Thursday, July 18, 2013

Surah al A'raaf

Al A’raaf:31. Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu Yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang Yang melampaui batas.

Surah alA'raaf:32. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Siapakah Yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah Yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda Yang baik lagi halal dari rezeki Yang dikurniakanNya?" katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang Yang beriman (dan juga Yang tidak beriman) Dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang Yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang Yang (mahu) mengetahui.

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa pada zaman Jahiliyah terdapat seorang wanita bertawaf di Baitullah dengan tidak memakai baju dan hanya bercawat dengan secebis kain. Kemudian dia menjerit dengan berkata: "Pada hari ini aku halalkan sebahagian atau seluruhnya kecuali yang kututupi ini." Maka turunlah ayat ini; (Surah al A'raaf: 7: 31) sebagai perintah untuk berpakaian lengkap apabila memasuki masjid. Kemudian ayat yang berikutnya (al A'raaf: 32) turun sebagai peringatan kepada orang-orang yang, mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah. (Diriwayatkan oleh Muslim dari Ibnu Abbas)

Surah al A'raaf:184. Patutkah mereka (ingkar dan) tidak mahu memikirkan (dengan fikiran Yang siuman bahawa) sahabat mereka (Muhammad) tidak sekali-kali mengidap penyakit gila (sebagaimana Yang mereka tuduh itu), bahkan ia hanyalah seorang (Pesuruh Allah) Yang memberi amaran Yang jelas.

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Nabi berdiri di atas bukit Safa sambil menyeru kepada kaum Quraisy dengan menyebut nama-nama suku bangsanya dan memberi peringatan akan seksaan Allah yang pernah dan yang akan terjadi. Kemudian berkatalah di antara mereka: "Sesungguhnya temanmu ini gila, semalam untuk dia terus berbicara."
Maka Allah menurunkan ayat di atas sebagai penjelasan bahawa Muhammad itu adalah Rasulullah. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan Abu Syaikh dari Qatadah) 
"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari Kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari Kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) dilangit dan di bumi, ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut." Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari Kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (Surah al A'raaf: 7:187)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Ibnu Abi Qusyair dan Samuel bin Zaid datang mengadap Nabi dan bertanya: "Terangkan kepada kami, bilakah berlakunya kiamat?, sekiranya benar engkau adalah seorang Nabi menurut pengakuanmu kerana kami tahu bilakah ia akan terjadi." Maka Allah menurunkan ayat di atas untuk menjelaskan bahawa tidak ada seorang pun yang tahu akan ketibaan waktunya kecuali Allah. Sesungguhnya ia akan tiba secara mengejut. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarirdan selainnya dari Ibnu Abbas) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Jarirdari Qatadah dan dijelaskan bahawa orang yang bertanya itu adalah kaum Quraisy) 

"Dan apabila al Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya) supaya kamu beroleh rahmat. "
(Surah al A'raaf: 7: 204)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa penurunan ayat di atas adalah berhubung dengan kisah orang-orang yang suka membaca al Quran dengan nyaring ketika sembahyang jemaah berimamkan Nabi.
Maka ayat di atas memerintahkan agar mendengar dan memerhatikan bacaan imam. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan selainnya dari Abi Hurairah) 
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa terdapat orang-orang yang suka bercakap pada waktu sembahyang. Maka penurunan ayat ini adalah sebagai larangan berbicara pada waktu dibacakan ayat suci al Quran. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Abi Hurairah) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Abi Hatim dari Abdullah bin Mughaffal) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Jarirdari Ibnu Mas'ud) 
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah al A'raaf: 7: 204) turun disebabkan oleh seorang pemuda dari Kaum Ansar yang suka mengikut bacaan ayat-ayat al Quran yang dibaca oleh Nabi sebelum Nabi selesai membacanya. Ayat ini melarang mengganggu orang yang sedang membaca al Quran. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari az Zuhri) 
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa ketika para sahabat mendengar bacaan ayat al Quran dari Rasulullah, mereka pun mengulanginya sebelum Rasulullah selesai membacanya. Maka turunlah ayat ini (Surah al A'raaf: 7: 204) sebagai perintah untuk memdengar dan memerhatikan bacaan al Quran. (Diriwayatkan oleh Said bin Mansurdalam sunannya dari Abu Ma'mar dari Muhammad bin Kaab) 
KETERANGAN
Menurut pendapat as Sayuthi, berpandukan kepada riwayat-riwayat di atas ayat ini adalah ayat Madaniyah.

No comments:

Post a Comment