Saturday, July 20, 2013

Surah al Israa'

"Sesiapa yang beroleh hidayat petunjuk (menurut panduan al Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapa pun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)." (Surah al lsraa':17:15)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Khadijah pernah bertanya kepada Rasulullah mengenai anak-anak orang musyrikin. Rasulullah menjawab: "Nasib mereka itu sesuai dengan nasib orang tuanya berdasarkan kepada amal perbuatan dan akidah orang tuanya." Akan tetapi ketika Aisyah bertanya mengenai perkara itu Rasulullah menjawab: "Allah Maha Mengetahui akan usaha orang tuanya." Setelah Islam berkembang dan menjadi kukuh Aisyah bertanya lagi mengenai perkara tersebut.

Maka turunlah ayat ini (Surah al Israa': 17: 15) sebagai jawapan kepada pertanyaannya itu, bahawa setiap orang tidak akan menanggung dosa orang lain. Selepas penurunan ayat ini Rasulullah bersabda: "Mereka itu sesuai dengan fitrahnya atau baginda pernah bersabda: "Mereka itu didalam syurga." (Diriwayatkan oleh Abnu Abdil Bar dengan sanad yang daif dari Aisyah)

"Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau." (Surah al Israa': 17: 26)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika turun ayat di atas Rasulullah memberikan tanah di Fadak [Tanah tersebut diperolehi Rasulullah dari pembahagian ghanimah kepada Fatimah] (Diriwayatkan oleh at Thabarani dan yang lainnya dari Abi Said al Kudri) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Marduwaih dari Ibnu Abbas)

KETERANGAN
Menurut Ibnu Katsir riwayat ini membingungkan kerana mengikut riwayat ini seolah-olah ayat ini adalah Madaniyyah padahal ayat ini masyhur sebagai ayat Makiyah.

"Dan jika engkau terpaksa berpaling tidak melayani mereka, kerana menunggu rezeki dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan hati." (Surah al Israa': 17: 28)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa orang-orang dari Muzainah meminta kepada Rasulullah agar diberikan kepada mereka kenderaan sebagai kegunaan ketika berperang fi sabilillah. Rasulullah menjawab: "Aku tidak ada lagi kenderaan untuk kamu." Mereka berpaling dengan linangan air mata kerana sedih dan merasakan bahawa Rasulullah marah kepada mereka. Maka turunlah ayat ini (Surah al Israa': 17: 28) sebagai petunjuk kepada Nabi agar menolak permohonan dengan lemah lembut. (Diriwayatkan oleh Said bin Mansur dari Atha al Khurasani)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa penurunan ayat ini (Surah al Israa': 17: 28) berhubung dengan peristiwa penolakan Nabi terhadap orang miskin yang meminta bantuan. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari ad Dhahhak)

"Dan janganlah  engkau jadikan  tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan." (Surahallsraa':17:29) 

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Rasulullah telah menerima kiriman pakaian. Oleh kerana baginda seorang yang dermawan, pakaian itu dibahagi-bahagikan kepada orang ramal. Setelah selesai membahagi-bahagikan pakaian tersebut, datanglah satu rombongan lain untuk meminta bahagian tetapi ternyata telah habis. Maka turunlah ayat ini (Surah al Israa': 17: 29) berhubung dengan peristiwa di atas. Di dalam ayat ini Allah menjelaskan bahawa apa yang diperolehi itu janganlah dihabiskan kesemuanya. (Diriwayatkan oleh Said bin Mansur dari Yasar Abi Hakam)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa seorang anak telah datang kepada Nabi meminta sesuatu atas suruhan ibunya. Rasulullah menjawab: "Kami tidak punya apa-apa hari ini." Lalu si anak itu berkata: "Ibuku mengharapkan agar aku diberi pakaian tuan." Kemudian Rasulullah membuka baju qamisnya dan menyerahkan kepada anak itu dan baginda sendiri tinggal di rumah tanpa memakai baju qamis. Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Israa': 17: 29) sebagai petunjuk kepada Rasulullah untuk tidak terlalu terbuka tangan. (Diriwayatkan oleh Ibnu Marduwaih dan yang lainnya dari Ibnu Mas'ud)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Nabi pernah bersabda kepada Aisyah bahawa baginda akan menginfakkan apa yang ada padanya. Kemudian Aisyah berkata: "Kalau begitu tidak akan ada bakinya walau sedikit pun." Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Israa': 17: 29) sebagai petunjuk kepada Nabi dalam mengeluarkan infaknya.

