)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa orang-orang Muslim datang mengadap Nabi dengan membawa kitab berisi tulisan yang mereka dengar dari kaum Yahudi. Kemudian Nabi bersabda: "Cukuplah kesesatan kaum itu yang tidak menyukai kitab yang diturunkan kepada Nabinya dan mengajak orang lain untuk mengikut apa yang dibawa oleh selain dari Nabinya. "Ayat ini (Surah al 'Ankabuut: 29: 51) turun berkenaan dengan peristiwa di atas sebagai teguran kepada kaum Muslimin untuk tidak menirunya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir, Ibnu Abi Hatim dan ad Darimi di dalam musnadnya dari Amr bin Dinar dari Yahya bin Jad'ah)
"Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. " (Surah al 'Ankabuut: 29: 60)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Rasulullah berjalan-jalan bersama Ibnu Umar dan akhirnya mereka sampai di daerah perkebunan Madinah. Kemudian Rasulullah memungut kurma yang jatuh dan memakannya sambil bersabda: "Mengapa hai lbnu Umar, engkau tidak mahu makan kurma ini?" lbnu Umar menjawab: "Saya tidak menghendakinya." Rasulullah bersabda lagi: "Aku sangat menghendakinya, kerana telah empat hari aku tidak merasa dan mendapat makanan. Padahal sekiranya aku berdoa kepada Allah Tuhanku, pasti Dia akan memberikannya sebanyak yang dimiliki oleh kerajaan Kisra (Parsi) dan Kaisar (Rom). Bagaimana pendapatmu hai Ibnu Umar tentang kaum yang menyimpan makanan untuk satu tahun tetapi menyebabkan lemah keyakinan." Ibnu Umar berkata: "Demi Allah, aku tidak menghendakinya." Maka turunlah ayat ini (Surah al 'Ankabuut: 29: 60) sebagai penjelasan bahawa Allah memberi rezeki kepada makhluknya. Kemudian Rasulullah bersabda: "Allah tidak memerintah kepadaku untuk menghimpun harta dan tidak untuk menurut syahwatku. Sesungguhnya aku tidak akan menghimpun dinar dan dirham dan aku tidak akan menyimpan rezeki untuk esok hari. " (Diriwayatkan oleh Abd bin Hamid, Ibnu Abi Hatim, al Baihaqi dan Ibnu Asakir dengan sanad yang daif dari Ibnu Umar)
"Dan tidakkah mereka melihat dan memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan (Makkah, negeri mereka) tanah suci yang dihormati, lagi aman; sedang orang-orang ramai yang tinggal (dalam daerah-daerah) di sekeliling mereka sentiasa diculik (untuk ditawan atau dibunuh)? Oleh itu, patutkah mereka percaya kepada perkara yang salah, dan kufur ingkar akan nikmat-nikmat Allah ?" (Surah al 'Ankabuut: 29: 67)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Kaum Quraisy berkata: "Hai Muhammad! Tidak ada yang menghalang kami dari masuk Agamamu kecuali takut dibunuh dan diculik, kerana orang-orang Badwi lebih banyak daripada kita. Sekiranya sampai berita kepada mereka bahawa kami masuk Agamamu, mereka akan menculik kami dan kami akan dimakan mentah-mentah." Maka penurunan ayat ini (Surah al 'Ankabuut: 29:67) adalah berhubung dengan peristiwa tersebut. (Diriwayatkan oleh Juwaibir dari ad Dlahhak dari Ibnu Abbas)
"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka kejalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya." (Surah al 'Ankabuut: 29: 69) Asbab Nuzul untuk ayat di atas sila lihat (Surah al 'Ankabuut: 29:1 -2).
No comments:
Post a Comment