Al Maidah:2. Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar ugama Allah, dan mengenai bulan-bulan Yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang Yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang Yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, Yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan Ibadat Haji di tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjid Al-Haraam itu - mendorong kamu menceroboh. dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya).
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa al Hathmu bin Hindun al Bakri datang ke Madinah dengan membawa kafilah yang penuh dengan barang makanan lalu memperdagangkannya. Kemudian dia datang mengadap Rasulullah untuk masuk Islam dan melakukan baiah (sumpah setia). Setelah dia pulang Nabi s.a.w. bersabda kepada orang-orang yang ada pada ketika itu: "Bahawa dia masuk ke sini dengan muka seorang jahat dan pulang dengan punggung pengkhianat."
Ketika orang itu sampai ke Yamamah, dia pun murtad dari agama Islam.
Pada suatu masa di bulan Zulkaedah dia berangkat dengan membawa kafilah yang penuh dengan barang makanan menuju ke Mekah. Oleh itu, apabila sahabat mendengar berita tentang kedatangannya ke Mekah, kaum Muhajirin dan Ansar bersiap sedia untuk menyekat kafilahnya. Akan tetapi turun ayat di atas yang melarang berperang pada bulan haram. Akhirnya pasukan tersebut tidak jadi untuk menyekat kafilah tersebut. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarirdari Ikrimah) (Diriwayatkan pula oleh as Suddi)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa para sahabat merasa kesal dengan terhalangnya Rasulullah dan mereka untuk mengerjakan umrah di Masjidil Haram di Mekah (Peristiwa Mudaibiyah).
Pada suatu hari lalulah orang-orang musyrikin dari ahli Masyriq untuk mengerjakan umrah. Berkatalah para sahabat Nabi: "Mari kita sekat mereka sebagaimana mereka pernah menyekat sahabat-sahabat kita." Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 2) sebagai larangan untuk membalas dendam. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Zaid bin Aslam)
Al Maidah: 3. diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang Yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang Yang disembelih kerana Yang lain dari Allah, dan Yang mati tercekik, dan Yang mati dipukul, dan Yang mati jatuh dari tempat Yang tinggi, dan Yang mati ditanduk, dan Yang mati dimakan binatang buas, kecuali Yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan Yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib Dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. maka sesiapa Yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda Yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika Hibban sedang merebus daging bangkai, Rasulullah ada bersamanya. Maka turunlah ayat di atas yang mengharamkan bangkai. Pada ketika itu juga bangkai tersebut dibuang. (Diriwayatkan oleh Ibnu Mandah dalam Kitab Assahabah dari Abdullah bin Jabalah bin Hibban bin Hajar dari bapanya dari datuknya {Hibban bin Hajar})
Al Maidah:4. mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): "Apakah (makanan) Yang Dihalalkan bagi mereka?" bagi menjawabnya katakanlah: "Dihalalkan bagi kamu (memakan) Yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan Yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu Yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana Yang telah diajarkan Allah kepada kamu. oleh itu makanlah dari apa Yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan Yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha cepat hitungan hisabNya"
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Jibril datang kepada Nabi dan meminta izin untuk masuk ke rumahnya. Nabi s.a.w. mempersilakannya, tetapi Jibril begitu lambat sekali sehingga baginda mengalu-alukannya untuk kali kedua. Jibril berdiri di pintu lalu berkata: "Saya telah meminta izin kepada tuan." Kemudian Rasulullah membenarkannya. Lalu Jibril berkata lagi: "Kami tidak akan masuk ke dalam rumah yang ada gambar dan anjing. "Daripada peristiwa tersebut Rasulullah mendapat laporan bahawa terdapat anjing di sebahagian rumah sahabat. Setelah itu, Rasulullah memerintahkan kepada Abu Rafi’ untuk tidak membiarkan seekor anjing pun hidup di Madinah. Oleh sebab itu, para sahabat datang kepada Rasulullah dan bertanya: "Apakah yang halal bagi kami dari haiwan-haiwan yang engkau perintahkan untuk membunuhnya." Maka turunlah ayat di atas yang menerangkan bahawa yang halal itu adalah yang baik. (Diriwayatkan oleh atThabarani, al Hakim, Baihaqi dan selainnya dari Abi Rafi')
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Rasulullah telah mengutuskan Abu Rafi’ ke kampung-kampung untuk membunuh setiap anjing yang ada. Maka datanglah Ashim bin Adi, Saad bin Hatsamah dan Uwaimir bin Saadah mengadap Nabi dan bertanya: "Apakah yang dihalalkan bagi kami?" Maka turunlah ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 4) sebagai jawapan terhadap pertanyaan tersebut. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Ikrimah)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Rasulullah telah memerintahkan untuk membunuh anjing-anjing. Kemudian para sahabat bertanya: "Ya Rasulullah! Apa yang halal bagi kami dari haiwan ini?" Maka penurunan ayat ini (Surah al Maaidah: 5:4) adalah sebagai jawapan kepada pertanyaan tersebut. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Muhammad bin Kaab al Quradhi)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah mengenai hukum berburu menggunakan anjing. Rasulullah tidak mengetahui bagaimana harus menjawabnya. Maka turunlah ayat ini (Surah al Maaidah: 5:4) yang menetapkan hukum berburu dengan haiwan yang telah diajar untuk berburu. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari as Syu'bi dari Adi bin Hatim at Thai)
Dalam riwayat lain ada juga dikemukakan bahawa Adi bin Hatim dan Zaid bin al Muhalhal at Thai bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: "Kami adalah tukang berburu dengan anjing. Sesungguhnya anjing dari suku bangsa Zarih pandai berburu sapi, kaldai dan kijang, padahal Allah telah mengharamkan bangkai. Apakah halal bagi kami daripada hasil buruan itu?" Maka turunlah ayat ini (Surah al Maaidah: 5:4) untuk menjelaskan hukum dari hasil buruan. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Said bin Jubair)
Al Maidah:6. Wahai orang-orang Yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) Iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu Junub (berhadas besar) maka bersucilah Dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau Dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum Dengan tanah - debu Yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu Dengan tanah - debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa kalung Siti Aisyah telah terjatuh dan hilang di suatu tempat berhampiran dengan kota Madinah. Rasulullah memberhentikan untanya lalu turun untuk mencarinya. Kemudian baginda berehat hingga tertidur di pangkuan Siti Aisyah. Tidak lama kemudian datanglah Abu Bakar lalu menampar Siti Aisyah dengan kuat dan berkata: "Kamu telah menahan seorang manusia kerana sebuah kalung. "Kemudian Nabi terbangun dan tibalah waktu Subuh. Baginda mencari air tetapi tidak menjumpainya. Maka turunlah ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 6). Berkatalah Usaid bin Mudhair: "Allah telah memberi keberkatan kepada manusia dengan sebab keluarga Abu Bakar." Ayat ini mewajibkan berwuduk atau tayammum sebelum sembahyang. (Diriwayatkan oleh al Bukhari dari Amr bin al Hatts dari Abdur Rahman bin al Qasim dari bapanya dari Aisyah)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa selepas peristiwa kehilangan kalung Aisyah yang menimbulkan fitnah yang besar, kalung Aisyah jatuh lagi iaitu pada suatu ketika dalam suatu peperangan yang turut disertai oleh Rasulullah, sehingga terhalang orang-orang untuk pulang kerana perlu mencari kalung tersebut. Berkatalah Abu Bakar: "Wahai anakku, pada setiap perjalanan kau selalu menjadi bala dan menyusahkan orang lain." Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 6) yang membolehkan tayammum sehingga Abu Bakar berkata: "Sesungguhnya engkau telah membawa berkat." (Diriwayatkan oleh at Thabarani dari Ubbad bin Abdillah bin Zubair dari Aisyah)
KETERANGAN
a. Hadis al Bukhari dari riwayat Amr bin al Harts dengan jelas menyatakan bahawa ayat tayammum yang diriwayatkan dalam pelbagai hadis ialah dari ayat dalam surah al Maaidah. Akan tetapi terdapat banyak riwayat lain lagi yang mengemukakan ayat tayammum tanpa menyebut nama surahnya. Menurut pendapat Ibnu Abdil Bar riwayat seperti itu adalah midhal kerana tidak jelas ayat yang mana dari kedua ayat itu yang dimaksudkan oleh Aisyah. Ibnu Abdil Bar tidak mendapatkan dalil untuk menguatkan hadis itu.
