Wahai orang Yang berselimut! (Surah al Muddatstsir:1)
bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). (Surah al Muddatstsir:2)
dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! (Surah al Muddatstsir:3)
dan pakaianmu, maka hendaklah Engkau bersihkan. (Surah al Muddatstsir:4)
dan Segala kejahatan, maka hendaklah Engkau jauhi. (Surah al Muddatstsir:5)
dan janganlah Engkau memberi (sesuatu, Dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya. (Surah al Muddatstsir:6)
dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah Engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)! (Surah al Muddatstsir:7)
Terdapat suatu riwayat yang mengemukakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Ketika aku sudah selesai uzlah selama sebulan di Hira', aku turun ke lembah. Setelah sampai ke tengah lembah, aku terdengar suara orang memanggilku, sedangkan aku tidak nampak sesiapa pun disana. Kemudian, aku mendongakkan kepala ke langit, dan tiba-tiba aku melihat malaikat yang pernah mendatangiku di gua Hira'. Aku bersegera pulang ke rumah dan berkata (kepada orang rumah): "Selimutilah aku, selimutilah aku."
Maka, turunlah ayat ini (Surah al Muddatstsir: 74: 1-2) sebagai perintah kepada baginda agar menyingkap selimutnya dan pergi berdakwah. (Diriwayatkan oleh as Syaikhani dari Jabir)
Dalam riwayat lain dikemukakan bahawa al Walid bin al Mughirah membuat makanan untuk kaum Quraisy. Ketika mereka makan-makan, al Walid berkata kepada teman-temannya: "Nama apa yang patut kalian berikan kepada orang seperti ini (Muhammad)?" Berkata yang lain: "Sahir (tukang sihir)." Yang lain pula berkata: "Dia bukan tukang sihir." Berkata pula yang lain: "Kahin (tukang tenung)." Berkata lagi yang lain: "Sya'ir (tukang syair)." Yang lain pula berkata: "Dia bukan tukang syair." Berkata yang lain pula: "Dia tukang sihir yang berkesan (berkesan kepada yang lain)." Semua perbicaraan ini sampai kepada Rasulullah s.a.w. sehingga baginda merasa sedih sehingga dia berselimut dan menutup kepalanya. Maka Allah menurunkan ayat-ayat dari (Surah al Muddatstsir: 74: 1-7) sebagai perintah ke atasnya untuk membuka selimut dan berdakwah. (K. Diriwayatkan oleh at Thabarani dengan sanad yang daif dari Ibnu Abbas)
"(Jangan engkau bimbang wahai Muhammad) biarkanlah Aku sahaja membalas orang (yang menentangmu) yang Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri (tidak berharta dan anak pinak). " (Surah al Muddatstsir: 74: 11)
Dalam suatu riwayat dikemukakan bahawa al Walid bin al Mughirah telah datang kepada Nabi s.a.w. Ketika itu Nabi s.a.w. sedang membaca al Quran, dan dia tertarik mendengar bacaan itu. Berita tentang kejadian ini sampai ke pengetahuan Abu Jahal sehingga dia sengaja berjumpa dengan al Walid sambil berkata: "Hai pak cik! Sesungguhnya kaum kamu akan mengumpulkan harta untuk diberikan kepadamu dengan harapan agar engkau mengganggu Muhammad." Al Walid berkata: "Bukankah kaum Quraisy telah mengetahui bahawa aku adalah orang yang paling kaya di antara mereka." Seterusnya Abu Jahal berkata lagi: "Kalau demikian, ucapkanlah suatu perkataan yang menunjukkan bahawa engkau ingkar dan benci kepadanya (Muhammad)."
Dia berkata: "Apa yang harus aku katakan, demi Allah, tidak ada di antara kalian yang lebih tinggi syair, sajak dan qasidah yang melebihi aku. Demi Allah sesungguhnya tidak ada yang menyerupai Muhammad sedikit pun dari yang aku tahu. Demi Allah ucapannya manis, bagus, indah, cemerlang dan gemilang. Ucapannya tinggi dan dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya, semua yang aku telah dengar lebih rendah daripadanya." Abu Jahal berkata: "Tidak akan senang kaummu sebelum engkau menunjukkan kebencian kamu kepadanya." Al Walid berkata lagi: "Baiklah aku akan berfikir dahulu." Setelah memikirkannya, lalu dia pun berkata: "Benar bahawa ucapannya itu merupakan sihir yang memberi kesan terhadap orang lain."
