Friday, July 19, 2013

Surah an Nahl

Telah hampir datangnya janji Yang telah ditetapkan oleh Allah, maka janganlah kamu minta disegerakan. Maha suci Allah dan Maha Tinggilah ia dari perbuatan syirik Yang mereka lakukan. (Surah an Nahl: 16:1)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika turunnya ayat ini "Ata amrullahi" (Surah an Nahl: 16: 1) hati para sahabat menjadi gelisah, sehingga turut ayat seterusnya "fala tasta'jilu”. Selepas penurunan ayat ini hati mereka menjadi tenang kembali. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Marduwaih dari Ibnu Abbas) 

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ketika turun ayat "Ata amrullahi" (Surah an Nahl: 16: 1) para sahabat berdiri sehingga turunlah sambungan ayat itu "fala tasta'jilu. (Diriwayatkan oleh Abdullah bin Imam Ahmad di dalam kitab Zawaidiz Zuhdi dan Ibnu Jarirserta Ibnu Abi Hatim dari Bakar bin Abi Hafash)

"Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan bersungguh-sungguh (sambil berkata): "Allah tidak akan membangkitkan semula orang-orang yang telah mati." (Itu tidak benar), bahkan janji Allah membangkitkan orang-orang yang telah mati) tetap benar; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (SurahanNahl:16:38) 

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa seorang mukmin berhutang dengan seorang musyrik. Ketika musyrik itu meminta kembali hutangnya, dia mendoakan sesuatu bagi kehidupannya di akhirat. Si musyrik berkata: "Apakah engkau beranggapan bahawa engkau akan dibangkitkan sesudah mati. Demi Allah aku yakin bahawa Allah tidak akan membangkitkan orang yang sudah mati." Ayat ini (Surah an Nahl: 16: 38) turun berhubung dengan peristiwa tersebut sebagai bantahan terhadap ucapan orang musyrik tadi.(Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Abi Aliah)

"Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik; dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui." (Surah an Nahl: 16:41)

"Mereka itu ialah) orang-orang yang bersabar (menanggung kezaliman) dan berserah diri kepada Tuhannya." (Surah an Nahl: 16: 42)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa penurunan kedua ayat di atas adalah berkenaan dengan Abi Jandal bin Suhail. [Abi Jandal termasuk orang Muslim yang terlibat dalam Perjanjian Hudaibiyah. Dia dilarang berhijrah ke Madinah oleh kaum musyrikin sehingga Rasulullah menasihatinya supaya tetap bersabar. (Lihat Muh. Husein Haikal "Hayatu Muhammad" Nahdhah Mishriyat, 1965, hal 375].  (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Daud bin Abi Hindun)

Surah an Nahl:75. Allah memberikan satu misal perbandingan: seorang hamba abdi Yang menjadi milik orang, Yang tidak berkuasa melakukan Dengan bebasnya sesuatupun; dan seorang lagi (yang merdeka) Yang Kami kurniakan kepadanya pemberian Yang baik (harta kekayaan) dari kami, maka Dia pun membelanjakan hartanya Dengan bebasnya, sama ada secara bersembunyi atau terbuka, Adakah kedua orang itu sama? Segala puji tertentu bagi Allah (dan Allah jualah Yang berhak disembah), tetapi kebanyakan mereka (yang musyrik) tidak mengetahui (hakikat Tauhid itu).

Surah an Nahl:76. dan Allah memberikan satu misal Perbandingan lagi: dua orang lelaki, salah seorangnya kelu pekak dari semulajadinya, tidak dapat menyatakan apa Yang difikirkannya dan tidak dapat mendengar apa Yang dikatakan kepadanya; dan ia pula menjadi beban kepada orang Yang menjaganya; ke mana sahaja ia diarahkan pergi oleh penjaganya, tak dapatlah Dia membawa sesuatu Yang berfaedah; Adakah Dia (yang demikian sifatnya) sama seperti orang (yang boleh berkata-kata serta dapat) menyuruh orang ramai melakukan keadilan, dan ia sendiri pula berada di atas jalan Yang lurus (jalan Yang benar)?

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa firman Allah "dharaballalu matsalan 'abdan mamlukan" (Surah an Nahl: 16: 75) turun sebagai perumpamaan perbezaan di antara kaum Quraisy yang kaya serta dapat melakukan sesuatu mengikut kehendak hati dengan harta benda yang mereka miliki dibandingkan dengan hambanya yang tidak dapat berbuat apa-apa. Ayat ini juga turun sebagai bantahan terhadap penyamaan Allah dengan berhala.

Firman Allah "rajulaini ahaduhuma abkamu" dari (Surah an Nahl: 16: 76) turun sebagai perumpamaan perbezaan di antara Uthman bin Affan dan hambanya. Hambanya membenci Islam, enggan masuk Islam serta menghalang Uthman bersedekah dan melakukan amal maaruf (amal kebaikan). (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Ibnu Abbas) 

KETERANGAN
Kedua ayat ini (Surah an Nahl: 16: 75-76) menunjukkan perbezaan di antara Allah Yang Maha Kuasa yang berbuat sesuatu menurut iradahNya, sebaliknya berhala menjadi beban kepada para penyembahnya.

Surah an Nahl:80. dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah (yang kamu dirikan itu) tempat tinggal; dan ia menjadikan bagi kamu dari kulit binatang-binatang ternak: khemah-khemah (tempat berteduh), Yang kamu mendapatinya ringan (di bawa ke mana-mana) semasa kamu merantau dan semasa kamu berhenti; dan (ia juga menjadikan bagi kamu) dari berjenis-jenis bulu binatang-binatang ternak itu, berbagai barang perkakas Rumah dan perhiasan, (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu masa.

Surah an Nahl: Surah an Nahl:81. dan Allah menjadikan bagi kamu sebahagian dari Yang diciptakanNya: benda-benda untuk berteduh, dan ia menjadikan bagi kamu sebahagian dari gunung-ganang tempat-tempat berlindung; dan ia juga menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian Yang memelihara kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian-pakaian Yang memelihara kamu semasa berjuang. Demikianlah, ia menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu berserah diri kepadanya dan mematuhi perintahNya.

Surah an Nahl: Surah an Nahl:82. Kemudian, jika mereka masih berpaling ingkar maka Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) hanya bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah Dengan cara Yang jelas nyata.

Surah an Nahl:83. mereka mengetahui nikmat Allah (yang melimpah-limpah itu), kemudian mereka tergamak mengingkarinya; dan kebanyakan mereka pula ialah orang-orang Yang kufur ingkar.

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa seorang Arab bertanya kepada Nabi tentang Allah. Kemudian Rasulullah membacakan ayat "wallahu ja'ala lakum min buyutikum sakana" (Surah an Nahl: 16: 80). Orang itu mengiakan. Kemudian Nabi membaca sambungan ayat itu "wa'ja'la lakum min juludil an'ami buyutan tastakhiffu naha yauma dha nikum wa yauma iqamatikum (Surah an Nahl: 16: 80). Orang itu pun mengiakan. Kemudian Rasulullah membaca sambungan ayat itu dan orang itu pun mengiakan. Akan tetapi ketika Rasulullah membaca sehingga ayat "kadzalika yitummu ni'matahu 'alaikum la'allakum tuslimun (Surah an Nahl: 16: 81) orang itu pun berpaling dan tidak masuk Islam.

Maka turunlah ayat yang berikutnya (Surah an Nahl: 16:83) sebagai penjelasan bahawa walaupun orang-orang mengetahui akan nikmat yang diberikan Allah tetapi kebanyakan daripada mereka tetap kufur. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Mujahid)

"Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan." (SurahanNahl:16:91) 

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ayat di atas turun sebagai perintah untuk mematuhi baiah kepada Nabi iaitu baiah untuk masuk Islam. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarirdari Buraidah)

dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan Yang telah merombak satu persatu benda Yang dipintalnya, sesudah ia selesai memintalnya kuat teguh; Dengan kamu menjadikan sumpah kamu sebagai tipu daya (untuk mencabuli perjanjian Yang telah dimeteraikan) sesama kamu, disebabkan adanya satu golongan Yang lebih ramai dari golongan lain. Sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kamu Dengan Yang demikian itu; dan ia sudah tentu akan menerangkan kepada kamu, pada hari kiamat, apa Yang kamu berselisihan padanya. (SurahanNahl:16:92)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Saidah al Asadiyah adalah seorang gila yang kerjanya hanya mengikat dan mengurai kembali rambutnya berulang-ulang kali. Maka penurunan ayat ini (Surah an Nahl: 16: 92) adalah sebagai perumpamaan kepada orang-orang yang selalu membuat janji tetapi tidak menepatinya. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Abu Bakar bin Abi Hafsh)

dan Demi Sesungguhnya Kami Mengetahui, Bahawa mereka Yang musyrik itu berkata: " sebenarnya Dia diajar oleh seorang manusia". (padahal) bahasa orang Yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu ialah bahasa asing, sedang Al-Quran ini berbahasa Arab Yang fasih nyata. (Surah an Nahl: 16:103)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Rasulullah mengajar seorang abid Romawi yang bernama Bal'am di Mekah. Dia tidak dapat berbahasa Arab dengan fasih. Oleh itu, ketika kaum musyrikin melihat Rasulullah sering keluar masuk dari rumah Bal'am mereka berkata:" Tentu Bal'am yang mengajamya." Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah an Nahl: 16:103) sebagai bantahan akan pendapat kaum musyrikin itu. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dengan sanad yang daifdari Ibnu Abbas)

Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa Abdullah bin Muslim al Hadhrami mempunyai dua orang abid yang bernama Yasar dan Jabr dari Sicilia. Kedua-dua mereka suka membaca dan mengajar ilmunya. Rasulullah sering melawat ke tempat mereka dan mendengarkan bacaannya. Oleh itu orang-orang musyrik berkata: "Muhammad belajar dari kedua orang itu." Maka penurunan ayat ini (Surah an Nahl: 16:103) adalah sebagai bantahan di atas tuduhan mereka. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Husain dari Abdullah bin Muslim al Hadhrami) 

sesiapa Yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang Yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram Dengan iman; akan tetapi sesiapa Yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab Yang besar. (Surah an Nahl: 16:106)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika Nabi hendak berhijrah ke Madinah, kaum musyrikin menahan Bilal, Khabbab dan Ammar bin Yasir. Ammar dapat menyelamatkan diri dengan cara mengucapkan perkataan yang mengagumkan mereka. Ketika berjumpa dengan Rasulullah dia menceritakan kejadian tersebut kepada baginda. Lalu Nabi bertanya: "Apakah hatimu lapang ketika berkata demikian itu?" Dia menjawab: "Tidak."

Maka penurunan ayat ini (Surah an Nahl: 16:106) adalah berhubung dengan kejadian tersebut, sebagai penjelasan bahawa Allah tidak akan mengutuk orang yang dipaksa kufur asalkan hatinya tetap beriman kepadaNya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Abbas) 

Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah an Nahl: 16:106) turun ketika orang Islam Madinah mengirim surat kepada orang Islam Mekah menyeru agar mereka berhijrah. Kemudian mereka berangkat ke Madinah, akan tetapi disusuli oleh orang Quraisy lalu menganiayai mereka sehingga mereka terpaksa mengucapkan perkataan kufur. Maka penurunan ayat ini adalah berkenaan dengan peristiwa ini. Di dalam ayat ini Allah menerangkan bahawa Dia akan memberi ampun kepada orang yang dipaksa mengucapkan perkataan kufur asalkan hati mereka tetap beriman kepadaNya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Mujahid) 

"Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang-orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnahkan (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar; sesungguhnya Tuhanmu - sesudah mereka menderita dan bersabar dalam perjuangan - adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah an Nahl: 16: 110) 

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Ammar bin Yasir diseksa sehingga tidak tahu apa yang mesti diucapkannya. Demikian juga keadaannya dengan Shuhaib, Abu Fukaihah, Bilal, Amir bin Fuhairah dan kaum Muslimin lainnya. Maka penurunan ayat (Surah an Nahl: 16: 110) adalah berkenaan dengan mereka yang telah diselamatkan oleh Allah. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Saad di dalam Thabaqat dari Umar bin al Hakam) (Lihat Surah an Nisaa': 4: 97) 

dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas Dengan kejahatan Yang sama seperti Yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) Sesungguhnya Yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang Yang sabar. (Surah an Nahl: 16:126)

dan Bersabarlah (Wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan Yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan Dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah Engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah Engkau bersempit dada disebabkan tipu daya Yang mereka lakukan. (Surah an Nahl: 16: 127)

"Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (Surah an Nahl: 16:128)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika Rasulullah berdiri di hadapan mayat Hamzah yang syahid dan dirosakkan anggota badannya, bersabdalah Rasulullah: "Aku akan bunuh 70 orang dari mereka sebagaimana mereka lakukan terhadap dirimu." Maka turunlah Jibril menyampaikan wahyu terakhir dalam surah an Nahl (Surah an Nahl: 16:126-128) ketika Nabi masih lagi berdiri. Wahyu ini turun sebagai teguran kepada Nabi dan Rasulullah melupakan hasratnya itu. (Diriwayatkan oleh al Hakim dan al Baihaqi di dalam kitab ad Dalail dan al Bazzar dari Abi Hurairah)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ketika perang Uhud seramai 70 orang Islam mati syahid. la terdiri daripada 64 orang dari kaum Ansar dan 6 orang dari kaum Muhajirin dan di antaranya termasuklah Hamzah. Kesemuanya dirosakkan anggota badannya dengan kejam. Berkatalah kaum Ansar: "Jika kami mendapat kemenangan, kami akan melakukan lebih dari apa yang mereka lakukan." Ketika terjadinya peristiwa pembebasan kota Mekah turunlah ayat ini (Surah an Nahl: 16:126) sebagai larangan kepada kaum Muslimin mengadakan pembalasan yang lebih kejam dan disarankan kepada mereka supaya bersabar. (Diriwayatkan oleh at Tirmizi yang menganggap hadis ini hasan dan al Hakim dari Ubay bin Kaab)

Menurut zahirnya, dikatakan bahawa penurunan tiga ayat yang terakhir ini ditangguhkan sehingga Fathu Mekah. Akan tetapi dari hadis-hadis sebelumnya dikatakan bahawa penurunannya adalah pada perang Uhud.

Menurut kesimpulan yang dibuat oleh Ibnu Hishar, ayat-ayat ini turun sebanyak tiga kali. Pada mulanya turun di Mekah, keduanya pada perang Uhud dan ketiganya pada waktu Fathu Mekah untuk memberi peringatan kepada hamba-hambanya.

No comments:

Post a Comment