Menurut pendapat Ibnu Batthal riwayat itu adalah berkenaan dengan ayat dalam surah an Nisaa', dengan alasan bahawa ayat dalam surah al Maaidah diberi nama ayat wuduk dan ayat di dalam surah an Nisaa' tidak disebut sebagai ayat wuduk. Oleh itu ayat ini boleh dikhususkan sebagai ayat tayammum.
Menurut pendapat al Wahidi, hadis Bukhari ini juga merupakan dalil asbab nuzul bagi ayat dalam surah an Nisaa' serta Bukhari lebih cenderung mengatakan ianya adalah dalil asbab nuzulayat dalam surah al Maaidah. Ini penyelesaian yang dikemukakan oleh al Wahidi dalam menetapkan asbabun nuzul dan ayat-ayat tersebut.
b. Hadis Bukhari ini menunjukkan bahawa wuduk telah diwajibkan kepada umat Islam sebelum turunnya ayat ini. Oleh kerana itu mereka merasa keberatan untuk berhenti di tempat yang tidak ada air, sehingga Abu Bakar mengatakan bahawa Aisyah membawa berkat selepas turunnya ayat mengharuskan tayammum.
Menurut pendapat Ibnu Abdil Bar, ahli sejarah peperangan telah memaklumi bahawa sesungguhnya Rasulullah selalu berwuduk untuk menunaikan sembahyang sejak daripada sembahyang difardukan dan tidak ada yang membantahnya kecuali orang yang jahil serta pembangkang. Adapun hikmah turunnya ayat perintah untuk berwuduk yang didahului dengan amalannya ialah agar kewajipan berwuduk itu diperkuatkan lagi dengan penurunan ayat ini.
Menurut pendapat yang lain pula, permulaan ayat ini boleh jadi diturunkan terlebih dahulu berkenaan dengan kewajipan berwuduk dan baki dari ayat ini diturunkan kemudian berkenaan dengan ayat tayammum di dalam riwayat yang disebutkan di atas.
Menurut pendapat as Sayuthi pula, yang pertama itu yang benar. Ini kerana kewajipan wuduk itu ditetapkan di Mekah bersama dengan kewajipaan menunaikan sembahyang, padahal ayat ini adalah Madaniyah.
Al Maidah:11. Wahai orang-orang Yang beriman, kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya) kepada kamu ketika kaum (kafir Yang memusuhi kamu) hendak menghulurkan tangannya (untuk menyerang kamu), lalu Allah menahan tangan mereka daripada (menyerang) kamu. oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah; dan kepada Allah jualah (Sesudah bertaqwa itu) hendaklah orang-orang Yang beriman berserah diri.
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Nabi s.a.w. keluar bersama Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Thalhah dan Abdur Rahman bin Auf menuju ke rumah Kaab bin Asyraf dan Yahudi Bani Nadhir untuk meminjam wang bagi membayar diyat (denda) yang harus dibayarnya. Orang Yahudi berkata: "Silakan duduk, kami akan sajikan makanan dan memberi apa yang tuan perlukan." Kemudian Rasulullah duduk. Tanpa pengetahuan Nabi Haj bin Akhtab berkata kepada kawannya: "Kalian semua tidak akan dapat melihat dia lebih dekat daripada sekarang. Timpakan batu di atas kepalanya dan bunuhlah dia, nescaya kalian semua tidak akan menghadapi kesulitan lagi." Mereka mengangkat batu penggiling gandum yang sangat besar untuk ditimpakan kepada Rasul. Akan tetapi Allah menahan tangan mereka sehingga datang Jibril memberitahu kepada Rasulullah agar bangkit daripada tempat duduknya.
Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Maaidah: 5:11) sebagai perintah untuk mensyukuri nikmat Allah. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Ikrimah dan Yazid bin Abi Ziad {Matan hadis ini adalah dari Yazid}) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Jarir dari Abdullah bin Abi Bakar, Ashim bin Umar bin Qatadah, Mujahid, Abdullah bin Katsir dan Abi Malik)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ayat ini turun kepada Nabi ketika baginda berada di kebun kurma yang mana baginda telah diintai oleh Banu Tha'labah dan Banu Muharib pada peperangan ketujuh. Mereka berniat untuk membunuh Nabi yang sedang tidur. Oleh itu mereka telah mengutus seorang Arab untuk melaksanakannya. Dia mengambil pedang baginda kemudian menghunusnya dan menggertak Nabi sambil berkata: "Siapakah yang boleh menghalangi engkau dari pedang ini?" Nabi bersabda: "Allah." Maka jatuhlah pedang dari tangannya dan Rasulullah tidak membalasnya.
Penurunan ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 11) adalah sebagai perintah untuk selalu bertawakal kepada Allah. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Qatadah)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa seorang lelaki yang bernama Ghaurats bin al Harts dari suku Muharib berkata kepada kaumnya: "Aku akan membunuh Muhammad sebagai kemenangan untuk kalian semua." Kemudian dia datang kepada Rasulullah pada ketika baginda sedang duduk-duduk sambil meletak pedangnya di atas ribaannya.
Kemudian orang itu berkata: "Boleh aku lihat pedangmu itu?" Nabi menjawab: "Boleh." Lalu pedang itu diambilnya, dihunus dan dihayunkan di hadapan Nabi sambil berkata: "Apakah engkau tidak takut kepadaku?" Nabi menjawab lagi: "Tidak." Kemudian dia berkata lagi: "Apakah engkau tidak takut, padahal pedang di tanganku?" Jawab Nabi: "Tidak, kerana Allah akan menghalangi dan menyelamatkanku daripadamu." Kemudian pedang tersebut dimasukkan semula ke dalam sarungnya dan diserahkan kembali kepada Rasullulah.
Maka turunlah ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 11) sebagai ajaran untuk selalu memperingati nikmat yang Allah telah berikan. (Diriwayatkan oleh Abu Nairn di dalam kitab dalam Nubuwwah dari al Hasan dari Jabir bin Abdillah)
Al Maidah:15. Wahai ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad, s.a.w) Dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) Yang telah kamu sembunyikan dari Kitab suci, dan ia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) Yang jelas nyata keterangannya.
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Nabi telah didatangi oleh orang-orang Yahudi yang bertanya mengenai hukuman rejam. Nabi s.a.w. bertanya: "Siapakah di antara kalian semua yang paling alim?" Mereka menunjuk kepada Ibnu Syuria.
