"Katakanlah (wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya satu rombongan jin telah mendengar (al Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: "Sesungguhnya kami telah mendengar al Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!" (Surah al Jin: 72:1)
Terdapat suatu riwayatyang mengemukakan bahawa Rasulullah s.a.w. tidak pernah membacakan kepada jin al Quran dan tidak pernah melihat mereka. Ketika Rasulullah s.a.w. bersama rombongan sahabat menuju ke pasar Ukkadh, setibanya baginda di Tuhamah, Rasulullah s.a.w. dan rombongan berhenti untuk mendirikan sembahyang Subuh.
Perkara ini menyebabkan berita-berita di langit yang dicuri oleh syaitan terhalang, malahan mereka mendapat lemparan bintang-bintang sehingga terpaksa pulang ke kaumnya. Setibanya ia di tempat kaumnya, syaitan itu pun ditanya: "Apa yang terjadi sehingga kalian kembali?" Mereka menjawab: "Kami terhalang untuk mendapatkan berita dari langit. Bahkan kami dikejar oleh bintang-bintang. "Kaumnya berkata: "Kita tidak mungkin terhalang dari berita langit. Tentu ada sebabnya. Bertebaranlah kalian ke Timur dan Barat dan carilah sebab kepada penghalangan ini."
Maka, bertebaranlah mereka ke Timur dan Barat sehingga sebahagian daripada mereka pun tiba di Tuhamah tempat Rasulullah s.a.w. berhenti untuk sembahyang Subuh. Mereka mendengar bacaan Rasul serta memerhatikannya, lalu berkata: "Demi Allah, inilah yang menghalang kita untuk mendapatkan berita dari langit."
Kemudian, mereka pun pulang ke kaum mereka dan menyampaikan berita tersebut sambil mengagumi al Quran yang membawa mereka ke jalan penuh hidayat Allah, sehingga mereka beriman. Maka, turunlah ayat ini (Surah al Jin: 72:1) sebagai pemberitahuan kepada kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk diceritakan kepada umatnya tentang kejadian tersebut. [At Tirmizi, juz 5, hal 98-99, hadis 3379] (Diriwayatkan oleh al Bukhari dan at Tirmizi dan yang lainnya dari Ibnu Abbas)
Dalam suatu riwayat dikemukakan bahawa ketika Sahl bin Abdillah berada di tempat tinggalan negara 'Ad, dia terlihat kesan sebuah kota yang di tengahnya terdapat sebuah gedung batu terukir yang dihuni oleh jin. Dia pun masuk ke dalam gedung itu, dan di dalamnya terdapat seorang lelaki yang tinggi besar sedang sembahyang menghadap kiblat. Dia memakai jubah yang dibuat daripada bulu yang sangat indah. Dia mengagumi bentuk tubuh orang itu yang tinggi besar, akan tetapi dia lebih mengagumi keindahan jubahnya.
Kemudian dia pun memberi salam kepadanya. Lalu lelaki itu menjawab salamnya dan berkata: "Hai Sahl, sesungguhnya badan itu tidak merosakkan pakaian tetapi yang merosakkan pakaian adalah bau dosa dan makanan yang haram. Jubah yang aku pakai ini berusia tujuh ratus tahun dan dalam jangka waktu itu aku bertemu dengan Isa dan Muhammad (alaihimas salam). Aku beriman kepada keduanya."