Berdasarkan kepada riwayat ini, ayat tersebut seolah-olah ayat Madaniyyah. (K. Diriwayatkan pula oleh Ibnu Marduwaih dari Abi Umamah)

"Dan apabila engkau membaca al Quran (wahai Muhammad), Kami jadikan perasaan ingkar dan hasad dengki orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu sebagai dinding yang tidak dapat dilihat, yang menyekat mereka daripada memahami bacaanmu. " (Surah al Israa': 17: 45)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa apabila Rasulullah membacakan al Quran kepada kaum musyrikin Quraisy dan mengajak mereka kepada al Quran, mereka mempermainkannya dengan berkata: "Hati kami tertutup untuk menerima ajakanmu, telinga kami tersumbat dan di antara kami dan kamu terdapat dinding pemIsaH." Maka turunlah ayat ini (Surah al Israa': 17: 45) sebagai penjelasan bahawa kaum musyrikin seperti mereka itu akan tertutup pintu hatinya dari petunjuk Allah. (Diriwayatkan oleh Ibnu Munzirdari Ibnu Syihab)

"Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum musyrik): "Serukanlah orang-orang yang kamu dakwa (boleh memberI pertolongan) selain dari Allah, maka sudah tentu mereka tidak berkuasa menghapuskan bahaya daripada kamu dan tidak dapat memindahkannya." (Surah al Israa1:17: 56)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa terdapat segolongan manusia yang menyembah jin. Kemudian bangsa jin memeluk agama Islam. Walaupun demikian sebahagian dari orang tersebut tetap menyembah jin. Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Israa': 17: 56) sebagai kecaman kepada orang-orang yang menyembah sesuatu yang tidak berdaya menolong mereka. (Diriwayatkan oleh al Bukhari dan yang lainnya dari Ibnu Mas'ud) 

"Dan tiada yang menghalang Kami dari menghantar turun mukjizat yang mereka minta itu melainkan kerana jenis mukjizat itu telah didustakan oleh kaum-kaum yang telah lalu; dan di antaranya Kami telah pun memberikan kepada kaum Thamud unta betina sebagai mukjizat yang menjadi keterangan yang nyata, lalu mereka berlaku zalim kepadanya; dan biasanya Kami tidak menghantar turun mukjizat-mukjizat itu melainkan untuk menjadi amaran (bagi kebinasaan orang-orang yang memintanya kalau mereka tidak beriman)." (Surah al Israa': 17:59)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa orang-orang Mekah meminta kepada Nabi agar gunung Safa dijadikan emas dan gunung-ganang di Mekah diratakan agar boleh dijadikan ladang untuk bercucuk tanam. Berkatalah Jibril kepada Nabi: "Apakah engkau akan menangguhkan permintaan mereka atau menunaikannya? Sekiranya engkau menunaikan permintaan mereka dan mereka tetap kufur tentu mereka akan dibinasakan sebagaimana umat-umat yang terdahulu." Nabi menjawab bahawa baginda akan menangguhkannya. Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Israa': 17: 59) sebagai peringatan kepada Nabi bahawa jikalau ditunaikan permintaan mereka, mereka tetap akan kufur kepadaNya. (Diriwayatkan oleh al Hakim dan at Thabarani serta yang lainnya dari Ibnu Abbas) (Diriwayatkan pula oleh at Thabarani dan Ibnu Marduwaih dengan panjang lebar)

Surah al Israa’:60 dan (ingatlah) ketika Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad), Bahawa Sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia (dengan ilmunya dan kekuasaanNya; dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) Yang telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan) pokok Yang dilaknat di Dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan Dengan kekufuran Yang melampau.

