Sunday, July 21, 2013

Surah al Ahzaab

"Wahai Nabi! Tetaplah bertaqwa kepada Allah, dan janganlah engkau patuhi kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Surah al Ahzaab: 33:1) 

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa orang-orang Mekah di antaranya ialah al Walid bin Mughirah dan Syaibah bin Rabi'ah mengajak Nabi supaya meninggalkan dakwahnya dengan perjanjian akan diberikan setengah dari harta benda mereka kapada baginda. Manakala kaum munafik dan kaum Yahudi di Madinah menakut-nakutkan Rasulullah dengan ancaman akan membunuhnya jika tidak meninggalkan dakwahnya. Maka turunlah ayat di atas sebagai peringatan kepada Nabi untuk tidak mengikut orang-orang kafir dan munafik. (Diriwayatkan oleh Juwaibir dari ad Dlahhak dari Ibnu Abbas) 

(diperintahkan Dengan Yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati Dalam rongga dadanya; dan ia tidak menjadikan isteri-isteri Yang kamu "zihar" kan itu sebagai ibu kamu; dan ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala Yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) Yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu Dengan mulut kamu sahaja. dan (ingatlah) Allah menerangkan Yang benar dan Dia lah jua Yang memimpin ke jalan Yang betul. (Surah al Ahzaab: 33: 4)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa pada suatu hari ketika Nabi sedang menunaikan sembahyang terlintas di dalam hatinya ucapan-ucapan kaum munafik yang bersama-sama sembahyang dengannya bahawa mereka mempunyai dua hati. Satu hati bersama dengan orang kufur (kafir) dan satu hati lagi bersama dengannya (iman). Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 4) sebagai penjelasan bahawa Dia tidak menciptakan dua hati bagi manusia. (Diriwayatkan oleh Tirmizi dan dia menganggap hadis ini hasan dari Ibnu Abbas) 

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa seorang lelaki dikatakan berhati dua. Maka turunlah ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 4) sebagai bantahan akan desas desus itu. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Khashif dari Said bin Jubair, Mujahid dan Ikrimah) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Jarir dari Qatadah dari al Hasan dengan tambahan bahawa orang-orang itu berkata: "Aku ini punya hati yang dapat menyuruhku dan hati yang melarangku. ") 

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 4) turun berkenaan dengan seorang lelaki Bani Fahm yang berkata: "Sesungguhnya di dalam rongga dadaku terdapat dua hati yang kedua-duanya lebih cemerlang dari hati Muhammad. " (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Ibnu Najih dari Mujahid) 

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 4) turun berkenaan dengan seorang Quraisy dan Bani Jamhin yang bersama Jamil bin Ma'mar yang mengaku bahawa mereka berhati dua yang mana hati itu lebih cemerlang daripada hati Nabi Muhammad. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari as Suddi) 

panggilah anak-anak angkat itu Dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah Yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu Yang seugama dan sebagai "maula-maula" kamu. dan kamu pula tidak dikira berdosa Dalam perkara Yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) Yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al Ahzab:5)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa para sahabat biasanya memanggil nama Zaid bin Haritsah dengan panggilan Zaid bin Muhammad. Maka penurunan ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 5) adalah sebagai petunjuk untuk memanggil anak angkat dengan disertai nama bapa kandungnya. (Diriwayatkan oleh al Bukhari dari Ibnu Umar) 

"Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan. " (Surah al Ahzaab: 33: 9) 

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa pada malam yang gelap gelita ketika peperangan Ahzab para sahabat Rasulullah bersiap sedia menanti kedatangan musuh. Oleh itu, kaum Muslimin terlihat pasukan yang di pimpin oleh Abu Sufyan berada di atas bukit, sedangkan sekutu Abu Sufyan iaitu Yahudi Bani Quraizah berada di bawah lembah-lembah. Kaum Muslimin merasa bimbang mereka akan mengganggu anak-anak kaum Muslimin. Pada malam itu hembusan angin terasa begitu kencang sehingga kaum munafik meminta kepada Nabi untuk meninggalkan tempat tersebut dengan alasan rumah mereka kosong padahal sebenarnya mereka hendak melarikan diri. Setiap orang yang meminta izin kepada Nabi lalu diberinya keizinan dan mereka terus lari bersembunyi.

