Tuesday, July 30, 2013

SURAH AL HUMAZAH

"Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji." (Surah al Humazah: 104:1)

"Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya." (Surah al Humazah: 104: 2)

"la menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)!" (Surah al Humazah: 104: 3)

"Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam AI-Hutamah." (Surah al Humazah: 104: 4)

"Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia AI-Hutamah itu?" (Surah al Humazah: 104: 5)

"(AI-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintahNya)." (Surah al Humazah: 104:6) "

Yang naik menjulang ke hati." (Surah al Humazah: 104: 7)

"Sesungguhnya api neraka itu ditutup rapat atas mereka." (Surah al Humazah: 104: 8)

"(Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang melintang panjang." (Surah al Humazah: 104: 9)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Uthman dan Ibnu Umar berkata: "Masih segar terngiang-ngiang di telinga kami bahawa ayat ini (Surah al Humazah: 104: 1-2) turun adalah berhubung dengan kisah Ubay bin Khalaf seorang tokoh Quraisy yang kaya raya yang selalu mengejek dan menghina Rasul dengan kekayaannya." (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Uthman dan Ibnu Umar)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa penurunan ayat ini (Surah al Humazah: 104: 1-3) adalah berhubung dengan kisah al Akhnas bin Syariq yang selalu mengejek dan mengumpat orang lain. Maka penurunan ayat ini adalah sebagai teguran terhadap perbuatan seperti itu. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari as Suddi)

Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa penurunan ayat ini (Surah al Humazah: 104: 1-3) adalah berhubung dengan kisah Jamil bin Amir al Jumbi seorang tokoh musyrik yang selalu mengejek dan menghina orang. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari suku Riqqah)

Dalam riwayat lain juga ada dikemukakan bahawa Umayyah bin Khalaf selalu mencela dan menghina Rasulullah s.a.w. apabila berjumpa dengannya.

Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al Humazah: 104: 1-9) sebagai ancaman penyeksaan yang sangat dahsyat terhadap orang yang mempunyai anggapan dan berbuat seperti itu. (Diriwayatkan oleh Ibnu Munzir dari Ibnu Ishaq)


No comments:

Post a Comment