"laitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya." (Surah al Mu'minuun: 23: 2)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa apabila bersembahyang Rasulullah memandang ke langit. Maka turunlah ayat di atas sebagai petunjuk di dalam menunaikan sembahyang. Sejak dari itu baginda sembahyang dengan menundukkan kepalanya. (Diriwayatkan oleh al Hakim dari Abi Hurairah) (Diriwayatkan pula oleh Ibnu Marduwaih dengan lafaz: "Rasulullah pernah memalingkan muka pada waktu sembahyang.") (Diriwayatkan pula oleh Said bin Mansur dari Ibnu Sirin dengan lafaz: "Rasulullah melirikkan matanya pada waktu sembahyang." Hadis ini mursal)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa apabila para sahabat bersembahyang mereka memandang ke langit. Maka turunlah ayat ini (Surah al Mu'minuun: 23: 2) sebagai petunjuk bagaimana seharusnya menunaikan sembahyang. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Sirin. Hadis ini mursal)
"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripati (yang berasal) dari tanah." (Surah al Mu'minuun: 23:12)
"Kemudian Kamijadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh." (Surah al Mu'minuun: 23:13)
"Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku, lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhlukyang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta." (Surah al Mu'minuun: 23:14)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa pendapat Umar seiring dengan kehendak Allah dalam empat perkara, di antaranya ialah mengenai turunnya ayat ini (Surah al Mu'minuun: 23:12-14). Ketika mendengar ayat tersebut Umar berkata: "Fatabarakallahu ahsanalkhaliqin."Maka turunlah akhirayat ini (Surah al Mu'minuun: 23:14) seiring dengan ucapan Umar itu. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Umar)
"Dengan keadaan sombong angkuh mendustakannya, serta mencacinya dalam perbualan kamu pada malam hari. " (Surah al Mu'minuun: 23: 67)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa pada malam hari kaum Quraisy berjaga dan duduk-duduk berbual kosong di sekeliling Kaabah tetapi tidak bertawaf malahan mereka bermegah-megah diri kerana dapat menguasai Baitullah itu. Maka ayat di atas turun berkenaan dengan orang-orang seperti itu. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Said bin Jubair)
"Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan mereka dengan azab (di dunia), maka mereka tidak juga tunduk patuh kepada Tuhan mereka dan tidak pula berdoa kepadaNya dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat). " (Surah al Mu'minuun: 23: 76)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Abu Sufyan datang kepada Nabi sambil berkata: "Hai Muhammad! Aku meminta tolong atas nama Allah dan atas nama keluarga kerana kami sudah makan bulu dan darah disebabkan kekurangan makanan." Maka ayat ini (Surah al Mu'minuun: 23: 76) turun berhubung dengan peristiwa di atas. (Diriwayatkan oleh an Nasa'i dan al Hakim dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa Ibnu lyaz al Hanafi dibawa kepada Nabi sebagai tawanan. Kemudian dia dibebaskan oleh Nabi dan terus masuk Islam. Kemudian dia pulang ke Yamamah melalui kota Mekah. Setibanya di Yamamah dia menghentikan penghantaran makanan ke Mekah sehingga orang-orang Quraisy kekurangan makanan dan makan bulu-bulu serta darah. Oleh kerana itu Abu Sufyan diutus kepada Nabi s.a.w. lalu berkata: "Bukankah engkau mengaku diutus membawa rahmat kepada sekalian alam?" Rasulullah mengiakan. Abu Sufyan berkata lagi: "Engkau telah membunuh orang-orang tua dengan pedang dan anak-anak mereka dengan kelaparan."
Maka turunlah ayat ini (Surah al Mu'minuun: 23: 76) berhubung dengan peristiwa di atas. Ayat ini menjelaskan bahawa walaupun mereka menerima azab dari Tuhan, mereka tetap tidak beriman kepadaNya. (Diriwayatkan oleh al Baihaqi di dalam ad Dalail)
No comments:
Post a Comment