Ketika Nabi memeriksa pasukan kaum Muslimin seorang demi seorang sampailah kepada Huzaifah dan baginda bersabda: "Selidikilah keadaan musuh." Huzaifah pun berangkat dan melihat angin bertiup kuat menyerang perkhemahan musuh sehingga tidak ada sedikit pun perkhemahan musuh yang luput dari serangan angin itu. Dia juga mendengar khemah-khemah dan barang-barang terlempar batu yang dibawa angin dan mereka berteriak mengajak kawan-kawan mereka mundur. Kemudian Huzaifah pergi mengadap kepada Rasulullah dan melaporkan hal ehwal musuh. Maka turunlah ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 9) sebagai perintah untuk selalu mengingat akan nikmat yang diberikan oleh Allah. (Diriwayatkan oleh al Baihaqi di dalam kitab ad Dalai I dan Huzaifah) 

"Dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan tidak kuat iman dalam hatinya berkata: "Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja." (Surah al Ahzaab: 33:12) 

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika Rasulullah membuat parit pada waktu perang Ahzab, baginda telah menemui sebiji batu besar yang bundar dan berwarna putih sebagai salah satu isyarat dari Allah. Kemudian Rasulullah mengambil cangkul dan memukul batu tersebut sehingga retak dan berkilat menerangi seluruh kota Madinah. Baginda bertakbir dan diikuti oleh kaum Muslimin. Kemudian baginda memukul batu tersebut untuk kedua kalinya sehingga retak dan batu tersebut berkilat menerangi tempat di sekitarnya. Nabi bertakbir dan diikuti oleh kaum Muslimin. Demikian diulanginya sekali lagi sehingga batu itu pecah dan mengeluarkan cahaya yang menerangi tempat di sekelilingnya. Baginda pun bertakbir yang diikuti oleh kaum Muslimin.

Ketika salah seorang sahabat bertanya mengenai perkara itu Rasulullah menjawab: "Ketika aku pukul buat pertama kali, tampaklah olehku Mahligai Hirah dan Mada-in Kisra (Kerajaan Parsi) dan Jibril memberitahuku bahawa umatku akan membebaskan negara itu, dan ketika aku memukul untuk kedua kalinya tampaklah Mahligai merah dari tanah Rom, dan Jibril memberitahuku bahawa umatku akan membebaskan negara itu. Akhirnya ketika aku memukul untuk ketiga kalinya terlihat pula Mahligai Shan'a dan Jibril memberitahuku bahawa umatku akan membebaskan negara itu." Kemudian kaum munafik berkata: "Tidakkah kalian semua merasa hairan dia menceritakan dan memberikan harapan kosong serta menjanjikan kepadamu sesuatu yang tidak benar dan bercerita bahawa dia melihat dari Madinah mahligai kota Hirah dan Mada-in Kisra yang akan dibebaskan untuk kalian semua, padahal kalian semua sedang menggali parit kerana ketakutan dan tidak sanggup bertempur."Maka ayat ini (Surah al Ahzaab: 33:12) turun berhubung dengan peristiwa di atas. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan al Baihaqi di dalam kitab ad dalail dari Katsir bin Abdillah Ibnu Amr al Muzani dari bapanya dari datuknya) 

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 12) turun berkenaan dengan ucapan Mutib bin Qusyair al Ansari di dalam hadis yang disebutkan di atas. Ucapan itu ialah bahawa Rasulullah hanyalah memberi janji kosong sahaja. (Diriwayatkan oleh Juwaibirdari Ibnu Abbas) 

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Mutib bin Qusyair berkata: "Terlintas pada Muhammad bahawa dia akan makan kekayaan Kisra dan Kaisar, padahal tidak seorang pun daripada kami yang berani keluar untuk buang air." Kemudian Aus bin Qaizhi berkata di hadapan khalayak ramai: "Izinkan kami pulang kepada isteri dan keluarga kami kerana rumah kami jauh dari Madinah dan tidak ada yang menjaganya."

Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 9) untuk mengingatkan akan nikmat yang pernah diberikan Allah kepada mereka ketika Allah melenyapkan bencana yang menimpa mereka. Sesungguhnya Allah telah memberi secukupnya kepada mereka walaupun mereka buruk sangka terhadap Allah dan mengucapkan ucapan kaum munafik yang tidak sepatutnya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq dan al Baihaqi dari Urwah bin Zubair dan Muhammad bin Kaab al Qurazi dan perawi lain) 

"Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun." (Surah al Ahzaab: 33: 23)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Anas bin an Nadhir iaitu bapa saudara kepada Anas bin Malik tidak turut serta bersama Rasulullah di dalam perang Badar. Oleh sebab itu dia merasa sangat berdosa lalu berkata: "Sesungguhnya aku tidak dapat ikut serta di dalam peperangan Rasulullah yang pertama. Sekiranya Allah mentakdirkan aku dapat menyaksikan peperangan Rasulullah, Allah akan menyaksikan apa yang aku akan lakukan." Kemudian dia pun turut berjihad di dalam perang Uhud dan gugur sebagai syahid. Pada badannya terdapat lebih daripada lapan puluh luka kesan dari pukulan, tusukan tombak dan panah. Maka ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 23) turun berkenaan dengan peristiwa ini sebagai pujian terhadap orang yang menunaikan janjinya. (Diriwayatkan oleh Muslim dan at Tirmizi dan perawi lain dari Anas)

"Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: "Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yangmewah) dan perhiasannya (yangindah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut'ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya." (Surah al Ahzaab: 33: 28)

"Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan RasulNya serta (nikmat kemewahan) di negeri akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat baik di antara kamu: pahala yang besar." (Surah al Ahzaab: 33: 29)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Abu Bakar meminta izin untuk berbicara dengan Rasulullah akan tetapi Nabi menolak. Demikian juga dengan Umar, Rasulullah tetap menolak. Tidak lama kemudian kedua-duanya diberi keizinan untuk masuk pada ketika Rasulullah duduk berdiam diri dengan di kelilingi oleh isteri-isteri baginda yang menuntut nafkah dan perhiasan. Kemudian Umar bermaksud membuat baginda tertawa dengan berkata: "Ya Rasulullah sekiranya puteri Zaid isteri Umar meminta belanja akan kupenggal lehernya." Maka Rasulullah tertawa dan bersabda: "Mereka ini yang berada di sekelilingku meminta nafkah kepadaku."

Maka berdirilah Abu Bakar menghampiri Aisyah untuk memukulnya dan demikian juga Umar menghampiri Hafsah sambil keduanya berkata: "Engkau meminta sesuatu yang tidak ada pada Rasulullah."

Oleh itu, Allah menurunkan ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 28) sebagai petunjuk kepada Rasulullah agar isterinya menentukan sikap sama ada memilih Rasulullah atau memilih harta benda. Pada mulanya baginda bertanya kepada Aisyah tentang pilihannya dan menyuruh dia bermusyawarah terlebih dahulu dengan kedua ibu bapanya. Aisyah menjawab: "Apa yang mesti kupilih?" Rasulullah membacakan ayat ini (Surah al Ahzaab: 33:29). Kemudian Aisyah menjawab: "Apakah soal yang berhubungan dengan tuan mesti kubincangkan dengan kedua ibu bapaku?" Padahal aku sudah menetapkan pilihan iaitu aku memilih Allah dan RasulNya." [Untuk keterangan yang lebih jelas, bacalah al Qurtubi juz 14, hal 162-173] (Diriwayatkan oleh Muslim dan Ahmad dan an Nasa'i dari Abi Zubair dari Jabir)

Sesungguhnya orang-orang lelaki Yang Islam serta orang-orang perempuan Yang Islam, dan orang-orang lelaki Yang beriman serta orang-orang perempuan Yang beriman, dan orang-orang lelaki Yang taat serta orang-orang perempuan Yang taat, dan orang-orang lelaki Yang benar serta orang-orang perempuan Yang benar, dan orang-orang lelaki Yang sabar serta orang-orang perempuan Yang sabar, dan orang-orang lelaki Yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan Yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki Yang bersedekah serta orang-orang perempuan Yang bersedekah, dan orang-orang lelaki Yang berpuasa serta orang-orang perempuan Yang berpuasa, dan orang-orang lelaki Yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan Yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki Yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan Yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala Yang besar. (Surah al Ahzaab: 33: 35)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa seorang muslimat yang bernama Ummu Imarah al Ansari datang mengadap Nabi dan berkata: "Aku selalu melihat segala sesuatu yang ada ini hanya untuk lelaki sahaja dan wanita tidak pernah disebut-sebut." Maka turunlah ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 35) sebagai penjelasan bahawa segala sesuatu yang dijanjikan oleh Allah itu adalah untuk kaum lelaki dan perempuan yang Mukmin dan Muslim. (Diriwayatkan oleh at Tirmizi dari Ikrimah dari Ummu Imarah al Ansari)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa para wanita berkata: "Ya Rasulullah! Mengapa yang disebut-sebut itu hanya kaum Mukminin sahaja dan tidak menyebut kaum Mukminat?" Maka turunlah ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 35) yang menjelaskan bahawa sebenarnya yang berlaku ini adalah untuk kaum lelaki dan wanita. (Diriwayatkan oleh at Thabarani dengan sanad yang dianggap memadai dari Ibnu Abbas. Dan telah diterangkan pula di dalam hadis Ummu Salamah di dalam Surah Ali 'Imran: 3:195) 

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ketika disebut di dalam al Quran kisah isteri-isteri Rasulullah berkatalah para wanita: "Jika disediakan kebaikan bagi kita kaum wanita tentu akan disebut dl dalam al Quran. "Ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 35) turun berkenaan dengan peristiwa di atas. (Diriwayatkan oleh Ibnu Saad dari Qatadah)

"Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata." (Surah al Ahzaab: 33: 36) 

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Nabi s.a.w. melamar Zainab untuk Zaid, akan tetapi Zainab merasa bahawa Rasulullah, melamar untuk dirinya. Apabila Zainab mengetahui bahawi Rasulullah melamar untuk Zaid lalu dia menolaknya.