Kemudian Nabi meminta kepadanya untuk menjawab pertanyaan tersebut dengan kebenaran sambil bersumpah atas nama Allah yang telah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa, yang mengangkat gunung Thur dan menetapkan sepuluh janji yang diterima oleh mereka serta menggemparkan mereka.
Kemudian berkatalah Ibnu Syuria: "Ketika telah banyak kaum kami yang mati direjam kerana zina, kami telah menetapkan hukuman dera sebanyak 100 kali dan kami cukur kepalanya." Kemudian ditetapkan kembali kepada kaum Yahudi hukuman rejam.
Maka turunlah ayat ini (Surah al Maaidah: 5:15) sebagai peringatan kepada orang yang telah melalaikan hukum-hukum Allah. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Ikrimah)
Al Maidah:18. orang-orang Yahudi dan Nasrani berkata: "Kami adalah anak-anak Allah dan Yang amat disayangiNya". Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Kalau betul demikian), maka mengapakah ia menyeksa kamu Dengan sebab dosa-dosa kamu? (Sebenarnya bukanlah sebagaimana Yang kamu dakwakan) bahkan kamu semuanya adalah manusia biasa di antara manusia-manusia lain Yang diciptakanNya. ia mengampunkan bagi sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut aturan serta hukum SyariatNya), demikian juga ia menyeksa sesiapa Yang dikehendakiNya. dan (ingatlah) bagi Allah jualah Kuasa pemerintahan langit dan bumi serta Segala Yang ada di antara keduanya, dan kepada Allah jualah tempat kembali"
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Nukman bin Qudhai, Bahr bin Umar dan Sua'sy bin Adi dari kaum Yahudi telah mengadakan perbicaraan dengan Rasulullah. Dalam perbicaraan tersebut Nabi mengajak mereka untuk kembali kepada Allah dan memberi peringatan kepada mereka tentang pembalasanNya. Mereka menjawab: "Hai Muhammad! Perkara tersebut tidaklah menakutkan kami kerana demi Allah, kami adalah putera Allah dan kekasihNya."
Sesungguhnya percakapan seperti ini biasa diucapkan oleh kaum Nasara. Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 18) berhubung dengan kejadian tersebut yang memberi peringatan kepada mereka akan seksaan yang telah menimpa nenek moyang mereka. (Diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq dari Ibnu Abbas)
Al Maidah:19. Wahai ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad, s.a.w) Yang menerangkan kepada kamu (akan syariat Islam) ketika terputusnya (kedatangan) Rasul-rasul (yang diutus), supaya kamu tidak (berdalih) Dengan berkata (pada hari kiamat): "Tidak datang kepada Kami seorang (Rasul) pun pembawa berita gembira dan juga pembawa amaran (yang mengingatkan kami)". kerana Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang (Rasul) pembawa berita gembira dan juga pembawa amaran. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Rasulullah s.a.w. berdakwah kepada orang-orang Yahudi supaya mereka memeluk Islam. Akan tetapi mereka menolaknya.
Berkatalah Muaz bin Jabal dan Saad bin Ubadah dari kaum Ansar kepada mereka: "Wahai, kaum Yahudi! Takutlah kalian semua kepada Allah, demi Allah, Sesungguhnya kalian semua mengetahui bahawa baginda adalah utusan Allah kerana kalian semua telah menerangkan kepada kami dahulu sebelum baginda diutuskan tentang sifat-sifat yang ada padanya." Kemudian berkatalah Rafi’ bin Huraimalah dan Wahab bin Yahudza: "Kami tidak pemah berkata demikian kepada kalian semua dan Allah tidak menurunkan kitab selepas Musa serta tidak mengutus seorang utusan sebagai pemberi khabar gembira dan peringatan selepas Musa. "
Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 19) sebagai teguran kepada orang-orang yang memungkiri ayat-ayat tersebut tentang kedatangan Rasul terakhir. (Diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq dari Ibnu Abbas)
Al maidah: 33. Hanyasanya balasan orang-orang Yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah Dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja Dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). hukuman Yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa Yang amat besar.
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Abdul Malik bin Marwan menulis surat kepada Anas bertanyakan mengenai ayat di atas. Anas menjawab dengan menerangkan bahawa ayat ini turun berhubung dengan kisah suku Urainah yang telah murtad dari agama Islam dan membunuh pengembala unta serta untanya dibawa lari. Maka penurunan ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 33) adalah sebagai ancaman hukuman yang wajib dikenakan kepada orang yang melakukan kerosakan di atas muka bumi ini dengan membunuh dan mengganggu orang lain. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarirdari Yazid bin Abi Habib) (Diriwayatkan oleh Abdul Razak dari Abu Hurairah seperti itu)
"Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. " (Surah al Maaidah: 5: 38)
Al Maidah: 39. maka sesiapa Yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, Sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa seorang wanita telah mencuri di zaman Rasulullah. Kemudian tangan kanannya dipotong bersesuaian dengan firman Allah seperti di atas (Surah al Maaidah: 5:38). Lalu dia bertanya: "Apakah taubatku diterimaya Rasulullah?" Maka Allah menurunkan ayat yang berikutnya (Surah al Maaidah: 5:39) yang menjelaskan bahawa taubat seseorang itu akan diterima Allah apabila dia memperbaiki diri dan berbuat kebaikan. (K. Diriwayatkan oleh Ahmad dan yang lainnya dari Abdullah bin Amr)
Al Maidah: 41. Wahai Rasul Allah! janganlah Engkau menanggung dukacita disebabkan orang-orang Yang segera menceburkan diri Dalam kekufuran, Iaitu dari orang-orang Yang berkata Dengan mulutnya: "Kami tetap beriman", padahal hatinya tidak beriman; demikian juga dari orang-orang Yahudi, mereka orang-orang Yang sangat suka mendengar berita-berita dusta; mereka sangat suka mendengar perkataan golongan lain (pendita-pendita Yahudi) Yang tidak pernah datang menemuimu; mereka ini mengubah serta meminda perkataan-perkataan (dalam Kitab Taurat) itu dari tempat-tempatnya Yang sebenar. mereka berkata: "Jika disampaikan kepada kamu hukum seperti ini maka Terimalah Dia, dan jika tidak disampaikanNya kepada kamu, maka jagalah diri baik-baik". dan sesiapa Yang dikehendaki Allah kesesatannya, maka Engkau tidak berkuasa sama sekali (menolak) sesuatu apapun (yang datang) dari Allah untuknya. mereka ialah orang-orang Yang Allah tidak mahu membersihkan hati mereka; bagi mereka kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa Yang besar.
Al maidah: 42. mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan Segala Yang haram (rasuah dan sebagainya). oleh itu kalau mereka datang kepadaMu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa Yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau Engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika Engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka Dengan adil; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.
Al maidah: 43. dan (sungguh menghairankan), Bagaimana mereka meminta keputusan hukum kepadaMu, padahal di sisi mereka ada Kitab Taurat Yang mengandungi hukum Allah, kemudian mereka berpaling pula sesudah itu (dari hukumanmu)? dan (sebenarnya) mereka itu bukanlah orang-orang Yang beriman.
Al Maidah: 44. Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, Yang mengandungi petunjuk dan cahaya Yang menerangi; Dengan Kitab itu Nabi-nabi Yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu Dengan harga Yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa Yang tidak menghukum Dengan apa Yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.
