Wednesday, July 17, 2013

Surah al Nisa'

AN NISAA'
"Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmatyang lazat, lagi baik kesudahannya." (Surah an Nisaa': 4:4)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa pada kebiasaannya kaum bapa menerima dan menggunakan maskahwin tanpa keizinan dari anak perempuannya.
Maka turunlah ayat di atas sebagai larangan terhadap perbuatan seperti ini. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Abi Salleh)
"Orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, samada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah)." (Surah an Nisaa': 4: 7)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa pada kebiasaannya kaum Arab Jahiliyah tidak akan memberikan harta pusaka kepada anak perempuan dan anak lelaki yang belum dewasa.
Pada ketika seorang Ansar yang bernama Aus bin Thabit meninggal dunia dan dia meninggalkan dua orang anak perempuan serta seorang anak lelaki yang masih kecil, datanglah dua orang anak saudaranya iaitu Khalid dan Artafah. Mereka mengambil kesemua harta peninggalannya.
Kemudian isteri Aus bin Thabit datang berjumpa Rasulullah untuk menceritakan tentang kejadian itu. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Saya tidak tahu apa yang harus saya katakan."
Maka turunlah ayat di atas sebagai penjelasan tentang hukum pembahagian harta pusaka di dalam Islam. (Diriwayatkan oleh Abu Syaikh dan Ibnu Hibban di dalam kitab Faraid (Pembahagian harta Pusaka) dari al Kalbi dari Abi Salleh dari Ibnu Abbas
11. Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, Iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta Yang ditinggalkan oleh si mati. dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta Yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang Yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat Yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya Yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti Yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (al Nisa:4:11)

12. dan bagi kamu satu perdua dari harta Yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta Yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat Yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta Yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta Yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat Yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu. dan jika si mati Yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, Yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam. kalau pula mereka (saudara-saudara Yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki Dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat Yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat Yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar. (al Nisa’:4:12)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersama Abu Bakar berjalan kaki pergi melawat Jabir bin Abdillah yang sedang sakit tenat di kampung Bani Salamah. Ketika didapati Jabir tidak sedarkan diri, baginda meminta air untuk berwuduk dan memercikkan ke atas mukanya hingga dia tersedar. Lalu berkatalah Jabir: "Apakah yang tuan perintahkan kepadaku tentang harta bendaku?"
Maka turunlah ayat di atas (Surah an Nisaa': 4: 11-12) sebagai petunjuk di dalam pembahagian harta pusaka. (Diriwayatkan oleh Imam yang enam dari Jabir bin Abdillah)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa isteri Saad bin ar Rabi datang mengadap Rasulullah s.a.w. dan berkata: "Ya Rasulullah, kedua puteri ini adalah anak Saad bin ar Rabi yang turut serta bersama tuan dalam perang Uhud dan telah gugur sebagai syahid." Bapa saudara kedua anak ini telah mengambil kesemua harta bendanya tanpa meninggalkan walaupun sedikit, sedangkan kedua anak ini sukar untuk mendapatkan jodoh kalau tidak berharta." Bersabdalah Rasulullah s.a.w: "Allah akan memutuskan hukumNya."
Maka turunlah ayat di atas (Surah an Nisaa': 4: 11) untuk menerangkan hukum tentang pembahagian harta pusaka. (Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan al Hakim dari Jabir)
KETERANGAN
Menurut pendapat al Hafiz Ibnu Hajar: Berdasarkan kepada hadis mengenai kedua puteri Saad bin ar Rabi, penurunan ayat ini (Surah an Nisaa': 4:11-12) adalah berkenaan dengan kedua puteri tersebut dan tidak berkenaan dengan Jabir. Ini kerana pada waktu itu Jabir belum mempunyai anak. Seterusnya dia menerangkan bahawa ayat ini (Surah an Nisaa': 4:11-12) turun adalah berkenaan dengan kedua peristiwa di atas, mungkin ayat 11 berkenaan dengan kedua puteri Saad bin ar Rabi dan bahagian akhir ayat itu iaitu ayat 12 adalah berkenaan dengan kisah Jabir.
Adapun maksud Jabir dengan perkataan "turunlah ayat 11" adalah ingin menyebutkan perkara penetapan hukum pembahagian harta pusaka yang terdapat pada ayat seterusnya (Surah an Nisaa': 4:12).
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa orang Jahiliyah pada zaman dahulu tidak memberikan harta pusaka kepada wanita dan anak lelaki yang belum dewasa atau belum mampu berperang.
Ketika Abdur Rahman (saudara Hasan bin Thabit) seorang ahli syair yang terkenal meninggal dunia, dia meninggalkan seorang isteri bernama Ummu Kuhhah dan lima orang anak perempuan. Maka datanglah keluarga suaminya untuk mengambil harta bendanya.
Kemudian Ummu Kuhhah datang berjumpa Nabi s.a.w. untuk membuat aduan mengenai perkara ini. Maka turunlah ayat di atas (Surah an Nisaa': 4: 11) yang menjelaskan tentang hak mewarisi harta pusaka bagi anak-anak perempuan dan ayat yang berikutnya (Surah an Nisaa': 4: 12) menjelaskan tentang hak mewarisi harta bagi isteri.
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa peristiwa Saad bin ar Rabi adalah menjadi sebab kepada turunnya ayat ini (Surah an Nisaa': 4:127). Amrah binti Hizam isteri kepada Saad yang gugur syahid pada perang Uhud datang mengadap Nabi dengan membawa anak perempuannya untuk menuntut hak mewarisi harta pusaka. Penurunan ayat ini (Surah an Nisaa': 4:127) adalah untuk menjelaskan hak wanita dalam hukum mewarisi harta pusaka. (Diriwayatkan oleh al Qadli Ismail dalam kitab Ahkamul Quran dari Abdul Malik bin Muhammad bin Hazm)
"Wahai orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkahlakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu bend itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)." (Surah an Nisaa': 4:19)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa pada zaman jahiliyah apabila seorang lelaki meninggal dunia, wali si mati adalah lebih berhak daripada isteri yang ditinggalkannya untuk mewarisi harta pusaka. Sekiranya si wali ingin berkahwin dengannya atau mengahwininya dengan orang lain, dia lebih berhak daripada keluarga wanita itu.
Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4:19) untuk menjelaskan tentang kedudukan wanita yang ditinggalkan suami. (Diriwayatkan oleh al Bukhari, Abu Daud dan an Nasai dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa ketika Abu Qais bin al Aslat meninggal dunia, anaknya ingin berkahwin dengan isterinya iaitu ibu tiri kepada anaknya. Perkahwinan seperti ini adalah menjadi kebiasaan pada zaman jahiliyah.
Maka Allah menurunkan ayat di atas (Surah an Nisaa': 4: 19) yang melarang menjadikan wanita sebagai pewaris harta pusaka. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarirdan Ibnu Abi Hatim dengan sanad hasan dari Abu Umamah bin Sahl bin Hanif) (Hadis ini dikuatkan lagi oleh riwayat Ibnu Jarirdari Ikrimah)
"Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu, kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan). " (Surah an Nisaa': 4: 22)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Abu Qais bin al Aslat dari seorang Ansar yang soleh telah meninggal dunia. Kemudian anak lelakinya telah melamar isterinya iaitu ibu tiri kepada anak tersebut untuk dijadikan isteri. Kemudian berkatalah wanita Itu: "Saya menganggap dirimu sebagai anakku, dan engkau termasuk dari kaummu orang yang soleh. "
Maka wanita tersebut datang mengadap Rasulullah untuk menceritakan keadaannya. Nabi s.a.w. bersabda: "Pulanglah engkau ke rumahmu."

Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 22) sebagai larangan dari mengahwini bekas isteri bapanya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim, al Faryabi dan at Thabarani dari Adi bin Thabit dari seorang Ansar)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa pada zaman jahiliyah anak yang ditinggalkan oleh si mati (bapanya) adalah lebih berhak ke atas ibu tirinya. Apakah dia akan mengahwininya atau mengahwinkan perempuan tersebut dengan orang lain mengikut kehendaknya.
Ketika Abu Qais bin al Aslat meninggal dunia, Muhsin bin Qais mewarisi dengan berkahwin dengan isteri ayahnya dan tidak memberikan walaupun sedikit harta pusaka kepada wanita itu.
Kemudian wanita tersebut datang mengadap Rasulullah untuk ; menceritakan keadaannya. Maka Rasulullah bersabda: "Pulanglah, mudah-mudahan Allah akan menurunkan ayat berkenaan dengan kisahmu."
Penurunan ayat di atas (Surah an Nisaa': 4:19,22) adalah sebagai ketentuan kepada isteri di dalam mewarisi harta pusaka dan larangan mengahwini ibu tiri. (Diriwayatkan oleh Ibnu Saad dari Muhammad bin Kaab al Qarzi)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa penurunan ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 19 dan 22) adalah berkenaan dengan sebahagian besar orang-orang Ansar yang apabila seseorang itu meninggal dunia, maka isterinya akan menjadi milik wali si mati dan mereka akan mengusainya sehingga dia mati. (Diriwayatkan oleh Ibnu Saad dari az Zuhri)

23. diharamkan kepada kamu berkahwin Dengan (perempuan-perempuan Yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu Yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu Yang perempuan, dan ibu-ibu kamu Yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri Yang Dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri Yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri Yang berasal dari benih kamu. dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali Yang telah berlaku pada masa Yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al Nisa’:4:23)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Ibnu Juraij bertanya kepada Atha tentang: "wahala ilu abna ikumulladzina min aslabikum" dari surah ini (Surah an Nisaa': 4: 23). Kemudian Atha menjawab: "Kami pernah membincangkan, bahawa ayat ini turun mengenai pernikahan Nabi kita s.a.w. dengan bekas isteri Zaid bin Haritsah (anak angkat Nabi). "
Kaum musyrikin telah membuat fitnah mengenai perkara ini hinggalah turun ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 23), (Surah al Ahzab: 33: 4) dan (Surah al Ahzab: 33:40) sebagai penjelasan membenarkan berkahwin dengan bekas isteri anak angkat. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Ibnu Juraij)
"Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (Haramnya segala yang tersebutitu) ialah suatu ketetapan hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu. Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina. Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah ia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka maskahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah). Dan tiadalah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu (suami isteri), sesudah ditetapkan maskahwin itu (tentang cara dan kadar pembayarannya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Surah an Nisaa': 4: 24)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Kaum Muslimin telah mendapat tawanan dari kalangan wanita yang mempunyai suami dalam peperangan Authas. Tawanan tersebut tidak mahu dicampuri oleh mereka yang berhak terhadap mereka. Bertanyalah kaum Muslimin kepada Rasulullah s.a.w. sehingga turun ayat di atas sebagai penjelasan terhadap hukumnya. (Diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan an Nasai dari Abi Said al Kudri)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa turunnya ayat ini adalah pada waktu perang Hunain. Pada ketika itu Allah telah memberikan kemenangan kepada orang Islam dan mereka dapat menawan beberapa orang wanita ahli kitab. Ketika hendak dicampuri