Maka turunlah ayat ini (Surah al Ahzaab: 33:36) berhubung dengan peristiwa tersebut. Ayat ini turun sebagai larangan kepada kaum Mukminin dari menolak ketetapan yang dibuat oleh Rasulnya. Setelah turun ayat ini Zainab pun menerima lamaran tersebut. (Diriwayatkan oleh at Thabarani dengan sanad yang sahih dari Qatadah)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Nabi s.a.w. melamar Zainab binti Jahsyin untuk Zaid bin Haritsah, akan tetapi ditolak dan berkata dengan sombongnya: "Keturunanku lebih mulia daripadanya." Ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 36) turun berkenaan dengan peristiwa di atas sebagai perintah untuk menerima ketetapan Allah dan RasulNya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarirdari Ikrimah dari Ibnu Abbas) (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari al Ufi dari Ibnu Abbas)

Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 36) turun berkenaan dengan Ummu Kalthum binti Uqbah bin Abi Muaith. Dia adalah wanita pertama yang berhijrah ke Madinah yang menyerahkan diri untuk dikahwini oleh Rasulullah. Akan tetapi, Nabi akan mengahwinkan dirinya dengan Zaid bin Haritsah. Oleh itu, Ummu Kalthum dan saudara-saudaranya tidak menyukai perkara tersebut. Mereka berkata: "Kami menyerahkan diri kepada Rasulullah tetapi mengapa justeru itu dia dikahwinkan dengan hambanya." (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Zaid)

"Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: "Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah," sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku." (Surah al Ahzaab: 33: 37)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ayat "wa tukhfi fi nafsika mallahu mubdihi" (Surah al Ahzaab: 33:37) turun berhubung dengan peristiwa Zainab bin Jahsyin dan Zaid bin Harithah. (Diriwayatkan oleh al Bukhari dari Anas) 

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Zaid bin Harithah mengadu kepada Nabi tentang kelakuan Zainab bin Jahsyin. Kemudian Rasulullah bersabda: "Tahanlah isterimu!" Maka turunlah ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 37) sebagai peringatan kepada Rasulullah akan sesuatu perkara yang telah diberitahu oleh Allah kepadanya, akan tetapi tetap dirahsiakan olehnya. (Diriwayatkan oleh al Hakim dari Anas) 

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ketika telah habis iddah Zainab (setelah diceraikan oleh Zaid), Rasulullah bersabda kepada Zaid: "Pergilah engkau kepada Zainab dan terangkan kepadanya bahawa aku akan mengahwininya." Kemudian Zaid berangkat untuk memberitahu maksud Rasulullah. Zainab pun menjawab: "Aku tidak akan berbuat apa-apa sebelum meminta pertimbangan dari Tuhanku." Lalu dia pergi ke tempat sujudnya.

Selepas penurunan ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 37) datanglah Rasulullah mengahwininya tanpa menunggu persetujuannya. Pada waktu itu para sahabat dijamu makan dengan roti dan daging sebagai walimah. Kemudian mereka beransur-ansur pulang dan hanya tinggal beberapa orang sahaja bercakap-cakap di sana.

Kemudian Rasulullah keluar masuk ke rumah-rumah isterinya dan Zaid pun mengikutinya. Tidak berapa lama kemudian, diberitahu bahawa semua orang telah meninggalkan rumah Zainab. Maka pergilah Rasulullah mendapatkan Zainab dan diikuti oleh Zaid. Akan tetapi Rasulullah dihalangi dengan hijab.

