Thursday, August 1, 2013

Surah al 'Asr

Surah al-Asr mengandungi tiga ayat. Ia tergolong dalam kategori Surah Makiyyah dan diturunkan selepas Surah al-Insyirah. Surah ini mempunyai hubungan dengan surah al-Takathur. Dalam Surah al-Takathur disebutkan bahawa mereka suka berbangga-bangga  dengan jumlah yang banyak dan dengan apa sahaja yang dapat melalaikan mereka daripada mentaati Allah s.w.t.

Dalam surah ini pula disebutkan tabiat manusia yang mendorong kepada kebinasaan dan menjerumuskannya ke lembah kehancuran, kecuali orang yang dilindungi oleh Allah s.w.t dan dihindarkan daripadanya kejahatan hawa nafsunya. Oleh itu, keterangan ini menjadi sebab turunnya surah al-Takathur. Di samping itu, disebutkan juga orang yang mengikut hawa nafsu dan telunjuk syaitan sehingga terjerumus ke lembah kebinasaan. Dalam surah ini juga disebutkan orang yang menghiasi diri mereka dengan tabiat yang baik, beriman kepada Allah s.w.t dan beramal soleh serta saling menasihati antara saudara-saudaranya agar berpegang teguh dengan tali kebenaran dan sabar menghadapi perkara-perkara yang tidak diinginkan.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.”

Firman Allah s.w.t: “Demi masa.”

Al-Maraghi berkata: Allah s.w.t bersumpah dengan masa kerana di dalamnya terdapat banyak peristiwa dan pelajaran yang dijadikan sebagai petunjuk tentang kekuasaan, ketinggian hikmah dan keluasan ilmu-Nya. Perhatikan kepada siang dan malam yang silih berganti yang kedua-duanya merupakan tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan…”

Perhatikan juga kesenangan, kesengsaraan, sihat, sakit, kaya, miskin, segar, letih, susah, gembira dan sebagainya yang boleh dijadikan sebagai petunjuk bagi orang yang berfikiran waras bahawa alam ini mempunyai pencipta dan pentadbir. Dia adalah Allah s.w.t yang sepatutnya dijadikan tumpuan ibadah dan tempat memohon untuk menghilangkan penderitaan dan mendatangkan kebaikan. Akan tetapi orang kafir selalu menghubungkan peristiwa buruk kepada masa.

Mereka berkata: Ini salah satu antara malapetaka yang disebabkan oleh masa. Ini adalah bala musibah. Lalu Allah s.w.t memberikan petunjuk kepada mereka bahawa masa itu termasuk antara makhluk-makhluk-Nya yang di dalamnya (masa) berlaku pelbagai peristiwa baik atau buruk. Oleh sebab itu, jika seorang ditimpa musibah maka perkara itu hasil daripada perbuatan tangannya sendiri, bukan disebabkan oleh masa.

Firman Allah s.w.t: “Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian.”

Al-Maraghi berkata: Sesungguhnya makhluk ini benar-benar mengalami penderitaan seperti kerugian dalam amal perbuatannya kecuali orang yang dikecualikan oleh Allah s.w.t. Justeru, amal perbuatan manusia itu yang menjadi punca kesengsaraannya, bukannya masa dan tempat. Amalan itulah yang menjerumuskannya ke lembah kebinasaan sehingga dosa seseorang terhadap ha Tuhannya yang mengurniakan pelbagai nikmat kepadanya dianggap dosa pelanggaran yang tidak ada tandingannya.

Kepentingan Masa

Dinyatakan di sini berkenaan dengan kepentingan masa yang dipetik daripada buku Modal Insan oleh penulis.