Maka, turunlah ayat ini (Surah al Muddatstsir: 74: 11) sebagai ancaman kepada orang-orang yang mendustakannya. (Diriwayatkan oleh al Hakim dari Ibnu Abbas. Sanad hadis ini sahih menurut syaratal Bukhari) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Jarirdan Ibnu Abi Hatim) "Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat)." (Surah al Muddatstsir: 74: 30)
"Dan (ketahuilah bahawa hikmat) Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal Neraka itu melainkan (dari kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebetul-betul makhluk yang menjalankan perintah Kami); dan (hikmat) Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan orang-orang kafir itu, supaya orang-orang yang diberi Kitab (Yahudi dan Nasrani) boleh percaya dengan yakin (akan kebenaran al Quran), dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya; dan juga supaya orang-orang yang diberi Kitab dan orang-orang yang beriman itu tidak ragu-ragu (tentang kebenaran keterangan itu); dan (sebaliknya) supaya orang-orang (munafik) yang ada penyakit (ragu-ragu) dalam hatinya dan orang-orang kafir berkata: "Apakah yang dimaksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil ini?" Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi hidayat pertunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturannya) dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dialah sahaja. Dan (ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia." (Surah al Muddatstsir: 74: 31)
Dalam suatu riwayat dikemukakan bahawa segolongan kaum Yahudi bertanya kepada salah seorang sahabat Nabi s.a.w. tentang penjaga neraka.
Maka, turunlah ayat ini (Surah al Muddatstsir: 74: 30) pada ketika itu juga, yang menjelaskan bahawa penjaganya ada seramai sembilan belas. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan al Baihaqi di dalam al Ba'ts dari al Barra')
Dalam suatu riwayat lain dikemukakan bahawa pada suatu hari Abu Jahal berkata: "Wahai golongan Quraisy! Muhammad mengatakan bahawa tentera Allah yang akan menyeksa kalian di neraka berjumlah sembilan belas orang, padahal bilangan kalian adalah lebih banyak. Apakah seratus orang daripada kalian tidak mampu mengalahkan salah seorang dari mereka?" Maka, turunlah ayat ini (Surah al Muddatstsir: 74: 31) yang menjelaskan bahawa penjaga itu bukan manusia tetapi malaikat dan jumlahnya itu hanya sebagai ujian di atas keimanan mereka. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Ishaq) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Abi Hatim dari Qatadah)
Dalam suatu riwayat lain pula dikemukakan bahawa setelah turun ayat: "alaiha tis'ata 'asyara" (Surah al Muddatstsir: 74: 30) berkata seorang Quraisy yang bernama Abal Asad: "Wahai kaum Quraisy! Jangan takut pada yang sembilan belas, Aku sendiri akan melawannya dengan pundakku yang disebelah kanan sepuluh dan di sebelah kiri sembilan." Maka, turunlah ayat seterusnya (Surah al Muddatstsir: 74: 31 ) yang menjelaskan bahawa penjaga itu adalah malaikat. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari as Suddi)
"(Mereka tidak merasa cukup dengan peringatan itu) bahkan tiap-tiap seorang di antaranya mahu supaya diberi kepadanya lembaran surat yang terbuka (yang diturunkan dari langit untuk dibaca oleh mereka sendiri). " (Surah al Muddatstsir: 74: 52)
"Sebenarnya! (Bukan kerana kemahuan mereka tidak berhasil), bahkan mereka (tidak percaya dan) tidak takut akan hari akhirat." (Surah al Muddatstsir: 74: 53)
Dalam suatu riwayat dikemukakan bahawa kaum Quraisy berkata: "Sekiranya Muhammad seorang yang benar, hendaklah dia membuat surat jaminan kepada setiap orang, yang menerangkan bahawa mereka bebas dan selamat dari neraka."
Maka turunlah ayat ini (Surah al Muddatstsir: 74:52-53) berkenaan dengan peristiwa itu. (Diriwayatkan oleh Ibnu Munzir dari as Suddi)
No comments:
Post a Comment