Tuesday, July 30, 2013

SURAH AL KAAFIRUUN

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir!" (Surah al Kaafiruun: 109:1)

"Aku tidak akan menyembah apa yang kamu semibah?." (Surah al Kaafiruun: 109: 2)

"Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku semban." (Surah al Kaafiruun: 109: 3)

"Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat." (Surah al Kaafiruun: 109:4)

"Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat." (Surah al Kaafiruun: 109: 5)

"Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku." (Surah al Kaafiruun: 109: 6)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa kaum Quraisy berusaha untuk mempengaruhi Nabi dengan menawarkan harta kekayaan agar baginda menjadi seorang yang paling kaya di kota Mekah dan baginda akan dikahwinkan dengan perempuan yang baginda kehendaki. Mereka menyampaikan semua ini dengan berkata: "Inilah yang kami sediakan untukmu wahai Muhammad, tetapi dengan syarat janganlah engkau memaki hamun tuhan kami dan memburukkannya atau sembahlah tuhan-tuhan kami selama setahun." Nabi s.a.w. menjawab: "Aku akan menunggu wahyu dari Tuhanku."

Penurunan ayat ini (Surah al Kaafiruun: 109:1-6) adalah berhubung dengan peristiwa di atas dan sebagai perintah untuk menolak kaum kafir tersebut. Kemudian turun pula ayat ini (Surah az Zumar: 39: 64) sebagai perintah untuk menolak ajakan orang-orang bodoh yang menyembah berhala. (Diriwayatkan oleh at Thabarani dan Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Abbas)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa kaum Quraisy berkata kepada Nabi s.a.w: "Sekiranya engkau tidak keberatan mengikut kami menyembah berhala selama setahun, kami akan mengikut agamamu selama setahun pula." Maka turunlah surah ini. (Diriwayatkan oleh Abdul Razak dari Wahab dan Ibnu Munzir dari Juraij)

Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa al Walid bin al Mughirah, al Ashi bin Wail, al Aswad bin al Muthalib dan Umayyah bin Khalaf bertemu dengan Rasulullah dan berkata: "Hai Muhammad! Mari kita bersama-sama menyembah apa yang kami sembah dan kami akan menyembah apa yang engkau sembah dan kita bersekutu dalam segala perkara dan engkaulah yang memimpin kami." Maka Allah menurunkan ayat di dalam surah ini. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Said bin Mina)


No comments:

Post a Comment