Syeikh Abdullah Ba’lawi pernah berkata: Saudara-saudaraku sekalian sesama Muslim, jagalah baik-baik dan berhati-hatilah dengan waktu yang kamu miliki kerana ia sangat terbatas, tidak boleh dimajukan atau ditangguh walaupun sesaatpun, detik demi detik, minit demi minit, saat demi saat, hari demi hari dan seterusnya tempoh yang kita hidup di dalamnya adalah tempoh yang sangat singkat berbanding kehidupan di akhirat nanti. Setiap hembusan dan tarikan nafas, setiap denyut nadi dan degup jantung, seluruhnya itu mustahil berlaku tanpa izin Allah s.w.t. Bahkan pada hembusan nafas anda yang terakhir, pada denyut nadi anda yang terakhir dan pada degup jantung anda yang terakhir hendaklah anda gunakan waktu itu untuk berbakti kepada Allah s.w.t, sama ada ketika jaga ataupun tidur. Gunakanlah untuk sesuatu yang berfaedah dan jangan biarkan berlalu seminit pun dengan sia-sia. Jikalau anda keliru menggunakannya maka di kemudian hari anda pasti merasa penyesalan yang tiada henti-hentinya. Cukup lama dan sangat hebat penyesalan anda nanti. Inilah yang wajib anda perhatikan mulai sekarang.

Setelah meninggalkan dunia fana ini, barulah anda mengetahui betapa ruginya mensia-siakan waktu sekalipun hanya seminit sahaja. Anda semua pasti akan mengalaminya sendiri nanti dan pasti pula anda akan meyakini serta membenarkan apa yang saya katakan ini.

Syeikh Abdullah Ba’lawi menambah: Akan diperlihatkan kepada setiap manusia di akhirat nanti semua hari dan malamnya dalam bentuk almari. Setiap hari dan malam terdapat dua puluh empat almari sesuai dengan jumlah hitungan hari dan malam itu. Manusia itu akan melihat sendiri setiap jam yang digunakan untuk mengerjakan ketaatan kepada Allah s.w.t, nampaklah almari itu penuh cahaya, sedang setiap jam yang digunakan untuk bermaksiat kepada Allah s.w.t nampaklah almari itu dalam keadaan gelap gelita.

Seterusnya, jikalau ia mendapati almarinya sendiri itu berisi kegelapan yang hitam pekat, maka sekiranya ia dibenarkan memilih untuk mati, nescaya ia akan rela mati serta merta ketika melihatnya. Namun tiada kematian lagi di alam akhirat. Justeru, seseorang yang selalu mengerjakan ketaatan kepada Allah s.w.t, sudah tentu amat gembira dan ingin sekali tetap menjadi manusia gembira, malahan terus bertambah-tambahlah kegembiraan dan sukacitanya itu sepanjang masa. (atau lebih gembira lagi sekiranya dapat menambahkan amal solehya). Sebaliknya manusia yang sentiasa berbuat maksiat kepada Allah s.w.t, maka itulah manusia yang benar-benar berdukacita serta merasa takut, malahan kesedihan dan dukacitanya itu makin bertambah, tanpa ada penghabisannya sama sekali.

Katanya lagi: Saudaraku sesama Muslim yang tercinta, kini tinggal bagaimana kamu memilih salah satu daripada dua hal. Mudah-mudahan Allah s.w.t sentiasa memberi anugerah dan rahmat-Nya kepadamu. Adakanlah pilihan untuk anda sendiri selagi anda masih berada di alam yang di dalamnya masih diberi kebebasan untuk memilih. Saya hanya menganjurkan yang baik-baik sahaja, pilihan anda jangan sampai keliru dan tersesat.

Pilihan yang baik dalam mengamalkan segala sesuatu yang dapat mendatangkan manfaat, sebab hanya inilah yang akan meninggalkan darjat anda, sama ada selagi masih hidup di dunia atau setelah di akhirat nanti. Anda mesti selalu ingat bahawa waktu yang sudah anda lalui itu tidak akan kembali lagi. Ini kerana jika yang sudah berlalu tidak mungkin kembali maka pilihan untuk mengerjakan kebaikan atau keburukan pun sudah tidak ada lagi, yang sudah berjalan dan berupa kebaikan tetap menjadi amal yang salih bagi anda, sedang yang buruk tetap menjadi buruk dan tidak boleh dilenyapkan kecuali dengan bertaubat. Maka dari itu bersegeralah, jangan menangguh-nangguh melakukan perbuatan yang diredai Allah s.w.t. Sebab menangguh-nangguh adalah suatu bentuk keburukan tersendiri, padahal kita semua tahu bahawa manusia itu selalu terganggu oleh bermacam-macam keadaan, merbahaya serta banyaknya pekerjaan yang mesti segera diselesaikan hingga kesempatan yang semestinya boleh digunakan untuk beramal soleh akhirnya hilang sia-sia tanpa ada manfaat sedikitpun.