Kemudian turun pula ayat ini (Surah al Ahzaab: 33:53) berkenaan dengan peristiwa di atas sebagai larangan kepada kaum Muslimin untuk memasuki rumah Rasulullah kecuali dengan izinnya sahaja. (Diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad dan an Nasai) "Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi la adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (Surah al Ahzaab: 33:40)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika Rasulullah berkahwin dengan Zainab, ramai orang membincangkan perkara ini dengan berkata: "Muhammad berkahwin dengan bekas isteri anaknya. "Maka turunlah ayat ini (Surah al Ahzaab: 33:40) sebagai penjelasan bahawa Zaid itu bukan putera Rasulullah. (Diriwayatkan oleh at Tirmizi dari Aisyah)

"Dialah yang memberi rahmat kepada kamu, dan malaikatNya pula (berdoa bagi kamu), untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang (iman dan taat); dan adalah la sentiasa Melimpah-limpah rahmatNya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan di akhirat)." (Surah al Ahzaab: 33:43) 

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika turun ayat "innallaha wa malaikatahu yushalluna 'alan nabi" (Surah al Ahzaab: 33: 56) berkatalah Abu Bakar: "Ya Rasulullah segala kebaikan yang diturunkan Allah kepada tuan, kami pun turut serta merasainya." Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 43) sebagai penjelasan bahawa Allah memberikan rahmat kepada seluruh kaum Mukminin. (Diriwayatkan oleh Abdu bin Hamid dari Mujahid) 

"Dan (dengan itu) sampaikanlah berita yang menggembirakan kepada orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya mereka akan beroleh limpah kurnia yang besar dari Allah." (Surah al Ahzaab: 33:47)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika turun ayat "liyaghfira lakallahu ma taqaddama min zambika wa ma taakhkhara" (Surah al Path: 48:2) kaum Mukminin berkata: "Beruntunglah tuan ya Rasulullah, kami telah tahu apa yang akan Allah lakukan terhadap tuan, akan tetapi apa yang Allah akan lakukan terhadap kami?"

Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Path: 48: 5) dan ayat di atas (Surah al Ahzaab: 33: 43) yang menjanjikan syurga kepada kaum Mukminin. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Ikrimah dan Hasan al Bishri) 

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ketika turun ayat dari surah ini (Surah al Ahqaaf: 46:9) dan ayat ini (Surah al Path: 48:2) para sahabat berkata: "Ya Rasulullah, kami telah mengetahui apa yang akan dilakukan oleh Allah terhadap tuan, tetapi kami tidak mengetahui apa yang Allah akan lakukan terhadap kami." 

Maka turunlah ayat ini (Surah al Ahzaab: 33:47) sebagai penjelasan bahawa Allah telah menyediakan kurniaan yang besar kepada kaum Mukminin iaitu syurga. (Diriwayatkan oleh al Baihaqi di dalam kitab Dalailun Nubuwwah dari ar Rabi bin Anas)

Wahai Nabi, Sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu Yang Engkau berikan maskahwinnya, dan hamba-hamba perempuan Yang Engkau miliki dari apa Yang telah dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan (Kami telah halalkan bagimu berkahwin Dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) Yang telah berhijrah bersama-sama denganmu; dan (Kami telah halalkan bagimu) mana-mana perempuan Yang beriman Yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya Dengan tidak membayar maskahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya; perkahwinan Yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, bukan bagi orang-orang Yang beriman umumnya; Sesungguhnya Kami telah mengetahui apa Yang Kami wajibkan kepada orang-orang mukmin mengenai isteri-isteri mereka dan hamba-hamba perempuan Yang mereka miliki; - supaya tidak menjadi keberatan bagimu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al Ahzaab: 33: 50)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Rasulullah meminang Ummi Hani binti Abi Talib, tetapi dia menolaknya. Rasulullah menerima penolakan itu. Selepas kejadian itu turunlah ayat ini (Surah al Ahzaab: 33:50) sebagai penjelasan bahawa wanita yang tidak turut serta di dalam berhijrah tidak halal dikahwini oleh Rasulullah. Sehubungan dengan ini Ummi Hani berkata: "Aku tidak halal dikahwini Rasulullah buat selama-lamanya kerana aku tidak pernah berhijrah." (Diriwayatkan dan dihasankan oleh atTirmizi dan diriwayatkan serta disahihkan oleh al Hakim dari as Suddi dari Abi Salleh dari Ibnu Abbas dari Ummu Hani binti Abi Talib) 

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ayat "wa banati 'amika wa banati 'ammatika khalika wa banati khalatikal lati hajama ma'aka" (Surah al Ahzaab: 33:50) turun sebagai larangan kepada Nabi untuk mengahwini Ummu Hani yang tidak turut serta berhijrah. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Ismail bin Abi Khalid dari Abi Salleh dari Ummu Hani) Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa firman Allah "Wamraafan mukminatan" (Surah al Ahzaab: 33: 50) turun berkenaan dengan Ummu Syarik ad Dausyiyyah yang menghadiahkan dirinya kepada Rasulullah. (Diriwayatkan oleh Ibnu Saad dari Ikrimah) 

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Ummu Syarik Ghaziah binti Jabir bin Hakim ad Daausyiyyah menyerahkan dirinya kepada Rasulullah untuk dikahwini. Dia adalah seorang wanita yang cantik dan Rasulullah pun menerimanya. Kemudian Aisyah berkata: "Tidak ada baiknya seorang wanita menyerahkan diri kepada seorang lelaki." Berkatalah Ummu Syarik: "Kalau begitu akulah yang engkau maksudkan." Maka Allah memberi julukan Mukminah kepadanya dengan firmannya: "Wamraatan mukminatan inwahabat nafsaha linnabiyyi" (Surah al Ahzaab: 33: 50). Selepas penurunan ayat ini Aisyah berkata: "Sesungguhnya Allah mengabulkan permintaanmu dengan segera." (Diriwayatkan oleh Ibnu Saad dari Munir bin Abdillah ad Dauli) 

Engkau boleh menangguhkan sesiapa Yang Engkau kehendaki dari mereka dan Engkau boleh mendamping: sesiapa Yang Engkau kehendaki; dan sesiapa Yang Engkau hendak mendampinginya kembali dari mereka Yang telah Engkau jauhi itu maka tidaklah menjadi salah bagimu melakukannya; kebebasan Yang diberikan kepadamu itu (bila diketahui oleh mereka) adalah lebih dekat untuk mententeramkan hati mereka, dan menjadikan mereka tidak berdukacita, serta menjadikan mereka pula reda akan apa Yang Engkau lakukan kepada mereka semuanya. dan (ingatlah) Allah sedia mengetahui apa Yang ada Dalam hati kamu; dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar. (Surah al Ahzaab: 33: 51)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Aisyah berkata: "Apakah wanita itu tidak malu apabila menyerahkan dirinya untuk dikahwini?" Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 51) yang memberi kebebasan kepada Rasulullah untuk menetapkan giliran tinggal bersama isterinya. Kemudian Aisyah berkata: "Aku melihat Tuhanmu dengan segera mengabulkan keinginanmu." (Diriwayatkan oleh as Syaikhani dari Aisyah) 

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Rasulullah pernah berniat untuk menceraikan beberapa orang isterinya. Ketika mereka mendapat tahu, mereka hanya menyerahkan persoalan itu kepada baginda. Maka penurunan kedua ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 50-51) adalah berhubung dengan peristiwa di atas. Ayat ini memberikan kebebasan kepada Rasulullah untuk menggunakan kebijaksanaan baginda di dalam menguruskan perkara yang berkaitan dengan isteri-isterinya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Saad dari Abi Razin) 

tidak halal bagimu berkahwin Dengan perempuan-perempuan Yang lain sesudah (isteri-isterimu Yang ada) itu, dan Engkau juga tidak boleh menggantikan mereka Dengan isteri-isteri Yang baharu sekalipun Engkau tertarik hati kepada kecantikan mereka, kecuali hamba-hamba perempuan Yang Engkau miliki. dan (ingatlah) Allah sentiasa mengawasi tiap-tiap sesuatu. (Surah al Ahzab:52)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa setelah Rasulullah menyuruh para isterinya membuat pemilihan di antara kemewahan dengan Allah dan RasulNya, terbuktilah isteri-isteri baginda memilih Allah dan RasulNya. Maka turunlah ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 52) sebagai larangan kepada Nabi untuk berkahwin lagi dengan isteri yang lain atau menceraikan mereka. (Diriwayatkan oleh Said dari Ikrimah)

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan); kemudian setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga ia merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran. Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka. Dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasulullah dan tidak boleh berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah." (Surah al Ahzaab: 33: 53) [Lihat asbab nuzul di dalam surah al Baqarah: 2: ayat 125]

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ketika Nabi bernikah dengan Zainab binti Jahsyi, baginda telah mengundang para sahabatnya untuk makan-makan. Setelah selesai makan mereka terus berbual-bual, sehingga Rasulullah memberi isyarat seolah-olah baginda akan berdiri, akan tetapi mereka tetap tidak berdiri. Akhirnya Rasulullah terpaksa berdiri dan meninggalkan mereka serta diikuti oleh sebahagian yang hadir, akan tetapi masih ada tiga orang yang masih bercakap-cakap.

Selepas kesemuanya pulang, Anas memberitahu kepada Rasulullah dan Rasulullah pulang ke rumah Zainab dengan diikuti oleh Anas masuk ke dalam rumahnya. Kemudian Rasulullah memasang hijab.

Oleh itu, turunlah ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 53) berkenaan dengan peristiwa di atas sebagai larangan kepada kaum muslimin untuk memasuki rumah Nabi sebelum mendapat izin darinya serta larangan berada di rumah Nabi lama-lama. (Diriwayatkan oleh as Syaikhani dari Anas) 

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Anas pernah berkumpul bersama Rasulullah s.a.w. Pada ketika itu Rasulullah masuk ke dalam bilik pengantin wanita yang baru dinikahinya. Akan tetapi di dalam bilik tersebut terdapat ramai orang sehingga baginda keluar semula. Selepas kepulangan semua orang, barulah baginda masuk semula dan membuka hijab penghalang di antara Rasulullah dengan isterinya bersama dengan Anas. Kemudian Anas menceritakan kejadian ini kepada Abu Thalhah. Abu Thalhah berkata: "Jika betul apa yang engkau katakan, tentu akan turun ayat tentang ini. "Maka disebabkan peristiwa ini turunlah ayatulhijab (Surah al Ahzaab: 33: 53). (Diriwayatkan oleh at Tirmizi yang menganggap bahawa hadis ini hasan dari Anas)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ketika Aisyah sedang makan bersama Rasulullah, masuklah Umar. Kemudian Rasulullah mengajak Umar makan bersama. Ketika itu Umar tersentuh jari Aisyah sehingga Umar berkata: "Aduhai sekiranya usul saya diterima untuk memasang hijab, maka tidak ada seorang pun yang dapat melihat isterimu." Berhubung dengan peristiwa ini turunlah ayat hijab (Surah al Ahzaab: 33: 53). (Diriwayatkan oleh at Thabarani dengan sanad yang sahih dari Aisyah)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa seorang lelaki datang berjumpa dengan Rasulullah. Dia berada di tempat itu dengan begitu lama sehingga Nabi keluar dari rumah tersebut sebanyak tiga kali dengan harapan orang itu akan mengikutnya keluar. Akan tetapi orang itu tetap tidak berganjak. Ketika itu Umar masuk dengan memperlihatkan rasa kebencian pada mukanya, lalu berkata kepada orang itu: "Mungkin engkau telah mengganggu Rasulullah s.a.w." Bersabdalah Nabi: "Aku telah berdiri tiga kali agar orang itu mengikut aku, akan tetapi dia tidak melakukannya." Umar berkata: "Wahai Rasulullah, bagaimana sekiranya tuan membuat hijab kerana isteri tuan bukan seperti isteri-isteri yang lain. Perkara ini akan lebih mententeramkan dan mensucikan hati mereka."

Maka turunlah ayatul hijab (Surah al Ahzaab: 33: 53) berkenaan dengan peristiwa tersebut. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Marduwaih dari Ibnu Abbas)

KETERANGAN
Menurut pendapat al Hafiz Ibnu Hajar, peristiwa-peristiwa yang disebutkan di atas dapat digabungkan untuk menjadi asbab nuzul bagi ayat itu yang mana kesemuanya terjadi sebelum kisah Zainab. Oleh kerana peristiwa-peristiwa itu berlaku tidak lama sebelum kisah Zainab terjadi, maka huraian asbab nuzul ayat ini boleh disandarkan kepada kisah Zainab dan tidak ada halangan mengatakan penurunan ayat ini kerana pelbagai sebab.

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa apabila Rasulullah bangun menuju ke rumahnya, orang-orang berebut untuk duduk di rumah Rasulullah dan dari raut wajahnya tidak nampak adanya perubahan. Oleh kerana itu, Rasulullah tidak sempat makan kerana terlalu banyak orang di rumahnya. Maka turunlah ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 53) sebagai peringatan kepada orang-orang yang memasuki rumah Rasulullah tanpa mengenal waktu. (Diriwayatkan oleh Ibnu Saad dari Muhammad bin
Kaab)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Rasulullah mendengar ada orang berkata: "Jika Nabi wafat, aku akan kahwin dengan fulanah" (bekas isteri Nabi). Maka turunlah akhir ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 53) sebagai larangan untuk mengahwini bekas isteri Rasulullah. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Zaid) 

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 53) turun berkenaan dengan seorang yang berniat untuk mengahwini salah seorang dari bekas isteri Rasulullah setelah baginda wafat. Menurut Sufyan yang dimaksudkan dengan isteri Nabi di sini ialah Aisyah. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Abbas) 

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Thalhah bin Ubaidillah berkata: "Mengapa Muhammad membuat hijab diantara kita dengan puteri-puteri bapa saudara kita, padahal baginda sendiri mengahwini isteri-isteri yang seketurunan dengan kita. Sekiranya terjadi sesuatu, aku akan mengahwini bekas isterinya." Maka turunlah akhir ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 53) yang melarang perbuatan itu.  (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari as Suddi)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah al Ahzaab: 33:53) turun berkenaan dengan ucapan Ubaidillah yang berkata: "Sekiranya Rasulullah wafat, aku akan mengahwini Aisyah." (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Saad dari Abi Bakar bin Muhammad bin Amr bin Hazm) 

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa seorang lelaki datang kepada seorang isteri baginda dan bercakap-cakap dengannya. Lelaki itu adalah anak kepada bapa saudara isteri Rasulullah. Kemudian Rasulullah bersabda: "Janganlah kamu berbuat lagi seperti ini." Berkatalah orang itu: "Ya Rasulullah, dia adalah puteri kepada bapa saudaraku. Demi Allah, aku tidak berkata yang mungkar dan dia pun tidak berkata yang mungkar." Kemudian Nabi bersabda lagi: "Aku tahu perkara itu, tidak ada yang lebih cemburu daripada Allah dan tidak ada seorang pun yang lebih cemburu daripadaku." Dengan perasaan kecewa orang itu pergi dan berkata: "Dia menghalangi aku bercakap-cakap dengan anak kepada anak bapa saudaraku, pasti aku akan kahwin dengannya setelah baginda wafat."

Maka turunlah ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 53) yang melarang perbuatan itu. Kemudian Ibnu Abbas berkata: "Orang itu memerdekakan hamba dan menyumbangkan sepuluh ekor unta untuk digunakan pada fisabilillah serta dia naik haji sambil berjalan kaki dengan maksud untuk bertaubat dari percakapannya itu." (Diriwayatkan oleh Juwaibir dari Ibnu Abbas)

"Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina." (Surah al Ahzaab: 33: 57)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 57) turun sebagai ancaman kepada orang-orang yang menyakiti dan mencela Nabi ketika Nabi mengahwini seorang wanita Yahudi yang bernama Shafiyah binti Huyay. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari al Ufi dari Ibnu Abbas)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ayat ini turun berkenaan dengan Abdullah bin Ubay bin Salul dan pengikutnya ketika mereka memfitnah Aisyah. Rasulullah s.a.w. berkhutbah dan bersabda: "Siapa di antara orang-orang yang menyakitiku dengan cara mencela aku dan mengumpulkan mereka di rumahnya?"

Maka penurunan ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 57) adalah sebagai ancaman terhadap perbuatan mereka. (Diriwayatkan oleh Juwaibir dari ad Dlahhak dari Ibnu Abbas)

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. " (Surah al Ahzaab: 33: 59)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa selepas turunnya ayat hijab Siti Saudah isteri kepada Rasulullah keluar dari rumah untuk suatu keperluan. Dia adalah seorang wanita yang berbadan tinggi dan besar sehingga mudah untuk dikenal orang. Pada ketika itu Umar melihatnya dan dia berkata: "Hai Saudah! Demi Allah, bagaimana pun kami akan dapat mengenalimu. Oleh kerana itu, fikirlah mengapa engkau keluar?" Maka dengan tergesa-gesa dia pulang dan pada ketika itu Rasulullah berada di rumah Aisyah sedang memegang tulang waktu makan. Ketika masuk dia berkata: "Ya Rasulullah, aku keluar untuk sesuatu keperluan, dan Umar menegurku kerana dia masih mengenaliku."

Maka turunlah ayat ini (Surah al Ahzaab: 33: 59) disebabkan peristiwa itu ketika tulang masih berada di tangan Rasulullah. Maka Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah telah mengizinkan engkau keluar dari rumah untuk menyempurnakan sesuatu keperluan." (Diriwayatkan oleh al Bukhari dari Aisyah)

Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa isteri-isteri Rasulullah pernah keluar malam untuk qada' hajat (buang air). Pada waktu itu kaum munafik mengganggu dan menyakiti mereka. Maka perkara ini diadukan kepada Rasulullah sehingga Rasul menegur kaum munafik. Mereka menjawab: "Kami hanya mengganggu hamba sahaya." Maka penurunan ayat ini (Surah al Ahzaab: 33:59) adalah sebagai perintah untuk berpakaian menutup aurat agar mereka berbeza dari hamba sahaya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Saad di dalam Thabaqat dari Abi Malik) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Saad dari Hasan dan Muhammad bin Kaab al Qurazi)


1 comment:

  1. terima kasih.. ia sangat membantu dalam memahami sebab nuzul surah ini

    ReplyDelete