"Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka." (Surah as Sajdah: 32: 16)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika Bilal dan para sahabat Rasulullah duduk-duduk di masjid, terdapat sebahagian sahabat lain yang sembahyang sunat selepas Maghrib sehingga Isyak. Maka turunlah ayat ini (Surah as Sajdah: 32: 16) yang menceritakan perbuatan orang-orang yang terpuji. (K. Diriwayatkan oleh al Bazzar dari Bilal) (Di dalam hadis ini terdapat sanad yang daif iaitu Abdullah bin Syabib)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah as Sajdah: 32: 16) turun berkenaan dengan para sahabat yang menunggu untuk menunaikan sembahyang al Atamah iaitu sembahyang Isyak yang dilakukan pada akhir malam. (Diriwayatkan dan disahihkan oleh at Tirmizi dari Anas)
"(Jika demikian halnya) maka adakah orang yang beriman sama seperti orang yang fasik? Mereka tidaklah sama (dalam menerima balasan). " (Surah as Sajdah: 32: 18)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Walid bin Uqbah bin Abi Muaith berkata kepada Ali bin Abi Talib: "Mata tombak kami lebih tajam dari tombakmu, dan lidah kami lebih lancar dari lidahmu serta anak buah kami lebih banyak dari anak buahmu. " Ali menjawab: "Tutup mulutmu, sesungguhnya engkau adalah orang fasik.
"Maka ayat ini (Surah as Sajdah: 32: 18) turun berkenaan dengan peristiwa di atas sebagai penjelasan bahawa orang fasik tidak sama dengan orang Mukmin. (Diriwayatkan oleh al Wahidi dan Ibnu Asakir dari Said bin Jubair dari Ibnu Abbas) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Jarirdari Atha bin Yasar) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Adi dan al Khatib di dalam kitab Tarikhnya dari al Kalbi dari Abi Salleh dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa ayat ini turun berkenaan dengan pertikaman lidah di antara Ali bin Abi Talib dengan Uqbah bin Abi Muaith. Menurut riwayat ini ada dikemukakan bahawa ayat-ayat ini turun berkenaan dengan Uqbah bin Walid dan bukan al Walid. (Diriwayatkan oleh al Khatib dan Ibnu Asakir dari Ibnu Luhaiah dari Amr bin Dinar dari Ibnu Abbas)
"Dan mereka bertanya: "Bilakah datangnya hari pembukaan bicara yang dikatakan itu jika betul kamu orang-orang yang benar?" (Surah as Sajdah: 32: 28)
"Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tidak perlu diketahui masa datangnya tetapi mesti dipercayai bahawa) pada hari pembukaan bicara itu, tidak ada gunanya lagi kepada orang-orang kafir kiranya mereka hendak beriman, dan mereka pula tidak akan diberi tempoh (berbuat demikian)." (Surah as Sajdah: 32: 29)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa para sahabat berkata: "Sesungguhnya telah hampir kepada kami hari untuk beristirahat dan bersenang-senang." Kemudian kaum musyrikin berkata: "Bilakah waktunya sekiranya kalian semua adalah orang yang benar?" Maka turunlah ayat ini (Surah as Sajdah: 32: 28-29) sebagai penegasan kepada mereka bahawa pada waktu itu tidak akan memberi faedah kepada orang kafir. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Qatadah)
No comments:
Post a Comment