Demikianlah huraian yang panjang lebar dan sangat mengesankan. Mudah-mudahan kita semua dapat mengambil manfaat daripadanya.

Marilah kita renungkan pula syair sari pakar hikmah berikut ini: Aku tangisi zaman muda yang telah pergi. Wahai kiranya muda, bilakah kembali lagi kepada kami? Sekiranya muda dapat dijual maka akan ku bayar kepada penjualnya berapa harga yang ia kehendaki, tetapi masa muda itu apabila dia telah pergi jauh maka ia akan dapat dicapai lagi.

Bagi orang yang berjaya, waktu sangat berharga hingga mereka tidak dapat membiarkan masa berlalu begitu sahaja tanpa ada kegiatan. Orang-orang seperti ini selalu memegang prinsip ‘waktu adalah wang’. Kerana itulah mereka selalu mengadakan kegiatan untu mendorong ke arah kejayaan.

Apakah negara Jepun maju pesat jika rakyatnya tidak bekerja keras, berdisplin dan memanfaatkan waktu dengan tepat? Perhatikanlah kehidupan masyarakat Jepun. Mereka tidak membiarkan waktu berlalu begitu sahaja. Mereka selalu mengisi waktu yang kosong dengan berbagai kegiatan. Apakah kita sudah seperti mereka? Kenyataannya adalah kita sering membiarkan waktu berlalu dengan sia-sia. Kita lebih suka merenung dan melamun tanpa ada kegiatan sama sekali. Apakah ini tidak menjadi satu pemborosan waktu? Apakah dengan perbuatan seperti itu kita akan berjaya? Tidak mungkin bulan jatuh ke riba kita jika kita tidak berusaha menjoloknya.

Apakah kita selama ini sudah memanfaatkan waktu dengan tepat? Apa yang kita buat sehari penuh telah membuahkan hasil? Marilah kita renungkan sejenak. Kita tidak sedar waktu begitu cepat berlalu. Bila sudah pergi maka tidak boleh kembali lagi. Ramai di antara kita yang rugi besar kerana tidak boleh memanfaatkan waktu sebaik mungkin. Padahal umur kita selalu berkurang. Seandainya hari ini kita dapat melakukan suatu tindakan yang mendekati matlamat, tentu esok hari dan lusa kita dapat mencapai kejayaan.

Marilah menghargai waktu seperti halnya kita menghargai barang perhiasan. Jika kita sudah dapat menghargainya tentu kita tidak mensia-siakan waktu lapang meskipun sedikit.

Orisson Swett pernah mengemukakan pendapatnya di hadapan ribuan massa:

Waktu. Tiap hari datang mengunjungi kita sebagai seorang sahabat setia membawa ole-ole berharga. Jika hadiah tersebut tidak terima, maka dia akan pergi dan tidak akan kembali. Tiap-tiap pagi ia datang dengan membawa hadiah baru, tetapi jika kelmarin hadiah-hadiah itu tidak kita terima, lama-lama kita tidak akan menikmati lazatnya hadiah tersebut.

Apa yang dikatakan ilmuwan tersebut memang benar. Marilah kita pecahkan bersama kiasan-kiasan tersebut. Waktu merupakan sahabat dengan membawa hadiah itu bererti setiap pagi kita selalu dihadapkan kepada kegiatan-kegiatan menuju pada suatu matlamat. Hadiahnya ialah kalau kita bekerja dan pandai memanfaatkan waktu tentu kejayaan dapat kita miliki. Kalau sudah berjaya siapa yang menikmati kejayaan itu?

Tetapi kalau kita tidak boleh memanfaatkan waktu dengan tepat, dan membiarkan waktu berlalu begitu sahaja tentu kita tidak akan berjaya menceritakan cita-cita. Kerana hadiah-hadiah yang dibawa waktu tidak dapat kita terima.