Maka, berkatalah Sahl: "Siapakah tuan?" Lelaki itu menjawab: "Aku termasuk di antara yang disebutkan di dalam ayat: "qui uhiya ilayya annahus tama'a nafarun minaljinni."(Surah al Jin: 72:1) (Diriwayatkan oleh Ibnu Jauzi di dalam kitab Shafwatush Safwan dengan sanadnya dari Sahl bin Abdillah)
"Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat." (Surah al Jin: 72: 6)
Dalam suatu riwayat dikemukakan bahawa Kardam Ibnu Abi Saib al Anshari telah berangkat ke Madinah dengan bapanya untuk keperluan tertentu. Pada waktu itu orang ramai baru hendak mengenal Rasulullah s.a.w. sebagai Rasul. Dalam perjalanan, mereka menginap di rumah seorang penggembala kambing. Pada tengah malam, seekor serigala membawa lari seekor anak kambing, maka keluarlah penggembala itu sambil bertempik: "Hai penjaga lembah (yang dimaksudkan adalah jin) tetanggamu." Maka, terdengarlah suara yang memanggil (tetapi orangnya tidak kelihatan): "Hai Sirhan." (memanggil serigala).
Maka, kembalilah anak kambing itu mengembik ketakutan dan masuk ke tempat asalnya.
Sehubungan dengan peristiwa ini, Allah menurunkan kepada RasulNya di Mekah ayat ini (Surah al Jin: 72:6) yang memberitahu bahawa ada orang yang meminta perlindungan dari Jin. (Diriwayatkan oleh Ibnu Munzir, Ibnu Abi Hatim dan Abu Syaikh di dalam kitab alAzimah dari Kardam bin Abi Sais al Ansari)
Dalam riwayat lain pula dikemukakan bahawa ketika Rasulullah s.a.w. diutus sebagai Rasul, Abi Raja al Atharidi yang bekerja sebagai pengembala kambing untuk membiayai keluarganya, telah lari bersama keluarganya dan sampai ke suatu tanah dataran yang luas. Pada malam harinya juga dia dan keluarganya berada di situ tanpa tempat berlindung. Orang tertua dari mereka telah berkata: "Kami berlindung kepada yang perkasa di lembah ini dari golongan jin pada malam ini." Adapun, mereka yang lain turut meniru ucapan itu.
Kemudian, sampai berita kepada mereka bahawa tuntutan yang di bawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. ialah: "Syahadatu alia ilaha illallah wa anna muhammadar rasulullah." Barangsiapa yang mengakui (berikrar) dengan syahadah ini, jiwa dan hatinya akan selamat. Maka, mereka pun pulang dan memeluk Islam. Seterusnya Abu Raja' berkata: "Aku yakin bahawa ayat ini (Surah alJin: 72:6) turun berkenaan dengan diri dan teman-temanku." (Diriwayatkan oleh Ibnu Sa'd dari Abi Raja Zal Atharid suku Tamim)
Dalam riwayat lain pula mengemukakan bahawa Rafi' bin Umair (dari Bani Tamim) menceritakan peristiwa kali pertama dia memeluk Islam. Pada suatu malam, ketika dia berjalan di persisiran pantai, dia merasa mengantuk. Lalu, dia pun turun dari kenderaannya dan tidur. Sebelum tidur, dia meminta pertolongan dari Jin penjaga lembah itu agar melindunginya pada malam itu. Kemudian, dalam tidurnya dia telah bermimpi melihat seorang lelaki yang membawa tombak yang akan digunakan untuk ditusuk ke tulang rusuk untanya. Dia pun bangun dengan terkejut dan terus melihat ke kiri dan ke kanan. Kemudian, dia memujuk dirinya bahawa itu hanyalah mimpi dan tidur kembali.
Sekali lagi dia bermimpi perkara yang sama dan terkejut bangun. Tiba-tiba dia lihat untanya bergerak meronta-ronta sehingga dia terlihat lelaki yang membawa tombak seperti dalam mimpinya dan seorang tua yang memegang tangan si pemuda itu untuk menghalangnya dari melakukan apa yang diingini. Pada waktu keduanya sedang bertengkar dan berselisih, tiba-tiba datanglah tiga ekor seladang. Maka berkatalah orang tua itu kepada pemuda tadi: "Ambillah yang mana engkau suka sebagai ganti kepada unta tetanggaku yang terdiri dari kaum manusia ini."