ASBABUN NUZUL
mereka menolak dengan alasan telah bersuami. Kemudian kaum Muslimin bertanya kepada Rasulullah mengenai perkara ini.
Maka Rasulullah menjawab berpandukan kepada ayat di atas (Surah an Nisaa': 4: 24). (Diriwayatkan oleh at Thabarani dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain pula, ada dikemukakan bahawa orang Hadhrami telah membebani kaum lelaki mereka dengan mengenakan pembayaran mahar (maskahwin) yang tinggi supaya mereka tidak dapat membayar pada masa yang telah ditetapkan. Dengan cara ini penambahan kepada pembayaran tersebut dapat dilakukan.
Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4:24) sebagai penentuan kepada pembayaran maskahwin dengan mengikut keredhaan di antara kedua belah pihak. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Ma'mar bin Sulaiman dari bapanya)
"Dan janganlah kamu terharap-harap (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."
(Surah an Nisaa': 4: 32)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Ummu Salamah berkata: "Kaum lelaki pergi berperang, sedangkan kaum wanita tidak dan kita hanya mendapat setengah daripada pembahagian harta pusaka lelaki." Allah menurunkan ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 32) sebagai teguran untuk tidak beriri hati dengan ketetapan Allah.
Malahan sehubungan dengan itu, turunlah ayat (Surah al Ahzab: 33:35) sebagai penjelasan bahawa Allah Subhanahu wa Taala tidak membezakan di antara Muslimin dan Muslimat di dalam memberi keampunan dan pahala. (Diriwayatkan oleh at Tirmizi dan al Hakim dari Ummu Salamah)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa seorang wanita mengadu kepada Rasulullah dengan berkata: "Ya Nabiyullah! Kaum lelaki mendapat dua bahagian melebihi wanita di dalam pembahagian harta pusaka dan dua orang saksi wanita sama dengan seorang saksi lelaki. Apakah di dalam beramalpun begitu juga (iaitu amalan baik seseorang wanita mendapat setengah daripada jumlah pahala lelaki)."
Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 32) sebagai penjelasan bahawa lelaki dan wanita akan mendapat balasan yang sama sesuai dengan amalannya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Abbas)
"Dan? bagi tiap-tiap (lelaki dan perempuan yang telah mati), Kami telah tetapkan orang yang berhak mewarisi peninggalannya iaitu ibu bapa dan kerabat yang dekat. Dan mana-mana orang yang kamu telah membuat ikatan setia dengan mereka (untuk bantu-membantu dalam masa kecemasan dan kesusahan) maka berikanlah kepada mereka bahagiannya. Sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu." (Surah an Nisaa': 4: 33)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Daud bin al Husain membacakan ayat "walladzina 'aqadat aimanukum" kepada Ummu Saad binti Rabi yang tinggal di rumah Abu Bakar.
Akan tetapi Ummu Salamah berkata: "Salah! Bukan demikian, hendaklah engkau baca "wal ladzina 'aqadat aimanukum" kerana ayat ini turun berkenaan dengan peristiwa Abu Bakar yang bersumpah tidak akan memberi harta pusaka kepada anaknya disebabkan anak itu tidak mahu memeluk Islam. Setelah anak itu masuk Islam, diperintahkan agar anak itu diberi harta pusaka sesuai dengan ayat ini." (Diriwayatkan oleh Abu Daud di dalam sunannya dari Ibnu Ishaq dari Daud bin al Husain)
"Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggugjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang salih itu ialah yang ta'at (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalaujuga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar." (Surah an Nisaa': 4: 34)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa seorang wanita telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w. kerana telah ditampar oleh suaminya. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Dia mesti dibalas (qisas)."
Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 34) sebagai pemberitahuan cara untuk mendidik isteri yang curang. Setelah mendengar penjelasan ayat tersebut pulanglah dia dengan tidak melaksanakan qisas. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari al Hasan)

114. maka Maha Tinggilah Allah, Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang benar (pada segala-galanya). dan janganlah Engkau (Wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadaMu, dan berdoalah Dengan berkata: "Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku". (20:114)

Di antara riwayat-riwayat lain juga ada dikemukakan bahawa ada seorang isteri yang datang mengadu kepada Rasulullah s.a.w. kerana ditampar oleh suaminya (golongan Ansar) dan dia menuntut agar suaminya dikenakan qisas (balas). Nabi s.a.w. mengabulkan permintaan itu. Maka turunlah ayat "wala ta'jalbil qur'animin qabli an yuqdha ilaika wahyuhu" (Surah Thaahaa: 20: 114) sebagai teguran kepadanya dan ayat di atas menerangkan tentang hak suami di dalam mendidik isterinya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari beberapa jalan dari al Hasan dan dari Ibnu Juraij dan as Suddi)
Dalam riwayat lain ada juga dikemukakan bahawa seorang Ansar datang mengadap Rasulullah bersama isterinya. Isterinya berkata: "Ya Rasulullah, dia telah memukul saya sehingga meninggalkan bekas di mukaku."Kemudian Rasulullah bersabda: "Dia tidak berhak untuk melakukan sedemikian."Maka turunlah ayat di atas (Surah an Nisaa': 4: 34) sebagai ketentuan cara untuk mendidik isteri. (Diriwayatkan oleh Ibnu Marduwaih dari Ali)

34. kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal Yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. maka perempuan-perempuan Yang soleh itu ialah Yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan Yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua Yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, Dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. dan perempuan-perempuan Yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan Yang bertujuan mengajarnya). kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha tinggi, lagi Maha besar. (nisa’:34)

KETERANGAN

Riwayat yang telah disebutkan itu saling menguatkan di antara satu sama lain.
"iaitu orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya bakhil serta menyembunyikan apa-apa jua yang Allah berikan kepada mereka dari limpah kurnianya. Dan (sebenarnya) Kami telah sediakan bagi orang kafir itu azab seksa yang amat menghina." (Surah an Nisaa': 4: 37)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa para ulama Bani Israel begitu kedekut dengan ilmu yang mereka miliki.
Maka Allah menurunkan ayat di atas (Surah an Nisaa': 4:37) sebagai peringatan terhadap perbuatan seperti itu. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Said bin Jubair)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa Kurdum bin Zaid bersukutu dengan Kaab bin al Asyraf, Usamah bin Habib, Nafi bin Abi Nafi, Bahra bin Amr, Hay bin Akhtab dan Rifaah bin Zaid bin at Tabut datang menemui orang-orang Ansar dan menasihati mereka dengan berkata: "Janganlah kamu membelanjakan hertamu, kami takut jikalau kamu jadi fakir dengan kehilangan harta Itu dan janganlah kamu terburu-terburu di dalam menginfakkan kerana kamu tidak tahu apa yang akan terjadi."
Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 37) sebagai larangan menjadi orang yang kedekut dan menganjurkan orang lain supaya menjadi orang yang kedekut juga.
(Diriwayatkan oleh Ibnu Jarirdari Ibnu Ishaq dari Muhammad bin Abi Muhammad dari Ikrimah atau Said dari Ibnu Abbas)
"Wahai orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar)- kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun. " (Surah an Nisaa': 4: 43)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Abdur Rahman bin Auf menjemput Ali dan kawan-kawannya makan di rumahnya. Kemudian dia menghidangkan mereka dengan minuman arak sehingga mereka mabuk. Apabila tiba waktu sembahyang, Ali telah diangkat untuk menjadi imam. Pada waktu itu Ali membaca dengan keliru ayat ini "qulya ayyuhal kafirun, la 'abudu mata' budu, wanahnu na'budu mata'budu." Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 43) sebagai larangan menunaikan sembahyang pada waktu mabuk. [Lihat Asbabun Nuzul Surah al Baqarah: 2: 219 dan al Maaidah: 5: 90-91.] (Diriwayatkan oleh Abu Daud, Tirmizi, Nasa'i, al Hakim dari Ali)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa penurunan ayat ini "walajunuban ilia 'abiri sabilin hatta taghtasilu" (Surah an Nisaa': 4:43) adalah berkenaan dengan seorang yang berjunub (berhadas besar) di dalam perjalanan lalu dia bertayammum dan terus menunaikan sembahyang. Oleh itu penurunan ayat ini adalah sebagai petunjuk kepada orang yang berhadas yang dalam perjalanan dan pada ketika itu tidak ada air. (K. Diriwayatkan oleh al Faryabi, Ibnu Abi Hatim dan Ibnu Munzir dari Ali)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa al Asia' bin Syarik dalam keadaan berjunub ketika dalam perjalanan bersama Rasulullah. Pada waktu itu malam sangat sejuk dan dia takut untuk mandi dengan air yang terlalu sejuk ditakuti ia boleh menyebabkan kematian atau kesakitan. Lalu perkara ini disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. Maka turunlah ayat di atas sebagai tuntutan bagi orang-orang yang takut akan bahaya kesejukan jikalau dia mandi. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Marduwaih dari al Asia' bin Syarik)
Dalam riwayat lain juga ada dikemukakan bahawa pada suatu hari di dalam perjalanan Rasulullah telah memerintahkan kepada al Asia' khadam dan pembantunya untuk menyiapkan kenderaannya. Al Asia' berkata: "Wahai Rasulullah aku sedang junub." Maka Rasulullah terdiam sehingga datang kepadanya Jibril membawa ayat tentang tayammum.
Kemudian baginda menunjukkan cara bertayammum kepadanya dengan menyapu muka sekali dan menyapu kedua belah tangan hingga ke siku. Maka al Asia' pun bertayammum dan kemudian menyiapkan kenderaan untuk Rasulullah s.a.w.
(Diriwayatkan oleh at Thabarani dari al Asia') Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa pintu rumah sebahagian daripada golongan Ansar adalah melalui masjid. Ketika mereka berjunub dan tidak mempunyai air, mereka tidak boleh mendapatkan air kecuali dengan cara melalui masjid.
Oleh itu, penurunan ayat ini (Surah an Nisaa': 4:43) adalah sebagai penerangan untuk membolehkan orang yang sedang berjunub melewati masjid. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Jarirdari Yazid bin Abi Habib)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa penurunan ayat ini (Surah an Nisaa': 4:43) adalah berkenaan dengan seorang Ansar yang sedang sakit dan tidak mampu berdiri untuk mengambil wuduk. Dia tidak mempunyai khadam untuk menolongnya. Oleh itu, perkara itu telah diceritakan kepada Rasulullah.
Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 43) sebagai tuntutan melakukan tayammum bagi orang sakit yang tidak mampu untuk berwuduk. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Mujahid)
Dalam riwayat lain juga ada dikemukakan bahawa beberapa orang sahabat Nabi terkena luka yang parah sehingga membengkak dan mereka diuji oleh Allah dengan junub melalui mimpi. Kemudian mereka mengadu kepada Rasulullah.
Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4:43) sebagai kelongggaran bagi orang yang luka parah dan sedang berjunub untuk bertayammum. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarirdari Ibrahim an Nakhai)
"Tidakkah engkau memerhatikan (wahai Muhammad) orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab, mereka memilih kesesatan (dengan meninggalkan pertunjuk Tuhan), dan mereka pula berkehendak supaya kamujuga sesatjalan." (Surah an Nisaa': 4:44)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa pada suatu ketika seorang tokoh Yahudi bernama Rifa'ah bin Zaid at Tabut berkata kepada Rasululah sambil menjelirkan lidahnya: "Hai Muhammad! Perhatikanlah olehmu dan dengarlah agar aku dapat memberi pengertian kepadamu." Kemudian dia mencela dan menghina Islam.
Maka turunlah ayat di atas berkenaan dengan dirinya, yang memberi peringatan kepada Rasulullah akan adanya orang yang sesat dari jalan yang lurus. (Diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq dari Ibnu Abbas)
"Wahai orang yang telah diberikan Kitab, berimanlah kamu dengan apa yang telah Kami turunkan (al Quran), yang mengesahkan Kitab-kitab yang ada pada kamu, sebelum Kami menyeksa dengan menghapuskan bentuk muka kamu) sehingga berubah menjadi rata - tidak bermulut, berhidung dan bermata), lalu Kami menjadikannya sama seperti rupa sebelah belakangnya, atau Kami melaknatkan mereka sebagaimana Kami telah melaknatkan orang (dari kaum mereka - Yahudi) yang melanggar larangan bekerja pada hari Sabtu. Dan (ingatlah) perintah Allah itu tetap berlaku." (Surah an Nisaa': 4:47)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Pendeta Yahudi yang di antaranya ialah Abdullah bin Shuria dan Kaab bin Usaid: "Hai kaum Yahudi! Berbaktilah kepada Allah dan masuklah kalian semua dalam agama Islam, demi Allah sesungguhnya kalian pasti tahu apa yang aku bawa ini adalah benar." Kamudian mereka berkata: "Kami tidak tahu perkara itu wahai Muhammad."
Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 47) sebagai seruan untuk beriman kepada kitab yang diturunkan oleh Allah dan membenarkan dengan apa yang terkandung di dalam kitab mereka. (Diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq dari Ibnu Abbas)
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar. " (Surah an Nisaa': 4: 48)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa seorang lelaki datang mengadap Rasulullah dan berkata: "Anak saudara saya tidak mahu meninggalkan perbuatan haram." Nabi bersabda: Apakah agamanya?" Dia menjawab: "Dia suka sembahyang dan Tauhid kepada Allah." Bersabdalah Nabi: "Suruhlah dia tinggalkan agamanya atau belilah agamanya!" Orang tersebut melaksanakan perintah Rasul tetapi anak saudaranya menolak tawaran itu, lalu dia kembali kepada Nabi dan berkata: "Saya mendapati bahawa dia sangat sayang kepada agamanya. "
Maka turunlah ayat di atas sebagai penjelasan bahawa Allah mengampuni segala dosa orang yang dikehendakiNya kecuali dosa syirik kepada Allah. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan At Thabarani dari Abi Ishaq al Anshari)
"Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau-dikurangkan balasan mereka) sedikitpun." . (Surah an Nisaa': 4:49)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa orang-orang Yahudi sangat mementingkan suruhan untuk anak-anak mereka menunaikan sembahyang dan berkorban. Ini kerana mereka menganggap bahawa dengan perbuatan itu bebaslah mereka dari kesalahan dan dosa. Maka penurunan ayat di atas adalah sebagai teguran kepada orang yang menganggap diri mereka bersih dengan perbuatan seperti itu. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Abbas)
(Diriwayatkan puia oleh Ibnu Jarirdari Ikrimah, Mujahid, Abi Malik dan yang lainnya)
"Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab (Taubat)? Mereka percaya kepada benda-benda yang disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut, dan mereka pula berkata kepada orang kafir (kaum musyrik di Mekah) bahawa mereka (kaum musyrik itu) lebih betul jalan agamanya daripada orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad, s. a. w.)."(Surah an Nisaa': 4: 51)
"(Kaum Yahudi yang demikian sikapnya) mereka itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah; dan sesiapa yang dilaknat oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati sesiapa pun yang boleh menolongnya." (Surah an Nisaa': 4: 52)
"Patutkah ada bagi mereka (kaum Yahudi itu) sesuatu bahagian dari kekuasaan memerintah? (Tidak, bahkan kalau ada) maka sudah tentu mereka tidak akan memberikan sedikitpun kebaikan kepada manusia." (Surah an Nisaa': 4: 53)
"Atau patutkah mereka dengki kepada manusia (Nabi Muhammad dan umatnya) disebabkan nikmat (pangkat Nabi dan agama Islam) yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka dari limpah kurniaNya? Kerana sesungguhnya Kami telah pun memberi kepada keluarga Ibrahim: Kitab (agama) dan hikmat (pangkat Nabi), dan Kami telah memberi kepada mereka kerajaan yang besar." (Surah an Nisaa': 4: 54)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika Kaab bin al Asyraf seorang Yahudi datang ke Mekah berkatalah orang Quraisy: "Tidakkah engkau lihat orang yang berpura-pura sabar dan terputus dari kaumnya dengan menganggap bahawa dirinya lebih baik daripada kami? Padahal kami menerima orang yang menunaikan haji, menjadi khadam Kaabah dan pemberi minum." Berkatalah Kaab: "Kamu lebih baik daripada dia (Muhammad)."
Maka turunlah ayat "innasya niaka huwalabtar"(Surah al Kautsar: 108: 3) dan ayat di atas (Surah an Nisaa': 4: 51-52). Ayat-ayat tersebut turun adalah berkenaan dengan mereka iaitu sebagai penjelasan tentang kedudukan mereka yang dilaknat oleh Allah. (K. Diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa orang yang menjadi penggerak penyatuan di antara kaum Quraisy, Qhatfan dan Bani Quraizah dalam perang Ahzab ialah Hay bin Akhtab, Salam bin Abil Haqiq, Abu Raff, ar Rabi bin Abil Haqiq, Abu Imarah dan Haudah bin Qais dari kaum Yahudi Bani Nadhir.
Ketika bertemu dengan kaum Quraisy mereka berkata: "Inilah pendeta-pendeta Yahudi dan Ahli llmu dari kitab yang terdahulu, kalian semua boleh bertanya kepada mereka apakah agama Quraisy yang lebih baik atau agama Muhammad?" Mereka menjawab: "Agama kalian semua adalah lebih baik daripada agama Muhammad dan kalian semua lebih mendapat petunjuk daripada Muhammad dan pengikutnya. "
Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 51-54) sebagai peringatan, teguran dan kutukan Allah kepada mereka. (Diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain ada juga dikemukakan bahawa ahli kitab pernah berkata: "Muhammad menganggap bahawa dirinya adalah seorang yang rendah diri telah diberi kenabian, al Quran dan kemenangan sebagaimana yang telah diberikan kepada Nabi-nabi terdahulu, mempunyai sembilan orang isteri dan tidak ada yang dipentingkan kecuali kahwin. Raja mana yang lebih utama daripada anggapan seperti ini?"