Al Maidah:45. dan Kami telah tetapkan atas mereka di Dalam Kitab Taurat itu, Bahawa jiwa dibalas Dengan jiwa, dan mata dibalas Dengan mata, dan hidung dibalas Dengan hidung, dan telinga dibalas Dengan telinga, dan gigi dibalas Dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). tetapi sesiapa Yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa Yang tidak menghukum Dengan apa Yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang Yang zalim.
Surah al Maaidah: 45. dan Kami telah tetapkan atas mereka di Dalam Kitab Taurat itu, Bahawa jiwa dibalas Dengan jiwa, dan mata dibalas Dengan mata, dan hidung dibalas Dengan hidung, dan telinga dibalas Dengan telinga, dan gigi dibalas Dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). tetapi sesiapa Yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa Yang tidak menghukum Dengan apa Yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang Yang zalim.
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa penurunan ayat ini (Surah al Maaidah: 5:41) adalah berkenaan dengan dua golongan kaum Yahudi. Salah satu di antaranya telah menzalimi yang lain pada zaman Jahiliyah iaitu dengan mengenakan hukuman yang tidak seimbang. Apabila orang yang kukuh ekonominya membunuh orang yang lemah, maka hukuman ke atas orang tersebut ialah 50 wasaq, sebaliknya apabila si lemah membunuh si kuat maka fidyahnya ialah 100 wasaq. Ketetapan ini berlaku sehinggalah Rasulullah s.a.w. diutuskan.
Pada suatu ketika si lemah telah membunuh si kuat dan si kuat memutuskan agar si lemah membayar fidyahnya sebanyak 100 wasaq. Berkatalah si lemah: "Apakah boleh terjadi pada dua kampung yang agamanya, keturunannya dan negaranya sama tetapi membayar fidyah yang berbeza? Apa yang kami berikan sekarang ini adalah dengan rasa tertekan serta takut terjadi perpecahan. Akan tetapi sekiranya Muhammad sudah sampai ke mari, kami tidak akan memberikan itu kepadamu."
Oleh sebab itu, hampir terjadi peperangan di antara kedua golongan tersebut dan mereka bersepakat untuk menjadikan Rasulullah sebagai orang tengah. Kemudian mereka mengutus orang-orang munafik untuk mengetahui pendapat Muhammad.
Maka penurunan ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 41) adalah untuk memberi peringatan kepada Nabi supaya tidak mengambil tahu tentang hal mereka. (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa orang-orang Yahudi telah lalu di hadapan Rasulullah dengan membawa seorang yang dikenakan hukuman jemur dan pukul. Rasulullah memanggil mereka lalu bertanya: "Apakah ini hukuman terhadap orang berzina yang kalian semua dapati didalam kitab kalian?" Mereka menjawab: "Ya." Kemudian Rasulullah memanggil seorang ulama mereka dan bersabda: "Aku bersumpah dengan nama Allah yang telah menurunkan Taurat kepada Musa, apakah demikian kamu dapati hukuman kepada orang yang berzina di dalam kitabmu?" Dia menjawab: "Tidak, demi Allah, jika engkau tidak bersumpah terlebih dahulu, tidak akan kuterangkan bahawa hukuman bagi orang yang berzina di dalam kitab kami ialah direjam (dilempar batu sampai mati). Akan tetapi kerana ramai dari pembesar kami yang melakukan zina, kami akan biarkan. Sebaliknya apabila seorang yang hina melakukan zina kami akan tegakkan hukum sesuai dengan kitab. Kemudian kami berkumpul dan mengubah hukum tersebut dengan menetapkan hukuman yang lebih ringan untuk dilaksanakan bagi yang hina ataupun para pembesar dengan menjemur dan memukulnya." Rasulullah bersabda: "Ya Allah, sesungguhnya saya yang pertama menghidupkan perintahMu setelah dihapuskan oleh mereka." Kemudian Rasulullah menetapkan hukuman rejam dan direjamlah Yahudi penzina itu. Maka turunlah ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 41) sehingga ayat "In ititum hadza fakhudzuh."
Pada peristiwa lain kaum Yahudi telah mengutus orang-orang untuk meminta fatwa dari Rasulullah dengan catatan apabila fatwanya menyuruh agar penzina itu dijemur dan dipukul sesuai dengan hukuman yang mereka tetapkan, fatwa itu akan diterima. Sebaliknya jika baginda memberi fatwa agar penzina itu dihukum rejam, fatwa itu akan ditolak. Maka turunlah ayat yang berikutnya (Surah al Maaidah: 5:41-45) yang memberi peringatan tentang hukum-hukum yang telah diturunkan oleh Allah. (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim serta yang lainnya dari al Barra bin Azib)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa seorang lelakl dari suku Fadaq telah berzina. Kemudian orang-orang Fadaq menulis surat kepada orang-orang Yahudi Madinah supaya mereka bertanya kepada Muhammad tentang hukum bagi penzina tersebut;! Jika baginda memerintahkan agar dipukul maka terimalah dan jika baginda memerintahkan agar direjam janganlah diterima. Orang-orang Yahudi Madinah bertanya kepada Nabi dan Nabi menjawab seperti yang disebut dalam hadis di atas. Kemudian baginda memerintahkan agar orang tersebut direjam. Maka turunlah ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 42) sebagai tuntutan supaya Nabi menetapkan hukuman bersesuaian dengan hukum Allah. (Diriwayatkan oleh al Humaidi di dalam musnadnya dari Jabir bin Abdillah) (Diriwayatkan pula oleh al Baihaqi di dalam kitab ad Dalail dari Abi Hurairah seperti itu)
Surah al Maaidah: 49. dan hendaklah Engkau menjalankan hukum di antara mereka Dengan apa Yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum Yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, Hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka Dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan Sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang Yang fasik.
Surah al Maaidah: 50. sesudah itu, Patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? padahal - kepada orang-orang Yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa Yang boleh membuat hukum Yang lebih pada daripada Allah.
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Kaab bin Usaid mengajak Abdullah bin Syuria pergi mengadap Nabi Muhammad untuk memalingkan baginda dari agamanya dengan berkata: "Hai Muhammad! Sesungguhnya engkau tahu bahawa kami adalah pendeta-pendeta Yahudi, pembesar dan tokoh mereka. Jika kami menjadi pengikutmu, nescaya kaum Yahudi akan mengikuti jejak kami dan mereka tidak akan menyalahi kehendak kami. Kebetulan di antara kami dengan mereka terdapat perselisihan dan kami mengharapkan engkau untuk mengadilinya dan memberi kemenangan kepada kami di dalam perkara ini dan pasti kami akan beriman kepadamu." Nabi s.a.w. menolak permintaan mereka dan turunlah ayat ini (Surah al Maaidah: 5:49-50) memberi peringatan kepada Nabi untuk tetap berpegang kepada hukum Allah dan berhati-hati terhadap kaum Yahudi. (Diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq dari Ibnu Abbas)
Surah al Maaidah: 51. Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya Yang lain; dan sesiapa di antara kamu Yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka Sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum Yang berlaku zalim.
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Abdullah bin Ubay bin Salul seorang tokoh munafik [Munafik bererti mengaku Islam dengan mulutnya tetapi hatinya mengingkari] Madinah dan Ubadah bin Shamit salah seorang tokoh Islam dari Bani Auf bin Khazraj terikat dengan satu perjanjian untuk saling mempertahankan serta membela dengan kaum Yahudi Bani Qainuqa'. Ketika Bani Qainuqa' memerangi Rasulullah, Abdullah bin Ubay tidak melibatkan diri.