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa selepas kejadian Isra dan Mikraj Nabi menceritakan peristiwa tersebut kepada kaum musyrikin Quraisy. Akan tetapi mereka mengejek dan mempermainkan Nabi malahan mereka meminta bukti. Lalu Nabi menerangkan ciri-ciri Baitul Maqdis dan juga menceritakan kafilah yang dilaluinya. Kemudian al Walid bin Mughirah berkata: "Orang ini adalah tukang sihir." 

Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Israa': 17: 60) sebagai penjelasan bahawa peristiwa tersebut adalah ujian bagi manusia. (Diriwayatkan oleh Abu Ya'la dari Ummu Hani) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Munzir dari Hasan)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa pada suatu pagi Rasulullah seperti dalam kebingungan. Maka ada yang berkata kepadanya: "Apakah yang terjadi kepada tuan ya Rasulullah, janganlah membingungkan tuan kerana apa yang menjadl penglihatan tuan adalah ujian bagi kami." Maka turunlah ayat di atas (Surah al Israa': 17: 60) sebagai membenarkan akan adanya ujian itu. (Diriwayatkan oleh Ibnu Marduwaih dari Husain bin Ali, Ibnu Jarirdari Sahl bin Said) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Abi Hatim dari Amr Ibnu Ash, Ya'la bin Murrah dan Said bin al Musayyab yang sanad-sanadnya daif. Hadis Said bin Musayyab adalah mursal) 

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika Allah, menerangkan perkataan "azzaqqum" (Surah al Waaqi'ah: 56: 52) sebagai peringatan kepada penghuni kampung Quraisy, berkatalah Abu Jahal kepada kaumnya: "Apakah kalian semua tahu apakah zaqqum yang dipakai oleh Muhammad untuk menakut-nakutkan kalian semua." Mereka menjawab: "Kami tidak mengetahuinya." Atau Jahal berkata lagi: "Roti disapu mentega , jika aku menemukan keduanya pasti aku akan makan dengan banyak." Ayat ini (Surah al Israa': 17:60) turun berhubung dengan peristiwa di atas sebagai penjelasan bahawa penurunan tentang zaqqum itu menyebabkan mereka menjadi lebih sesat lagi. Kemudian turun pula ayat lain (Surah ad Dukhaan: 44: 43-44) yang menjelaskan tentang pohon zaqqum tersebut. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan al Baihaqi di dalam kitab alBa'tsi dari Ibnu Abbas)

dan Sesungguhnya nyaris-nyaris mereka dapat memesongkanmu (Wahai Muhammad) dari apa Yang Kami telah wahyukan kepadaMu, supaya Engkau ada-adakan atas nama Kami perkara Yang lainnya; dan (kalau Engkau melakukan Yang demikian) baharulah mereka menjadikan Engkau sahabat karibnya. (Surah al Israa': 17: 73)

"Dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau sudah mendekati dengan menyetujui sedikit kepada kehendak mereka." (Surahallsraa':17:74)

"Jika (engkau melakukan yang) demikian, tentulah Kami akan merasakanmu kesengsaraan yang berganda semasa hidup dan kesengsaraan yang berganda juga semasa mati; kemudian engkau tidak beroleh seseorang penolong pun terhadap hukuman Kami." (Surahallsraa':17:75)

"Dan sesungguhnya mereka hampir-hampir berjaya mengganggumu daripada tinggal aman di bumi (Mekah) dengan tujuan mereka dapat mengusirmu dari negeri itu; dan jika berlaku demikian, maka mereka tidak akan tinggal di situ sesudahmu melainkan sedikit masa sahaja." (Surahallsraa':17:76)

dan pohonkanlah (Wahai Muhammad, Dengan berdoa): "Wahai Tuhanku! masukkanlah daku ke Dalam urusan ugamaku Dengan kemasukan Yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya Dengan cara keluar Yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaKu dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan Yang menolongku", (Surah al Israa': 17:80)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa para pembesar Quraisy yang bernama Umayyah bin Khalaf dan Abu Jahal bin Hisyam datang mengadap Nabi dan berkata: "Hai Muhammad! Mari kita minta keberkatan dari tuhan kami dan kami akan masuk Agamamu. "Sesungguhnya Rasulullah menginginkan mereka untuk memeluk Islam dan baginda merasa kasihan kepada mereka. Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Israa': 17: 73-75) sebagai penjelasan bahawa ajakan mereka itu tidak perlu diambil berat kerana akan membawa kepada kesesatan. (Diriwayatkan oleh Ibnu Marduwaih dan Ibnu Abi Hatim dari Ishaq dari Muhammad bin Abi Muhammad dari Ikrimah dari Ibnu Abbas)
KETERANGAN
Imam Sayuthi menganggap bahawa hadis ini adalah hadis yang paling sahih berhubung dengan sebab penurunan ayat ini dan sanadnya adalah kuat serta mempunyai syahid.

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ketika Rasulullah mencium Hajar Aswad, kaum Quraisy berkata: "Kami tidak akan membiarkan engkau mencium Hajar Aswad sebelum engkau mencium Tuhan-tuhan kami." Rasulullah berkata: "Apa salahnya kalau aku berbuat demikian kerana Allah mengetahui perbezaan dari perbuatan itu." Maka turunlah ayat ini (Surah al Israa': 17: 73-75) sebagai larangan kepada Rasulullah untuk meluluskan permintaan mereka. (Diriwayatkan oleh Abu Syaikh dari Said bin Jubair dari Ibnu Syihab)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa kaum Quraisy datang mengadap Nabi dan berkata: "Jika betul engkau diutuskan kepada kami, usirlah pengikut-pengikutmu yang hina dan abid-abid itu supaya nanti kami akan menjadi sahabatmu." Nabi cenderung untuk menunaikan permintaan mereka itu. Maka turunlah ayat ini (Surah al Israa': 17:73-75) sebagai larangan kepada Nabi dari menunaikan permintaan mereka itu. (Diriwayatkan oleh Abu Syaikh dari Jubair bin Nafi)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ketika Nabi membaca ayat "wan najmi idza hawa" sehingga sampai kepada ayat ke "afaraaitu mullata wal uza (Surah an Najm: 53: 1-19) syaitan menyelipkan perkataan "tilkal gharaniqul" [Gharaniq nama berhala Quraisy)] "ula wa inna syafa 'atuhunna laturtaja." Maka turunlah ayat ini (Surah al Israa': 17:73-75) sebagai larangan untuk menghiraukan percakapan syaitan.

Sejak dari itu Nabi merasa bingung sehingga turunlah ayat (Surah al Hajj: 22:52) sebagai penjelasan bahawa sesuatu yang diturunkan oleh Allah tidak akan dapat dicampur dengan perbuatan maklukNya. (Diriwayatkan oleh Abu Syaikh dari Muhammad bin Kaab al Qurazi) 

KETERANGAN
Berdasarkan kepada riwayat-riwayat di atas, ayat ini diturunkan di Mekah tetapi ada pula orang yang menganggap bahawa ayat ini diturunkan di Madinah. la adalah berpandukan kepada riwayat di bawah ini.

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa terdapat satu kaum yang berkata kepada Nabi: "Berilah tempoh kepada kami selama setahun agar kami dapat mengumpulkan dan menerima hadiah dari tuhan-tuhan kami." Rasulullah hampir sahaja memberi tempoh kepada mereka. Maka turunlah ayat ini (Surah al Israa': 17: 73-75) sebagai larangan kepada Nabi untuk mengabulkan permintaan mereka. (Diriwayatkan oleh Ibnu Marduwaih dari al Ufi dari Ibnu Abbas. Hadis ini sanadnya daif)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa orang-orang Yahudi datang kepada Nabi untuk menghasut dirinya dengan berkata: "Sekiranya benar engkau seorang Nabi, pergilah engkau ke Syam kerana Syam itu tempat berkumpul para Nabi." Rasulullah percaya pada percakapan mereka lalu meninggalkan kesan di dalam hatinya.

Ketika perang Tabuk Rasulullah berniat untuk menuju ke Syam. Oleh itu, apabila sampai di Tabuk Allah menurunkan ayat ini (Surah al Israa': 17: 73-75 diakhiri dengan ayat 76) sebagai peringatan kepada baginda bahawa kaum Yahudi bermaksud untuk mengeluarkan baginda dari Madinah dan Allah memerintahkan supaya kembali ke Madinah. Kemudian Jibril berkata kepada Nabi: "Mintalah kepada Tuhanmu kerana setiap Nabi ada permintaannya." Nabi berkata: "Apa yang engkau suruh aku minta kepadaNya?" Jibril menjawab: "Pohonlah "rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin waj'alli milladunka sulthanannashira" (Surah al Israa': 17: 80).

Maka penurunan ayat ini (Surah al Israa': 17: 73, 74, 75, 76, 80) adalah berkenaan dengan keharusan Rasulullah pulang dari Tabuk. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan al Baihaqi di dalam adDalail dari Hadis Syah bin Hausyab dari Abdur Rahman bin Ghanam.)  (Hadis ini mursal, sanadnya daif dan ada syahidnya seperti hadis di bawah ini) 

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa kaum musyrikin berkata kepada Nabi: "Para Nabi tinggal di Syam, mengapa engkau tinggal di Madinah?" Ketika Nabi hampir melaksanakan perkara itu, turunlah ayat ini (Surah al Israa': 17: 80) untuk memberitahu Nabi akan maksud kaum musyrik yang hendak mengusir baginda. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Said bin Jubair. Hadis ini mursal) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Jarir dengan hadis mursal yang menjelaskan bahawa orang yang berkata kepada Rasulullah itu ialah kaum Yahudi)  

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah al Israa': 17:80) turun ketika Nabi melaksanakan hijrah dari Mekah ke Madinah. (Diriwayatkan oleh at Tirmizi dari Ibnu Abbas) 

KETERANGAN 
Berdasarkan kepada riwayat di atas jelaslah menunjukkan bahawa ayat yang telah disebutkan diturunkan di Mekah dan Ibnu Marduwaih meriwayatkan dengan lafaz yang begitu jelas.

"Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja." (Surah al Israa': 17:85)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa pada suatu hari Nabi berjalan di sekitar Madinah dengan bertongkat bersama dengan Ibnu Mas'ud dan lalu di hadapan segolongan kaum Yahudi. Salah seorang di antara mereka berkata: "Mari kita bertanya kepadanya." Mereka pun berkata: "Terangkan kepada kami tentang roh." Kemudian Nabi s.a.w. berdiri dan mengangkat kepalanya ke langit dan terlihat baginda sedang diberi wahyu. Maka turunlah ayat ini (Surah al Israa': 17: 85) berhubung dengan peristiwa tersebut. (Diriwayatkan oleh al Bukhari dari Ibnu Mas'ud)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa kaum Quraisy berkata kepada kaum Yahudi: "Ajarkan kepada kami akan sesuatu untuk ditanyakan kepada orang ini (Muhammad)." Berkatalah orang Yahudi: "Tanyalah kepadanya tentang roh". Kemudian mereka bertanya kepada Nabi mengenai perkara itu. Maka turunlah ayat ini (Surah al Israa': 17: 85) sebagai jawapan terhadap pertanyaan tersebut. (Diriwayatkan oleh at Tirmizi dari Ibnu Abbas) 

KETERANGAN
Ibnu Katsir [Imadudin Abil Fida Ismail bin Katsir al Qurasyi ad Dimsyiqi, Tafsir al Quranul Adhim, Isa al Bab al Halabi Cairo N.D, juz III, hal 60] ada mengemukakan bahawa perkara yang disebutkan di atas sebagai berikut: Dari kedua-dua kejadian di atas dapatlah dibuat kesimpulan bahawa ayat ini (Surah al Israa': 17: 85) turun pada kedua peristiwa itu. Demikian juga mengikut pendapat al Hafiz Ibnu Hajar tetapi dengan penambahan bahawa Nabi mendiamkan diri ketika ditanya oleh Yahudi adalah untuk menunggu penjelasan yang lebih jauh tentang itu. Sekiranya bukan kerana menunggu penjelasan yang lebih jauh, tentu apa yang diriwayatkan oleh Bukhari itu lebih sahih.

Menurut pendapat Imam Sayuthi apa yang diriwayatkan oleh Bukhari itu adalah lebih sahih kerana perawinya hadir pada waktu peristiwa itu terjadi sedangkan Ibnu Abbas tidak hadir dalam peristiwa tersebut.

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri." (Surah al lsraa':17:88)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Salam bin Musykam bersama-sama kawannya kaum Yahudi datang mengadap Nabi dan berkata: "Bagaimana kami boleh mengikut engkau, sedangkan engkau sendiri telah meninggalkan kiblat kami dan apa yang kau bawa tidak teratur seperti Taurat. Turunkan kepada kami sebuah kitab yang kami kenal, kalau tidak kami akan mendatangkan kepadamu seperti apa yang kau bawa." Maka Allah menurunkan ayat di atas berhubung dengan peristiwa tersebut. (Diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq dan Ibnu Jarirdari Said atau Ikrimah dari Ibnu Abbas) 

"Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan mata air dari bumi, bagi Kami." (Surah al lsraa':17:90)

"Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus." (Surah al lsraa':17:91)

"Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya." (Surah al lsraa':17:92)

"Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya." Katakanlah (wahai Muhammad): "Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?" (Surah al lsraa':17:93)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa kaum kafir Quraisy iaitu Uthbah dan Syaibah anak Rabi'ah, Abu Sufyan bin Harb dan seorang dari Bani Abid Dar, Abal Buhturi, al Aswad bin al Muthalib, Rabi'ah bin al Aswad, al Walid bin al Mughirah, Abu Jahal, Abdullah bin Umayyah, Umayyah bin Khalaf, al Ashi bin Wail, Nabih dan Munabih anak al Hajjaj berkumpul dan berkata: "Hai Muhammad! Kami tidak pernah tahu bahawa ada seorang bangsa Arab yang mengadakan kekusutan terhadap kaumnya sebagaimana yang engkau lakukan terhadap kaummu. Engkau telah mencaci nenek moyang, mencela agama, menganggap para cerdik pandai itu bodoh, mencaci tuhan-tuhan kami dan memecah belahkan penyatuan umat. Sesungguhnya apa yang dibawa oleh engkau ini hanyalah menyebabkan hubungan di antara kami dan engkau menjadi bertambah buruk. Sekiranya dengan membawa perkara baru ini engkau mengharapkan kekayaan, kami akan mengumpulkannya untukmu sehingga engkau menjadi orang yang paling kaya di antara kami semua. Sekiranya engkau menginginkan kemuliaan, kami akan mengangkatmu menjadi pemimpin kami. Akan tetapi jika engkau membawa perkara baru ini kerana rasukan jin sehingga engkau hilang ingatan, kami akan keluarkan harta benda kami untuk menyembuhkan penyakitmu itu."

Kemudian Nabi bersabda: "Tidak ada satu pun perkara yang kalian katakan itu dalam diriku. Akan tetapi Allah mengutusku menjadi Rasul kepada kalian semua dan Allah menurunkan kepadaku sebuah kitab serta memerintahkan kepadaku supaya menjadi pembawa berita gembira dan pemberi peringatan." Mereka menjawab: "Jika engkau tidak mahu menerima apa yang kami ajukan tadi, sebenarnya engkau mengetahui bahawa negeri Mekah ini merupakan sebuah negara yang sempit serta padat penduduknya. Di samping itu juga sumber alamnya sedikit dan penghidupannya adalah sukar. Oleh itu alangkah baiknya jika engkau memohon kepada tuhan yang telah mengutusmu agar menyingkirkan gunung-gunung yang menyempitkan kita ini sehingga negara kita menjadi luas dan mengalirkan sungai-sungai di negara kita ini seperti yang terdapat di negara Syam dan Iraq serta membangkitkan nenek moyang kami yang sudah mendahului kami. Sekiranya engkau tidak dapat melaksanakan permintaan kami, mintalah kepada Tuhanmu agar mengutuskan Malaikat yang membenarkan ajakanmu ini, di samping ia boleh membuat kebun-kebun, harta dan juga gedung-gedung dari emas dan perak sehingga kami dapat menolong engkau menyebarkan agamamu. Sesungguhnya kami lihat engkau juga memerlukan harta tersebut kerana engkau selalu ke pasar untuk mencari penghidupan. Sekiranya engkau tidak dapat melaksanakan permintaan kami ini, runtuhkanlah langit sebagaimana anggapanmu bahawa Tuhanmu dapat melaksanakannya apabila menghendakinya. Sesungguhnya kami tidak akan beriman kepadamu, sebelum kau penuhi permintaan kami ini."

Kemudian Rasulullah meninggalkan mereka dan diikuti oleh Abdullah bin Abi Umayah yang berkata: "Hai Muhammad! Kaummu meminta kepadamu beberapa permintaan tetapi engkau tidak menunaikannya. Kemudian mereka meminta beberapa bukti darimu agar mereka mengetahui kedudukanmu di sisi Allah tetapi engkau juga tidak membuktikannya. Kemudian mereka meminta supaya dipercepatkan seksaan dari Tuhan yang selalu engkau peringatkan kepada mereka. Demi Allah aku tidak akan beriman kepadamu untuk selama-lamanya sebelum engkau membuat tangga untuk engkau naik terus ke langit dan aku melihatnya dan dari mana engkau membawa sebuah naskhah yang dapat disebarkan serta engkau membawa empat Malaikat yang menjadi saksi di atas kerasulanmu sebagaimana yang engkau katakan."

Selepas itu, Rasulullah pulang dengan perasaan sedih dan turunlah ayat ini (Surah al Israa': 17:90) berhubung dengan peristiwa tersebut seiring dengan ucapan Abdullah bin Abi Umayyah. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Ibnu Ishaq dari seorang alim dari Mesir dari Ikrimah dari Ibnu Abbas)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah al Israa': 17:90-93) turun berkenaan dengan saudara Ummu Salamah yang bernama Abdullah bin Abi Umayyah. (Diriwayatkan oleh Said bin Mansur di dalam kitab sunannya dari Said bin Jubair) (Hadis ini mursal tetapi sahih dan menjadi syahid serta menyempurnakan sanad riwayat yang sebelumnya)

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Serulah nama " Allah" atau nama "Ar-Rahman", Yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama Yang baik serta mulia". dan janganlah Engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah Engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara Yang sederhana antara itu. (Surah al Israa': 17: 110) 

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa pada suatu hari Rasulullah sembahyang di Mekah dan berdoa. Di antara doanya ialah: "Ya Allah! Ya Rahman!" berkatalah kaum musyrikin: "Perhatikanlah orang yang murtad dari agamanya. Dia melarang kita menyeru dua tuhan sedangkan dia sendiri menyeru dua tuhan." Maka turunlah ayat ini (Surah al Israa': 17:110)sebagai penjelasan bahawa Tuhan itu Esa tetapi mempunyai nama-nama yang baik. (Diriwayatkan oleh Ibnu Marduwaih dan yang lainnya dari Ibnu Abbas) 

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa "wala tajhar bishala" sebahagian dari ayat ini (Surah al Israa': 17:110) turun ketika Rasulullah menyebarkan dakwah di Mekah secara tersembunyi. Pada waktu itu apabila Rasulullah sembahyang berjemaah bersama sahabat-sahabatnya, baginda menyaringkan bacaan al Quran. Oleh itu, apabila kaum Quraisy mendengarnya, mereka mencaci-caci al Quran, yang menurunkanNya dan mencaci NabiNya. Maka penurunan ayat di atas adalah untuk melarang Nabi menyaringkan suaranya dalam sembahyang pada ketika itu. (Diriwayatkan oleh al Bukhari dan yang lainnya dari Ibnu Abbas) (Diriwayatkan pula oleh al Bukhari dari Aisyah yang menjelaskan bahawa ayat ini turun berkenaan dengan cara berdoa) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Jarir dari Ibnu Abbas) 

KETERANGAN
Ibnu Jarir menganggap bahawa riwayat yang bersangkutan dengan peristiwa sembahyang ini lebih kuat sanadnya daripada riwayat dalam peristiwa berdoa.
Demikian juga menurut pendapat an Nawawi dan pendapat-pendapat lain. Manakala menurut pendapat Ibnu Hajar ayat ini diturunkan untuk kedua-dua peristiwa tersebut iaitu tentang doa pada waktu sembahyang.

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa apabila Rasulullah sembahyang di Baitullah, baginda akan menyaringkan suaranya ketika berdoa. Maka turunlah ayat ini (Surah al Israa': 17: 110) sebagai larangan kepada Nabi dari menyaringkan suara ketika berdoa dalam sembahyang. (Diriwayatkan oleh Ibnu Marduwaih dari Abi Hurairah)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa penurunan ayat ini (Surah al Israa': 17: 110) adalah berkenaan dengan bacaan tasyahud. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dan al Hakim dari Aisyah)

KETERANGAN
Riwayat ini lebih menjelaskan riwayat yang terdahulu iaitu tentang doa yang dilakukan ketika sembahyang.

Menurut pendapat Ibnu Mani' di dalam musnadnya dari Ibnu Abbas, bahawa mereka menyaringkan doa ketika membaca: "Allahummar hamni." 

Maka penurunan ayat ini (Surah al Israa': 17: 110) adalah sebagai perintah agar jangan terlalu perlahan atau terlalu kuat ketika berdoa di dalam sembahyang.

"Dan katakanlah: "Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNya sekutu dalam urusan kerajaanNya, dan tiada bagiNya penolong disebabkan sesuatu kelemahanNya; dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakanNya dengan bersungguh-sungguh!" (Surah al Israa': 17: 111)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa kaum Yahudi dan Nasara mempunyai anggapan bahawa Allah mempunyai anak lelaki, sedangkan orang Arab beranggapan bahawa Tuhan tidak bersekutu kecuali sekutu yang dimiliki dan dikuasaiNya sendiri.

Adapun as Shabiun (Murtad) dan kaum Majusi beranggapan bahawa Allah itu hina apabila tidak ada pembela dan penjagaNya. Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Israa': 17: 111) untuk menolak kenyataan bahawa Dia mempunyai anak lelaki, bersekutu dan ada pembela ataupun penjaga. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Muhammad bin Kaab al Qurazi) 

No comments:

Post a Comment