Sunday, July 21, 2013

Surah Yaa Siin


Yaa, siin. (Surah Yaa Siin:1).

Demi Al-Quran Yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran Yang tetap kukuh, (Surah Yaa Siin:2).

Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul Yang telah diutus, (Surah Yaa Siin:3).

Yang tetap di atas jalan Yang lurus (ugama Islam). (Surah Yaa Siin:4).

Al-Quran itu, diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani, (Surah Yaa Siin:5).

supaya Engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum Yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai. (Surah Yaa Siin:6).

Demi sesungguhnya, telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu beriman. (Surah Yaa Siin:7).

Sesungguhnya Kami jadikan (kesombongan dan keengganan mereka tunduk kepada kebenaran sebagai) belenggu Yang memberkas kedua tangan mereka ke batang leher mereka; (lebarnya belenggu itu) sampai (menongkatkan) dagu mereka lalu menjadilah mereka terdongak. (Surah Yaa Siin:8).

dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia Yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab Yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka Dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan Yang benar). (Surah Yaa Siin:9).

dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka, Engkau beri amaran atau Engkau tidak beri amaran kepadanya - mereka tidak akan beriman. (Surah Yaa Siin:10).

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika Rasulullah s.a.w. membaca surah as Sajdah dengan nyaring, orang-orang Quraisy merasa terganggu dan mereka bersiap-siap untuk menyeksa Rasulullah. Akan tetapi tiba-tiba tangan mereka terbelenggu di atas bahu dan mereka menjadi buta sama sekali. Mereka mengharapkan pertolongan Nabi s.a.w. dan berkata: "Kami sangat mengharapkan bantuanmu atas nama Allah dan atas nama keluarga." Kemudian Rasulullah berdoa dan mereka pun sembuh. Akan tetapi tidak ada seorang pun di antara mereka yang beriman. Maka turunlah ayat-ayat ini (Surah Yaa Siin: 36: 1-10) berkenaan dengan peristiwa tersebut. (K. Diriwayatkan oleh Abu Nairn di dalam kitab ad Dalail dari Ibnu Abbas)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Abu Jahal berkata: "Sekiranya aku bertemu dengan Muhammad, pasti aku akan menghasutnya." Oleh itu ketika Muhammad berada di sekitarnya, orang-orang menunjukkan kepadanya bahawa Muhammad berada di sisinya. Akan tetapi Abu Jahal tetap tertanya-tanya: "Mana dia?" kerana dia tidak dapat melihatnya. Maka penurunan ayat ini (Surah Yaa Siin: 36: 8-9) adalah sebagai penjelasan bahawa pandangan Abu Jahal pada ketika itu ditutup oleh Allah untuk melihat Nabi Muhammad. (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Ikrimah)

"Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catatkan satu persatu dalam Kitab (Ibu Suratan) yangjelas nyata. " (Surah Yaa Siin: 36: 12) Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Banu Salamah tinggal di pinggir kota Madinah dan mereka ingin berpindah berhampiran dengan Masjid. Maka turunlah ayat ini (Surah Yaa Siin: 36: 12) sebagai penjelasan bahawa setiap langkah seseorang itu akan dicatat oleh Allah. 

Setelah turunnya ayat ini Nabi menasihati Banu Salamah berpindah dari tempat tinggal mereka dengan bersabda: "Sesungguhnya bekas telapak kaki kalian semua menuju ke masjid dicatat oleh Allah. Oleh itu adalah lebih baik kalian semua jangan berpindah dari tempat itu. " (Diriwayatkan oleh at Tirmizi dengan sanad hasan dan al Hakim dengan sanad sahih dari Abi Said al Kudri) (Diriwayatkan pula oleh at Thabarani dari Ibnu Abbas)

"Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati). " (Surah Yaa Siin: 36: 77) 

"Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: "Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?" (Surah Yaa Siin: 36: 78) 

"Katakanlah: "Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awalmula wujudnya; dan la Maha Mengetahuiakan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya)." (Surah Yaa Siin: 36: 79) 

"Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu." (Surah Yaa Siin: 36: 80) 

"Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) - berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana la menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dialah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui." (Surah Yaa Siin: 36: 81) 

"Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila la menghendaki adanya sesuatu, hanyalah la berfirman kepada (hakikat) benda itu: "Jadilah engkau!" Maka ia terus menjadi." (Surah Yaa Siin: 36: 82) 

"Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!), Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan." (Surah Yaa Siin: 36: 83) 

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa al Aash bin Wail datang mengadap kepada Nabi dengan membawa tulang yang sudah rosak sambil mematah-matahkan tulang tersebut dan berkata: "Hai Muhammad, apakah Allah akan membangkitkan semula tulang yang sudah lapuk ini?" Nabi s.a.w. menjawab: "Benar! Allah akan membangkitkan semula ini dan mematikan kamu dan menghidupkan kamu kembali serta memasukkan kamu ke dalam neraka jahanam."

Maka ayat ini (Surah Yaa Siin: 36: 77-83) turun berkenaan dengan peristiwa yang disebutkan di atas yang menjelaskan bahawa kekuasaan Allah untuk membangkitkan semula manusia pada hari kiamat. (Diriwayatakan oleh al Hakim dengan sanad dari Ibnu Abbas) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Abi Hatim dari Mujahid, Ikrimah, Urwah bin Zubairdan as Suddi dengan tambahan bahawa orang tersebut bernama Ubay bin Khalaf)

No comments:

Post a Comment