Saturday, July 20, 2013

Surah Taha

Taa'Haa." (Surah Taha: 20:1)
"Kami tidak menurunkan al Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan." (Surah Taha: 20: 2)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa pada permulaan turunnya wahyu, apabila Nabi berdiri untuk menunaikan sembahyang baginda akan berdiri dengan hujung jari kakinya berjingkat. Maka dengan tekanan badannya yang berganti-ganti di atas kedua kakinya turunlah ayat ini (Surah Taha: 20:1-2) sebagai petunjuk supaya tidak terseksa dalam melakukan sembahyang. (Diriwayatkan oleh Ibnu Marduwaih dari Ibnu Abbas)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa apabila Nabi berdiri untuk menunaikan sembahyang, [Kerana terlalu lama berdiri yang disebabkan oleh panjangnya ayat-ayat Quran yang dibaca] baginda akan berdiri dengan tekanan badannya yang berganti-ganti di atas kedua kakinya untuk menghilangkan rasa penat. Maka turunlah ayat di atas sebagai petunjuk kepadanya. (Diriwayatkan oleh Abd bin Hamid di dalam tafsirnya dari ar Rabi bin Anas)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa kaum kafir Quraisy berkata: "Orang ini (Muhammad) telah disusahkan oleh Tuhannya." Maka turunlah ayat ini (Surah Taha: 20: 1-2) sebagai bantahan terhadap ucapan mereka. (Diriwayatkan oleh Ibnu Marduwaih dari al Ufi dari Ibnu Abbas)

"Dan mereka (yang kafir) bertanya kepadamu (wahai Muhammad) dari hal gunung-ganang; maka jawablah: "Tuhanku akan menghancurkannya menjadi debu ditiup angin." (Surah Taha: 20:105)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa kaum Quraisy bertanya: "Apa yang akan dilakukan oleh Tuhanmu pada hari kiamat terhadap gunung-ganang?" Maka penurunan ayat di atas adalah sebagai penjelasan bahawa pada hari kiamat gunung-ganang itu akan dihancurkan. (Diriwaytakan oleh Ibnu Munzir dari Ibnu Juraij)

"Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh aLam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca al Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: "Wahai Tuhanku, tambahlah ilmuku." (Surah Taha: 20: 114)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa apabila Jibril datang membawa wahyu, Nabi berusaha dengan bersusah payah untuk menghafalnya sehingga menyusahkan dirinya sendiri. Baginda melakukan sedemikian kerana ditakuti Jibril akan kembali sebelum sempat baginda menghafalnya. Maka turunlah ayat ini (Surah Taha: 20: 114) sebagai teguran supaya tidak terburu-buru menghafal sebelum wahyu itu selesai diturunkan. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari as Suddi) 

KETERANGAN
Sebab penurunan ayat ini telah dikemukakan juga dalam surah an Nisaa'. Akan tetapi riwayat ini lebih sahih. 

"Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal." (Surah Taha: 20: 131)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Rasulullah telah didatangi oleh seorang tetamu. Baginda menyuruh Abi Rafi’ meminjam terigu dari seorang Yahudi dan baginda berjanji untuk membayarnya pada awal bulan Rejab. Berkatalah Yahudi: "Aku tidak akan memberinya kecuali dengan adanya jaminan." Kemudian Abi Rafi' pulang dan menceritakan perkara tersebut kepada baginda.

Kemudian Nabi bersabda: "Demi Allah! Aku ini dikenali sebagai orang yang jujur. Maka turunlah ayat ini (Surah Taha: 20:131) ketika Abi Rafi' belum meninggalkan Nabi. Ayat ini turun dengan melarang Nabi mengharapkan sesuatu dari golongan yang bukan Islam. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, Ibnu Marduwaih, al Bazzar dan Abu Ya'la dari Abi Rafi’)

No comments:

Post a Comment