Waktu. Tiap hari datang mengunjungi kita sebagai seorang sahabat setia dengan membawa ole-ole berharga. Jika hadiah tersebut tidak kita terima, maka dia akan pergi dan tidak akan kembali. Tiap-tiap pagi ia datang dengan membawa hadiah baru, tetapi jika kelmarin hadiah-hadiah itu tidak kita terima, lama- kelamaan kita tidak akan menikmati lazatnya hadiah tersebut.

Napoleon pernah berkata di hadapan anggota pasukannya: Seperti halnya kain sutera, maka waktu lebih berharga darinya. Jika kita ingin berjaya dalam setiap pertempuran hendaklah kita menghargai waktu. Apakah sehari penuh telah kita isi dengan kegiatan yang menuju suatu matlamat? Renungkan sejenak. Mulai saat ini marilah menghargai waktu. Kerana dengan demikian kita akan berjaya mencapai cita-cita.

Sesiapa yang diberkati oleh Allah s.w.t dalam umurnya, maka dia akan mendapat (memperoleh) dalam waktu yang singkat dari beberapa anugerah Allah s.w.t apa yang tidak boleh masuk dalam putaran kata-kata.

Apabila seseorang menginginkan supaya umurnya diberkati oleh Allah s.w.t, maka ia mesti memanfaatkan waktu-waktu yang dimilikinya dengan sebaik-baiknya, yakni dengan cara beribadah dan mengabdikan diri kepada-Nya tanpa ada sedikit pun waktu yang terbuang dengan sia-sia.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.”

Sayyid Qutb berkata: Itulah keimanan, amalan yang salih, saling berpesan menjunjung agama yang benar dan saling berpesan supaya bersikap sabar.

Apakah iman itu?

Kami tidak bermaksud mentakrifkan iman di sini dengan takrif ilmu feqah tetapi kami mahu memperkatakan tentang tabiat iman dan nilainya dalam kehidupan manusia.

Keimanan ialah hubungan makhluk manusia yang bersifat fana, kerdil dan terbatas  dengan Allah yang bersifat mutlak, azali, kekal dan menjadi sumber yang melahirkan segala yang wujud, juga hubungannya dengan alam yang lahir dari Allah dan hubungannya dengan undang-undang yang mengendalikan perjalanan juga hubungannya dengan tenaga alam ini. Titik tolak di ni ialah dari perbatasan diri manusia yang kerdil kepada ruang alam yang luas dan dari batas-batas kekuatannya yang lemah kepada kebesaran tenaga alam yang majhul dan batas umurnya yang pendek kepada kelanjutan abad yang hanya diketahui oleh Allah s.w.t.

Hubungan seperti ini selain memberi kekuatan, kesinambungan dan kebebasan kepada manusia ia juga memberikan kenikmatan hidup kepada mereka dengan segala keindahan alam dan dengan anekaragam makhluk, di mana roh-roh makhluk ini menjalin hubungan saling mesra dengan rohnya sehingga hidup ini dirasakan seolah-olah satu perkelahan melihat temasya-temasya Ilahi yang dipamerkan kepada manusia  di setiap tempat dan waktu. Hubungan ini merupakan suatu kebahagiaan yang tinggi  dan kegembiraan yang melimpah, di samping suatu kemesraan terhadap hidup dan alam buana. Ini suatu keuntungan yang tidak dapat dibandingkan dengan keuntungan yang lain dan kehilangannya merupakan suatu kerugian yang sangat tinggi dan tiada tandingannya.

Kemudian asas-asas keimanan itu sendiri merupakan asas kemanusiaan yang luhur. Menyembah Allah Yang Tunggal membebaskan manusia dari perhambaan kepada yang lain dari Allah dan menegakkan dalam jiwanya kesedaran berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan sesama manusia kerana ia tidak menghinakan dirinya kepada seseorang yang lain dan tidak tunduk melainkan kepada Allah s.w.t. Dari sinilah lahirnya kebebasan hakiki bagi manusia iaitu kebebasan yang terbit dari hati nurani dan dari kefahaman terhadap hakikat yang berlaku di alam iaitu tiada kekuasaan melainkan kekuasaan Allah Yang Tunggal dan tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Pembebasan diri adalah terbit dengan sendirinya dari kefahaman ini kerana ia merupakan satu-satunya kesimpulan yang logik.

