Tuesday, July 23, 2013

Surah al Hasyr

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa surah al Anfal turun ketika perang Badar dan surah al Hasyr ini pula turun ketika perang Bani Nadhir. (Diriwayatkan oleh al Bukhari dari Ibnu Abbas)

"Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucapkan tasbih kepada Allah. Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah al Hasyr: 59:1)

"Dialah yang telah mengeluarkan orang kafir di antara Ahli Kitab dari kampung-kampung halaman mereka pada julung-julung kali mereka berhimpun hendak memerangi Rasulullah. Kamu (wahai umat Islam) tidak menyangka bahawa mereka akan keluar (disebabkan bilangannya yang ramai dan pertahanannya yang kuat), dan mereka pula menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan serta memberi perlindungan kepada mereka (dari azab) Allah. Maka Allah menimpakan (azabNya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas dalam fikiran mereka, serta dilemparkanNya perasaan cemas takut ke dalam hati mereka, (lalu) mereka membinasakan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri (dari dalam sambil tangan orang yang beriman (yang mengepung mereka berbuat demikian dari luar). Maka insaflah dan ambillah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya." (Surah al Hasyr: 59: 2)

"Dan kalaulah tidak kerana Allah telah menetapkan pengusiran (yang demikian buruknya) terhadap mereka, tentulah la akan menyeksa mereka didunia, dan mereka pula akan beroleh azab seksa Neraka pada hari akhirat kelak." (Surah al Hasyr: 59: 3)

"(Mereka ditimpakan azab) yang demikian, kerana mereka menentang (perintah) Allah dan RasulNya. Dan (ingatlah), sesiapa yang menentang (perintah) Allah, maka sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya." (Surah al Hasyr: 59: 4)

"Mana-mana jua pohon kurma (kepunyaan musuh) yang kamu tebang atau kamu biarkan tegak berdiri seperti keadaannya yang asal, maka yang demikian adalah dengan izin Allah (kerana la hendak memberi kemenangan kepada orang mukmin), dan kerana la hendak menimpakan kehinaan kepada orang yang fasik." (Surah al Hasyr: 59: 5)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa selepas enam bulan berlakunya perang Badar, Rasulullah telah mengepung kaum Yahudi Bani Nadhir [Mereka ini adalah golongan yang mengkhianati Rasulullah. Ketika Rasulullah akan mengadakan perbicaraan mengenai kaum Muslimin yang dibunuh oleh kaum Yahudi, baginda dikhianati dengan mereka menyimpan batu di atas pintu masuk supaya baginda ditimpa batu tersebut] yang tinggal dan berkebun kurma di luar kota Madinah. Mereka diusir keluar dari Madinah dan dibenarkan kepada mereka untuk membawa harta kekayaan sekadar yang mampu dipikul oleh unta akan tetapi tidak dibenarkan membawa senjata.

Maka ayat ini (Surah al Hasyr: 59: 1-5) turun berkenaan dengan peristiwa tersebut yang menceritakan bahawa orang yang melakukan pengkhianatan akan mendapat balasannya. (Diriwayatkan oleh al Hakim dan disahihkannya dari Aisyah)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Rasulullah membakar pohon-pohon kurma Bani Nadhir dan memotong sebahagiannya. Maka ayat ini (Surah al Hasyr: 59: 5) turun sebagai keterangan bahawa tindakan yang dilakukan oleh Rasulullah bersama sahabatnya kepada Bani Nadhir itu dibenarkan oleh Allah. (Diriwayatkan oleh al Bukhari dan perawi lain dari Ibnu Umar)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Rasulullah pernah memberi izin untuk memotong pokok-pokok kurma dan kemudian baginda melarangnya dengan keras. Oleh itu, para sahabat datang mengadap kepada baginda dan bertanya: "Ya Rasulullah! Apakah kami ini telah berdosa kerana telah memotong sebahagian dari pokok kurma dan membiarkan sebahagian lagi." Maka ayat ini (Surah al Hasyr: 59: 5) turun berkenaan dengan pristiwa tersebut yang membenarkan tindakan mereka. (Diriwayatkan oleh Abu Ya'la dengan sanad yang daifdari Jabir)

Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa ketika Nabi sampai ke tempat Bani Nadhir mereka telah bersembunyi di dalam benteng. Rasulullah memerintahkan untuk menebang pokok kurma dan membakarnya sehingga berasap. Kemudian Bani Nadhir menjerit-jerit memanggil Rasulullah: "Hai Muhammad! Engkau telah melarang melakukan kerosakan di bumi dan mencela orang yang melakukan kerosakan, akan tetapi mengapa engkau menebang pokok kurma dan membakarnya?" Ayat ini (Surah al Hasyr: 59: 5) turun berkenaan dengan peristiwa itu yang membenarkan Rasulullah dalam memusnahkan kaum yang fasik. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq dari Yazid bin Ruman) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Jarir dari Qatadah dan Mujahid)