Manakala Ubadah bin Shamit berangkat mengadap Rasulullah untuk membersihkan diri kepada Allah dan RasulNya dari ikatan dengan Bani Qainuqa' itu serta menggabungkan diri kepada Rasulullah dan menyatakan ketaatan hanya kepada Allah dan RasulNya. Maka turunlah ayat di atas sebagai peringatan kepada orang beriman untuk tetap taat kepada Allah dan RasulNya dan tidak mengangkat kaum Yahudi dan Nasara menjadi pemimpin mereka. (Diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq, Ibnu Jarir, Ibnu Abi Hatim, dan Baihaqi dari Ubadah bin Shamit)
Surah al Maaidah: 55. Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang Yang beriman, Yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa seorang peminta sedekah telah datang kepada Ali bin Abi Talib ketika dia sedang bersembahyang sunat. Lalu dia tanggalkan cincinnya dan diserahkannya kepada si peminta tersebut. Maka turunlah ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 55) yang mengemukakan beberapa ciri pemimpin yang wajib ditaati. (Diriwayatkan oleh at Thabarani di dalam kitab alAusath yang di dalamnya terdapat perawi yang tidak dikenali dari Ammar bin Yasir)
Hadis ini diperkuatkan oleh hadis-hadis yang berikut:
1. Diriwayatkan oleh Abdul Razak dari Abdul Wahab bin Mujahid dari bapanya dari Ibnu Abbas.
2. Diriwayatkan oleh Ibnu Marduwaih melalui perawi lain dari Ibnu Abbas.
3. Diriwayatkan oleh Ibnu Marduwaih dari Ali.
4. Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Mujahid dari Ibnu Abi Hatim dari Salamah bin Kuhail.
Hadis ini saling menguatkan di antara satu sama lain.
orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan - dari orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu, dan orang kafir musyrik itu: menjadi penolong-penolong; dan bertakwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman. " (Surah al Maaidah: 5: 57)
Surah al Maaidah: 59. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli Kitab! kamu tidak mencela dan menyalahkan Kami melainkan kerana Kami beriman kepada Allah dan beriman kepada apa Yang diturunkan kepada kami, serta beriman kepada apa Yang diturunkan sebelum itu, dan kerana kebanyakan kamu Sesungguhnya adalah orang orang Yang fasik".
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Rifa'ah bin Zaid bin at Thabut dan Suwaid bin al Harts telah menunjukkan sifat sebagai seorang Islam tetapi sebenarnya mereka adalah munafik. Salah seorang dari kaum Muslimin bersimpati kepada kedua orang tersebut. Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 57) sebagai larangan kepada kaum Muslimin dari mengangkat kaum munafik sebagai pemimpin mereka.
Seterusnya Ibnu Abbas mengatakan bahawa satu kumpulan kaum Yahudi yang di antaranya ialah Abu Yasir bin Akhtab, Nafi bin Abi Nafi dan Gazi bin Amr datang mengadap Nabi dan bertanya: "Kepada Rasul yang mana tuan beriman?" Nabi menjawab: "Aku beriman kepada Allah, kepada apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishaq, Yaakub dan cucu-cucunya dan terhadap apa yang diberikan kepada Musa dan Isa serta terhadap apa-apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka, sesungguhnya kami tidak akan membezakannya di antara satu dengan yang lain dan kepadaNya kami berserah diri." (Surah Ali 'Imran: 3:84) Ketika Nabi menyebut nama Isa, mereka mengingkari kenabiannya dan berkata: "Kami tidak percaya kepada Isa dan tidak percaya kepada orang yang beriman kepada Isa." Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 59) berhubung dengan peristiwa tersebut. Ayat ini merupakan teguran kepada orang-orang yang membenci Rasulullah kerana baginda beriman dengan Rasul-rasul dan apa-apa yang diturunkan kepada mereka sebelumnya. (Diriwayatkan oleh Abu Syaikh Ibnu Hibban dari Ibnu Abbas)
Surah al Maaidah: 64. dan orang-orang Yahudi itu berkata: "Tangan Allah terbelenggu (bakhil - kikir)", tangan merekalah Yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat Dengan sebab apa Yang mereka telah katakan itu, bahkan kedua tangan Allah sentiasa terbuka (Nikmat dan kurniaNya Luas melimpah-limpah). ia belanjakan (limpahkan) sebagaimana Yang ia kehendaki; dan Demi sesungguhnya, apa Yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu akan menjadikan kebanyakan dari mereka bertambah derhaka dan kufur; dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka hingga hari kiamat. tiap-tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya; dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang Yang melakukan kerosakan.
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa seorang Yahudi bernama an Nabas bin Qais berkata: "Sesungguhnya Tuhanmu itu bakhil, tidak mahu memberi nafkah,"
Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 64) sebagai bantahan terhadap ucapan mereka. (K. Diriwayatkan oleh atThabarani dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa penurunan ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 64) adalah berhubung dengan kisah Fanhas ketua kepada Yahudi Qainuqa' yang menganggap bahawa Allah itu kedekut. [Lihat peristiwanya dalam riwayat hadis tentang asbab nuzu dalam ayat ini surah ali Imran:181 Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan orang-orang (Yahudi) Yang mengatakan: bahawasanya Allah miskin dan Kami ialah orang-orang kaya. Kami (Allah) akan menuliskan perkataan mereka itu dan perbuatan mereka membunuh Nabi-nabi Dengan tidak ada alasan Yang membenarkannya, dan Kami akan katakan kepada mereka: "Rasalah kamu azab seksa Yang sentiasa membakar -] Ayat ini adalah sebagai bantahan terhadap Ucapan itu. (Diriwayatkan oleh Abu Syaikh dari jalan lain dari Ibnu Abbas juga)
Surah al Maaidah: 67. Wahai Rasul Allah! sampaikanlah apa Yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika Engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah Engkau menyampaikan perutusanNya; dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum Yang kafir.