54. atau Patutkah mereka dengki kepada manusia (Nabi Muhammad dan umatnya) disebabkan nikmat (pangkat Nabi dan ugama Islam) Yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka dari limpah kurniaNya? kerana Sesungguhnya Kami telahpun memberi kepada keluarga Ibrahim: Kitab (ugama) dan hikmat (pangkat Nabi), dan Kami telah memberi kepada mereka kerajaan Yang besar.(4:54)


Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 54) sebagai kejian terhadap sifat iri hati mereka. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari al Ufi dari Ibnu Abbas) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Saad dari Umar {Maula Afrah} seperti itu tetapi lebih panjang) "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat." (Surah an Nisaa': 4: 58)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa setelah Fathu Mekah Rasulullah s.a.w. memanggil Uthman bin Thalhah untuk meminta kunci Kaabah. Ketika Uthman datang mengadap Nabi untuk menyerahkan kunci itu, berdirilah Abbas lalu berkata: "Ya Rasulullah demi Allah, serahkan kunci itu kepadaku untuk menjaganya di bawah jabatan Siqayah (urusan pengairan)." Uthman menarik kembali tangannya.
Maka bersabdalah Rasulullah: "Berikanlah kunci itu kepadaku wahai Uthman!" Uthman berkata: "Inilah dia amanat dari Allah." Maka berdirilah Rasulullah membuka Kaabah dan terus keluar untuk thawaf di Baitullah.
Kemudian turunlah Jibril membawa perintah supaya kunci itu diserahkan kembali kepada Uthman. Rasulullah melaksanakan perintah tersebut sambil membaca ayat ini (Surah an Nisaa': 4:58). (Diriwayatkan oleh Ibnu Marduwaih dari al Kalbi dari Abi Salleh dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa penurunan ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 58) adalah berkenaan dengan Uthman bin Thalhah. Pada ketika itu Rasulullah mengambil kunci Kaabah daripadanya pada Fathu Mekah. Dengan kunci itu Rasulullah masuk ke dalam Kaabah.
Pada waktu keluar dari Kaabah baginda membaca ayat ini dan kemudian memanggil Uthman untuk menyerahkan kembali kunci tersebut. Menurut Umar bin Khattab, ayat ini (Surah an Nisaa': 4:58) turun di dalam Kaabah kerana pada waktu itu Rasulullah keluar dari Kaabah dan membaca ayat ini dan Umar bersumpah bahawa dia belum pernah mendengar ayat ini sebelum itu. (Diriwayatkan oleh Syu'bah di dalam tafsirnya dari Hajaj dari Ibnu Juraij)
"Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka handaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al Quran) dan (Sunnah) RasulNya -jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. " (Surah an Nisaa': 4: 59)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa penurunan ayat di atas adalah berkenaan dengan Abdullah bin Hudzafah bin Qais yang pada ketika telah diutuskan oleh Nabi s.a.w. untuk memimpin suatu pasukan. (Diriwayatkan oleh al Bukhari dan perawi lainnya dari Ibnu Abbas dengan riwayat yang ringkas)
KETERANGAN
Menurut pendapat Imam ad Dawudi riwayat tersebut menyalah gunakan nama Ibnu Abbas kerana cerita mengenai Abdullah bin Hudzafah itu adalah sebagai berikut: "Ketika Abdullah marah kepada pasukannya, dia menyalakan unggun api dan memerintahkan pasukannya untuk terjun ke dalam api tersebut. Pada waktu itu, sebahagian diantara mereka menolak dan sebahagian lagi hampir melakukan apa yang diperintahkan."
Sekiranya ayat ini turun sebelum kisah Abdullah bin Hudzafah mengapa ayat ini dikhususkan untuk mentaati Abdullah sahaja sedangkan pada lain tidak. Akan tetapi jika ayat ini turun selepas peristiwa tersebut, maka berdasarkan kepada hadis yang telah mereka ketahui, perkara yang wajib ditaati adalah di dalam perkara maaruf (Kebaikan) dan tidak boleh dikatakan kepada mereka mengapa tidak taat.
Manakala menurut pendapat Ibnu Hajar peristiwa Abdullah bin Huzaifah ini boleh dijadikan alasan munasabah berhubung sebab penurunan ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 59) kerana di dalam kisah ini dituliskan adanya batasan untuk taat kepada pemimpin dan menolaknya dengan tidak terjun ke dalam api. Sesungguhnya pada waktu itu mereka memerlukan petunjuk dengan apa yang harus mereka lakukan.
Maka penurunan ayat ini (Surah an Nisaa': 4:59) memberi petunjuk kepada mereka, apabila mereka berbantah-bantahan hendakiah kembali kepada Allah dan RasulNya.
Menurut pendapat Ibnu Jarir, penurunan ayat ini (Surah an Nisaa': 4:59) adalah berkenaan dengan Ammar bin Yasir yang melindungi seorang tawanan tanpa perintah dari Panglimanya (Khalid bin Walid) sehingga mereka berselisih faham.
"Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya." (Surah an Nisaa': 4: 60)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa seorang pendeta Yahudi yang bernama Abu Barzah al Aslami biasa mengadili kaumnya dan menyelesaikan perselisihan di antara mereka. Pada suatu hari, datanglah kaum Muslimin meminta bantuan untuk menyelesaikan masalah mereka.
Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa':4: 60) sebagai teguran kepada kaum Muslimin yang meminta bantuan penyelesaian daripada thaghut. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan atThabarani dengan sanad yang sahih dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Jallas bin ash Shamit, Muthib bin Qusyair, Rafi' bin Zaid dan Basyar mengaku bahawa mereka beragama Islam. Akan tetapi mereka menolak apabila orang Islam mengajak mereka meminta bantuan daripada Rasulullah untuk menyelesaikan perselisihan di antara mereka malahan mengajak kaum Muslimin meminta bantuan daripada pendeta-pendeta mereka.
Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah an Nisaa': 4:60) sebagai larangan daripada meminta diadili oleh hakim-hakim thaghut. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Ikrimah atau Said dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa seorang Yahudi berselisih faham dengan seorang munafik. Oleh yang demikian Yahudi tersebut mencadangkan supaya mereka meminta bantuan daripada Rasulullah untuk menyelesaikan perselisihan tersebut kerana mereka tahu bahawa Nabi tidak akan menerima rasuah atau sogokan. Akan tetapi akhirnya mereka bersepakat dan memutuskan untuk meminta bantuan daripada seorang pendeta di Juhainah.
Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 60) sebagai satu kejian terhadap perbuatan munafik tersebut. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari as Syu'bi)
"Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya." (Surah an Nisaa': 4: 65)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Zubair pernah berselisih faham dengan seorang Ansar mengenai pengairan air di kebun. Kemudian Rasulullah bersabda: "Hai Zubair salurkan air itu ke dalam kebunmu dahulu, kemudian salurkan pula kepada kebun jiranmu." Berkatalah orang Ansar itu: "Ya Rasulullah! Kerana dia adalah anak kepada ibu saudaramu." Maka muka Rasulullah menjadi merah padam kerana menahan marah, lalu baginda bersabda: "Siramilah kebunmu Hai Zubair hingga terendam pematangnya, kemudian berikan air itu kepada jiranmu."
Oleh itu, Zubair dapat memanfaatkan air itu dengan sepuas-puasnya dan bersesuaian dengan ketentuan Rasulullah yang telah diberikan kepada keduanya. Kemudian Zubair berkata: "Saya anggap ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 65) diturunkan berkenaan dengan peristiwa ini." (Diriwayatkan oleh Imam yang Enam dari Abdullah bin Zubair)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Zubair mengadu kepada Rasulullah mengenai pertengkarannya dengan seseorang. Kemudian Rasulullah memutuskan bahawa Zubair yang menang. Maka orang itu berkata: "Dia memutuskan demikian kerana Zubair adalah anak kepada ibu saudaranya." Maka turunlah ayat di atas sebagai penjelasan bahawa seseorang yang beriman hendaklah tunduk dan patuh kepada keputusan Allah dan RasulNya. (Diriwayatkan oleh at Thabarani di dalam kitabnya al Kabirdan al Humaidi di dalam musnadnya dari UmmuSalamah)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa penurunan ayat ini adalah berkenaan dengan Zubair bin Awwam yang telah bertengkar dengan Hatib bin Abi Baltaah mengenai pengairan air ke dalam kebun. Rasulullah memutuskan agar kebun yang ada di hulu disalurkan air terlebih dahulu daripada yang di hilirnya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Said bin al Musayyab)
Dalam riwayat lain, ada juga dikemukakan bahawa dua orang telah datang mengadu kepada Rasulullah untuk diselesaikan masalah mereka. Setelah Rasulullah menetapkan keputusannya, salah seorang di antaranya merasa tidak puas hati dan mereka pergi berjumpa dengan Umar pula. Ketika berjumpa Umar salah seorang daripadanya berkata: "Rasulullah s.a.w. telah memberi kemenangan kepadaku terhadap orang ini, akan tetapi dia tidak berpuas hati dan minta diadili pula oleh tuan. "Maka Umar berkata: "Apakah betul demikian? Tunggulah kalian berdua sampaiku datang untuk kuputuskan hukuman ke atas kalian berdua."
Tidak berapa lama kemudian Umar datang dengan membawa pedang yang terhunus dan memukul orang yang minta diadili sekali lagi olehnya lalu membunuhnya.
Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 65) sebagai penjelasan bahawa orang beriman hendaklah mentaati keputusan Allah dan RasulNya. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan Ibnu Marduwaih dari Abi Aswad) (Hadis ini adalah Mursal dan gharib dan dalam sanadnya terdapat seorang yang bernama Ibnu Luhaiah. Hadis ini dikuatkan lagi oleh riwayat Rahim dalam tafsirnya dari Uthbah bin Dlamrah dari Bapanya)
"Dan sesungguhnya kalau Kami wajibkan kepada mereka (dengan perintah): "Bunuhlah diri kamu sendiri, atau keluarlah dari tempat kediaman kamu, " nescaya mereka tidak akan melakukannya, kecuali sedikit di antara mereka. Dan sesungguhnya kalau mereka amalkan nasihat pengajaran (meliputi suruh dan tegah) yang telah diberikan kepada mereka, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih meneguhkan (iman mereka). " (Surah an Nisaa': 4: 66)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika turun ayat "walau anna katabna sehingga ilia qalilun minhum" (Surah an Nisaa': 4: 66), Thabit bin Qais dan seorang Yahudi saling menyombongkan diri di antara satu sama lain dengan ucapan masing-masing: "Demi Allah, Allah telah mewajibkan kepada kami untuk membunuh diri dan kami kaum Yahudi telah melaksanakannya terlebih dahulu."
Kemudian Thabit berkata: "Demi Allah sekiranya Allah mewajibkan kepada kami untuk membunuh diri, pasti kami akan melaksanakannya. "
Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah an Nisaa’ : 4: 66) sebagai penjelasan agar melaksanakan tuntutan al Quran yang telah diberikan kepada mereka. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari as Suddi)
"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang Siddiqiin, dan orang yang syahid, serta orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang yang taat). " (Surah an Nisaa': 4: 69)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa seorang lelaki datang mengadap Rasulullah dan berkata: "Ya Rasulullah! Aku mencintai tuan lebih daripada aku mencintai diriku dan anakku sendiri. Dan jika aku sedang berada di rumah, aku selalu ingat kepada tuan dan tidak sabar untuk segera berjumpa dengan tuan. Dan sekiranya aku mengingati ajalku dan ajal tuan, aku yakin bahawa tuan akan diangkat bersama dengan Nabi-nabi di syurga. Apabila masuk syurga, aku takut jikalau aku tidak dapat bertemu dengan tuan. "
Maka Nabi terus terdiam dan tidak menjawab walaupun sedikit sehingga turun Jibril dengan membawa ayat di atas (Surah an Nisaa': 4: 69) sebagai janji Allah kepada orang yang taat kepada Allah dan RasulNya. (Diriwayatkan oleh at Thabarani dan Ibnu Marduwaih dengan sanad la ba 'sabihi {tidak sahih dan tidak da if} dari Aisyah)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa para sahabat Nabi pernah berkata: "Ya Rasulullah, kami tidak mahu berpisah dengan tuan, tetapi di akhirat nanti tuan akan diangkat beserta dengan Nabi-nabi lain yang lebih tinggi darjatnya dari kami sehingga kami tidak dapat bertemu dengan tuan."
Penurunan ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 69) merupakan perjanjian Allah bahawa mereka akan digolongkan di dalam golongan orang yang diberi nikmat oleh Allah. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Masruq)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa seorang pemuda datang mengadap Nabi dan berkata: "Ya Nabiyullah, sesungguhnya kami dapat bertemu dengan tuan di dunia ini dan di akhirat kami tidak dapt bertemu dengan tuan kerana tuan berada pada darjat yang tertinggi di syurga."
Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah an Nisaa': 4:69). Kemudian Nabi bersabda: "Engkau besertaku di syurga Insya-Allah." (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Ikrimah) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Jarir dari Said bin Jubair, Masruq, ar Rabi, Qatadah, as Suddi, tetapi Mursal)
"Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang yang (pernah) dikatakan kepada mereka: "Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan perang yang belum diizinkan), dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat." (Mereka meminta juga hendak berperang), kemudian apabila mereka diperintahkan berperang, tiba-tiba sepuak di antara mereka merasa gerun kepada manusia sama seperti mereka merasa gerun kepada (azab) Allah atau lebih gerun lagi. Lalu mereka (merayu kepada Allah dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan kami berperang (pada saat ini)? Mengapa Engkau tidak biarkan kami hingga ke tempoh yang singkat (iaitu akhir hayat kami)?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Matabenda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang yang bertakwa (kerana la lebih mewah dan kekal selama-lamanya) dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun." (Surah an Nisaa': 4: 77)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Abdur Rahman bin Auf dan kawan-kawannya datang mengadap Nabi s.a.w. dan berkata: "Ya Nabiyullah! Dahulu ketika kami di Mekah, pada masa itu kami adalah musyrik dan kami merasa mulia dan berani tetapi kini setelah kami beriman kami menjadi hina." Nabi menjawab: "Dahulu aku diperintahkan agar bertoleransi dan dilarang untuk memerangi mereka yang musyrik. Akan tetapi setelah berhijrah ke Madinah, kaum Muslimin diperintahkan untuk berperang tetapi Abdur Rahman dan kawan-kawannya enggan."
Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 77) sebagai pemberi semangat untuk turut serta berjihad. (Diriwayatkan oleh an Nasai dan al Hakim dari Ibnu Abbas) "Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu." (Surah an Nisaa': 4: 83)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika Nabi beruzlah iaitu menjauhi isteri-isterinya, Umar bin Khattab masuk ke dalam masjid. Sesungguhnya pada ketika itu orang-orang di dalam masjid sedang kebingungan sambil menceritakan bahawa Rasulullah telah menceraikan isteri-isterinya. Umar berdiri di pintu masjid dan menjerit: "Sesungguhnya Rasulullah tidak menceraikan isterinya dan aku telah mengkajinya dengan teliti. "
Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4:83) berhubung dengan peristiwa di atas sebagai larangan supaya tidak menyiarkan sesuatu berita sebelum diselidiki terlebih dahulu. (K. Diriwayatkan oleh Muslim dari Umar bin Khattab)
"Maka apakah yang menyebabkan kamu (berpecah) menjadi dua golongan terhadap kaum munafik itu, padahal Allah telah menjerumuskan mereka (ke dalam kekufuran) disebabkan apa yang telah mereka usahakan? Adakah kamu pula hendak memberi petunjuk kepada orang-orang yang telah disesatkan oleh Allah? Padahal sesiapa yang telah disesatkan oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk menyelamatkannya. " (Surah an Nisaa': 4: 88)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika berlangsungnya perang Uhud, sebahagian daripada pasukannya kembali ke Madinah. Maka timbullah dua pendapat di kalangan para sahabat dengan sebahagian di antara mereka berkata agar dibunuh sahaja orang yang mengundurkan diri itu dan sebahagian daripadanya melarang untuk berbuat demikian. Maka Allah menurunkan ayat di atas sebagai teguran supaya jangan berselisih faham dalam menghadapi kaum munafik yang telah jelas kekufurannya. (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dan yang lainnya dari Zaid bin Thabit)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ketika Rasulullah menyampaikan khutbah dan di antaranya baginda bersabda: "Siapakah yang akan menjadi pembelaku terhadap orang yang berbuat jahat dan berkomplot merencanakan kejahatan terhadapku?" Berkatalah Saad bin Muaz: "Jikalau dia dari golonganku (Aus) kami akan membasminya, dan jika dia dari kalangan Khazraj, maka tuan perintahkan kepada kami dan kami akan melaksanakannya." Berdirilah Saad bin Ubadah dari Bani Khazraj dan berkata: Apakah urusanmu yang kau sebut-sebut taat kepada Rasulullah hai Ibnu Muaz, padahal engkau tahu bahawa ia bukan urusanmu sahaja. "Kemudian berdirilah Usaid bin Khudhair dan berkata: "Apakah engkau ini seorang munafik dan mencintai orang-orang munafik hai Ibnu Ubadah?" Berdirilah Muhammad bin Muslimah dan berkata: "Diamlah kalian, sesungguhnya di hadapan kita ada Rasulullah dan baginda berhak memberi perintah dan kita adalah pelaksananya."
Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 88) sebagai teguran agar kaum Muslimin tidak berselisih faham di dalam menghadapi kaum munafik. (K. Diriwayatkan oleh Said bin Mansurdan Ibnu Abi Hatim dari Saad bin Muaz)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa terdapat sekumpulan bangsa Arab datang mengadap Rasulullah di Madinah dan mereka memeluk Islam. Kemudian mereka terkena wabak demam di Madinah lalu pulang dan mereka kembali kufur.
Dalam perjalanan ketika pulang dari Madinah mereka bertemu dengan satu rombongan para sahabat dan mereka bertanya: "Mengapa kalian semua pulang?" Mereka menjawab: "Kami diserang oleh wabak demam di Madinah." Para sahabat bertanya lagi: "Apakah kalian semua tidak mendapat contoh tauladan yang baik daripada Rasulullah?"Maka berkatalah sebahagian daripada sahabat: "Mereka ini telah munafik." Akan tetapi sebahagian di antara mereka menyangkalnya. Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 88) sebagai peringatan untuk tidak berselisih faham di dalam menghadapi kaum munafik. (Diriwayatkan oleh Ahmad dari Abdur Rahman bin Auf. Di dalam sanadnya terdapat tadlis {dipalsukan} dan inqitha {terputus})
"Kecuali orang yang pergi (meminta perlindungan) kepada suatu kaum yang ada ikatan perjanjian setia antara kamu dengan mereka, atau orang yang datang kepada kamu sedang hati mereka merasa berat hendak memerangi kamu atau memerangi kaumnya. Dan jika Allah menghendaki, nescaya la menjadikan mereka berkuasa melawan kamu, kemudian tentulah mereka memerangi kamu. Dalam pada itu, jika mereka membiarkan kamu (dengan tidak mengancam atau menganggu), serta mereka tidak memerangi kamu dan mereka menawarkan perdamaian kepada kamu, maka Allah tidak menjadikan bagi kamu sesuatu jalan (yang membolehkan kamu memerangi atau menawan) mereka. " (Surah an Nisaa': 4: 90)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Suraqah bin Malik al Mudlaji telah bercerita bahawa ketika Nabi s.a.w. mendapat kemenangan di dalam perang Badar dan perang Uhud serta orang-orang di sekitar Madinah masuk Islam, dia mendengar berita bahawa Nabi akan mengirim pasukan Khalid bin Walid kepada kaumnya (Bani Mudlaj).
Kemudian dia datang mengadap Rasulullah dan berkata: "Saya memohon perlindungan daripada tuan dengan bersungguh-sungguh untuk diadakan perdamaian dengan kaumku. Ini kerana aku telah mendengar berita bahawa tuan akan mengirim pasukan kepada mereka. Sekiranya kaum Quraisy tunduk, maka kaumku pun akan tunduk dan masuk Islam. Akan tetapi jika mereka belum tunduk pasti kaum Quraisy akan menyerang dan mengalahkan kaumku."Kemudian Rasulullah s.a.w. memegang tangan Khalid bin Walid lalu bersabda: "Berangkatlah dengan orang ini dan lakukan apa yang dikehendakinya."Selepas itu, Khalid membuat perdamaian dengan mereka supaya tidak bersekutu di dalam memerangi Rasulullah dan akan tunduk apabila kaum Quraisy telah tunduk.
Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa':4: 90) berhubung dengan peristiwa tersebut yang melarang kaum Muslimin memerangi orang-orang yang telah membuat perdamaian dengan mereka. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan Ibnu Marduwaih dari al Hasan)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa penurunan ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 90) adalah berhubung dengan kisah Hilal bin Uwaimir al Aslami, Suraqah bin Malik al Mudlaji dan Bani Judzaimah bin Amir bin Abdi Manaf yang telah mengadakan perdamaian dengan Nabi s.a.w. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa penurunan ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 90) adalah berhubung dengan kisah Hilal bin Uwaimir al Aslami yang telah mengadakan perjanjian dengan kaum Muslimin. Akan tetapi kaumnya ingin berperang. Manakala Uwaimir tidak menghendaki peperangan dengan kaum Muslimin ataupun memerangi kaumnya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi.Hatim dari Mujahid)
"Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, makca (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serfa membayar "diah" (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga simati), kecuali jika mereka sedekahkan kepada ahlinya (memaafkannya). Tetapi jika ia (yang terbunuh dengan tidak sengaja) dari kaum (kafir) yang memusuhi kamu, sedang ia sendiri beriman, maka (wajiblah sipembunuh membayar kaffarah sahaja dengan) memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dan jika ia (orang yang terbunuh dengan tidak sengaja itu) dari kaum (kafir) yang ada ikatan perjanjian setia di antara kamu dengan mereka, maka wajiblah membayar "diah" (denda ganti nyawa) kepada keluarganya serta memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dalam pada itu, sesiapa yang tidak dapat (mencari hamba yang akan dimerdekakannya), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut; (hukum yang tersebut) datangnya dari Allah untuk menerima taubat (membersihkan diri kamu). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Surah an Nisaa': 4: 92)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa al Harts bin Yazid dari suku Bani Amr bin Luay bersama Abu Jahal pernah menyeksa lyasy bin Abi Rabiah. Pada suatu hari al Harts berhijrah kepada Nabi s.a.w. dan bertemu dengan lyasy di kampung al Harrah. Kemudian lyasy mencabut pedangnya lalu membunuh al Harts. Selepas itu lyasy berjumpa dengan Rasulullah dan menceritakan kejadian tersebut.
Maka turunlah ayat di atas untuk menentukan hukuman bagi pembunuh yang keliru terhadap seorang mukmin. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Ikrimah) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Ishaq dan Abu Ya'la, al Harts bin Abi Usamah, Abu Muslim al Kaji dari
al Qasim bin Muhammad) (Diriwayatkan juga oleh Ibnu Abi Hatim dari Said bin Jubair dari Ibnu Abbas seperti peristiwa di atas)
"Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar." (Surah an Nisaa': 4: 93)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa penurunan ayat di atas adalah berhubung dengan kisah seorang Ansar yang membunuh saudara Miqyas bin Shahabah. Oleh itu, hukuman yang dikenakan kepada orang Ansar tersebut ialah dengan membayar diyat (denda) kepada Miqyas. Akan tetapi setelah dia menerima diyat tersebut, dia menerkam pembunuh adiknya lalu membunuhnya.
Maka Nabi s.a.w. bersabda: "Aku tidak menjamin keselamatan jiwanya, baik di bulan halal atau bulan haram." Miqyas terbunuh dalam peperangan Fathu Mekah.
Maka ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 93) merupakan asas kepada hukuman qisas. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Ibnu Juraij dari Ikrimah)
