Saturday, July 20, 2013

Surah Maryam

"Dan (berkatalah malaikat): "Kami tidak turun dari semasa ke semasa melainkan dengan perintah Tuhanmu (wahai Muhammad); Dialah jua yang menguasai serta mentadbirkan apa yang di hadapan kita dan apa yang di belakang kita serta apa yang di antara itu; dan tiadalah Tuhanmu itu lupa." (Surah Maryam: 19:64)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Rasulullah bertanya kepada Jibril: "Apakah yang menghalangmu untuk melawatku lebih daripada apa yang biasa engkau lakukan?" Maka turunlah ayat di atas sebagai penjelasan bahawa Jibril hanya datang kepada Muhammad apabila diperintahkan oleh Allah. (Diriwayatkan oleh al Bukhari dari Ibnu Abbas)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Jibril tidak turun membawa wahyu selama empat puluh hari. Seterusnya dalam riwayat ini ada dikemukakan cerita sebagaimana terdapat dalam riwayat al Bukhari di atas. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Ikrimah)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Rasulullah bertanya kepada Jibril: "Apakah kedudukan yang lebih dicintai oleh Allah dan apakah kedudukan yang paling dibenci oleh Allah?" Jibril menjawab: "Saya tidak tahu sebelum saya tanyakan dahulu." Setelah sekian lama masa berlalu Jibril kembali dan Nabi pun berkata: "Engkau telah lama tidak datang kepadaku sehingga aku mengira bahawa engkau marah kepadaku." Kemudian berkatalah Jibril dengan menyampaikan ayat ini (Surah Maryam: 19: 64) kepadanya. Ayat ini menjelaskan bahawa ia hanya turun apabila diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala. (Diriwayatkan oleh Ibnu Marduwaih dari Anas) Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ketika kaum Quraisy bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w tentang pemuda Ashabul Kahfi, Allah tidak menurunkan wahyu kepadanya selama 15 hari. Oleh itu apabila Jibril datang kembali, Nabi menegur di atas kelewatannya. Maka Jibril pun menyampaikan ayat ini (Surah Maryam: 19:64) sebagai jawapannya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq dari Ibnu Abbas)

"Maka tidakkah engkau merasa hairan memikirkan (wahai Muhammad), akan orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami serta ia berkata: "Demi sesungguhnya aku akan diberikan harta kekayaan dan anak-pinak pada hari akhirat?" (Surah Maryam: 19: 77)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Khabab bin Arat datang kepada al Ashi bin Wa'il as Sahmi untuk menuntut haknya. Akan tetapi dia menjawab: "Aku tidak akan memberikan hakmu kecuali jika engkau kufur kepada Muhammad. " Khabab menjawab: "Apakah engkau tidak akan berikan sehingga engkau mati dan dibangkitkan kembali?" Dia berkata: "Apakah aku akan mati dan kemudian dibangkitkan lagi?" Khabab menjawab: "Benar." Dia berkata lagi: "Kalau demikian aku akan membayarnya kelak di sana kerana di sana aku akan mempunyai harta dan anak." (Diriwayatkan oleh as Syaikhani dan perawi lain dari Khabab bin Arat)

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang." (Surah Maryam: 19:96)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika Abdur Rahman bin Auf berhijrah ke Madinah dia merasa kesepian kerana meninggalkan sahabatnya di Mekah. Di antara sahabatnya ialah Syaibah dan Uthbah anak Rabi'ah serta Umayyah bin Khalaf. Kesemua mereka ini adalah orang kafir Quraisy dan Abdur Rahman adalah seorang Mukmin.

Maka turunlah ayat ini (Surah Maryam: 19: 96) sebagai penjelasan bahawa kaum Mukminin yang beramal soleh akan mendapat sahabat yang saling cinta mencintai. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Abdur Rahman bin Auf)


No comments:

Post a Comment