Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa surah al Fath ini dari awal hingga akhir diturunkan pada peristiwa Hudaibiyah iaitu suatu tempat yang terletak di antara Mekah dan Madinah. (Diriwayatkan oleh al Hakim dan yang lainnya dari al Miswar bin Mikramah dan Marwan bin al Hakam)
"Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayat kejalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya)." (Surah al Fath: 48: 2)
"(Allah melakukan yang demikian) supaya ia memasukkan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dengan keadaan kekal mereka di dalamnya, serta menghapuskan dosa-dosa mereka; dan adalah yang demikian itu pada sisi Allah merupakan kejayaan yang besar (untuk mereka)." (Surah al Fath: 48: 5)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika Rasulullah pulang dari Hudaibiyah baginda bersabda kepada para sahabat: "Telah turun kepadaku ayat-ayat yang paling kucintai melebihi apa-apa yang ada di atas muka bumi ini."
Kemudian Rasulullah membacakan ayat itu (Surah al Fath: 48: 2) kepada mereka. Mereka berkata: "Betapa untung dan bahagianya tuan, ya Rasulullah! Allah telah menerangkan nasib tuan di kemudian hari dan bagaimana dengan nasib kami?"
Maka turunlah ayat yang berikutnya (Surah al Fath: 48: 5) sebagai penjelasan akan nasib mereka di akhirat. (Diriwayatkan oleh as Syaikhani, at Tirmizi dan al Hakim dari Anas)
Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang Yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa Yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) Yang ada Dalam hati mereka, lalu ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka Dengan kemenangan Yang dekat masa datangnya; (Surah al Fath: 48: 18)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika para sahabat sedang beristirahat pada siang hari, datanglah seorang utusan Rasulullah dan berseru: "Hai kaum Muslimin, marilah kita berbaiah". [Pada ketika itu tersiar berita bahawa Uthman bin Affan utusan Rasulullah ke Mekah telah dibunuh oleh orang kafir Quraisy. Oleh sebab itu timbullah semangat dari kaum Mukminin untuk memerangi mereka. Maka mereka berbaiah kepada Rasulullah. Akan tetapi pada waktu itu Uthman dikembalikan semula oleh kaum kafir Quraisy. Maka terjadilah perjanjian Hudaibiyah. (Muhammad Sayyid Kaelani, Ainal Yakin fi shiraatil mursalin, Mustafa al Bab al halabi, Cairo 1956, hal 88] Maka kaum Muslimin dengan segera datang mengadap Rasulullah yang pada ketika itu sedang berteduh di bawah pohon samurah. Kemudian mereka berbaiah kepada Rasulullah. Maka penurunan ayat ini (Surah al Fath: 48: 18) menceritakan peristiwa di atas dan menjanjikan ketabahan dan kemenangan buat mereka. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Salamah bin al Akwa)
"Dan Dia lah yang telah menahan tangan mereka (yang musyrik) daripada melakukan perkara yang buruk terhadap kamu, dan tangan kamu daripada berbuat demikian kepada mereka di kawasan Makkah, sesudah la menjadikan kamu dapat menewaskan mereka. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan." (Surah al Fath: 48: 24)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa terdapat 80 orang pasukan musuh yang lengkap bersenjata ketika terjadinya perjanjian Hudaibiyah. Mereka ini berniat untuk menyerang pasukan Rasulullah dari gunung Taim. Akan tetapi mereka diserbu dan ditawan oleh pasukan muslimin kemudian dilepaskan kembali atas perintah Rasulullah. Maka ayat ini (Surah al Fath: 48: 24) turun berkenaan dengan peristiwa di atas yang menceritakan kemenangan kaum Muslimin tanpa ada pertumpahan darah. (Diriwayatkan oleh Muslim, at Tirmizi dan an Nasa'I dari Anas) (K. Dan diriwayatkan pula oleh Muslim dari Hadis Salamah bin al Akwa) (K. Dan diriwayatkan pula oleh Ahmad dan an Nasa'i dari Hadis Abdullah bin Mughaffal al Muzani) (K. Dan Ibnu Ishaq dari Hadis Ibnu Abbas)
"Mereka itulah orang-orang yang kafir dan menghalang kamu daripada masuk ke masjid al-Haraam (Makkah al-Mukarramah) serta (menyebabkan) binatang-binatang korban (yang kamu bawa): tertahan dari sampai ke tempat sembelihannya. Dan kalaulah tidak kerana kemungkinan kamu akan melakukan pembunuhan yang tidak sengaja terhadap beberapa orang yang beriman, lelaki dan perempuan, yang ada di antara orang-orang kafir itu, pada hal kamu tidak mengetahui mereka beriman, yang akibatnya kamu akan menanggung kesusahan dan dukacita disebabkan pembunuhan mereka, - (tentulah diizinkan kamu menyerang kaum musyrik yang mengancam kamu itu). (Tetapi tidak diizinkan) kerana Allah hendak memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya ke dalam rahmatNya. Kalaulah mereka (penduduk Makkah - yang beriman dan yang musyrik) itu berpisahan (di antara satu puak dengan yang lain), tentulah Kami menyeksa orang-orang yang kafir dari mereka dengan seksa (di dunia) yang tidak terperi sakitnya." (Surah al Fath: 48: 25)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Abi Jum'ah Junbuz bin Sabu berperang menentang Rasulullah pada siang hari sebagai seorang kafir. Akan tetapi pada petang harinya dia bersama kawannya yang terdiri dari 3 lelaki dan 7 wanita berperang bagi pihak Rasulullah sebagai seorang Muslim. Oleh itu dia mengatakan bahawa ayat ini (Surah al Fath: 48:25) turun menceritakan keadaan dirinya dan kawan-kawannya. (Diriwayatkan oleh at Thabarani dan Abu Ya'la dari Abi Jum'ah Junbuz bin Sabu)
"Demi sesungguhnya! Allah tetap menyatakan benar RasulNya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar; iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid al-Haraam, Insya-Allah (pada masa yang ditentukanNya) dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadat umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ). (Allah menangguhkan berlakunya kenyataan itu) kerana la mengetahui (adanya faedah dalam penangguhan itu) yang kamu tidak mengetahuinya; maka la menyediakan sebelum (terlaksananya mimpi) itu, satu kemenangan yang dekat (masa berlakunya)." (Surah al Fath: 48: 27)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika Rasulullah berada di Hudaibiyah, baginda bermimpi masuk ke Mekah bersama sahabatnya dengan aman dan tenteram.
Dalam mimpi itu baginda melihat sebahagian dari sahabatnya bercukur bersih dan sebahagian lagi rambutnya digunting pendek sebagai tanda telah selesai melakukan ihram. Akan tetapi dengan adanya perjanjian Hudaibiyah mereka tidak dapat melaksanakan ihram sehingga akhirnya Rasulullah memberikan perintah kepada mereka untuk menyembelih korban sebagai tanda tahalul. Para pengikut Nabi yang munafik itu meminta bukti akan mimpi Rasulullah itu dengan berkata: "Mana ya Rasulullah, bukti mimpimu itu?"
Maka turunlah ayat ini (Surah al Fath: 48: 27) sebagai janji akan kebenaran mimpi Rasulullah itu dan ia akan dapat dilaksanakan. (Diriwayatkan oleh al Faryabi, Abd bin Hamid dan al Baihaqi di dalam kitab ad Dalail dari Mujahid)
No comments:
Post a Comment