Monday, July 22, 2013

Surah ad Dukhaan

"Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat). " (Surah ad Dukhaan: 44: 10)

"Sesungguhnya (kalaulah) kami hapuskan azab itu barang sedikitpun, sudah tentu kamu akan kembali (kufur ingkar),"  (Surah ad Dukhaan: 44: 15)

"(Ingatlah! Kalau kamu ulangi keingkaran kamu, kamu akan dibinasakan) semasa Kami timpakan (kamu dengan) paluan yang besar (daripihak lawan kamu); sesungguhnya Kami tetap akan menyeksa (dengan azab yang seberat-beratnya). " (Surah ad Dukhaan: 44: 16)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika kaum Quraisy menderhaka kepada Nabi, Nabi berdoa supaya mereka ditimpa bencana kelaparan seperti apa yang berlaku pada zaman Nabi Yusuf. Mereka pun menderita kekurangan makanan sehingga memakan tulang-tulang. Setelah sekian lama keadaan ini berlangsung, mereka melihat ke atas langit dengan harapan dapat melihat tanda-tanda akan turunnya hujan. Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah ad Dukhaan: 44: 10) sebagai ejekan terhadap perbuatan mereka.

Kemudian mereka datang mengadap kepada Nabi meminta bantuannya dengan berkata: "Ya Rasulullah! Pohonkan hujan bagi kami kaum Mudlar kerana kami sudah terlalu menderita. "Rasulullah pun berdoa kepada Allah agar diturunkan hujan dan selepas itu hujan pun turun.

Maka turunlah ayat yang berikutnya (Surah ad Dukhaan: 44: 15) sebagai penjelasan bahawa mereka akan kembali sesat. Setelah mereka memperolehi kemewahan, mereka kembali kepada keadaan sediakala. Maka turunlah ayat seterusnya (Surah ad Dukhaan: 44: 16) yang menjelaskan bahawa mereka akan mendapat seksaan yang berat dari Allah.

Dalam riwayat itu ada dikemukakan bahawa seksaan itu akan turun pada waktu perang Badar. (Diriwayatkan oleh al Bukhari dari Ibnu Mas'ud) 

"(Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqum." (Surah ad Dukhaan: 44:43)

"(Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam neraka)." (Surah ad Dukhaan: 44:44)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Abu Jahal membawa buah kurma dan mentega serta berkata kepada kaumnya: "Makanlah zaqqum ini yang dijanjikan Muhammad kepadamu." Maka turunlah ayat ini (Surah ad Dukhaan: 44: 43-44) sebagai penjelasan bahawa pokok zaqqum itu, sesungguhnya makanan bagi orang yang berdosa. (Diriwayatkan oleh Said bin Mansur dari Abi Malik)

"(Serta dikatakan kepadanya secara mengejek): "Rasalah azab seksa, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan terhormat (dalam kalangan masyarakatmu)." (Surah ad Dukhaan: 44: 49)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Rasulullah bertemu dengan Abu Jahal dan berkata: "Sesungguhnya Allah memerintahkan kepadaku untuk menyatakan kepadamu: "Aula laka fa aula thumma aula laka fa aula' [Kecelakaanlah bagimu dan kecelakaan. Kemudian kecelakaan bagimu dan kecelakaan] (Surah al Qiyaamah: 75: 34-35).

Kemudian Abu Jahal menyingsingkan bajunya sambil berkata: "Engkau dan teman-temanmu pasti tidak akan mampu berbuat apa-apa terhadap diriku. Engkau tentu mengetahui bahawa aku adalah orang yang paling berkuasa di tanah air ini dan akulah yang maha gagah dan maha mulia."

Akhirnya Abu Jahal terbunuh di dalam peperangan Badar dan dia mendapat kehinaan dan tercemar namanya disebabkan oleh ucapannya sendiri.

Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah ad Dukhaan: 44- 49) berhubung dengan peristiwa tersebut. (Diriwayatkan oleh al Humawi di dalam kitab Maghazinya dari Ikrimah) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Jarir dari Qatadah)


No comments:

Post a Comment