Wahai orang-orang Yang beriman!
janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, Dengan
cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin)
Dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra Yang ada di antara kamu Dengan
mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) Yang sampai
kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga
mengeluarkan kamu (dari tanah suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah
Tuhan kamu. (janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk
berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (tidak ada sebarang
faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra Dengan mereka secara rahsia,
sedang Aku amat mengetahui akan apa Yang kamu rahsiakan dan apa Yang kamu
zahirkan. dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu Yang melakukan perkara Yang
demikian, maka Sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan Yang betul. (Surah al Mumtahanah:1)
jika mereka dapat Menguasai kamu,
nescaya mereka menjadi musuh Yang membahayakan kamu, dan mereka akan
membebaskan tangan mereka dan lidah mereka terhadap kamu Dengan kejahatan,
serta mereka suka kalaulah kamu juga menjadi kafir (seperti mereka). (Surah al Mumtahanah:2)
kaum kerabat kamu dan anak-anak
kamu (yang tidak menurut kamu beriman) tidak sekali-kali akan mendatangkan
sebarang faedah kepada kamu pada hari kiamat; Allah akan memisahkan di antara
kamu semua (pada hari itu). dan (ingatlah), Allah Maha melihat Segala Yang kamu
kerjakan. (Surah al Mumtahanah:3)
Sesungguhnya adalah bagi kamu
pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya - contoh ikutan Yang
baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar):
"Sesungguhnya Kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa Yang kamu
sembah Yang lain dari Allah; Kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan
(dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara Kami Dengan
kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata", tetapi
janganlah dicontohi perkataan Nabi Ibrahim kepada bapanya (katanya): "Aku
akan memohon kepada Tuhanku mengampun dosamu, dan Aku tidak berkuasa menahan
(azab seksa) dari Allah sedikit juapun daripada menimpamu". (Berdoalah
Wahai orang-orang Yang beriman sebagaimana Nabi Ibrahim dan
pengikut-pengikutnya berdoa ketika mereka memusuhi kaumnya Yang kafir, Dengan
berkata): "Wahai Tuhan kami! kepada Engkaulah sahaja Kami berserah diri,
dan kepada Engkaulah Kami rujuk bertaubat, serta kepada Engkaulah jua tempat
kembali (Surah al Mumtahanah:4)
Dalam
suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Rasulullah s.a.w. mengutus Ali, Zubair dan
al Miqdad bin al Aswad dengan bersabda: "Pergilah kalian semua ke kebun
Khakh. Di sana kalian semua akan bertemu dengan seorang wanita yang membawa
surat. Ambillah surat itu daripadanya dan bawalah surat itu kepadaku." Kemudian
mereka berangkat hingga sampai ke tempat yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Di
situ mereka bertemu dengan seorang wanita yang sedang naik unta.
Berkatalah mereka: "Berikan surat itu
kepadaku." Dia menjawab: "Saya tidak membawa surat." Mereka berkata:
"Sekiranya engkau tidak menyerahkannya akan kami telanjangi engkau." Maka
dengan bersusah payah dia pun mengeluarkan surat itu dari sanggul rambutnya.
Kemudian mereka membawa surat itu kepada Rasulullah.
Ketika diperiksa ternyata surat itu dari golongan para sahabat yang bernama
Hatib bin Abi Baltaah. Surat itu ditujukan kepada orang musyrikin di Mekah
dengan isi kandungannya memberitahu beberapa perintah Rasulullah kepada mereka.
Akhirnya Hatib bin Abi Baltaah dipanggil oleh Rasulullah.
Setelah berada di hadapan Rasulullah, Rasulullah
bertanya kepada Hatib: "Apakah ini wahai Hatib? (sambil menunjukakan surat
tersebut)." Hatib menjawab dengan ketakutan: "Janganlah tergesa-gesa
menghukum aku ya Rasulullah. Aku mempunyai teman dari golongan Quraisy, akan
tetapi aku sendiri tidak termasuk golongan mereka. Sesungguhnya di antara
sahabat-sahabat kaum Muhajirin yang ada sekarang, mereka mempunyai kaum kerabat
di sana yang boleh menjaga keluarga dan harta benda mereka. Akan tetapi aku
tidak mempunyai kaum kerabat seperti mereka.
Oleh kerana itu, aku ingin berbudi kepada mereka
supaya mereka boleh menjaga keluargaku yang lemah serta harta bendaku. Aku
melakukan demikian bukan kerana aku kufur atau murtad dari Agama dan bukan juga
aku redha akan kekufuran." Rasulullah bersabda: "Dia mengatakan yang
sebenarnya."
Maka ayat ini (Surah al Mumtahanah: 60: 1-4) [At
Thabari, juz XXVIII, hal 58-59] turun berhubung dengan peristiwa tersebut. Ayat
ini turun sebagai larangan kepada kaum Mukminin dari memberi khabar berita
kepada kaum kafir kerana perasaan cinta terhadap mereka. (Diriwayatkan oleh as
Syaikhani dari Ali)
"Allah tidak
melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak
memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung
halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil." (Surah
al Mumtahanah: 60: 8)
Dalam suatu riwayat
ada dikemukakan bahawa seorang wanita kafir yang bernama Qatilah iaitu ibu
kandung kepada Asma datang kepada Asma binti Abi Bakar. Setelah
itu Asma bertanya kepada Rasulullah: "Bolehkah saya berbuat baik
kepadanya?" Rasulullah menjawab: "Ya boleh."
Maka turunlah ayat
ini (Surah al Mumtahanah: 60: 8) sebagai penjelasan bahawa Allah tidak melarang
berbuat baik kepada orang yang tidak memusuhi agama Allah. (Diriwayatkan
oleh al Bukhari dari Asma binti Abu Bakar)
Dalam riwayat lain
ada dikemukakan bahawa Siti Qatilah iaitu bekas isteri Abu Bakar yang telah
diceraikannya pada zaman jahiliyah datang kepada anaknya yang bernama Asma
binti Abi Bakar membawa bungkusan. Asma menolak pemberian itu, malahan tidak mempelawa ibunya masuk ke dalam
rumahnya. Kemudian dia telah mengutus seseorang kepada Aisyah untuk bertanya
tentang perkara ini kepada Rasulullah. Maka Rasulullah memerintahkan untuk
menerimanya dengan baik serta menerima pula bungkusan yang dibawa itu.
Maka ayat ini (Surah
al Mumtahanah: 60: 8) turun berhubung dengan peristiwa ini sebagai penjelasan
bahawa Allah tidak melarang berbuat baik kepada orang kafir yang tidak memusuhi
agama Allah. (Diriwayatkan oleh Ahmad dan al Bazzardan al Hakim yang disahihkannya dari
Abdullah bin Zubair)
"Wahai orang yang beriman! Apabila orang
perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah (iman)
mereka; Allah lebih mengetahui akan iman mereka; dengan yang demikian,
sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu
mengembalikan mereka kepada orang yang kafir. Mereka tidak halal bagi orang
kafir itu (sebagai suami). Dan berilah kepada suami-suami (yang kafir) itu apa
yang mereka telah belanjakan. Dan tidaklah menjadi salah kamu berkahwin dengan
mereka (perempuan-perempuan yang berhijrah itu) apabila kamu memberi kepada
mereka mas kahwinnya. Dan janganlah kamu (wahai orang Islam) tetap berpegang
kepada akad perkahwinan kamu dengan perempuan-perempuan yang (kekal dalam
keadaan) kafir, dan mintalah balik mas kahwin yang kamu telah berikan, dan
biarkanlah mereka (suami-suami yang kafir itu) meminta balik apa yang mereka
telah belanjakan. Demikianlah hukum Allah, la hukumkan di antara kamu (dengan
adil). Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Surah
al Mumtahanah: 60:10)
Dalam suatu riwayat
ada dikemukakan bahawa setelah Rasulullah membuat perjanjian dengan kaum kafir
Quraisy di dalam naskah Hudaibiyah, datanglah para wanita Mukminat dari Mekah.
[Di dalam perjanjian tu disebutkan bahawa Rasulullah harus mengembalikan kaum
Mukminin yang berhijrah dari Mekah ke Madinah tetapi tidak disebutkan pengembalian
kaum Mukminat] Maka turunlah ayat ini (Surah al Mumtahanah: 60: 10) sebagai
perintah untuk menguji dahulu kaum wanita yang berhijrah itu dan tidak boleh
dikembalikan semula ke Mekah. (K. Diriwayatkan oleh as Syaikhani dari al
Miswar dan Marwan bin al Hakam)
Dalam riwayat lain
ada dikemukakan bahawa setelah berlaku perjanjian Hudaibiyah Ummu Kalthum binti
Uqbah bin Abi Muaith berhijrah dari Mekah ke Madinah. Akan
tetapi dua orang saudaranya yang bernama Imarah dan al Walid bin Uqbah
mengekori Ummu Kalthum sehingga sampai kepada Nabi. Keduanya meminta agar Ummu
Kalthum diserahkan kembali kepada mereka.
Maka dengan penurunan ayat ini (Surah al Mumtahanah:
60: 10) Allah membatalkan perjanjian Rasulullah dengan kaum Musyrikin khusus
tentang wanita-wanita, iaitu melarang kaum wanita yang beriman dikembalikan
kepada kaum musyrikin. (K. Diriwayatkan oleh at Thabarani dengan sanad yang
lemah dari Abdullah bin Abi Ahmad)
Dalam riwayat lain
ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah al Mumtahanah: 60: 10) turun berkenaan
dengan kisah Umaimah binti Basyar isteri kepada Abi Hasan ad Dahdahah yang
berhijrah dari Mekah selepas perjanjian Hudaibiyah. (K.
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Yazid bin Abi Habib)
Dalam riwayat lain
ada dikemukakan bahawa Saidah isteri kepada Shaifi bin ar Rahib berhijrah dari
Mekah ke Madinah meninggalkan suaminya yang musyrik. Dia
berhijrah selepas perjanjian Hudaibiyah. Maka kaum Quraisy menuntut supaya
dirinya dikembalikan ke Mekah. Oleh itu, dengan penurunan ayat ini (Surah al
Mumtahanah: 60:10) dia tidak dikembalikan. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim
dari Muqatil)
Dalam riwayat lain
ada dikemukakan bahawa az Zuhri datang mengadap kepada Nabi yang sedang berada
di lembah Hudaibiyah. Pada waktu itu Rasulullah sedang membuat perjanjian Hudaibiyah
yang isi kandungannya antara lain: "Barangsiapa yang melarikan diri ke
Madinah hendaklah dikembalikan ke Mekah." Akan tetapi ketika para wanita
yang sudah memeluk Islam melarikan diri kepada pihak Mukminin, turunlah ayat
ini (Surah al Mumtahanah: 60: 10) yang melarang mengembalikan semula para
Mukminat ke Mekah. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari az Zuhri)
Dalam riwayat lain
juga, ada dikemukakan bahawa Umar bin Khattab masuk Islam tetapi isterinya
masih lagi mengikut kaum musyrikin.
Maka turunlah ayat
ini (Surah al Mumtahanah: 60: 10) yang melarang kaum Mukminin dari berpegang
pada perkahwinan dengan wanita kafir. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu
Man! dari al Kalbi, dari Abi Salleh dari Ibnu Abbas)
"Dan sekiranya
kamu tidak dapat menerima balik sesuatu dari mas kahwin isteri-isteri kamu
(yang menjadi murtad serta) melarikan diri ke pihak orang kafir, kemudian kamu
menyerang puak yang kafir itu serta mendapat harta rampasan maka berikanlah
kepada orang (Islam) yang lari isteri-isteri itu ganti mas kahwinnya sebanyak yang
mereka telah bayar. Dan bertakwalah kamu kepada Allah yang kamu beriman
kepadaNya. " (Surah al Mumtahanah: 60: 11)
Dalam suatu riwayat
ada dikemukakan bahawa ayat di atas turun berkenaan dengan Ummu Hakam binti Abi
Sufyan yang murtad kemudian melarikan diri dari suaminya bahkan seterusnya dia
bernikah dengan seorang lelaki dari bangsa Thaqif.
Dalam hadis ini juga ada dikemukakan bahawa tidak ada
seorang pun wanita lain dari bangsa Quraisy yang murtad kecuali dirinya. Maka
ayat ini (Surah al Mumtahanah: 60: 11) turun sebagai perintah untuk membayar
mas kahwin daripada ghanimah yang diperolehi kepada lelaki yang telah
ditinggalkan oleh isterinya yang murtad kembali. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi
Hatim dari al Hasan)
"Wahai orang
yang beriman! Janganlah kamujadikan teman rapat mana-mana kaum yang dimurkai
Allah, mereka telah berputus asa daripada mendapat kebaikan akhirat,
sebagaimana berputus asanya orang kafir yang ada di dalam kubur. " (Surah
al Mumtahanah: 60: 13)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Abdullah
bin Umar dan Zaid bin al Harts berkawan rapat dengan kaum Yahudi. Maka turunlah
ayat ini (Surah al Mumtahanah: 60: 13) sebagai larangan berkawan dengan kaum
yang dimurkai oleh Allah. (Diriwayatkan oleh Ibnu Munzir dari Ibnu Ishaq dari Ikrimah dan Abu Said
dari Ibnu Abbas)
No comments:
Post a Comment