Tuesday, July 23, 2013

Surah an Najm

(Iaitu) orang-orang Yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan Yang keji, kecuali salah silap Yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya. ia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak ia mencipta kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak Yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian Dalam perut ibu kamu; maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang bertaqwa. (Surah an Najm: 53: 32)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa kaum Yahudi beranggapan bahawa apabila seseorang bayi itu mati ketika kecil, maka bayi itu termasuk di dalam golongan orang "siddiq" iaitu manusia yang sempurna. Anggapan mereka ini akhirnya sampai kepada pengetahuan Nabi. Kemudian baginda bersabda: "Bohong Yahudi itu kerana tidak ada seorang pun yang dijadikan Allah di dalam rahim ibunya kecuali yang ditetapkan apakah dia celaka di neraka atau selamat di syurga."

Maka ayat ini (Surah an Najm: 53: 32) turun berkenaan dengan peristiwa di atas yang menjelaskan bahawa Allah Maha Mengetahul akan nasib makhluknya. (Diriwayatkan oleh al Wahidi, at Thabarani, Ibnu Munzir dan Ibnu Abi Hatim dari Thabit dan al Harts al Anshari)

"Adakah engkau mengetahui (keburukan) orang yang berpaling (dari menurut kebenaran kerana ia dihasut)?" (Surah an Najm: 53: 33)

"Dan setelah ia memberi sedikit pemberiannya, ia memutuskannya (kerana menurut hawa nafsunya)?" (Surah an Najm: 53: 34)

"Adakah ia mempunyai pengetahuan mengenai perkara yang ghaib sehingga ia dapat mengetahui (bahawa orang lain boleh menggalang gantinya dari apa yang-akan menimpanya pada hari akhirat)?" (Surah an Najm: 53: 35)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika Nabi bersiap sedia untuk berangkat ke medan jihad, datanglah seorang meminta kenderaan untuk dinaikinya. Akan tetapi Rasul tidak mempunyai kenderaan lagi untuk diberikan. Kemudian orang tersebut pergi menemui seorang sahabatnya lalu menyatakan maksudnya. Sahabatnya menjawab: "Baiklah aku berikan anak untaku yang masih muda tetapi dengan syarat engkau menanggung segala dosaku." Maka orang itu pun bersetuju.

Maka ayat ini (Surah an Najm: 53: 33-35) turun sebagai teguran kepada orang yang ingin mendapat keredhaan Allah dengan cara memberikan sesuatu dalam jumlah yang sangat sedikit kerana adanya sifat kedekut. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Ikrimah)

Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa ketika suatu pasukan bersiap sedia untuk berangkat ke medan jihad, datanglah seorang miskin meminta kenderaan kepada Nabi untuk ikut serta berperang. Rasulullah bersabda: "Telah habis kenderaan yang dapat aku berikan untuk tungganganmu." Kemudian dia pulang dengan perasaan yang sedih. Pada pertengahan jalan dia bertemu dengan seorang yang sedang bersiap-siap untuk menaiki untanya. Maka orang miskin itu berkata kepadanya: "Dapatkah engkau membawa aku dengan unta ini mengejar balatentera dan engkau akan memperolehi ganjaran kebaikannya." Orang tersebut bersetuju lalu dia pun naik ke atas unta tersebut.

Maka penurunan ayat ini (Surah an Najm: 53:33-35) adalah sebagai penjelasan bahawa setiap orang akan mendapat ganjaran sesuai dengan amalan yang dilakukan. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Daraj bin Samah)

Riwayat lain juga ada mengemukakan bahawa seorang lelaki telah memeluk Islam. Kemudian dia bertemu dengan seseorang yang mengejeknya dengan berkata: "Apakah engkau tinggalkan agama nenek moyangmu dan menganggap mereka sesat serta menganggap mereka akan masuk neraka?" Dia menjawab: "Aku takut akan seksaan Allah." Pengejek itu berkata lagi: "Berikan kepadaku sesuatu. Aku akan memikul seluruh dosa-dosamu. "Orang itu pun memberikan sesuatu kepadanya. Akan tetapi ditolak kerana dia meminta penambahan. Setelah berlakunya tawar menawar, mereka bersepakat untuk menambah dan membuat suatu naskhah perjanjian dengan adanya saksi.

Maka turunlah ayat ini (Surah an Najm: 53: 33-34) berkisar tentang peristiwa tersebut. Ayat ini turun sebagai teguran kepada orang yang berpaling dari Allah dan merasa aman kerana dapat memberikan sebahagian kecil dari harta kekayaannya kepada orang lain. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Ibnu Zaid)

maka Patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini (sehingga kamu mengingkarinya)? (Surah an Najm: 53: 59)

"Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya), dan kamu tidak mahu menangis (menyesali kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)?" (Surah an Najm: 53: 60)

"Sedang kamu adalah orang yang sombong angkuh, lagi yang melalaikan kewajipan?" (Surah an Najm: 53:61)

"Oleh yang demikian, hendaklah kamu sujud kepada Allah (yang telah menurunkan al Quran itu), dan beribadatlah kamu kepadaNya (dengan sepenuh-penuh tauhid)." (Surah an Najm: 53: 62)

Terdapat suatu riwayat yang mengemukakan bahawa ketika Rasulullah sedang menunaikan sembahyang, lalulah di hadapannya beberapa orang yang bersikap sombong.

Maka turunlah ayat ini (Surah an Najm: 53: 59-62) berhubung dengan peristiwa tersebut sebagai teguran kepada orang-orang yang bersikap demikian. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Abbas)


No comments:

Post a Comment