Monday, July 22, 2013

Surah al Jaathiyah

"Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberI hidayat petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?" (Surah al Jaathiyah: 45: 23)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa orang-orang Quraisy biasanya menyembah batu untuk beberapa ketika. Akan tetapi apabila mereka mendapat sembahan yang lebih baik, mereka akan meninggalkan yang lama dan menyembah yang baru. Maka Allah menurunkan ayat di atas untuk menceritakan keadaan kaum Quraisy yang selalu mengikut hawa nafsu di dalam beribadat. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dan Ibnu Munzir dari Said bin Jubair)

"Dan mereka berkata: "Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman. "Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata." (Surah al Jaathiyah: 45: 24)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa kaum jahiliyah beranggapan kecelakaan itu adalah disebabkan oleh adanya malam dan siang.

Maka penurunan ayat di atas adalah disebabkan oleh anggapan mereka itu. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Abi Hurairah)

No comments:

Post a Comment