Saturday, July 20, 2013

Surah al Anbiyaa'

"Tidak ada penduduk sesebuah negeri pun yang Kami binasakan sebelum mereka, yang telah beriman kepada mukjizat yang diberi kepadanya; maka benarkah mereka yang meminta mukjizat itu mahu beriman?" (Surah al Anbiyaa': 21: 6)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa penduduk Mekah berkata kepada Nabi: "Sekiranya apa yang engkau katakan itu adalah benar dan engkau menghendaki supaya kami beriman kepadamu, jadikan gunung Safa ini sebagai emas." Datanglah Jibril dan berkata: "Sekiranya engkau hendak menunaikan apa yang dikehendaki oleh kaummu pastinya engkau dapat, tetapi sekiranya mereka tidak beriman setelah dikabulkan permintaannya, sesungguhnya mereka akan diseksa dengan serta merta tanpa diberi tempoh lagi, atau engkau sendiri akan menangguhkan di dalam mengabulkan permintaan mereka dengan harapan agar mereka beriman."

Maka penurunan ayat ini (Surah al Anbiyaa': 21:6) adalah sebagai peringatan kepada Nabi bahawa kaum-kaum terdahulu pernah meminta mukjizat, akan tetapi setelah dikabulkan mereka tetap kufur. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Qatadah)

dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). maka kalau Engkau meninggal dunia (Wahai Muhammad), Adakah mereka akan hidup selama-lamanya? (SurahalAnbiyaa':21:34)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Nabi s.a.w. telah diberitahu akan wafatnya. Lalu baginda bersabda: "Ya Tuhanku! Siapakah yang akan membela umatku ini?" Maka turunlah ayat ini (Surah al Anbiyaa': 21: 34) yang menjelaskan bahawa tidak ada makhluk yang hidup kekal di dunia ini. (Diriwayatkan oleh Ibnu Munzirdari Ibnu Juraij)

"Dan apabila orang-orang kafir itu melihatmu, mereka hanyalah menjadikan perkara yang engkau sampaikan itu sebagai ejek-ejekan sahaja, sambil berkata sesama sendiri: "Inikah dia orangnya yang mencaci tuhan-tuhan kamu?" (Mereka berkata demikian) sedang mereka sendiri kufur ingkar kepada al Quran yang mengandungi peringatan Allah yang melimpah-limpah rahmatNya. " (Surah al Anbiyaa': 21 : 36)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Nabi s.a.w. lalu di hadapan Abu Jahal dan Abu Sufyan yang sedang bercakap-cakap. Ketika Abu Jahal melihat Nabi, dia tertawa dan berkata kepada Abu Sufyan: "Inilah Nabi Banu Abdi Manaf." Marahlah Abu Sufyan dan berkata: "Apakah kamu akan memungkirinya jika dari Bani Abdi Manaf ada seorang Nabi?" Percakapan ini didengari oleh Nabi dan baginda kembali kepada Abu Jahal dengan pandangan yang tajam sambil memberi peringatan: "Aku tidak melihat engkau berhenti mengganggu sehingga engkau mendapat seksaan sebelum tiba waktu yang seharusnya." Maka penurunan ayat ini (Surah al Anbiyaa': 21: 36) adalah berhubung dengan peristiwa di atas. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari as Suddi)

"Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, menjadi bahan-bahan bakaran yang dilemparkan ke dalam neraka Jahannam; kamu (sudah tetap) akan memasukinya." (Surah al Anbiyaa': 21: 98)

"Sesungguhnya orang-orang yang telah tetap dari dahulu lagi memperoleh kebaikan dari Kami, mereka dijauhkan dari neraka itu." (Surah al Anbiyaa': 21: 101)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika turun kedua ayat ini (Surah al Anbiyaa': 21: 98) dan (Surah az Zukhruf: 43:57-58) Ibnu Zubari bertanya: Apakah penyembah matahari, bulan, malaikat dan penyembah Uzair kesemuanya di dalam neraka bersama-sama tuhan kami?" 

Maka turunlah ayat ini (Surah al Anbiyaa': 21: 101) sebagai penjelasan bahawa hanya orang-orang yang menepati ketetapan Allah sahaja dikecualikan dari api neraka. (Diriwayatkan oleh al Hakim dari Ibnu Abbas)

1 comment: