"Mereka (yang ingkar) berkata: "Sungguhkah kita akan dikembalikan hidup seperti keadaan di dunia dahulu?" (Surah an Naazi'aat: 79: 10)
"Bolehkah (dihidupkan semula) sesudah kita menjadi tulang yang reput?" (Surah an Naazi'aat: 79: 11)
"Mereka berkata lagi (secara mengejek: "Kalaulah berlaku) yang demikian, sudah tentu kembalinya kita (hidup semula) itu satu perkara yang merugikan!" (Surah an Naazi'aat: 79:12)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika turunnya firman Allah dalam surah ini (Surah an Naazi'aat: 79:10) sebagai keterangan kepada Rasulullah, kaum Quraisy telah mendengar firman tersebut lalu berkata: "Kalau kita dihidupkan kembali selepas mati, tentu kita akan rugi."
Maka Allah menurunkan ayatyang berikutnya (Surah an Naazi'aat: 79: 12) sebagai keterangan daripada Allah kepada RasulNya mengenai ucapan kaum kafir Quraisy. (Diriwayatkan oleh Said bin Mansur dari Muhammad bin Kaab)
"Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" (Surah an Naazi'aat: 79: 42)
"Apa hubungannya tugasmu dengan (soal) menerangkan masa kedatangan hari kiamat itu?" (Surah an Naazi'aat: 79: 43)
"Kepada Tuhanmulah terserah kesudahan ilmu mengenainya. " (Surah an Naazi'aat: 79: 44)
"Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huru-hara hari kiamat itu. " (Surah an Naazi'aat: 79: 45)
"(Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja." (Surah an Naazi'aat: 79: 46)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah an Naazi'aat: 79:42-44) turun ketika Rasulullah ditanya mengenai bilakah berlakunya kiamat. Oleh itu, penurunan ayat ini adalah sebagai penjelasan bahawa hanya Allah yang mengetahui akan tiba waktunya. (K. Diriwayatkan oleh al Hakim dan Ibnu Jarir dari Aisyah)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa kaum musyrikin Mekah bertanya dengan sinis kepada Rasulullah tentang "bilakah terjadinya kiamat?" Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah an Naazi'aat: 79: 42-46) untuk menjelaskan bahawa hanya Allah yang mengetahui akan tiba waktunya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Juwaibir dari ad Dlahhak dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa Rasulullah s.a.w. sering menyebut-nyebut tentang hari kiamat. Maka turunlah ayat ini (Surah an Naazi'aat: 79:43-44) sebagai perintah kepada baginda agar menyerahkan persoalan ini kepada Allah. (K. Diriwayatkan oleh at Thabarani dan Ibnu Jarir dari Thariq bin Syihab) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Abi Hatim dari Urwah)
No comments:
Post a Comment