"Dan orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula di dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekali pun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya." (Surah al Hasyr: 59: 9)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa kaum Ansar berkata: "Ya Rasulullah! Bahagilah tanah ini kepada dua iaitu kepada kami kaum Ansar dan kaum Muhajirin." Nabi bersabda: "Tidak! Penuhi sahajalah keperluan mereka dan bagilah buah kurmanya, dan tanah itu tetap kepunyaanmu." Mereka menjawab: "Kami redha di atas keputusan tersebut!"

Maka turunlah ayat ini (Surah al Hasyr: 59:9) yang menggambarkan sifat-sifat kaum Ansar yang tidak mementingkan diri sendiri. (Diriwayatkan oleh Ibnu Munzir dari Yazid al Asham)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa seorang lelaki datang mengadap Nabi dan berkata: "Ya Rasulullah! Saya lapar." Kemudian Rasulullah meminta makanan dari isteri-isterinya, akan tetapi ternyata tidak ada makanan sama sekali. Kemudian Rasulullah bersabda: "Siapa di antara kalian semua yang bersedia untuk memberi makan kepada tetamu ini pada malam ini? Mudah-mudahan Allah memberi rahmat kepadanya."

Seorang Ansar menjawab: "Saya ya Rasulullah." Dia pun pergi kepada isterinya dan berkata: "Sediakan makanan yang ada kepada tetamu Rasulullah." Isterinya menjawab: "Demi Allah tidak ada makanan kecuali sedikit untuk anak-anak." Suaminya berkata: "Apabila mereka ingin makan, tidurkan mereka dan padamkan lampu, biar kita menahan lapar pada malam ini." Maka isterinya melaksanakan permintaan suaminya.

Pada keesokan harinya Rasulullah bersabda: "Allah kagum dan gembira kerana perbuatan seorang sahabat suami isteri itu." Maka ayat ini (Surah al Hasyr: 59: 9) turun berkenaan dengan peristiwa itu yang menceritakan perbuatan seseorang yang melebihkan kepentingan orang lain. (Diriwayatkan oleh al Bukhari dari Abi Hurairah)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa tetamu Rasulullah itu bernama Thabit bin Qais bin Syammas. Ayat ini (Surah al Hasyr: 59: 9) turun berkenaan dengan peristiwa itu. (Diriwayatkan oleh al Musaddad di dalam musnadnya dan Ibnu Munzir dari Abi Mutawakil an Naji)

Dalam riwayat lain juga ada dikemukakan bahawa salah seorang dari sahabat Rasulullah diberi kepala kambing. Dalam hatinya berkata: "Mungkin ada orang lain yang lebih memerlukannya daripadaku." Pada ketika itu juga kepala kambing itu dikirimkan kepada kawannya, akan tetapi kawannya itu mengirimkan pula kepada orang lain sehingga berpindah-pindah sampai kepada tujuh rumah dan akhirnya kembali kepada yang pertama.

Maka ayat ini (Surah al Hasyr: 59: 9) turun berkenaan dengan peristiwa itu yang menceritakan bahawa setiap umat Islam akan selalu memerhatikan nasib sesamanya. (Diriwayatkan oleh al Wahidi dari Muharib bin Ditsardari Ibnu Umar)

"Tidakkah engkau melihat dan merasa hairan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang munafik itu? Mereka tergamak berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir dari kalangan (kaum Yahudi) ahli Kitab: "Sesungguhnya, kalau kamu dihalau keluar sudah tentu kami akan keluar bersama-sama kamu, dan kami tidak akan tunduk taat kepada sesiapa pun menentang kami selama-lamanya; dan kalau kamu diperangi, sudah tentu kami akan membela kamu!" Padahal Allah mengetahui dan menyaksikan bahawa sebenarnya mereka adalah pendusta." (Surah al Hasyr: 59:11)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa beberapa orang dari Bani Quraizah telah memeluk Islam dan di antara mereka terdapat orang-orang munafik. Orang-orang munafik itu berkata kepada Bani Nadhir: "Sekiranya kalian semua diusir, kami pun akan keluar bersamamu."


Maka turunlah ayat ini (Surah al Hasyr: 59:11) berkenaan dengan peristiwa tersebut yang menceritakan sifat-sifat orang munaflk yang selalu berdusta. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari as Suddi)

1 comment: