Tuesday, July 23, 2013

Surah al Mujaadalah

Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan Yang bersoal jawab denganmu (Wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil ia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara Yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (Surah al Mujaadalah:1)

orang-orang Yang "ziharkan" isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang Yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan Yang melahirkan mereka. dan Sesungguhnya mereka (dengan melakukan Yang demikian) memperkatakan suatu perkara Yang mungkar dan dusta. dan (ingatlah), Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun. (Surah al Mujaadalah:2)

dan orang-orang Yang "ziharkan" isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa Yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadaNya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum Yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara Yang mungkar itu). dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya akan apa Yang kamu lakukan. (Surah al Mujaadalah:3)

Kemudian, sesiapa Yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. akhirnya sesiapa Yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah ia memberi makan enam puluh orang miskin. ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliyah). dan itulah batas-batas hukum Allah; dan bagi orang-orang Yang kafir disediakan azab seksa Yang tidak terperi sakitnya. (Surah al Mujaadalah:4)

Sesungguhnya orang-orang Yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, mereka tetap ditimpa kehinaan sebagaimana orang-orang Yang terdahulu dari mereka ditimpa kehinaan; kerana Sesungguhnya Kami telah menurunkan keterangan-keterangan Yang jelas nyata. dan bagi orang-orang Yang kafir disediakan azab seksa Yang menghina, (Surah al Mujaadalah:5)

semasa mereka semuanya dibangkitkan hidup semula oleh Allah (pada hari kiamat), lalu diterangkan kepada mereka Segala Yang mereka telah kerjakan. Allah telah menghitung amal-amal mereka itu satu persatu, sedang mereka telah melupakannya. dan (ingatlah), Allah menjadi saksi akan tiap-tiap sesuatu. (Surah al Mujaadalah:6)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Siti Aisyah berkata: "Maha Suci Allah yang pendengaranNya meliputi segala sesuatu.

Aku mendengar Khaulah binti Tha'labah mengadu tentang suaminya yang bernama Aus bin as Shamit kepada Rasulullah. Akan tetapi aku tidak mendengar keseluruhan pengaduannya. Dia berkata: "Masa mudaku telah berlalu, perutku telah kerepot, aku telah tua bangka dan aku tidak akan melahirkan anak lagi. Oleh itu suamiku telah menziharkanku. Allahuma aku mengadu kepadaMu. " Dia mengadu kepada Allah tanpa henti sehingga Jibril turun membawa ayat ini (Surah al Mujaadalah: 58: 1-6). Di dalam ayat ini diceritakan bahawa Allah mendengar pengaduannya dan menetapkan hukum zihar serta melarang mengadakan zihar. (Diriwayatkan oleh al Hakim yang mensahihkannya dari Aisyah)

"Tidakkah engkau memerhatikan (wahai Muhammad) akan orang-orang (Yahudi) yang telah dilarang daripada perbuatan berbisik-bisik, kemudian mereka berbalik melakukan perbuatan yang telah dilarang itu serta mereka berbisik-bisik berkenaan dengan melakukan dosa dan pencerobohan serta kederhakaan kepada Rasulullah? Dan lagi apabila mereka datang kepadamu, mereka memberi salam hormat bukan dengan lafaz salam hormat yang diberikan Allah kepadamu; dan mereka berkata sesama sendiri: "(Kalau benar Muhammad utusan Tuhan, maka) sepatutnya kami diseksa oleh Allah disebabkan (kata-kata buruk) yang kami ucapkan itu?" Cukuplah untuk mereka neraka Jahanam, yang mereka akan dibakar di dalamnya; maka itulah seburuk-buruk tempat kembali." (Surah al Mujaadalah: 58: 8)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa terdapat suatu perjanjian iaitu tidak saling bermusuhan di antara Nabi dengan kaum Yahudi. Oleh yang demikian di dalam situasi ini apabila seorang sahabat lalu di hadapan kaum Yahudi, kemudian mereka berbisik-bisik dengan kawan-kawannya sehingga orang yang lalu itu merasa bahawa mereka berunding akan membunuhnya atau memfitnah dirinya. Oleh kerana itu, Rasulullah melarang berbisik-bisik di hadapan orang lain. Akan tetapi larangan tersebut tidak diendahkan.

Maka ayat ini (Surah al Mujaadalah: 58: 8) turun berkenaan dengan peristiwa tersebut. Ayat ini turun sebagai ancaman hukuman terhadap orang-orang yang tidak menghentikan perbuatan seperti itu. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Muqatil bin Hayyan)

Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa kaum Yahudi memberi salam kepada Rasulullah dengan ucapan : "Sam 'alaikum" (mudah-mudahan kamu mati). Akan tetapi di dalam hati, mereka takut akan seksaan di atas ucapan tersebut. Maka ayat ini (Surah al Mujaadalah: 58: 8) turun berkenan dengan peristiwa tersebut dan mengancam mereka dengan seksaan neraka jahanam. (Diriwayatkan oleh Ahmad, al Bazzardan atThabarani dengan sanad yang kuat dari Abdullah bin Amr) (Sesuai dengan riwayat ini terdapat pula riwayat dari Anas dan Aisyah)

"Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari (hasutan) Syaitan, untuk menjadikan orang-orang yang beriman berdukacita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri. " (Surah al Mujaadalah: 58: 10)

Terdapat suatu riwayatyang mengemukakan bahawa kaum munafik berbisik-bisik sesama mereka dan menyombongkan diri di hadapan kaum Mukminin sehingga menyinggung perasaan kaum Mukminin. Maka ayat ini (Surah al Mujaadalah: 58: 10) turun dengan menceritakan bahawa berbisik-bisik seperti itu adalah merupakan perbuatan syaitan. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Qatadah)

'wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan." (Surah al Mujaadalah: 58:11)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa apabila ada seseorang yang baru datang ke majlis Rasulullah, maka para sahabat tidak mahu memberi tempat duduk kepadanya di sisi Rasulullah. Maka turunlah ayat di atas sebagai perintah untuk memberi tempat kepada orang yang baru datang. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Qatadah)

Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah al Mujaadalah: 58: 11) turun pada hari Jumaat iaitu pada ketika pahlawan-pahlawan Badar datang ke tempat pertemuan yang penuh sesak. Pada masa itu orang-orang tidak memberi tempat duduk kepada mereka yang baru datang sehingga menyebabkan mereka terpaksa berdiri.

Kemudian Rasulullah menyuruh penduduk pribumi berdiri dan para tetamu tersebut di suruh duduk di tempat mereka. Oleh yang demikian orang-orang yang disuruh pindah itu merasa tersinggung.

Maka ayat ini turun sebagai perintah kepada kaum Mukminin untuk mentaati perintah Rasulullah dan memberi kesempatan duduk kepada sesama Mukminin. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Muqatil)

orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak mengadap dan bertanyakan sesuatu kepada Rasulullah, maka hendaklah kamu bersedekah (kepada fakir miskin) sebelum kamu mengadapnya; (pemberian sedekah) itu adalah lebih baikbagikamu dan lebih bersih. Dalam pada itu, kalau kamu tidak ada benda yang hendak disedekahkan, (kamu dibenarkan juga mengadapnya mengenai perkara yang tak dapat dielak), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al Mujaadalah: 58: 12)

"Adakah kamu takut (akan kemiskinan) kerana kerap kali kamu memberi sedekah sebelum kamu mengadap? Kalau kamu tidak melakukan (perintah) itu, dan Allah pun memaafkan kamu (kerana kamu tidak mampu), maka dirikanlah sembahyang dan berikanlah zakat (sebagaimana yang sewajibnya), serta taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan segala amalan yang kamu lakukan. (Surah al Mujaadalah: 58: 13)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa kaum Muslimin terlalu banyak bertanya kepada Rasulullah sehingga perkara ini membebani diri baginda. Untuk meringankan beban yang ditanggung oleh Rasulullah, maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Mujaadalah: 58:12) sebagai perintah untuk bersedekah kepada fakir miskin sebelum bertanya.

Selepas penurunan ayat ini (Surah al Mujaadalah: 58: 12) kebanyakan orang menahan diri dari banyak bertanya. Maka turunlah ayat yang berikutnya (Surah al Mujaadalah: 58:13) sebagai teguran kepada orang-orang yang tidak mahu bertanya kerana takut untuk mengeluarkan sedekah. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Abi Talhah dari Ibnu Abbas)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa setelah turun ayat "ya ayyuhallazina amanu iza najaitumurrasula" (Surah al Mujaadalah: 58: 12) Nabi s.a.w. bersabda kepada Ali bin Abi Talib: "Bagaimana pendapatmu kalau sedekah itu hanya satu dinar." Ali menjawab: "Mereka tidak akan mampu." Kemudian Rasul bersabda lagi: "Kalau setengah dinar?"'Ali menjawab: "Mereka tidak akan mampu." Nabi bertanya: "Kalau begitu berapa?" Ali menjawab: "Satu butir syair." Rasulullah menjawab: "Engkau terlalu sederhana."

Maka turunlah ayat ini (Surah al Mujaadalah: 58:13) sebagai teguran kepada orang-orang yang ingin bertanya kepada Rasulullah tetapi takut miskin kerana harus membayar sedekah terlebih dahulu. Seterusnya Ali berkata: "Oleh kerana peristiwa itu, umat ini diringankan bebannya." (Diriwayatkan oleh at Tirmizi dan perawi lain yang menganggap hadis ini hasan dari Ali)

"Tidakkah engkau melihat (bagaimana jahatnya) orang-orang yang bersahabat karib dengan kaum yang telah dimurkai Allah (dengan sebab kekufuran dan khjanatnya) ? Mereka itu bukanlah dari golongan kamu dan bukan pula dari golongan kaum yang tersebut itu (kerana mereka ialah golongan munafik); dan lagi mereka selalu bersumpah dengan dusta, sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta). " (Surah al Mujaadalah: 58: 14)

"(Setelah nyata kepada orang-orang munafik itu bahawa harta benda dan anakpinaknya tidak dapat memberikan pertolongan), ketika mereka semuanya dibangkitkan oleh Allah (pada hari kiamat), maka mereka bersumpah kepadaNya (bahawa mereka adalah orang-orang mukmin) sebagaimana biasanya mereka bersumpah kepada kamu; dan mereka menyangka bahawa (dengan berbuat demikian) mereka akan mendapat sesuatu (yang berfaedah kepada mereka). Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya merekalah golongan pendusta. " (Surah al Mujaadalah: 58: 18)

Terdapat suatu riwayat yang mengemukakan bahawa Rasulullah telah berhenti berteduh berhampiran dengan rumahnya sehingga terlalu lama. Maka pada waktu itu Rasulullah bersabda kepada orang-orang yang berada di sekitarnya: "Akan datang kepadamu seorang manusia yang pandangannya seperti syaitan. Apabila dia datang kepadamu, janganlah kalian semua bercakap-cakap dengannya." Tidak berapa lama kemudian datanglah seorang yang bermata sebelah, lagi biru.

Kemudian Rasulullah memanggil orang itu lalu bersabda: "Mengapa engkau dan teman-teman engkau mencaci diriku?" Orang itu [Namanya Abdullah bin Nabtal, seorang munafik yang pernah menyampaikan berita-berita penting di mana berita itu seharusnya dirahsiakan daripada orang-orang Yahudi. Menurut riwayat as Suddi dialah orang yang dimaksudkan dengan pandangan syaitan itu. Qurtubi juz 14, hal 304] menjawab: "Baiklah aku akan panggil mereka."Tidak lama selepas itu dia kembali bersama dengan kawan-kawannya. Kemudian mereka bersumpah bahawa diri mereka tidak berkata dan tidak berbuat apa-apa.

Maka ayat ini (Surah al Mujaadalah: 58:18) turun berhubung dengan peristiwa itu yang menceritakan tentang sifat-sifat pandangan syaitan itu. (Diriwayatkan oleh Ahmad dan al Hakim dan disahihkan olehnya dari Ibnu Abbas)

Riwayat lain pula mengemukakan bahawa ayat "Alam tara illal-ladzina tawallau" (Surah al Mujaadalah: 58: 14) turun berkenaan dengan Abdullah bin Nabtal. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari as Suddi)

"Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir dibawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya." (Surah al Mujaadalah: 58: 22)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ayat di atas turun berhubung dengan kisah Abi Ubaidah bin al Jarrah seorang sahabat Rasul yang membunuh bapanya yang terdiri dari golongan kafir Quraisy dalam peperangan Badar. Maka ayat ini (Surah al Mujaadalah: 58:22) turun dengan menjelaskan bahawa seorang Mukmin itu akan lebih mencintai Allah melebihi cintanya kepada ahli keluarganya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Syaudzab)

Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa ketika perang Badar bapa Abu Ubaidah menyerang dan ingin membunuh anaknya iaitu Abu Ubaidah. Akan tetapi Abu Ubaidah berusaha untuk menghindarkan diri dengan cara mempertahankan dan mengelak akan segala senjata yang ditujukan kepada dirinya. Akhirnya Abu Ubaidah terpaksa membunuh bapanya. Maka turunlah ayat ini (Surah al Mujaadalah: 58: 22) berhubung dengan peristiwa di atas. Ayat ini menceritakan bahawa cinta seorang Mukmin kepada Allah akan melebihi cintanya kepada orang tuanya. (Diriwayatkan oleh at Thabarani dan al Hakim di dalam Mustadrak)


Dalam riwayat lain juga ada dikemukakan bahawa ketika Abu Quhafah ayah kepada Abu Bakar as Siddiq mencaci maki Rasulullah, lalu Abu Bakar memukulnya dengan pukulan yang kuat sehingga terjatuh. Kemudian kejadian ini sampai kepada pengetahuan Rasulullah dan baginda bertanya: "Apakah benar engkau berbuat demikian hai Abu Bakar?" Beliau pun menjawab: "Demi Allah, sekiranya ada pedang berhampiran denganku, pasti aku akan memukulnya dengan pedang itu." Maka ayat ini (Surah al Mujaadalah: 58: 22) turun berhubung dengan peristiwa itu. (Diriwayatkan oleh Ibnu Munzirdari Ibnu Juraij)

No comments:

Post a Comment