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Rasulullah pernah bersabda: "Sesungguhnya Allah telah mengutusku dengan membawa risalah kerasulan. Perkara ini telah menyesakkan dadaku kerana aku tahu bahawa orang-orang akan mendustakan risalahnya. Allah telah memerintahkan kepadaku untuk menyampaikannya dan kalau tidak, Allah akan menyeksaku. "Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Maaidah: 5:67) sebagai perintah untuk menyampaikan risalah disertai dengan jaminan akan keselamatannya. (Diriwayatkan oleh Abu Syaikh dari al Hasan)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ketika turun ayat "ya ayyuharrasulu balligh ma unzila ilaika min " sebahagian dari ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 67) Rasulullah bersabda: "Ya Rabbi! Apakah yang harus kulakukan, padahal aku bersendirian dan mereka berkomplot menghadapiku." Maka turunlah ayat yang seterusnya sebagai perintah untuk menyampaikan risalah kenabian. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Mujahid)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Siti Aisyah mengatakan bahawa Nabi s.a.w. biasa dijaga oleh pengawalnya sehingga turun ayat "wallahu ya' shimukka minannas" (Surah al Maaidah: 5: 67). Selepas penurunan ayat ini Rasulullah menampakkan dirinya dari Kubah sambil bersabda: "Wahai saudara-saudara pulanglah kalian, sesungguhnya Allah telah menjamin keselamatanku dalam menyebarkan dakwah ini. Sesungguhnya malam seperti ini baik untuk tidur di tempat tidur masing-masing." (Diriwayatkan oleh al Hakim dan at Tirmizi dari Aisyah)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa al Abbas bapa saudara Nabi merupakan salah seorang daripada pengawal Nabi. Ketika turun ayat ini "wallahu ya'shimuka minan nas" (Surah al Maaidah: 5: 67), dia pun meninggalkan tanggungjawabnya. (Diriwayatkan oleh at Thabarani dari Abi Said al Kudri)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa para sahabat biasanya mengawal Nabi pada waktu malam sehinggalah turunnya ayat ini 'wallahu ya'shimukka minan nas" (Surah al Maaidah: 5:67). Selepas penurunan ayat ini mereka meninggalkan tanggungjawab tersebut. (K. Diriwayatkan oleh at Thabarani dari Asmah bin
MalikalHathmi)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa para sahabat pernah meninggalkan Rasulullah ketika baginda berhenti pada suatu perjalanan dan berteduh di bawah sepohon pokokyang besar. Pada ketika itu baginda menggantungkan pedangnya pada pokok tersebut. Kemudian datanglah seorang lelaki lalu mengambil pedang tersebut sambil berkata: "Siapakah yang boleh menghalang engkau daripadaku hai Muhammad!" Rasulullah menjawab: "Allah yang akan melindungiku daripadamu, letaklah kembali pedang itu." Pada ketika Itu pedang tersebut diletakkannya kembali. Maka turunlah ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 67) sebagai jaminan keselamatan kepada dlri Rasulullah dari tangan jahat manusia. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban di dalam kitab Sunannya dari Abi Hurairah)
Dalam riwayat lain juga ada dikemukakan bahawa dalam peperangan Bani Anmar, Rasulullah telah berhenti rehat di Zhatir Raqqi iaitu di kebun kurma yang tinggi dan baginda duduk di atas sebuah sumur sambil menjulurkan kakinya. Berkatalah al Warits dari Bani Najjar kepada teman-temannya: "Aku akan membunuh Muhammad." Teman-temannya bertanya: "Bagaimanakah cara untuk membunuhnya?" Dia menjawab: "Aku akan berkata: "Berilah pedangmu itu kepadaku. Dan apabila dia memberilkan pedangnya aku akan membunuhnya."
Selepas itu dia pergi kepada Rasulullah lalu berkata: "Hai Muhammad! Berikan pedangmu itu kepadaku agar aku dapat menciumnya." Kemudian Rasulullah memberi pedang tersebut kepadanya. Akan tetapi tangannya gementar dan Rasul bersabda: "Allah telah menghalangi dari maksud jahatmu. "Maka turunlah ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 67), sebagai jaminan keselamatan diri kepada Rasulullah. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan Ibnu Marduwaih dari Jabir bin Abdillah)
Dalam riwayat lain juga ada dikemukakan bahawa Rasulullah biasanya mendapat pengawalan dan pada setiap hari Abu Talib akan mengirimkan pengawal-pengawalnya dari Bani Hasyim untuk menjaganya. Oleh itu ketika turun ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 67), Rasulullah bersabda kepada Abu Talib yang akan mengirimkan pengawalnya: "Wahai bapa saudaraku! Sesungguhnya Allah telah menjamin keselamatan jiwaku dari perbuatan jin dan manusia." (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Marduwaih dan at Thabarani dari Ibnu Abbas) (Hadis ini gharib) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Marduwaih dari Jabir bin Abdillah. Hadis ini menunjukkan bahawa ayat ini diturunkan di Mekah padahal kenyataannya ia diturunkan di Madinah)
Surah al Maaidah: 68. katakanlah: "Wahai ahli Kitab! kamu tidak dikira mempunyai sesuatu ugama sehingga kamu tegakkan ajaran Kitab-kitab Taurat dan Injil (yang membawa kamu percaya kepada Nabi Muhammad) dan apa Yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu (iaitu Al-Quran)" dan Demi sesungguhnya, apa Yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad) dari Tuhanmu itu, akan menambahkan kederhakaan dan kekufuran kepada kebanyakan mereka. oleh itu janganlah Engkau berdukacita terhadap kaum Yang kafir itu.
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Rafi' bin Salam bin Musykam dan Malik bin Shaif dari kaum Yahudi berkata: "Hai Muhammad! Bukankah engkau mangaku bahawa engkau pengikut agama Ibrahim dan beriman kepada kitab yang ada pada kami iaitu Tauraf." Kemudian Rasulullah menjawab: "Benar! Akan tetapi kalian semua telah menyeleweng dan kufur kepada isi kandungannya serta kalian semua telah menyembunyikan apa yang diperintahkan untuk diterangkan kepada semua manusia." Mereka berkata lagi: "Sesungguhnya kami melaksanakan apa yang ada pada kami dan mengikut petunjuk serta kebenaran." Maka penurunan ayat di atas adalah sebagai penjelasan bahawa mereka tidak mengikut ajaran yang sebenarnya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarirdan Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Abbas)
Surah al Maaidah: 82. Demi Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) akan dapati manusia Yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang Yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. dan Demi Sesungguhnya Engkau akan dapati orang-orang Yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang Yang beriman ialah orang-orang Yang berkata: "Bahawa Kami ini ialah orang-orang Nasrani" Yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan Ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.
Surah al Maaidah: 83. dan apabila mereka mendengar Al-Quran Yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad, s.a.w), Engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa Yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata: "Wahai Tuhan kami, Kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab suci Al-Quran), oleh itu Tetapkanlah Kami bersama-sama orang-orang Yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w).
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah mengutus Amr bin Umayyah ad Dhamari untuk menyampaikan surat kepada an Najasyi. Apabila tiba di hadapan an Najasyi surat itu pun dibacanya. Kemudian Raja Najasyi memanggil Jaafar bin Abi Talib dan orang-orang yang berhijrah bersamanya serta para rahib dan paderi. Lalu dia menyuruh Jaafar membaca al Quran dan Jaafar membaca ayat dari surah Maryam. Kesemua orang yang hadir beriman kepada isi kandungan al Quran dengan linangan air mata kebenaran. Mereka inilah yang disebut oleh Allah di dalam ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 82-83). (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Said bin al Musaiyyab bin Abdur Rahman dan Urwah bin Zubair)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa Raja Najasyi telah mengutuskan seramai 30 orang sahabatnya yang terbaik kepada Rasulullah. Kemudian Rasulullah membaca surah Yasin kepada mereka sehingga mereka menangis.
Maka turunlah kedua ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 82-83) yang menceritakan bahawa adanya kaum rahib dan pendeta Nasara yang tidak sombong dan beriman kepada apa yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Said bin Jubair)
Dalam riwayat lain juga ada dikemukakan bahawa penurunan ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 83) adalah berhubung dengan kisah an Najasyi dan kawan-kawannya. Ayat ini menjelaskan bahawa mereka menangis apabila mendengar ayat-ayat yang diturunkan kepada Rasulullah kerana mereka yakin akan kebenarannya. (Diriwayatkan oleh an Nasa'i dari Abdullah bin Zubair) (Diriwayatkan pula oleh at Thabarani dari Ibnu Abbas, tetapi lebih jelas)
Surah al Maaidah: 87. Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu haramkan benda-benda Yang baik-baik Yang telah Dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa Yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang Yang melampaui batas.