"Wahai orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi Salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): "Engkau bukan orang yang beriman," (lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya yang merupakan) matabenda kehidupan dunia (yang tidak kekal). (Janganlah kamu gelap mata kepada daki dunia itu) kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak. Demikianlah juga keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan kelslaman kamu dengan memberi salam atau mengucap Kalimah Syahadat), lalu Allah mengurniakan nikmatNya kepada kamu. Oleh itu selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu, dan janganlah bertindak dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa Memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan." (Surah an Nisaa': 4: 94)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa seorang lelaki dari Bani Sulaim yang menunggang kambing biri-birinya bertemu dengan sekumpulan sahabat Nabi pada pertengahan jalan. Kemudian dia memberi salam kepada mereka. Mereka berkata: "Dia memberi salam dengan maksud untuk menyelamatkan diri dari kita." Oleh itu mereka mengepung lalu membunuhnya. Kemudian mereka membawa kambing biri-birinya kepada Rasulullah s.a.w. Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 94) sebagai teguran supaya berhati-hati dalam melaksanakan sesuatu hukum. (Diriwayatkan oleh al Bukhari, Tirmizi, al Hakim, dan selainnya dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah mengirim satu pasukan tentera yang di dalamnya disertai oleh al Miqdad. Ketika mereka sampai pada tempat yang dituju, kesemua penduduknya telah lari kecuali seorang yang kaya raya. Pada ketika itu juga dia mengucap dua kalimat syahadah "Asyhadu alia ilaha illallah." Akan tetapi orang itu dibunuh oleh al Miqdad. Kemudian Rasulullah bersabda kepada Miqdad: "Bagaimana tanggunggjawabmu di akhirat kelak dengan ucapan "La ilaha illallah." Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 94) sebagai teguran akan tindakan yang terburu-buru di dalam melaksanakan sesuatu hukuman. (Diriwayatkan oleh al Bazzar dari riwayat lain dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa Rasululalh s.a.w. telah mengutus satu pasukan tentera yang di antaranya terdapat Abu Qatadah dan Muhlim bin Yutsarnah. Dalam perjalanan mereka bertemu dengan Amr bin al Adibath al Asyja'i yang memberi salam kepada mereka. Akan tetapi Muhlim telah membunuh orang yang memberi salam tersebut. Oleh itu, kejadian ini telah diceritakan kepada Rasulullah.
Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 94) berdasarkan kepada peristiwa di atas.
(Diriwayatkan oleh Ahmad dan at Thabarani dan yang lainnya dari Abdullah bin Abi Hadrad alAslami) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Juraij dari Ibnu Umar seperti riwayat di atas) Dalam riwayat lain juga ada dikemukakan bahawa nama orang yang dibunuh itu adalah Mirdas bin Nahiq dari golongan Fadaq. Manakala pembunuhnya ialah Usamah bin Zaid dan nama pemimpin pasukan tentera pada waktu itu ialah Ghalib bin Fudhalah al Laitsi.
Dalam riwayat tersebut ada dikemukakan bahawa ketika kaum Mirdas melarikan diri, tinggallah Mirdas seorang diri yang sedang mengiringi kambingnya menuju ke atas gunung. Ketika orang Islam menyusulinya, dia mengucapkan: "La ilaha illallah, Muhammad Rasulullah, Assalamualaikum." Akan tetapi dia telah dibunuh oleh Usamah bin Zaid.
Pada ketika mereka pulang, turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4:94) sebagai teguran akan tindakan yang terburu-buru. (Diriwayatkan oleh at Tsa'labi dari al Kalbi dari Abi Salleh dari Ibnu Abbas) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Jarir dari as Suddi dan Ab'd dari Qatadah)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa penurunan ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 94) adalah berhubung dengan peristiwa Mirdas. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Luhaiah dari Abi Zubair dari Jabir. Hadis ini adalah sebagai penguat kepada hadis yang bertingkat hasan)
Dalam riwayat lain juga ada dikemukakan bahawa Qidad dari Yaman telah diutuskan untuk berjumpa dengan Nabi. Dalam perjalanan dia bertemu dengan satu pasukan kaum Muslimin dan dia berkata: "Saya seorang Mukmin." Akan tetapi mereka tidak mengakui keimanannya lalu membunuhnya.
Peristiwa itu sampai kepada pengetahuan saudaranya (Juz'in bin al Hadrajan) lalu dia datang mengadap Rasululah s.a.w. Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 94) dan kemudian Rasulullah membayar diyat kepadanya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Mandah dari Juz'in bin al Hadrajan)
"Tidaklah sama keadaan orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang yang beriman selain daripada orang yang keuzuran dengan orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar." (Surah an Nisaa': 4: 95)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika turun ayat "La yastawil qa'iduna minal mu'minima" (Surah an Nisaa': 4: 95) bersabdalah Nabi s.a.w: Panggillah si Fulan." Maka datanglah dia dengan membawa kertas dan alat tulisnya. Kemudian Rasulullah bersabda lagi: "Tulislah "La yastawil qa'iduna minal mu'minina." Sesungguhnya di belakang Rasulullah terdapat Ibnu Ummi Maktum. Lalu dia berkata: "Ya Rasulullah saya buta." Maka turunlah ayat yang selanjutnya "ghairu uliddharari" sehingga akhir ayat sebagai pengecualian terhadap orang yang berhalangan atau darurat. (Diriwayatkan oleh al Bukhari dari al Barra) (Diriwayatkan oleh al Bukhari dan yang lainnya dari Zaid bin Thabit dan at Thabarani dari Zaid bin Arqam dan Ibnu Hibban dari al Falatan bin Ashim seperti riwayat di atas) (Diriwayatkan pula oleh at Tirmizi dari Ibnu Abbas dengan tambahan bahawa orang yang mengucapkan "saya buta" ialah Abdullah bin Jasyim dan Ibnu Ummi Maktum dalam kitab Turjumanil Quran) (Diriwayatkan juga oleh Ibnu Jarir dari pelbagai sumber dengan riwayat yang Mursal)
"Sesungguhnya orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: "Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?" Mereka menjawab: "Kami dahulu adalah orang yang tertindas di bumi." Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?" Maka orang yang demikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan Neraka Jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali." (Surah an Nisaa': 4: 97)
"Kecuali orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum Jelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatujalan (untuk berhijrah)." (Surah an Nisaa': 4: 98)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa dalam pasukan musyrikin masih terdapat kaum Muslimin Mekah yang masih lemah Imannya yang turut serta berperang menentang Rasulullah sehingga mereka terbunuh akibat terkena pedang atau panah pasukan Rasulullah s.a.w.
Maka turunlah ayat di atas (Surah an Nisaa': 4: 97) sebagai penjelasan hukum bagi muslimin yang lemah imannya akan tetapi menganiayai diri mereka sendiri iaitu sebenarnya mereka mampu membela Islam tetapi tidak melakukannya. (Diriwayatkan oleh al Bukhari dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa nama orang-orang Islam yang menambah bilangan kaum musyrikin itu ialah Qais bin Walid bin Mughirah, Abu Qais bin al Faqih bin Mughirah, Walid bin Uthbah bin Rabi'ah, Amr bin Umayah bin Sufyan dan Ali bin Umayah bin Khalaf. Seterusnya riwayat itu ada mengemukakan bahawa peristiwa itu terjadi pada peperangan Badar. Pada masa itu mereka melihat bilangan orang Muslimin sangat sedikit dan timbullah keraguan di hati mereka lalu berkata: "Tertipu mereka dengan agamanya. Akhirnya orang-orang tersebut mati terbunuh dalam perang Badar. (Diriwayatkan oleh Ibnu Marduwaih)
Menurut pendapat Ibnu Abi Hatim: Di antara orang-orang yang disebutkan dalam hadis di atas termasuk juga al Harts bin Zam'ah bin al Aswad dan al Ash bin Munabbih bin al Hajjaj.
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ketika segolongan orang-orang Mekah telah memeluk Islam dan Rasulullah diperintahkan untuk berhijrah mereka enggan untuk ikut serta dan takut untuk berhijrah.
Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah an Nisaa': 4:97-98) sebagai ancaman dan hukuman bagi mereka yang enggan dan takut untuk memisahkan diri dari kaum yang memusuhi agama, kecuali bagi orang yang tidak berdaya. (Diriwayatkan oleh at Thabarani dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa terdapat segolongan orang Mekah yang telah memeluk Islam tapi menyembunyikan kelslamannya. Pada waktu perang Badar mereka telah dipaksa untuk menyertai kaum Quraisy berperang melawan Rasulullah sehingga ramai yang mati terbunuh. Berkatalah kaum Muslimin Madinah: "Mereka itu adalah orang-orang Islam, tetapi dipaksa untuk berperang. Oleh itu kita hendaklah meminta ampun untuk mereka."
Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 97). Kemudian mereka menulis surat kepada kaum muslimin yang masih tinggal di Mekah berpandukan ayat yang telah diturunkan. Oleh itu tidak ada alasan lagi bagi mereka untuk tidak berhijrah. Kemudian mereka berhijrah ke Madinah tetapi dikejar dan dianiayai oleh kaum musyrikin sehingga akhirnya mereka terpaksa pulang kembali ke Mekah.
Maka turunlah ayat (Surah al 'Ankabut: 29:10) berhubung dengan peristiwa di atas sebagai teguran terhadap keluhan mereka yang menganggap bahawa seksaan yang dialami adalah merupakan azab daripada Allah.
Kemudian ayat ini juga dikirimkan kepada kaum Muslimin Mekah dan mereka merasa sedih. Maka turunlah ayat (Surah an Nahl: 16: 110) sebagai janji Allah untuk melindungi orang yang berhijrah dan bersabar.
Ayat ini juga dikirimkan kepada kaum Muslimin Mekah dan mereka berhijrah ke Madinah. Akan tetapi kaum musyrikin tetap mengejar mereka. Maka di antara mereka ada yang selamat dan ada juga yang terbunuh. (Diriwayatkan oleh Ibnu Munzirdan Ibnu Jarirdari Ibnu Abbas) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Jarir dari pelbagai jalan seperti itu)
"Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akcan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah an Nisaa': 4:100)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Dhamrah bin Jundab keluar dari rumahnya untuk berhijrah, lalu berkata kepada keluarganya: "Ikutlah saya berhijrah dari tanah Musyrikin ini menuju ke tempat Rasulullah s.a.w." Di pertengahan jalan sebelum sampai kepada Nabi dia telah meninggal dunia. Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4:100) sebagai janji Allah kepada orang-orang yang gugur di dalam melaksanakan perintah agama Allah. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan Abu Ya'la dengan sanad yang baik dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Abi Dlamrah az Zurqi termasuk di dalam golongan orang yang belum berhijrah dan masih tinggal di Mekah. Dia menerima berita tentang penurunan ayat (Surah an Nisaa': 4: 98), lalu berkata: "Aku cukup berada dan mampu. "Bersiap-siaplah dia untuk berhijrah menuju ke tempat Nabi di kampung Tan'im. Akan tetapi pada pertengahan jalan dia telah meninggal dunia.
Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4:100) yang menjelaskan kedudukan orang yang gugur di saat melaksanakan perintah tuhan. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Said bin Jubair)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa nama orang yang meninggal pada peristiwa hijrah tersebut ialah Dlamrah bin al Aish dan ada yang menyebutnya sebagai Aish bin Dlamrah, Jundab bin Dlamrah, al Junda'i, al Dlamari. Di samping itu ada yang mengatakan dia adalah seorang lelaki dari Bani Dlamrah, dari suku Khuzaah, dari Bani Laits, dari Bani Kinanah dan ada pula mengatakan dari Bani Bakr. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Said bin Jubair, Ikrimah, Qatadah, as Suddi, ad Dlahhak dan yang lain-lainnya)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa Jundub bin Dlamrah al Dlamari sedang sakit di Mekah dan dia berkata kepada anaknya: "Bawalah aku keluar dari Mekah ini kerana aku boleh mati dalam situasi kekalutan di tempat ini." Mereka berkata: "Ke mana boleh kami bawa engkau." Lalu dia memberi isyarat dengan tangannya menuju ke arah Madinah iaitu bermaksud untuk berhijrah.
Kemudian mereka membawanya ke Madinah. Akan tetapi apabila sampai di kampung Bani Ghifar dia meninggal dunia. Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 100) berhubung dengan peristiwa tersebut. (Diriwayatkan oleh Ibnu Saad di dalam kitab at Thabaqat dari Yazid bin Abdillah bin Qisth)
Dalam riwayat lain ada juga dikemukakan bahawa ketika Khalid bin Maram berhijrah ke Habsyah, dia telah digigit ular semasa dalam perjalanan lalu meninggal dunia. Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4:100) berhubung dengan peristiwa tersebut. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim, Ibnu Mandah dan al Barudi dari Hisyam bin Urwah dari bapanya dari az Zubair bin Awwam)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ketika berita tentang kerasulan Nabi s.a.w. sampai kepada pengetahuan Aktsam bin Shaifi dan dia berniat untuk mengunjungi Nabi. Akan tetapi niatnya telah dihalang oleh kaumnya. Oleh itu dia telah memilih dua orang utusan untuk menyampaikan maksudnya kepada Nabi.
Berkatalah kedua orang utusan itu kepada Nabi: "Kami adalah utusan daripada Aktsam bin Shaifi yang ingin tahu siapa nama tuan, apakah kedudukan tuan dan apakah yang tuan bawa?" Nabi s.a.w. menjawab: "Saya Muhammad, anak Abdullah, hamba Allah dan RasulNya." Kemudian Nabi membaca ayat "innallaha ya'muru bil adli wal " sehingga akhir ayat (Surah an Nahl: 16: 90).

Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan Yang keji dan mungkar serta kezaliman. ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya. (Nahl:90)

Kemudian kedua utusan itu kembali kepada Aktsam dan menyampaikan apa yang telah diterangkan oleh Nabi kepada Aktsam. Lalu Aktsam berkata: "Hai kaumku! Sesungguhnya dia menyuruh kita berbudi tinggi dan melarang berakhlak rendah. Jadilah kalian semua perintis untuk berbudi luhur dan janganlah jadi pengikut sahajalah." Selepas itu, dia berangkat dengan menaiki unta menuju ke Madinah, tetapi ketika dalam perjalanan dia meninggal dunia.
Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4:100) berhubung dengan peristiwa tersebut. (Diriwayatkan oleh al Umawi di dalam kitab Maghazinya dari Abdul Malik bin Umair. Hadis ini adalah Mursal dan sanadnya adalah daif)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ketika Ibnu Abbas ditanya mengenai ayat ini, dia menjawab: "Penurunan ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 100) adalah berhubung dengan peristiwa Aktsam bin Shaifi."
Kemudian ada yang bertanya lagi: "Bukankah ayat ini turun berkenaan dengan peristiwa al Laitsi?" Dia menjawab: "Ini terjadi beberapa lama sebelum peristiwa al Laitsi." Ayat-ayat ini boleh dikhususkan bagi peristiwa Aktsam dan juga peristiwa yang lain. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim di dalam kitabnya al Muammirin dari dua jalan dari Ibnu Abbas)

dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh Yang amat nyata bagi kamu. (Nisa’:101)

dan apabila Engkau (Wahai Muhammad) berada Dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu Engkau mendirikan sembahyang Dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak Yang lain (yang kedua) Yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing. orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya Dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai Dengan serentak. dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu Yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa Yang amat menghina.

kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada Dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan Yang Diwajibkan atas orang-orang Yang beriman, Yang tertentu waktunya. (an Nisa’:102-103)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa kaum Bani Najjar bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: "Kami selalu pergi berdagang, bagaimanakah dengan sembahyang kami?" Maka Allah menurunkan sebahagian daripada ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 101) yang membolehkan gasar sembahyang. Kemudian wahyu tentang ayat ini terputus sehingga "minas shalati. "
Di dalam suatu peperangan yang terjadi setelah turun ayat di atas, Rasulullah s.a.w. mendirikan sembahyang Zohor. Pada waktu itu kaum Musyrikin berkata: "Muhammad dan kawan-kawannya memberi kesempatan kepada kita untuk menyerang dari belakang, tidakkah kita boleh memperhebatkan serbuan kepada mereka sekarang ini." Akan tetapi berkatalah yang lainnya: "Sebaiknya kita ambil kesempatan pada waktu lain kerana mereka akan melakukan perbuatan yang serupa pada tempat yang sama." Maka Allah menurunkan wahyu di antara kedua waktu sambahyang ini iaitu di antara Zohor dan Asar sebagai sambungan kepada ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 101) iaitu "in khiftun" sehingga "adzaban muhina" (Surah an Nisaa': 4: 102). Kemudian Allah menurunkan ayat membolehkan sembahyang "solatkhauf (Surah an Nisaa': 4:103). (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Ali)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ketika Rasulullah s.a.w. bersama sahabatnya di Ashfan datanglah kaum musyrikin menyerbu mereka dan di antaranya terdapat Khalid bin Walid. Pada waktu itu mereka sedang mengadap ke arah kiblat. Kemudian Nabi mengimami sembahyang Zohor. Kaum musyrikin berkata: "Alangkah baiknya kalau kita dapat membunuh pimpinannya dalam keadaan demikian."Akan tetapi sebahagian yang lain pula berkata: "Sebentar lagi akan datang waktu sembahyang dan Sesungguhnya mereka lebih menyintai sembahyang daripada anak sendiri ataupun diri mereka sendiri."Lalu turunlah Jibril di antara waktu Zohor dan Asar dengan membawa ayat ini (Surah an Nisaa': 4:102). (Diriwayatkan oleh Ahmad dan al Hakim dan disahihkan oleh al Baihaqi di dalam kitabnya ad Dalail dari Ibnu lyasy az Zurqi) (Diriwayatkan pula oleh at Tirmizi dari Abi Hurairah) (Diriwayatkan juga oleh Ibnu Jarir dari Jabir bin Abdillah dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa penurunan ayat ini "inkana bikum adzam mimmatharin au kuntum mardha" adalah berkenaan dengan Abdur Rahman bin Auf yang sedang menderita akibat dari luka parah.
Maka ayat ini (Surah an Nisaa': 4:102) member peringatan kepada orang sakit yang luka parah dan tidak mampu untuk memegang senjata supaya tetap bersiap sedia untuk menghadapi musuh. (K. Diriwayatkan oleh af Bukhari dari Ibnu Abbas)
"Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab al Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahiNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang yang khianat." (Surah an Nisaa': 4:105)
"Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah; kerana Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah an Nisaa': 4:106)
"Dan janganlah engkau berbahas untuk membela orang yang mengkhianati diri mereka sendiri. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang selalu melakukan khianat, lagi sentiasa berdosa." (Surah an Nisaa': 4: 107)

(surah al Nisa’:108. mereka menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada manusia, Dalam pada itu mereka tidak menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada Allah. padahal Allah ada bersama-sama mereka, ketika mereka merancangkan pada malam hari, kata-kata Yang tidak diredhai oleh Allah. dan (ingatlah) Allah sentiasa meliputi pengetahuannya akan apa Yang mereka lakukan.

(surah al Nisa’:109. Sedarlah! kamu ini adalah orang-orang (yang telah menyimpang dari kebenaran), kamu telah berhujah membela mereka (yang bersalah) Dalam kehidupan dunia ini, maka siapakah Yang akan berhujah kepada Allah untuk membela mereka itu pada hari kiamat kelak? atau siapakah Yang akan menjadi Pelindung mereka (dari azab seksa Yang disediakan oleh Allah)?

(surah al Nisa’:110. dan sesiapa Yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(surah al Nisa’:111. dan sesiapa Yang mengerjakan sesuatu dosa maka Sesungguhnya ia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri. dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

(surah al Nisa’:112. dan sesiapa Yang melakukan suatu kesalahan atau suatu dosa, kemudian ia menuduhnya kepada orang Yang tidak bersalah, maka Sesungguhnya ia telah memikul kesalahan berbuat dusta, dan melakukan dosa Yang amat nyata.

(surah al Nisa’:113. dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepadamu (Wahai Muhammad), nescaya berhasilah cita-cita segolongan dari mereka Yang bertujuan hendak menyesatkanmu, padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri; dan juga mereka tidak akan dapat mendatangkan mudarat kepadamu sedikitpun; dan (selain itu) Allah telah menurunkan kepadamu Kitab (Al-Quran) serta Hikmah (pengetahuan Yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa Yang Engkau tidak mengetahuinya. dan adalah kurnia Allah Yang dilimpahkanNya kepada mu amatlah besar.

(surah al Nisa’:114. tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang Yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. dan sesiapa Yang berbuat demikian Dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala Yang amat besar.

(surah al Nisa’:115. dan sesiapa Yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan Yang lain dari jalan orang-orang Yang beriman, Kami akan memberikannya Kuasa untuk melakukan (kesesatan) Yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke Dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

(surah al Nisa’:116. Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang Yang mempersekutukanNya Dengan sesuatu (Apa jua), dan akan mengampunkan Yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa Yang mempersekutukan Allah Dengan sesuatu (Apa jua), maka Sesungguhnya ia telah sesat Dengan kesesatan Yang amat jauh.

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa terdapat seorang munafik di antara ahli keluarga serumah Bani Ubairiq iaitu dari keluarga Bisyr dan Mubasyir. Namanya ialah Busyair yang hidupnya melarat semenjak zaman jahiliyah. Dia juga pernah menggubah syair untuk mencaci para sahabat Nabi dan menuduh bahawa syair itu adalah ciptaan orang lain.
Adapun makanan orang yang melarat ialah buah kurma dan kekacang yang didatangkan dari Madinah. Sedangkan makanan orang kaya ialah terigu.
Pada suatu ketika Rifa'ah bin Zaid bapa saudara kepada Qatadah membeli terigu sebanyak beberapa karung dan kemudian dia menyimpan terigu tersebut di dalam gudangnya iaitu tempat penyimpanan alatan perang, baju besi dan pedang. Pada waktu malam gudang tersebut telah dibongkar dan kesemua isinya dicuri.
Pada waktu pagi keesokan harinya Rifa'ah datang berjumpa dengan Qatadah dan berkata: "Wahai anak saudaraku! Pada malam tadi gudang kita telah dibongkar oleh orang dan makanan serta senjatanya telah dicuri."
Kemudian mereka pergi menyiasat dan bertanya di sekitar kampung itu dan ada orang mengatakan bahawa semalam Bani Ubairiq menyalakan api untuk memasak terigu iaitu makanan orang kaya. Berkatalah Banu Ubairiq: "Kami telah bertanya-tanya di sekitar kampung ini, demi Allah kami yakin bahawa pencurinya ialah Labib bin Sahl." Sesungguhnya Labib bin Sahl terkenal sebagai orang Muslim yang jujur.
Oleh itu, ketika Labib mendengar tuduhan Ubairiq lalu dia naik darah dan menarik pedangnya sambil berkata dengan marahnya: "Engkau menuduh aku mencuri? Demi Allah pedang ini akan ikut serta dalam perbicaraan kita sehingga terang dan jelas siapa si pencuri itu."
Kemudian Bani Ubairiq berkata: "Jangan berkata kami yang menuduhmu, sebenarnya bukanlah kamu pencurinya."
Maka berangkatlah Qatadah dan Rifa'ah meneliti dan bertanya-tanya di sekitar kampung itu sehingga mereka yakin bahawa pencurinya adalah Bani Ubairiq. Maka berkatalah Rifa'ah: "Wahai anak saudaraku, bagaimana sekiranya engkau pergi mengadap Rasulullah s.a.w. untuk menjelaskan mengenai perkara ini?"
Kemudian berangkatlah Qatadah untuk mengadap Nabi dan menceritakan bahawa ada sebuah keluarga yang tidak baik di kampung itu, iaitu pencuri makanan dan senjata kepunyaan bapa saudaranya. Akan tetapi bapa saudaranya hanya menghendaki senjata sahaja yang dikembalikan dan membiarkan makanan itu untuk mereka. Bersabdalah Rasulullah: "Saya akan menyiasat mengenai perkara ini."
Ketika Bani Ubairiq mendengar perkara itu, mereka datang berjumpa dengan salah seorang ahli keluarga Rifa'ah yang bernama Asir bin Urwah untuk menceritakan peristiwa itu. Maka berkumpullah orang-orang sekampungnya. Kemudian mereka datang mengadap Rasulullah dan berkata: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya Qatadah bin Nu'man dan bapa saudaranya telah menuduh seorang yang baik di antara kami mencuri tanpa buktiyang kukuh."
Ketika Qatadah berhadapan dengan Rasulullah, baginda telah menegurnya dengan bersabda: "Kau menuduh seorang Muslim yang jujur dan lurus mencuri tanpa sebarang bukti?" Kemudian Qatadah pulang untuk menceritakan perkara tersebut kepada bapa saudaranya. Berkatalah Rifa'ah: "Allahulmusta'anu"(Allah tempat kita berlindung).
Tidak lama kemudian turun ayat ini (Surah an Nisaa': 4:105) sebagai teguran kepada Nabi berhubung dengan pembelaannya terhadap Bani Ubairiq dan ayat (Surah an Nisaa': 4: 106-114) adalah berkenaan dengan ucapan Nabi s.a.w. terhadap Qatadah.
Kemudian Rasulullah membawa sendiri senjata yang hilang itu dan menyerahkannya kepada Rifa'ah. Manakala Busyair telah menggabungkan diri dengan kaum musyrikin dan menumpang kepada Sullafah binti Saad.
Maka Allah menurunkan ayat yang seterusnya (Surah an Nisaa': 4: 115-116) sebagai teguran kepada orang-orang yang menggabungkan diri dengan musuh setelah jelas kepadanya petunjukdari Allah. (Diriwayatkan oleh at Tirmizi dan al Hakim dan yang lainnya dari Qatadah bin Nu'man. Menurut al Hakim hadis ini adalah sahih berdasarkan kepada syarat Muslim)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Busyair bin al Harts membongkar gudang Rifa'ah bin Zaid (bapa saudara kepada Qatadah bin Nu'man) dan mencuri makanan serta dua perangkatan baju besi. Kemudian Qatadah datang mengadu kepada Nabi tentang peristiwa itu. Nabi bertanyakan tentang perkara ini kepada Busyair. Akan tetapi dia tidak mengaku malah menuduh Labib bin Sahl seorang bangsawan lagi hartawan yang mencuri.
Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 105) yang menjelaskan bahawa Busyair adalah pendusta sedangkan Labib adalah seorang yangbersih.
Selepas penurunan ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 105) dengan menunjukkan penipuan Busyair, lalu dia murtad dan lari ke Mekah dengan menggabungkan diri dengan kaum Musyrikin serta menumpang di rumah Sullafah binti Saad. Dia mencaci Nabi dan kaum Muslimin.
Maka turunlah ayat yang berikutnya (Surah an Nisaa" 4- 115) berhubung dengan peristiwa Busyair ini. 'Kemudian Hasan bin Thabit menggubah syair yang menyindir dia kembali pada bulan ke empat tahun empat hijrah (Diriwayatkan oleh Ibnu Saad di dalam kitab at Thabaqat dengan sanadnya dari Mahmud bin Labib)
"(Balasan yang baik yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata, dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Sesiapa yang melakukan kejahatan, ia akan dibalas dengan kejahatan itu, dan iapula tidak akan mendapat selain dari Allah seorangpun yang akan melindunginya dan tidak adajuga yang dapat menolongnya." (Surah an Nisaa': 4: 123)
"Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun." (Surah an Nisaa': 4:124)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa kaum Yahudi dan Nasrani berkata: "Tidak akan masuk syurga selain daripada kami." Dan kaum Quraisy pula berkata: "Kami tidak akan dibangkitkan dari kubur."Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah an Nisaa': 4:123) yang menjelaskan bahawa balasan dari Allah adalah bersesuaian dengan amalan masing-masing dan bukan menurut angan-angan mereka. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa kaum Nasara bersikap menyombong diri dengan kaum Muslimin dengan berkata: "Kami lebih mulia dari kalian semua." Kaum Muslimin pula berkata: "Kami lebih mulia dari kalian semua." Kemudian Allah menurunkan ayat ini (Surah an Nisaa': 4:123) sebagai penjelasan bahawa keutamaan yang diberikan bukanlah menurut angan-angan mereka, akan tetapi ia dibalas oleh Allah mengikut amalan yang telah dilakukan. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Masruq)
Menurut riwayat lain, orang yang saling menyombongkan diri itu adalah tokoh-tokoh agama. Dan ada juga riwayat yang mengatakan bahawa orang yang menyombongkan diri itu adalah Yahudi, Nasara dan orang Islam yang sedang duduk-duduk dan masing-masing saling menegaskan bahawa mereka lebih mulia di antara satu sama lain. Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 123) sebagai teguran kepada mereka. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Qatadah ad Dlahhak, as Suddi dan Abi Salleh)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa setelah turunnya ayat ini, (Surah an Nisaa': 4:123) ahli kitab iaitu Yahudi dan Nasara berkata kepada Kaum Muslimin: "Kami dan kalian semua adalah sama."Maka turunlah ayat yang seterusnya (Surah an Nisaa’: 4: 124) untuk menyangkal persamaan di antara kaum Yahudi dan Nasara dengan kaum yang beriman. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Masruq)
"Dan mereka meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hak dan kewajipan) kaum perempuan. Katakanlah olehmu: "Allah akan memberi keterangan (fatwa) kepada kamu mengenai mereka dan juga (ada difatwakan dalam) apa yang selalu dibacakan kepada kamu dalam Kitab (al Quran) ini mengenai perempuan-perempuan yatim yang kamu tidak memberi kepadanya apa yang telah ditetapkan menjadi hak mereka, dan yang kamu suka berkahwin dengan mereka; dan juga mengenai anak-anak yang lemah (yang masih kecil lagi). Dan (kamu juga diwajibkan) supaya menguruskan (hak dan keperluan) anak-anak yatim dengan adil. Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu lakukan (kepada mereka), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya." (Surah an Nisaa': 4:127)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa seorang lelaki yang merupakan waris dan wali kepada seorang anak yatim perempuan telah menggabungkan kesemua hartanya dengan harta anak yatim tersebut sehingga kepada sekecil-sekecil barang. Malahan dia merasa untuk mengahwini anak yatim tersebut dan tidak mahu untuk menikahkan anak itu dengan orang lain kerana ditakuti harta bendanya akan jatuh ke tangan orang lain. Dengan kata lain anak itu dilarang berkahwin sama sekali.
Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4:127) yang menjelaskan bagaimana seharusnya untuk mengurus anak yatim. (Diriwayatkan oleh Bukhari dari Aisyah)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa Jabir mempunyai seorang saudara sepupu wanita yang rupanya tidak cantik tetapi mempunyai harta pusaka warisan dari ayahnya. Sesungguhnya, Jabir sendiri enggan berkahwin dengannya dan dia juga tidak mahu mengahwinkan perempuan tersebut dengan orang lain kerana takut harta tersebut jatuh ke tangan orang lain dengan dibawa oleh suaminya. Kemudian dia bertanya kepada Rasulullah mengenai perkara ini.
Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4:127) sebagai petunjuk kepada mereka yang menguruskan anak yatim. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari as Suddi)

Al nisa’:127. dan mereka meminta fatwa kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hak dan kewajipan) kaum perempuan. Katakanlah olehmu: "Allah akan memberi keterangan (fatwa) kepada kamu mengenai mereka dan juga (ada difatwakan dalam) apa Yang selalu dibacakan kepada kamu Dalam Kitab (Al-Quran) ini mengenai perempuan-perempuan yatim Yang kamu tidak memberi kepadanya apa Yang telah ditetapkan menjadi hak mereka, dan Yang kamu suka berkahwin Dengan mereka; dan juga mengenai anak-anak Yang lemah (yang masih kecil lagi). dan (kamu juga diwajibkan) supaya menguruskan (hak dan keperluan) anak-anak yatim Dengan adil. dan (ingatlah) apa jua kebaikan Yang kamu lakukan (kepada mereka), maka Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya."

"Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya "nusyuz" (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai); sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan) dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan." (Surah an Nisaa': 4:128)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika Saudah binti Za'mah sudah tua dan takut dicerai oleh Rasulullah s.a.w. lalu dia berkata: "Hari giliranku aku hadiahkan kepada Aisyah."
Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4:128) yang membenarkan tindakan seperti yang Siti Saudah lakukan. (Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al Hakim dari Aisyah) (Diriwayatkan pula oleh at Tirmizi dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa isteri kepada Rafi' bin Khudaij iaitu anak kepada Muhammad bin Muslimah merasakan bahawa dirinya kurang disayangi oleh suaminya kerana dia sudah tua ataupun kerana perkara lain. Oleh sebab itu, dia merasa bimbang dan takut akan diceraikan oleh suaminya. Berkatalah isterinya: "Janganlah menceraikan diriku dan engkau boleh datang kepadaku mengikut kehendak hatimu."
Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 128) sebagai petunjuk kepada kedua belah pihak untuk mengadakan persesuaian di dalam kehidupan berumah tangga. (Diriwayatkan oleh Said bin Mansur dari Said bin al Musayyab) (Bagi riwayat ini ada syahid yang mausul, yang dikemukakan oleh al Hakim dari Ibnu Musayyab dari Rafi1 bin Khudaij)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa penurunan ayat ini adalah berhubung dengan kisah seorang lelaki yang mempunyai isteri dan beranak ramai. Dia ingin menceraikan isterinya dan berkahwin dengan orang lain. Akan tetapi si isteri merelakan dirinya tidak mendapat giliran asalkan dirinya tidak diceraikan. Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 128) yang membenarkan perdamaian di dalam perhubungan suami isteri. (K. Diriwayatkan oleh al Hakim dari Aisyah)
Dalam riwayat lain ada juga dikemukakan bahawa ketika turun permulaan dari ayat ini, ada seorang wanita berkata kepada suaminya: "Saya redha jika mendapat nafkah sahaja daripadamu, walaupun tidak mendapat giliran asalkan saya tidak diceraikan." Maka turunlah ayat yang berikutnya dari ayat ini hingga akhir (Surah an Nisaa': 4:128) yang membenarkan perbuatan seperti itu. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Said bin Jubair)

An Nisa’:135. Wahai orang-orang Yang beriman! hendaklah kamu menjadi orang-orang Yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi Yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan.

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa penurunan ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 135) adalah berhubung dengan aduan yang telah dibuat oleh dua orang yang bergaduh, seorang kaya dan seorang lagi miskin.
Sesungguhnya Rasulullah telah membela orang yang fakir kerana baginda menganggap bahawa orang yang fakir tidak akan menzalimi orang kaya. Akan tetapi Allah tidak membenarkan tindakan Rasulullah dan memerintahkan agar Rasulullah menegakkan keadilan di antara kedua belah pihak. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari as Suddi)

Surah An Nisa’:148. Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk Yang dikatakan Dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang Yang dianiayakan. dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha mengetahui.

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa penurunan ayat di atas adalah berhubung dengan kisah seorang tetamu yang berkunjung ke rumah seseorang di Madinah. Akan tetapi dia diberi layanan yang buruk sehingga dia pindah dari rumah orang tersebut. Kemudian orang itu menceritakan apa yang berlaku kepada dirinya Kepada orang lain.
Maka penurunan ayat di atas adalah untuk membenarkan tindakan orang yang telah dizalimi untuk menceritakan apa yang berlaku keatas dirinya kepada orang lain. (Diriwayatkan oleh Hanad Ibnu Sirri dalam Kitabbuz Zuhdi dari Mujahid)

Surah an Nisa’:153. ahli Kitab (kaum Yahudi) meminta kepadamu (Wahai Muhammad) supaya Engkau menurunkan kepada mereka sebuah Kitab dari langit. (janganlah Engkau merasa pelik), kerana Sesungguhnya mereka telah meminta kepada Nabi Musa lebih besar dari itu. mereka berkata: "(Wahai Musa) Perlihatkanlah Allah kepada Kami Dengan nyata (supaya Kami dapat melihatnya dan percaya kepadaNya)". lalu mereka disambar oleh petir Dengan sebab kezaliman mereka (menderhaka kepada Allah); kemudian mereka pula menyembah (patung) anak lembu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (mukjizat), lalu Kami maafkan mereka dari perbuatan Yang sedemikian itu (ketika mereka bertaubat). dan Kami telah memberi kepada Nabi Musa kekuasaan Yang nyata (untuk mengalahkan kaum Yang kafir itu).

Surah an Nisa’:154. dan Kami telah mengangkat "Gunung Tursina" ke atas mereka disebabkan (Mereka ingkar akan) perjanjian setia mereka (mematuhi hukum-hukum Taurat), dan Kami perintahkan mereka: "Masuklah kamu melalui pintu (negeri) itu Dengan merendah diri" dan Kami juga perintahkan mereka: "Janganlah kamu melanggar perintah larangan Yang ditentukan pada hari Sabtu", dan Kami telah mengambil daripada mereka perjanjian setia Yang teguh (yang mewajibkan mereka mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya).

Surah an Nisa’:155. maka (Kami laknatkan mereka) Dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, dan mereka kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, dan mereka pula membunuh Nabi-nabi Dengan tiada sesuatu alasan Yang benar, dan mereka juga mengatakan: "Hati Kami tertutup (tidak dapat menerima ajaran Islam Yang dibawa oleh Nabi Muhammad)". (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup), bahkan Allah telah memeteraikan hati mereka disebabkan kekufuran mereka. oleh itu mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja (di antaranya).

Surah an Nisa’:156. demikian juga (Kami laknatkan mereka) dangan sebab kekufuran mereka dan tuduhan mereka terhadap Maryam (dengan tuduhan Yang amat dustanya.

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa orang-orang Yahudi datang mengadap Rasulullah s.a.w. dan berkata: "Sesungguhnya Musa telah membawa alwah (sepuluh perjanjian) dari Allah. Oleh itu, sekarang tuan datangkan alwah kepada kami agar kami percaya kepada tuan."Maka turunlah ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 153-156) yang menjelaskan bahawa kaum Yahudi pernah meminta sesuatu kepada Musa lebih daripada apa yang dimintanya sekarang. Akan tetapi mereka tetap ingkar setelah Allah mengabulkan permintaan mereka itu sehingga Allah melaknat mereka. Setelah mereka mendengar ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 153-156) berdirilah seorang Yahudi dan berkata: "Allah tidak menurunkan apa-apa kepadamu dan juga tidak menurunkan apa-apa. kepada Musa atau kepada Isa atau kepada sesiapa pun." Maka Allah menurunkan “Wama qadarullahu haqqa qadrihi" (Surah al An'aam: 6: 91) sebagai teguran di atas kelancangan mulut mereka. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarirdari Muhammad bin Kaab al Qurazhi)

An Nisa’:163. Sungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (Wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi Yang diutus kemudian daripadanya; dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta Nabi-nabi keturunannya, dan Nabi Isa, dan Nabi Ayub, dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman; dan juga Kami telah memberikan kepada Nabi Daud: Kitab Zabur.

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Adi bin Zaid berkata: "Kami tidak mendapat sebarang keterangan, apakah Allah telah menurunkan sesuatu kepada sesiapa selepas Musa." Maka turunlah ayat di atas (Surah an Nisaa': 4: 163) sebagai peringatan di atas pernyataan itu. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq dari Ibnu Abbas)

An Nisa’:166. (orang-orang kafir itu tidak mahu mengakui apa Yang telah diturunkan Allah kepadamu Wahai Muhammad), tetapi Allah sentiasa menjadi saksi akan kebenaran Al-Quran Yang telah diturunkanNya kepadamu. Allah menurunkannya Dengan ilmuNya, dan malaikat juga turut menjadi saksi. dan cukuplah Allah menjadi saksi (akan kebenaran Al-Quran ini).


Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika sekumpulan orang Yahudi datang mengadap Rasulullah, lalu baginda bersabda: "Demi Allah! Aku yakin Bahawa kalian semua tahu bahawa sesungguhnya aku adalah Rasulullah (utusan Allah). " Mereka berkata: "Kami tidak mendapat keterangan tentang perkara itu. "
Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 166) sebagai penjelasan bahawa kesaksian Allah dan MalaikatNya lebih menjamin kebenaran di atas keRasulannya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq dari Ibnu Abbas)

An Nisa’: 176. mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (Wahai Muhammad mengenai masalah Kalaalah). katakanlah: "Allah memberi fatwa kepada kamu di Dalam perkara Kalaalah itu, Iaitu jika seseorang mati Yang tidak mempunyai anak dan ia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu satu perdua dari harta Yang ditinggalkan oleh si mati; dan ia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta Yang di tinggalkan oleh si mati. dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan". Allah menerangkan (Hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat. dan (ingatlah) Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika Rasuluilah datang melawat Jabir yang sedang sakit, berkatalah Jabir: "Ya Rasuluilah! Bolehkan saya membuat wasiat dengan meninggalkan satu pertiga daripada hartaku kepada saudara-saudara perempuanku. "Kemudian Rasulullah bersabda: "Baik." Dia berkata lagi: "Kalau setengah bagaimana." Rasul menjawab: "Baik pula." Kemudian Rasulullah pulang. Akan tetapi tidak lama selepas itu, baginda datang semula ke rumah Jabir dan bersabda: "Aku rasa engkau tidak akan mati kerana penyakitmu ini dan sesungguhnya Allah telah menurunkan ayat kepadaku yang menjelaskan tentang pembahagian harta pusaka kepada saudara-saudara perempuan iaitu dua pertiga." (Diriwayatkan oleh an Nasai dari Abi Zubair dari Jabir)
KETERANGAN
Menurut pendapat al Hafiz Ibnu Hajar, riwayat Jabir ini bukanlah merupakan peristiwa yang telah dikemukakan dalam peristiwa turunnya ayat ini (Surah an Nisaa': 4:11-12).
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Umar pernah bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang pembahagian harta kepada waris kalalah. Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah an Nisaa': 4:176) sebagai petunjuk di dalam pembahagian harta. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Marduwaih dari Umar)
KETERANGAN

Jika kita perhatikan tentang apa yang telah diterangkan dari asbabun nuzul ayat-ayat di dalam surah ini, kita akan mendapati bahawa terdapat bantahan terhadap orang yang mengatakan bahawa surah ini adalah Makiyah (turun di Mekah).

2 comments: