Sunday, July 21, 2013

Surah Saba'

"DemI sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!" (Surah Saba': 34:15)

"Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara." (SurahSaba':34:16)

"Demikianlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka; dan sebenarnya Kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang-orang yang amat kufur." (SurahSaba':34:17)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Farwah bin Masik al Ghathafani datang mengadap Rasulullah dan berkata: "Ya Nabiyallah! Pada zaman Jahiliyah kaum Saba' merupakan kaum yang gagah dan kuat dan aku takut sekiranya mereka menolak untuk masuk Islam. Apakah aku boleh memerangi mereka?" Kemudian Rasulullah bersabda: "Aku tidak diperintahkan apa-apa berkenaan dengan mereka." Maka turunlah ayat ini (Surah Saba': 34: 15-17) yang menceritakan keadaan kaum Saba' yang sebenarnya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Ali bin Rabah)

"Dan Kami tidak mengutus kepada sesebuah negeri: seorang Rasul pemberi amaran melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: "Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya." (Surah Saba': 34: 34)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa terdapat dua orang rakan kongsi di dalam sebuah syarikat. Salah seorang dari keduanya pergi berdagang ke Syam dan seorang lagi menetap di Mekah. Ketika dia mendengar berita tentang seorang Nabi telah diutuskan, lalu dia menulis surat kepada kawannya bertanyakan perkara itu. Dia menerima jawapan bahawa tidak ada seorang pun dari golongan Quraisy yang mengikutnya kecuali orang yang hina dan miskin.

Selepas menerima jawapan itu, dia pun meninggalkan dagangannya dan meminta kepada temannya untuk membawanya berjumpa dengan Nabi. Ini kerana dia pernah membaca beberapa kitab tentang kenabian. Kemudian dia datang mengadap Nabi sambil berkata: "Kepada apakah engkau mengajak kami?" Maka Rasulullah menjelaskannya. Lalu orang itu berkata lagi: "Asydadu annaka Rasulullah." (Aku percaya bahawa engkau adalah Rasulullah). Kemudian Rasulullah bertanya: "Dengan pengetahuan apa engkau berbuat demikian?" Dia menjawab: "Tidak akan diutus seorang Nabi kecuali pengikutnya adalah terdiri daripada orang-orang yang hina dan orang-orang yang miskin."

Maka dengan penurunan ayat ini (Surah Saba': 34: 34) Rasulullah mengutus seseorang untuk menyampaikan berita tersebut kepada orang itu bahawa ucapannya dibenarkan oleh wahyu Allah. (Diriwayatkan oleh Ibnu Munzirdan Ibnu Abi Hatim dari Sufyan dari Ashim dari Ibnu Razim)

No comments:

Post a Comment