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa seorang lelaki datang mengadap Rasulullah dan berkata: "Ya Rasulullah! Apabila aku makan daging, timbullah syahwatku kepada wanita. Oleh kerana itu aku mengharamkan daging untukku." Maka turunlah ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 87) sebagai larangan untuk mengharamkan sesuatu yang halal. (Diriwayatkan oleh at Tirmizi dan perawi lain dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa beberapa orang sahabat yang di antaranya ialah Uthman bin Maz'un telah mengharamkan percampuran di antara dirinya dengan isterinya dan mengharamkan memakan daging. Oleh sebab itu, mereka mengambil pisau untuk memotong kemaluan mereka supaya syahwat terputus sehingga tidak mengganggu ibadat mereka kepada Allah. Maka penurunan ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 87) adalah sebagai larangan kepada kaum Mukminin mengharamkan sesuatu benda yang telah dihalalkan oleh Allah. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari al Ufi dari Ibnu Abbas) (Diriwayatkan pula oleh Ikrimah, Abi Qilabah, Mujahid, Abi Malik, an Nakhi, as Suddi dan perawi lainnya seperti riwayat di atas tetapi mursal)
KETERANGAN
Menurut riwayat as Suddi, para sahabat yang mengharamkan itu terdiri daripada 10 orang termasuk Ibnu Maz'un dan Ali bin Abi Talib.
Menurut riwayat Ikrimah pula mereka itu termasuk Ibnu Maz'un, Ali bin Abi Talib, Ibnu Mas'ud, Miqdad bin Aswad dan Salim (Abid yang telah dibebaskan dan diangkat sebagai ahli keluarga Huzaifah). Sementara itu menurut riwayat Mujahid mereka itu termasuklah Ibnu Maz'un dan Abdullah bin Umar.
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa penurunan ayat ini adalah berhubung dengan kisah segolongan para sahabat di antaranya termasuklah Abu Bakar, Umar, Ali, Ibnu Mas'ud, Uthman bin Maz'un, Miqdad bin Aswad dan Salim (Maula Abi Huzaifah) yang telah bersepakat untuk mengabdikan diri kepada Allah dan menjauhi isteri mereka, tidak memakan daging dan lemak, memakai pakaian paderi dan tidak akan makan kecuali sekadarnya sahaja serta mereka akan berdakwah mengelilingi dunia seperti para rahib. Maka penurunan ayat ini (Surah al Maaidah: 5:87) adalah untuk melarang perbuatan seperti itu. (Diriwayatkan oleh Ibnu Asakir di dalam kitab Tarikhnya dari as Suddi as Shaghir dari al Kalbi dari Abi Salleh dari Ibnu Abbas)
Menurut riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa keluarga Abdullah bin Rawahah telah datang ke rumahnya ketika dia berada di Rumah Rasulullah. Ketika dia pulang didapati tetamunya itu belum dijamu makanan kerana mereka menunggu Abdullah. Lalu Abdullah berkata kepada isterinya: "Mengapa engkau biarkan tetamuku ini tidak dijamu dengan makanan kerana menungguku, padahal makanan ini adalah haram bagiku. Kemudian isterinya berkata: "Makanan ini pun haram bagiku. "Dan tetamu itu berkata: "Makanan ini juga haram bagiku.
Oleh sebab peristiwa itu, Abdullah telah mempersilakan tetamu itu makan sambil mengucapkan bismillah dan kemudian dia turut serta makan bersama tetamu itu. Setelah itu, dia pergi berjumpa dengan Rasulullah dan menceritakan kejadian tersebut.
Maka turunlah ayat ini (Surah al Maaidah: 5:87) sebagai larangan kepada kaum Mukminin mengharamkan sesuatu barang yang telah dihalalkan. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Zaid bin Aslam)
Surah al Maaidah: 90. Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Surah al Maaidah: 91. Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu Dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara Yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?
Surah al Maaidah: 92. dan Taatlah kamu kepada Allah serta Taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya). oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa Yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, Bahawa Sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) Dengan jelas nyata.
Surah al Maaidah: 93. tidak ada dosa bagi orang-orang Yang beriman serta mengerjakan amal Yang soleh pada apa Yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka bertaqwa dan beriman serta mengerjakan amal Yang soleh, kemudian mereka tetap bertaqwa dan beriman, kemudian mereka tetap bertaqwa dan berbuat kebajikan; kerana Allah mengasihi orang-orang Yang berusaha memperbaiki amalannya.
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika Rasulullah datang ke Madinah, baginda mendapati bahawa kaumnya suka minum arak dan makan hasil daripada perjudian. Mereka bertanya kepada Rasulullah mengenai perkara tersebut. Maka turunlah ayat ini (Surah al Baqarah: 2: 219). Kemudian mereka berkata: "Tidak diharamkan kepada kita minum arak tetapi ia hanyalah dosa besar," lalu mereka terus meminum arak. Pada suatu hari ada seorang dari kaum Muhajirin menjadi imam kepada para sahabat ketika sembahyang maghrib. Akan tetapi bacaannya salah kerana mabuk. Maka Allah menurunkan ayat yang lebih kuat daripada ayat tadi di dalam surah ini (Surah An Nisaa': 4:43).
Kemudian turunlah ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 90-91) yang memberikan kepastian akan pengharamannya. Sehingga mereka berkata: "Cukuplah, kami akan berhenti." Kemudian mereka bertanya: "Ya Rasulullah, bagaimanakah nasib orang-orang yang syahid dijalan Allah dan mati di atas tilam sedangkan mereka itu adalah peminum arak dan makan hasil judi dan Allah telah menetapkan bahawa kedua perkara itu termasuk dalam perbuatan syaitan yang keji." Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 93) sebagai jawapan kepada pertanyaan mereka. (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari Abi Hurairah)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa penurunan ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 90) adalah berhubung dengan peristiwa yang terjadi kepada dua suku golongan Ansar yang hidup aman damai tanpa ada dendam yang kesumat. Akan tetapi apabila mereka minum hingga mabuk, mereka sering bergaduh sehingga meninggalkan parut pada muka atau kepala sesama mereka.
Sesungguhnya perkara ini telah menyebabkan kurangnya ikatan kekeluargaan dalam diri mereka, lalu timbullah permusuhan dan secara tidak langsung menuduh bahawa kaum lain yang mengganggu ketenteraman mereka, padahal perkara seperti ini tidak akan timbul jika mereka saling berkasih sayang. Perasaan yang sedemikian ini telah menimbulkan dendam yang kesumat.
Ayat ini menjelaskan kepada kita betapa berhasilnya syaitan melaga-lagakan orang-orang yang beriman dengan sebab minum arak dan main judi.
Di samping itu orang-orang yang merasa begitu berat untuk meninggalkan minuman arak telah membincangkan tentang minuman yang telah diminum oleh orang-orang yang syahid dalam perang Uhud.
Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 93) sebagai penjelasan tentang kedudukan mereka yang gugur sebelum turunnya ayat larangan minum arak dan main judi. (Diriwayatkan oleh an Nasa'i dan al Baihaqi dari Ibnu Abbas)
Al Maidah:100. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Tidak sama Yang buruk Dengan Yang baik, Walaupun banyaknya Yang buruk itu menarik hatimu. oleh itu bertaqwalah kepada Allah Wahai orang-orang Yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika Nabi menerangkan tentang arak hukumnya haram, berdirilah seorang Badwi dan berkata: "Saya pernah menjadi pedagang arak dan saya menjadi kaya-raya kerananya. Apakah kekayaanku ini bermanfaat apabila saya menggunakannya untuk taat kepada Allah?" Nabi menjawab: "Sesungguhnya Allah tidak menerima kecualiyang baik. " Maka turunlah ayat di atas yang membenarkan ucapan RasulNya. (Diriwayatkan oleh al Wahidi dan al Ashbani di dalam kitab at Targhib dari Jabir)
"Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan al Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam al Quran); kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar." (Surah al Maaidah: 5: 101)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika Rasulullah s.a.w. menyampaikan khutbah, ada seorang yang bertanya: "Siapakah bapa saya?" Nabi menjawab: "Fulan." Maka turunlah ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 101) sebagai teguran kepada orang-orang yang suka bertanya tentang perkara yang bukan-bukan.
(Diriwayatkan oleh al Bukhari dari Anas bin Malik)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ada orang suka bertanya kepada Rasulullah dengan maksud untuk mempermainkannya. Ada orang yang bertanya: "Siapakah bapa saya?" Dan ada pula yang bertanya: "Di manakah untaku yang hilang?"
Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Maaidah: 5: 101) yang melarang orang-orang Mukmin bertanya akan perkara yang bukan-bukan. (Diriwayatkan juga oleh al Bukhari dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa ketika turun ayat "wa lillahi 'alannasi hijjulbaiti" (Surah Ali 'Imran: 3:97) orang-orang bertanya: "Apakah setiap tahunya Rasulullah?" Rasul menjawab: "Tidak, kerana apabila kukatakan "Ya" tentu akan menjadi wajib pada setiap tahun."
Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Maaidah: 5:101) sebagai larangan kepada kaum Mukminin agar jangan terlalu banyak bertanya kepada Rasulullah. (Diriwayatkan oleh Ahmad, Tirmizi dan al Hakim dari Ali) (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir seperti itu dari Abi Hurairah, Abu Umamah dan Ibnu Abbas)
KETERANGAN
Menurut pendapat al Hafiz Ibnu Hajar: Tidak ada halangan apabila ayat ini (Surah al Maaidah: 5:101) turun dalam dua peristiwa yang disebutkan di atas.
Akan tetapi hadis Ibnu Abbas lebih sahih sanadnya.
Al Maidah: 106. Wahai orang-orang Yang beriman! apabila salah seorang di antara kamu hampir mati, ketika (ia mahu) berwasiat, hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang Yang adil di antara kamu, atau dua orang lain (yang bukan seugama) Dengan kamu, jika kamu Dalam pelayaran di muka bumi lalu kamu ditimpa bencana sakit Yang membawa maut. kalau kamu ragu-ragu tentang kejujuran kedua saksi itu, hendaklah) kamu tahan mereka sesudah selesai sembahyang, kemudian mereka (disuruh) bersumpah Dengan nama Allah (dengan berkata: "Demi Allah) Kami tidak akan menjual sumpah Kami untuk mendapat sesuatu harta benda, Walaupun orang itu dari kaum kerabat, dan Kami tidak menyembunyikan (keterangan Yang Kami ketahui) sebagai saksi (sebagaimana Yang diperintahkan oleh) Allah, (kerana jika Kami menyembunyikannya) tentulah Kami Dengan itu termasuk Dalam golongan orang-orang Yang berdosa".
Al Maidah: 107. kemudian jika didapati Bahawa kedua saksi itu (Sesudah bersumpah) ada melakukan dosa (kerana berdusta atau mengkhianati Dalam perkara Yang mereka menjadi saksi itu), maka hendaklah dua orang Yang lain menggantikan tempat mereka dari waris-waris si mati lebih dekat, Yang lebih berhak (menuntut dan memberi keterangan Yang sebenarnya), kemudian mereka bersumpah Dengan nama Allah (dengan berkata): "Demi sesungguhnya, persaksian Kami lebih berhak diterima daripada persaksian kedua saksi itu (yang telah nyata berdusta), dan Kami tidak melampaui batas, (kerana jika Kami berbuat demikian) tentulah Kami Dengan itu termasuk Dalam golongan orang-orang Yang zalim.
Al Maidah: 108. (hukum-hukum dan peraturan menjadi saksi) Yang tersebut itu adalah jalan Yang lebih dekat untuk mereka memberi keterangan persaksian menurut cara Yang sebenarnya, atau untuk mereka merasa takut akan ditolak sumpah mereka (kepada waris-waris si mati) sesudah mereka bersumpah (yang akan mendedahkan kecurangan mereka). oleh itu bertaqwalah kepada Allah, dan dengarlah Dengan patuh (segala perintahNya), dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum Yang fasik.
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa dua orang Nasrani yang bernama Tamim ad Dari dan Adi bin Bada sering berulang-alik pergi ke Syam untuk berdagang sebelum mereka masuk Islam. Di samping itu seorang maula dari Bani Salim yang bernama Badil bin Abi Maryam ikut serta bersama mereka dengan membawa dagangan dan bekas yang diperbuat daripada perak.
Pada pertengahan jalan Badil bin Abi Maryam jatuh sakit lalu meninggalkan wasiat kepada kedua orang tersebut agar harta pusakanya disampaikan kepada ahli warisnya. Berkatalah Tamim: "Selepas kematiannya, kami telah ambil bekas yang dibuat dari perak dan kami jual dengan harga seribu dirham, kemudian wangnya kami bahagikan sama rata bersama Adi bin Bada. Setelah kami sampaikan amanat tersebut kepada ahli warisnya, mereka telah kehilangan bekas perak tersebut dan bertanya kepada kami, dan kami katakan bahawa Badil tidak meninggalkan selain daripada apa yang telah kami serahkan."
Setelah Tamim memeluk Islam, dia merasa berdosa dengan perbuatan yang telah dilakukan itu. Kemudian dia datang menemui ahli waris Badil dan mengaku secara berterus-terang serta menyerahkan wang sebanyak lima ratus dirham dan bakinya sebanyak lima ratus dirham lagi ada pada kawannya Adi bin Bada.
Kemudian berangkatlah ahli warisnya bersama Adi datang mengadap Rasulullah. Rasulullah meminta bukti di atas tuduhan terhadap Adi itu, akan tetapi mereka tidak dapat memenuhinya. Kemudian Rasulullah menyuruh mereka menyumpah Adi dan mereka pun bersumpahlah. Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Maaidah: 5:106-108) sampai kepada ayat "an turaddu aimanun ba'da aimanihim."
Kemudian berdirilah Amr bin Ash dan seorang lagi bersumpah untuk menjadi saksi sehingga diputuskan agar diambil kembali wang lima ratus dirham dari Adi bin Bada. (Diriwayatkan oleh at Tirmizi dan yang lainnya dari Ibnu Abbas dari Tamim ad Dari. Hadis ini daif menurut at Tirmizi)
KETERANGAN
Ad Dzahabi menetapkan bahawa Tamim di sini bukan Tamim ad Dari berdasarkan kepada ucapan Muqatil bin Hibban.
Al Hafiz Ibnu Hajar pula tidak mendapatkan keterangan yang jelas bahawa orang yang disebut dalam hadis itu adalah Tamim ad Dari.
No comments:
Post a Comment