Maka, berangkatlah si pemuda tadi dan menangkap salah seekor seladang tadi dan kemudiannya menghilang. Kemudian, Rafi’ menoleh ke arah orang tua tadi yang sedang berkata: "Wahai saudara! Apabila engkau berhenti pada suatu lembah di antara lembah-lembah ini dan engkau merasa takut, ucapkanlah: "Aku berlindung kepada Tuhan Muhammad dari bahaya lembah ini dan janganlah engkau berlindung kepada jin kerana ia telah kehilangan kekuatannya." Lalu, Rafi’ pun bertanya: "Siapakah Muhammad itu?" Dia menjawab: "Baginda adalah seorang Nabi berbangsa Arab, bukan bangsa Timur dan bukan juga bangsa Barat. Baginda lahir pada hari Isnin." Rafi’ bertanya lagi: "Dimana tempat tinggalnya?" Dia menjawab: "Di Yathrib (Madinah) yang banyak pohon kurma."
Selepas itu, Rafi' pun berangkat menaiki kenderaannya dan ketika waktu Subuh, dia pun sampai ke Madinah setelah menempuh perjalanan yang sangat sukar. Rasulullah s.a.w. melihat Rafi', dan kemudian, baginda menceritakan kepadanya tentang Islam dan mengajaknya memeluk Islam.
Menurut Said bin Jubair, ayat ini (Surah al Jin: 72: 6) turun berkenaan dengan Rafi’ bin Tamim ini. (Diriwayatkan oleh al Karaithi di dalam kitab Hawatiful Jan dari Abdullah bin Muhammad al Balawi dari Imarah bin Zaid dari Abdullah bin al Ala dari Muhammad bin Akbardari Said bin Jubair)
"(Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi): "Dan bahawa sesungguhnya! Kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama) menurunkan hujan lebat kepada mereka. " (Surah al Jin: 72: 16)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah al Jin: 72: 16) diturunkan adalah berkenaan dengan peristiwa kemarau yang berlaku selama tujuh tahun kepada kaum kafir Quraisy sebagai peringatan di atas kekufuran mereka. (Diriwayatkan oleh al Karaithi di dalam kitab Hawatiful Jan dari Muqatil)
janganlah kamu seru dan sembah sesiapa pun bersama-sama Allah." (Surah al Jin: 72: 18)
Terdapat suatu riwayat yang mengemukakan bahawa jin berkata kepada Nabi Muhammad s.a.w.: "Ya Rasulullah, izinkanlah kami sembahyang berjemaah bersamamu di masjidmu ini." Maka, Allah menurunkan ayat ini (Surah al Jin: 72: 18) sebagai penjelasan bahawa masjid itu hanyalah kepunyaan Allah s.w.t. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Abi Salleh dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan pula bahawa jin berkata kepada Nabi s.a.w.: "Bagaimana kami dapat datang ke masjid-masjid ini sedangkan kami jauh, bagaimana kami dapat sembahyang berjemaah bersama tuan padahal kami jauh dari tempat tuan."
Maka turunlah ayat ini (Surah al Jin: 72: 18) yang menjelaskan bahawa sembahyang itu boleh didirikan di mana-mana masjid sekali pun. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Said bin Jubair)
"Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata. Maka "Katakanlah lagi: "Sesungguhnya aku, tidak sekali-kali akan dapat diberi perlindungan oleh sesiapapun dari (azab) Allah (jika aku menderhaka kepadaNya), dan aku tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya." (Surah al Jin: 72: 22)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa pembesar jin yang mempunyai ramai pengikut telah berkata kepada anak buahnya: "Muhammad hanya ingin dilindungi oleh Allah, tetapi akulah yang sebenarnya melindungi dia."
Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Jin: 72: 22) sebagai penjelasan bahawa Allah sahajalah yang dapat melindunginya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Hadhrami)
No comments:
Post a Comment