Tuesday, July 23, 2013

Surah al Qamar

telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan. (Surah al Qamar: 54:1)

dan kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir Yang terus menerus berlaku. (Surah alQamar: 54:2)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Ibnu Mas'ud berkata: "Sebelum Rasulullah s.a.w berhijrah iaitu ketika baginda berada di Mekah, aku melihat bulan terbelah menjadi dua bahagian sehingga orang-orang pada waktu itu berkata bahawa bulan di sihir."

Maka turunlah ayat ini (Surah al Qamar: 54:1) sebagai penjelasan bahawa kehancuran kaum musyrikin telah dekat waktunya. (Diriwayatkan oleh as Syaikani dan al Hakim serta lafaznya dari al Hakim dari Ibnu Mas'ud)

Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa orang-orang Mekah meminta kepada Nabi suatu mukjizat. Maka terbelahlah bulan menjadi dua. Oleh itu, ayat ini (Surah al Qamar: 54:1-2) turun sebagai penjelasan bahawa orang-orang kafir tetap akan berpaling walaupun sudah dipenuhi keinginan mereka. (Diriwayatkan oleh at Tirmizi dari Anas)

"Kumpulan mereka yang bersatu itu tetap akan dikalahkan, dan mereka pula akan berpaling lari." (Surah al Qamar: 54:45)

Terdapat suatu riwayat yang mengemukakan bahawa ketika perang Badar orang-orang Quraisy berkata: "Nahnu jami'um muntashir" (Kami golongan yang pasti menang). Maka turunlah ayat ini (Surah al Qamar: 54:45) sebagai penjelasan bahawa golongan itu akan digempur dan mereka akan lari lintang pukang. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Ibnu Abbas)

"Sesungguhnya orang yang berdosa berada dalam keadaan sesat (di dunia), dan (di akhirat pula mereka berada dalam) api Neraka." (Surah al Qamar: 54:47)

"Semasa mereka diseret di dalam Neraka (dengan tertiarap) atas muka mereka, (serta dikatakan kepada mereka): "Rasalah kamu bakaran api Neraka." (Surah al Qamar: 54:48)

"Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan)." (Surah al Qamar: 54:49)


Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa kaum musyrikin pernah membantah Rasulullah s.a.w. mengenai takdir. Maka ayat-ayat ini (Surah al Qamar: 54:47-49) turun berhubung dengan peristiwa tersebut, yang menceritakan bahawa segala sesuatu yang diciptakan oleh Allah adalah menurut takdir yang telah ditentukan. (Diriwayatkan oleh Muslim dan at Tirmizi dari Abi Hurairah)

No comments:

Post a Comment