"Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan," (Surah Luqman:31:6)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah Luqman: 31: 6) turun berkenaan dengan seorang Quraisy yang membeli seorang biduanita untuk dijadikan sebagai alat menyesatkan manusia. Ayat ini turun sebagai ancaman kepada orang-orang yang berusaha untuk menyesatkan manusia. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarirdari al Ufi dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah Luqman: 31:6) turun berkenaan dengan an Nadhr bin al Harts yang membeli seorang biduanita. Apabila dia mendengar berita seseorang akan masuk Islam, lalu dia akan mengajak orang tersebut datang kepada biduanita itu dan menyuruh biduanita itu menyediakan makanan dan minuman serta merayunya dengan alunan suaranya. Kemudian an Nadhr berkata kepada orang yang dipujuk itu: "Ini adalah lebih baik daripada ajakan Muhammad yang hanya menyuruh sembahyang, puasa dan berperang untuk kemenangan dirinya." Maka ayat ini menerangkan bahawa orang-orang yang berbuat seperti itu akan mendapat seksaan yang sangat beratdari Allah. (Diriwayatkan oleh Juwaibirdari Ibnu Abbas)
"Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. " (Surah Luqman: 31:27)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ahli kitab bertanya kepada Rasulullah tentang roh. Pertanyaan itu dijawab oleh Nabi Muhammad berpandukan kepada firman Allah dalam surah al Israa': 17: 85 yang menjelaskan bahawa roh itu adalah urusan Allah dan manusia hanya diberi ilmu yang sedikit sahaja.
Kemudian ahli kitab berkata: "Engkau menganggap bahawa kami tidak diberi ilmu kecuali sedikit, padahal kami telah diberi Taurat dan Taurat itu adalah hikmah dan barangsiapa yang diberi hikmah sesungguhnya dia telah diberi kebaikan yang banyak. "
Maka turunlah ayat ini (Surah Luqman: 31: 27) sebagai penjelasan bahawa ilmu yang diberikan kepada manusia hanyalah sedikit dan ilmu Allah tidak mungkin dapat dicatat kerana terlalu banyak. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarirdari Ikrimah)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ayat "wa ma utitum minalilmiilia qalila"(Surab al Israa': 17:85) turun ketika Nabi berada di Mekah. Setelah baginda berhijrah ke Madinah, datanglah pendeta-pendeta Yahudi dan berkata: "Apakah benar apa yang telah sampai kepada kami bahawa engkau berkata: "Hanya sedikit ilmu yang telah diberikan oleh Allah. Apakah diberikan kepada kami atau kaummu?" Kemudian Nabi bersabda: "Kami maksudkan kedua-duanya." Mereka berkata lagi: "Bukankah engkau telah baca di dalam al Quran, sesungguhnya kami telah diberi Taurat yang di dalamnya terdapat keterangan untuk segala perkara." Bersabdalah Rasulullah: "Kesemuanya itu jika dibandingkan dengan ilmu Allah adalah sangat sedikit."
Maka ayat ini (Surah Luqman: 31: 27) turun berkenaan dengan peristiwa di atas yang menjelaskan bahawa tidak akan ada alat yang mencukupi untuk menulis ilmu Allah di atas muka bumi ini. (Diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq dari Atha Ibnu Yasar) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Abi Hatim dari Said atau Ikrimah dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa kaum musyrikin berkata: "Hampir habis apa yang dapat dikatakan oleh Muhammad." Maka ayat ini (Surah Luqman: 31: 27) turun berkenaan dengan ucapan mereka. Ayat ini menjelaskan bahawa ilmu Allah tidak akan habis. (Diriwayatkan oleh Abu Syaikh di dalam kitab Idhamahdan Ibnu Jarirdari Qatadah)
"Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya." (Surah Luqman: 31: 34)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa seorang Badwi datang mengadap kepada Rasulullah dan berkata: "Isteriku sedang mengandung, terangkan kepadaku akan jantina anak ini apakah dia lelaki atau perempuan dan negeriku kekeringan, bilakah hujan akan turun serta aku tahu bila aku dilahirkan akan tetapi terangkan kepadaku bilakah aku mati?" Maka turunlah ayat ini (Surah Luqman: 31: 34) sebagai penjelasan bahawa hanya Allah yang maha mengetahui akan segala sesuatu. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarirdan Ibnu Abi Hatim dari Mujahid
choukran lak :)
ReplyDelete