Ciri Rabbaniyah (yang menjadi teras keimanan) itulah yang menentukan arah dari mana manusia harus menerima kefahamannya, nilai-nilainya, ukurannya, pertimbangannya, syariatnya, undang-undangnya dan segala peraturan yang mengikatkannya dengan Allah s.w.t atau dengan alam atau dengan manusia. Dengan itu kehidupan manusia terhindar dari kongkongan hawa nafsu dan kepentingan dan tempat kedua-duanya digantikan dengan syariat dan keadilan. Ciri Rabbaniyah juga meningkatkan rasa bangga seseorang mukmin terhadap nilai agamanya dan memandang rendah kepada kefahaman jahiliyah, nilai pertimbangannya juga memandang rendah kepada perhubungan muka bumi walaupun dia sebatang kara kerana menghadapi nilai sedemikian yang diambil secara langsung dari Allah SWT sudah tentu lebih unggul, kuat, utama dan dihormati.

Firman Allah s.w.t: “Nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran.”

Berkenaan dengan kebenaran, ditafsirkan dengan tiga pendapat:

Ia adalah tauhid. Inilah pendapat Yahya bin Sallam.
Ia adalah al-Quran. Inilah pendapat Qatadah.
Ia adalah Allah s.w.t. Inilah pendapat al-Suddi.
Ada pendapat mengatakan menasihati khalifah yang bakal menggantikannya ketika hampir meninggal dunia supaya tidak mati kecuali dengan menjadi orang Islam.

Firman Allah s.w.t: “Dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.”

Ada tiga pendapat berkenaan dengan kesabaran:

Atas ketaatan kepada Allah s.w.t. Inilah pendapat Qatadah.
Atas melaksanakan kefardhuan Allah. Inilah pendapat Hisha bin Hassan.
Bersabar daripada perkara yang haram dan mengikut hawa nafsu.
Al-Maraghi berkata: Sebahagian daripada mereka menasihati yang lain supaya bersabar tidak melakukan maksiat yang dirindukan oleh hawa nafsu sesuai dengan tabiat manusia. Begitu juga supaya bersabar melakukan ketaatan yang dirasakan sulit oleh nafsu serta bersabar menghadapi cubaan Allah s.w.t yang ditimpakan kepada para hamba-Nya dalam bentuk musibah dan menerimanya dengan perasaan rela zahir dan batin. Ini supaya mereka selamat daripada kerugian, manusia perlu mengetahui kebenaran, melekatkan kebenaran kepada dirinya dan memantapkan hati dengan kebenaran. Kemudian, sesetengah mereka menganjurkan yang lain agar mengikut jalan kebenaran dan menjauhkan dirinya dan orang lain dari dakwaan dan khayalan yang tidak benar di dalam hati dan tidak boleh dijadikan petunjuk.

Penutup

Surah ini begitu tegas sekali menentukan jalan yang betul iaitu seluruh manusia berada dalam kerugian melainkan orang yang beriman, melakukan amalan yang soleh dan saling berpesan supaya menjunjung agama yang benar dan bersikap sabar. Inilah satu-satunya jalan untuk beriman dan beramal soleh dan menegakkan masyarakat Islam bersatu padu menjaga agama yang benar dengan berbekalkan sifat sabar. Ini kerana zaman dahulu dua orang lelaki daripada sahabat Rasulullah s.a.w apabila mereka bertemu, mereka tidak berpisah sehingga salah seorang dari mereka membaca Surah al-Asr kepada seorang lagi, kemudian barulah mereka bersalaman. Mereka berdua berjanji setia menjunjung perlembagaan Ilahi dengan beriman dan berbuat kebajikan dan juga bersikap sabar.

Semoga kita menjadi golongan yang beruntung di sisi Allah s.w.t dan melayakkan kita menghuni syurga-Nya. Amin.

Oleh DR. ZULKILI MOHAMAD ALBAKRI
Rujukan
http://ummatanwasatan.net/2012/03/surah-al-asr-waktu-sahabat-yang-membawa-hadiah-berharga/

No comments:

Post a Comment